Selasa, Januari 19, 2016

Seminar Fitnah Akhir Zaman di Perpustakaan Shah Alam

Merujuk lagi pada artikel Tanjak baru untuk HIKMAH Janda Baik, kali ini untuk aktiviti pada hari seterusnya. Bersambung daripada Sambutan Maulidur Rasul 1437 Hijriah di Yayasan al-Jenderami.


Pada hari sama mendapat tahu tentang sambutan Maulidur Rasul di Yayasan al-Jenderami iaitu pada Rabu 13 Jan saya juga mendapat tahu tentang acara di atas. Timbul rasa untuk pergi menghadirinya juga. Kebetulan ia mahu diadakan di Perpustakaan Shah Alam, Ahad 17 Jan iaitu sehari selepas Maulidur Rasul tamat. Perjalanan hujung minggu pun diatur menurut arah yang bersesuaian...



Adapun selepas Maulud saya dan keluarga bermalam di rumah abang sulung kepada isteri di Bukit Changgang. Pagi Ahad kami bergegas ke Shah Alam untuk seminar.


Masuk perpustakaan kami berpecah, Isteri membawa anak-anak ke bahagian kanak-kanak saya naik tingkat 3 ke dewan seminar.


Masuk sahaja dewan saya terperanjat.


Ramai juga menghadirkan diri walau harus membayar RM40-50 setiap seorang.


Nampaknya ramai begitu minat dengan topik "Fitnah Akhir Zaman"...


Ketika saya sampai pembentang pertama saudara Wan Ahmad Fayhsal sudah membuka bicara. Anak muda yang cakna perkembangan geopolitik dunia dengan segala macam sepak terajang tipu daya pihak-pihak berkenaan yang berkepentingan ini membawa tajuk "Di sebalik 'Syria Berdarah' : Memahami Konflik & Krisis Dunia Islam mutakhir kaitannya dengan agenda hegemoni politik Dunia".


Beliau pernah membawa perkara serupa ketika konflik Syria belum lagi terserlah. Ia adalah tentang membaca pergerakan dan perancangan ekonomi, politik dan tentera kuasa-kuasa besar, bagaimana ia mempengerahui keadaan dunia Islam termasuk kita di Alam Melayu. Lihat artikel Forum Keindahan Sistem Kesultanan Alam Melayu-Nusantara : Menuju aspirasi raja yang insan kamil yang dibuat lebih setahun lalu.


Rasanya ramai sudah tahu tentang konflik di Syria yang semakin memburuk hari ke hari. Secara rata media massa dunia yang rata-rata pro-Barat menyatakannya sebagai konflik antara golongan Sunni dan Syiah tetapi Fayshal tidak melihatnya begitu.


Konflik yang sudah melanda lebih setahun ini dikupas dalam konteks yang lebih besar. Lalu sejarah penglibatan negara-negara di Eropah melalui organisasi kerjasama ketenteraan serantau NATO diterangkan. Disebut bagaimana Eropah boleh terhutang budi kepada Amerika dalam Perang Dunia Kedua juga Perang Dingin (antara blok pro-Amerika dan kapitalis melawan blok pro-Soviet Russia/komunis) lalu harus mengikut telunjuk kuasa besar itu. Dalam konteks Syria NATO harus menyokong polisi Amerika dalam penglibatannya di rantau itu dan antara ahli NATO adalah Turki, satu-satunya negara Islam di Eropah. Disebabkan itu, Turki seperti mahu dilagakan dengan Russia yang merupakan lawan Amerika. Umum tahu Russia juga adalah sekutu kerajaan sedia ada Syria yang dipimpin presiden Bashar al-Assad, kerajaan yang sedang cuba digulingkan oleh puak pemberontak yang dibantu Amerika..


Sesungguhnya konflik di Syria bukan sekadar konflik di Timur Tengah. Ia juga berkenaan polisi Amerika yang mahu mengekang kekuasaan Russia (dan sekutunya Chiina) dengan cara mendirikan markas-markas tentera yang secara efektifnya mengepung kedudukan negara besar yang meliputi sebahagian benua Eropah, sebahagian benua Asia itu.


Konflik yang melanda juga diterangkan Fayshal sebagai akibat usaha penguasaan bekalan minyak dan gas oleh Amerika dan sekutunya. Keadaan semula jadi muka bumi dunia menyebabkan terbitnya beberapa choke point, kawasan sempit laluan dagang kapal laut seperti Terusan Suez di Mesir, Terusan Hormuz antara Iran dan Semenanjung Arab juga Selat Melayu di Asia Tenggara. Semua ini perlu dikuasai untuk mengawal pasaran ekonomi dunia. Maka armada-armada kapal laut dan tentera perlu diletakkan di lokasi-lokasi strategik yang berkenaan...


Turut disentuh bagaimana sempadan negara-negara di Timur Tengah dan Asia Barat telah dirancang oleh kuasa-kuasa Barat jauh sebelum negara-negara itu terbentuk. Ini dibuat supaya wilayah-wilayah yang kebanyakkannya dahulu pernah terletak di bawah kekhalifahan Islam Turki Uthmaniyah dapat dipecah-perintah.


Fayshal turut mengemukakan satu rakaman video menunjukkan seorang ulamak besar Syria (kini sudah kembali ke rahmatullah) telah menjangkakan Syria akan bergolak begitu teruk sekali, sejak lama dahulu. Ulamak tersebut bercakap dalam bahasa Arab. Pembentang seterusnya, Ustaz Iqbal Zain menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu kepada hadirin.


Selepas konflik Syria dikupas cukup panjang lebar, hadirin dibawa berehat dengan bacaan qasidah yang diiringi gendang oleh para pelajar tahfiz dari Janda Baik (kalau tak salah).


Sekitar jam 12.55 tengah hari baru Iqbal memulakan pembentangannya bertajuk "Fitnah Akhir Zaman : Fiqh Tahawullat persiapan menghadapi saat getir, sebuah pesanan buat umat". Kali pertama saya mendengar beliau bersyarah adalah ketika menerangkan apa itu Ahlul Bait berserta nas kelebihan. Ini dibuat untuk menyokong satu segmen dalam pembentangan saya pada satu majlis HIKMAH lebih 2 tahun lalu. Lihat artikel Acara keenam HIKMAH di Galeri Shah Alam 7 Sept 2013 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika itu beliau baru sahaja berkecimpung dalam dunia dakwah setelah tamat belajar di Timur Tengah. Iqbal merupakan menantu kepada seorang sahabat seperjuangan saya lalu dibawa ke HIKMAH untuk membantu menyerikan majlis. Sejak itu perjalanan dakwah beliau semakin maju lalu beliau mencipta nama. Bercakap tenang dan teratur tanpa bantuan slaid, Iqbal terlebih dahulu menerangkan makna fitnah secara umum menurut pemahaman asal dalam bahasa Arab. 

Umumnya, fitnah bermaksud ujian dan cabaran yang harus dihadapi semua manusia di muka bumi . Ini merujuk pada sebab musabab manusia dicipta oleh Allah SWT, bagaimana amalan mereka di dunia akan menentukan kedudukan di akhirat, apakah layak masuk ke syurga. Kemudian baru disebut makna fitnah yang lebih khusus iaitu perkara buruk yang boleh menjeremuskan kita ke dalam kebinasaan dunia dan akhirat. Iqbal turut mengajak hadirin agar menetapkan iktikad bahawa segala yang berlaku adalah dalam jadual qada' dan qadar. Setelah konsep-konsep asas diterangkan baru kita boleh memahami dengan baik hal-hal  seterusnya.


Antaranya adalah apa itu Fiqh Tahawwulat, ilmu tentang perkembangan akhir zaman berdasarkan pemerhatian daripada sejarah yang lampau, Sesungguhnya sudah sunatullah alam, pada keadaan malam berganti siang, siang berganti malam kita boleh mengambil pelajaran.  Apa-apa kejadian sering berlaku berulang-ulang lalu membentuk pusingan, cyclical. Cuma watak-watak dan latar belakang sahaja yang berbeza, intipati perkara adalah sama.

Fiqh Tahawwulat berdiri atas pemerhatian ini lalu boleh digunakan untuk menduga perkara akan datang lalu membantu kita bertindak sebaiknya menurut keadaan. Kata Iqbal, seorang ulamak Ahlu Bait (daripada keturunan Nabi Muhammad SAW) bahkan meletakkan Fiqh Tahawwulat sebagai rukun agama yang ke-empat. Ini adalah untuk melengkapkan 3 rukan agama yang ramai sudah sedia tahu iaitu Iman, Islam dan Ikhsan...


Tentang apa itu Iman, Islam dan Ikhsan, bagaimana rukun-rukunnya dan bagaimana ia harus difahami tak perlulah dipanjangkan di sini. Iqbal merujuk kepada apa yang dipanggil sebagai Hadis Jibril sebagai satu dialog lengkap yang dapat menerangkan apa itu Iman, apa itu Islam, apa itu Ikhsan, Hadis ini merujuk pada peristiwa di mana malaikat Jibril menyamar sebagai seorang manusia di hadapan orang ramai lalu bertanyakan kepada Nabi Muhammad SAW beberapa perkara penting dan asas dalam agama. Bahagian akhir dialog ada menyentuh tentang keadaan dunia hampir kiamat lalu menjadi sebab ada ulamak meletakkan Fiqh Tahawwulat sebagai rukun agama ke-empat. 

Oh. Baru teringat. Iqbal juga menerangkan bahawa segala perkara, fitnah akhir zaman, apa yang berlaku daripada dahulu sampai sekarang dalam konteks yang sangat cantik iaitu dendam iblis kepada anak-anak Adam. Dendam bermula setelah Iblis dibuang keluar dari syurga akibat enggan sujud kepada Nabi Adam setelah diperintahkan Allah untuk berbuat begitu. Iblis pun meminta dipanjangkan umur sehingga hari kiamat, Ikrarnya mahu menyesatkan seramai mungkin anak keturunan Adam. Berlakulah misalnya kes putera sulung Adam iaitu Qabil membunuh adiknya Habil. Iblis terus membisikkan kepada anak-anak Adam agar melakukan kejahatan dan kebinasaan.


Ini dapat menerangkan motif pelbagai perkara yang berlaku hingga kini membawa ke penghujung akhir zaman. Iqbal tidak perlu menyelam sangat keadaan geopolitik dunia untuk memberi orang faham. Selepas pembentangannya tamat, Fayshal meminta ruang untuk menerangkan sedikit perkara tambahan.  Ditunjukkan lagi bukti-bukti bagaimana dunia sedang dicaturkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.


Selesai itu seorang wartawan daripada TV al-Hijrah berkongsi pengalaman membuat penggambaran di wilayah Islam Sulu yang sering dikatakan sebagai sarang penculik dan pengganas. Walhal yang berbuat jahat itu segelintir sahaja, yang lain cuma orang Islam yang tertekan dengan fitnah pro-Barat dan anti-Islam. Untuk mengakhiri artikel ini biar dipetik tulisan tentang majlis yang dibuat oleh Fayshal di Facebook beliau. Saya salin balik di sini tanpa membuat apa-apa suntingan...


----------------------


KRISIS SYRIA PERLU BACAAN TAWHIDIK

Alhamdulillah selesai seminar berhubung Krisis Syria dan mendepani cabaran fitnah akhir zaman menggunakan kerangka Fiqh al-Tahawwulat yang disampaikan oleh saya dan al-Fadil Ustaz Iqbal Zain al-Jawhari anjuran Akademi Kajian Rantau Nusantara - AKAR

Terkejut saya lihat hadirin yang begitu ramai lebih 200 orang saya fikir terdiri daripada pelbagai kelompok dan latar.

Dalam masa yang terbatas (hampir 2 Jam) saya berceramah santai tapi berat kerana sarat dengan konsep dan fakta yang dikupas dalam pelbagai ragam dan bentuk berhubung Krisis di Syria.

Saya hanya tumpukan kepada sudut geografi dalam geopolitik Syria di mana saya tekankan berkali-kali semua ini adalah Sunnatullah di atas muka bumi.

Takdir Allah yang penuh hikmah menjadikan Syria sebagai medan pertempuran peradaban sekular Barat Atlanticist NATO dan Eurasia.

Betapa kacaunya umat Islam di Timur Tengah yang terkepung antara dua blok besar dan lebih malang banyak negara umat Islam Sunni terperangkap dalam kerangka yang salah dalam memilih pakatan seperti Turki dan Saudi.

Untuk menerangkan hal ini saya jelaskan sejarah Eropah, sejarah kewujudan negara Arab, sejarah Perang Dunia Kedua berhubung Perang Dingin dan Alhamdulillah hadirin sempat mendengar kupasan tuntas saya berhubung bagaimana al-Shahid Al-Imam Dr Sa'id Ramadan al-Buti berjaya memahami dengan firasah orang alim rabbani cabaran geopolitik dunia 20 tahun lalu lagi bagaimana Syria akan tumbang di tangan musuh Islam dan musuh Islam dalam selimut iaitu Khawarij/Salafi Jihadisme/Wahhabiyyah.

Saya jelaskan juga mengapa al-Shahid mempertahankan Russia dan China sebagai sekutu utama umat Islam; bukan NATO.

Ada banyak tajuk yang tak sempat disentuh kerana masa dan juga persediaan hadirin yang masih baru seperti hal Petrodollar, hal ekonomi globalisme dan banyak lagi.

Cerita pasal geografi pun saya dah nak semput huraikan panjang lebar.

Ustaz Iqbal seperti biasa menyampaikan dakwah yang amat menusuk hati melalui kerangka Fiqh al-Tahawwulat yang digagaskan oleh al-Mufakkir al-Islami Habib Abu Bakar al-Masyhur al-Adni bagaimana sikap kita untuk berdiri atas manhaj nubuwwah ketika zaman fitnah ini.

Saya beri peringatan kepada hadirin agar tidak mudah percaya propaganda media sosial dan mainstream Barat yang anti-Assad kerana mereka ada agenda mereka yang lebih jahat iaitu menghancurkan Timur Tengah menjadi rantau baru.

Saya zahirkan bukti laporan-laporan penting daripada mulut musuh sendiri - sesuatu yang NGO seperti Syria Care, Kesatuan Ulama' Sedunia yang pro-Ikhwan al-Muslimin telah salah dalam ijtihad siyasi mereka kerana menyokong tindakan Erdogan yang menjadi bidak catur NATO dan Zionis.

Jazakumullah khayran kathiran kepada AKAR khusus Ustaz Mohd Khalid Yahya dan Ustaz Mohd Hanif Haji Ibrahim bersama pasukan guru-guru muda yang bersemangat untuk memahami dan memahamkan rakyat berhubung krisis ini agar kita di Malaysia dapat ambil pengajaran berguna.

Tidak lupa juga kepada wakil HIKMAH iaitu tuan Merah Silu kerana hadirkan diri dengan semangat pahlawan Melayu bagi menambahkan lagi rencah wacana.

Kalau sempat akan datang kita wacanaka lagi Geopolitik dalam sudut yang lebih dalam dan rencam.


Sambutan Maulidur Rasul 1437 Hijriah di Yayasan al-Jenderami

Merujuk pada artikel Tanjak baru untuk HIKMAH Janda Baik yang dipersembahkan semalam. Telah disebut saya telah melakukan 7 aktiviti tertentu semasa hujung minggu lalu. Sekarang biar diceritakan tentang satu yang berlaku hari Sabtu iaitu sambutan Maulidur Rasul di Yayasan al-Jenderami, Dengkil, Selangor....


Di atas adalah poster yang mewar-warkan acara. Ia sampai kepada perhatian saya pagi Rabu 13 Januari.


Melihat pada senarai ulamak yang terlibat ia memang acara besar.



Atur caranya pun menarik menyebabkan saya terasa rugi kalau tak pergi. Cuma tak dapatlah ke sana pada ketiga-tiga hari kerana saya ada hal-hal lain yang perlu ditangani. Dan lokasi pun bukan dekat, sekitar 90 km dari rumah, Kalau hari Sabtu boleh le. Kebetulan pagi 16 Jan saya mahu menghadiri satu mesyuarat gabungan NGO Melayu dan Islam di Kuala Lumpur. Perjalanan dan perkara pun diatur seperti dinyatakan dalam artikel Tanjak baru untuk HIKMAH Janda Baik.


Sebetulnya saya bercadang untuk sampai ke Yayasan al-Jenderami  sebelum jam 6.30 petang kerana mahu mengikuti perarakan Maulud. Tetapi mesyuarat yang bermula jam 10.30 pagi berlanjutan sehingga hampir jam 3 petang. Selepas itu harus berkejar ke Batu Caves untuk urusan seterusnya. Jam 6 petang baru bertolak ke Dengkil lalu sampai hampir Maghrib.


Ternyata ramai orang sudah masuk kawasan...


Kompleks yayasan terletak di dalam satu perkampungan ibadat yang besar. Teringat sebuah pesantren di Jawa Barat yang pernah disinggahi dalam perjalanan 2 minggu pusing Pulau Jawa hampir 5 tahun lalu. Lihat artikel lama Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Pesantren Abah Anom dan makam Sheikh Abdul Muhyi Pamijahan


Sebetulnya saya pernah menghadiri majlis maulud di Yayasan al-Jenderami tahun 2003, tak pun 2004. Saya lupa tahun tepat tapi memang antara dua itu. Ketika itu ia masih kecil dan terdiri daripada bangunan-bangunan kayu. Sekarang ia kelihatan sudah begitu maju, banyak bangunan batu. 

Salah sebuah bangunan yang belum wujud ketika saya bertandang lebih 12 tahun lalu adalah yang kelihatan di atas ini. Entah kenapa, sebaik sahaja terpandang terus deja vu. Terasa pernah melihatnya walaupun memang ia baru disiapkan beberapa tahun lalu...



Penghujung waktu Maghrib baru saya menjejakkan kaki ke dalamnya.


Moden dan cantik. Entah kena teringat pula pusat seni Covent Garden di London, salah satu tempat kegemaran saya bertandang semasa belajar di sana 1991-1995. Lihat artikel Some favourite places in London di blogspot BERPETUALANG KE ACEH


Terpapar di dalamnya sejarah penubuhan yayasan dan kenapa kompleks didirikan.





Di bahagian lain ada pameran dan jualan barangan warisan.


Ia adalah pameran sementara yang dikendalikan oleh kawan-kawan aktivis saya yang telah terpanggil untuk berkhidmat menjayakan acara.


Selepas solat Isyaq alunan qasidah untuk sambutan kemuncak Maulidur Rasul mula berkumandang di udara.


Saya pun terpanggil lalu bergerak ke masjid,





Kelihat beribu orang memenuhi luar dan dalam.


Ulamak-ulamak utama terutama para Habaib keturunan Nabi Muhammad SAW menjadi tumpuan.


Keadaan selepas majlis tamat...


Isnin, Januari 18, 2016

Tanjak baru untuk HIKMAH Janda Baik

Salam semua. Telah berlaku satu rentetan peristiwa hujung minggu baru ini yang membuat saya ingin berkongsi cerita... 


Malam tadi, saya, isteri dan anak-anak kembali lewat ke rumah. Kami telah keluar sejak pagi Sabtu untuk melakukan beberapa perkara yang mana klimaksnya pada saya adalah mendapat tanjak baru.



Fikirnya saya cuma akan menunjukkan tanjak kepada umum apabila dipakai untuk acara terbaru HIKMAH yang dijadualkan berlangsung di rumah penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H.Alattas hujung bulan. Lihat artikel HIKMAH Janda Baik di rumah Pak Habib 30-31 Januari 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Tengok-tengok gambar saya memakai tanjak sudah ditunjukkan oleh pembuatnya di FB pagi tadi. Saya pun tergerak untuk berkongsi cerita.



Adapun cerita sudah lebih awal dikongsikan di Facebook. Ini saya perbaiki sedikit untuk persembahan di blogspot pula...


----------------


SELESAI SATU GERAK BERKAITAN ACARA KE-16 HIKMAH - TANJAK BARU SEBAGAI KEMUNCAK GERAK HUJUNG MINGGU?

Alhamdulillah. Ada semacam klimaks daripada satu renteten peristiwa berkaitan perjalanan diri dan perjuangan Melayu dan Islam Sabtu hingga Ahad,

Sabtu 16 Jan 2016

1) Pergi ke mesyuarat satu gabungan NGO membincangkan hala tuju perjuangan dan tindakan dalam membela Melayu dan Islam. 

Sejak 2-3 minggu lalu mesyuarat sudah ditetapkan mahu diadakan pagi 16 Jan, Ia merupakan mesyuarat kedua gabungan dihadiri oleh saya, saya tidak pergi mesyuarat sebelum itu dan asalnya tidak bercadang untuk ke mesyuarat terbaru. Ini kerana saya tidak mahu terlibat sangat dengan pergerakan, cuma mengikuti perkembangan dari jauh kerana sudah diajak bersama tetapi tidak dapat memberikan komitmen penuh akibat sibuk dengan pelbagai hal lain. Tetapi disebabkan saya diminta membawa bapa angkat saya, penulis buku politik terkenal Pak Habib @ S.H.Alattas​ bersama, maka saya pun menghadiri mesyuarat. Permintaan ini timbul setelah saya memberitahu kepada ahli gabungan akan membuat majlis terbaru HIKMAH di rumah Pak Habib.

2) Bertandang ke rumah Prof Dato' Dr Othman Yatim untuk memulangkan keratan-keratan akhbar berkaitan Beruas yang dipinjamkan beliau penghujung tahun 2013. 

Ia adalah sebagai persediaan untuk acara ke-15 HIKMAH yang berlangsung di Beruas, mula-mula dirancang untuk diadakan awal tahun 2014, kemudian ditunda ke pertengahan tetapi akhirnya diadakan 8 Ogos. Lihat Acara ke-15 HIKMAH di dewan orang ramai Kampung Banjar, Beruas 8-9 Ogos 2015. Sejak pertemuan tersebut kami tidak pernah bersua kerana beliau melanjutkan tugas di Brunei, baru bulan lepas kembali setelah tamat kontrak. Prof Othman pernah merasmikan acara pertama (ke-1) HIKMAH di Kompleks Seni Islam (Yayasan Restu), Shah Alam juga ke-6 Galeri Shah Alam. Lihat Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 diikuti Acara keenam HIKMAH di Galeri Shah Alam 7 Sept 2013. Sekarang, beliau akan merasmikan acara ke-16 di Janda Baik 30-31 Jan ini insyaallah. 

3) Pergi majlis Maulidur Rasul Akbar di Yayasan al-Jenderami dan sampai sebelum Maghrib. 

Majlis telah berlangsung sejak Khamis 14 Jan tapi majlis Maulid malam itu iaitu pada 16 Jan merupakan klimaks. Saya mendapat gerak untuk menghadirinya 1-2 hari sebelum itu.   

4) Singgah bermalam di rumah abang ipar di Bukit Changgang sambil melawat anak buah yang mendapat anak baru. 

Daripada Jenderam dah cukup dekat. Oleh kerana esoknya kami mahu ke satu forum di Shah Alam eloklah bermalam di Bukit Changgang. Bolehlah singgah di Shah Alam dalam perjalanan kembali ke rumah di Rawang. Lagipun anak buah isteri saya baru mendapat anak kedua, bolehlah dijengok sekali.

Ahad 17 Jan

5) Menghadiri forum berkaitan fitnah dan cabaran akhir zaman di Shah Alam. 

Gerak untuk menghadiri majlis ini muncul sejurus selepas saya telah menetapkan diri mahu ke Jenderam untuk Maulidur Rasul. Ketika disuakan kerta kerja ringkas bersama undangan beberapa hari lalu, saya dapati ia cukup sesuai digunakan untuk membuka pembentangan saya sendiri di Janda Baik nanti. 

6) Bertemu dan meluangkan masa bersama ibu bapa yang datang dari Muar ke sebuah rumah kami di Kajang. 

Jumaat malam Sabtu tiba-tiba ibu saya menalifon untuk memberitahu dia dan bapa akan berada di Kajang hari Ahad kerana mahu menyelesaikan beberapa perkara. Isnin harus kembali ke Muar. Ibu juga memberitahu beliau dan bapa mahu pergi umrah lagi awal Februari. Itu yang membuat saya dan isteri menukar rancangan - selepas Shah Alam kami tidak terus kembali tetapi pergi ke Kajang dahulu bertemu ibu bapa lalu meluangkan masa bersama mereka.

7) Mendapat tanjak baru untuk pakaian HIKMAH ke-16

Adapun perkara 1-6 sudah ada dalam rancangan saya dan isteri sebelum kami keluar pagi Sabtu. Cuma malam sebelumnya isteri ada bertanya apakah persalinan yang mahu saya pakai untuk HIKMAH ke-16 nanti. Ketika itulah, setelah melihat koleksi kami sejak 3 tahun lalu, timbul rasa untuk mendapatkan satu tanjak baru yang dapat menggambarkan keazaman baru saya selari tentang terbitnya acara. Ingat, saya asalnya tidak mahu mengadakan apa-apa acara HIKMAH tahun ini malah pernah terfikir untuk bersara terus daripada penganjuran majlis. Tetapi keadaan berubah akibat satu rentetan peristiwa yang berlaku 2 minggu lalu. Lihat HIKMAH reunion di Bukit Tinggi

Untuk ini, saudara Johan Iskandar​ yang senasab dengan saya iaitu daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota di Perak yang memiliki darah kerabat diraja Aceh juga Bugis dirasakan orang paling sesuai untuk menangani perkara. Cuma tak tahu bila mahu bertanya. Beliau memang sudah cukup terkenal sebagai pembuat tanjak yang berkaliber. Ramai aktivis busana mendapat ilmu membuat tanjak daripada beliau. Ada beberapa tanjak milik saya dibuat oleh anak-anak murid beliau. Tetapi saya sendiri belum pernah mendapatkan satu buatan beliau walaupun Johan tidak lain adalah saudara sepupu-sepapat saya. 

Ahad selepas Zuhur, dalam perjalanan daripada Shah Alam ke Kajang untuk bertemu ibu bapa timbul rasa untuk menalifon beliau bertanyakan hal tanjak. Terus berjanji untuk berjumpa lewat malam di pejabatnya di Subang, dalam perjalanan kami kembali ke rumah di Rawang. Permintaan saya adalah buatkan satu tanjak yang dirasakan paling sesuai dan serasi dengan diri dan peribadi saya zahir dan batin, utamanya untuk dipakai semasa HIKMAH ke-16. Datang ke pejabat tu pun fikirnya sekadar hendak mengukur dan meninjau. Tak sangka dapat pula beliau menyiapkannya malam itu juga, alhamdulillah.

Seolah-olah pembikinan tanjak ini adalah klimaks daripada 6 perkara/aktiviti sebelumnya yang semuanya berlaku berkaitan persediaan untuk HIKMAH ke-16. Aktiviti dimulakan pada 16 Jan. Dan pada tarikh itu juga saya bertemu Prof Othman  lalu mendapatkan kepastian secara berdepan untuk beliau merasmikan majlis hujung bulan. Menarik apabila difikirkan bahawa beliau pernah merasmikan acara ke-1 diikuti ke-6. Sekarang beliau telah bersedia untuk merasmikan acara ke-16. Nampak tak permainan nombor di situ?.

Ditambah lagi fakta bahawa 6 aktiviti yang sudah difikirkan untuk hujung minggu dicampur lagi 1 yang tak dirancang. Hmm. Segala ini macam membentuk nombor 1661 pula. Adapun nombor 11 pada saya adalah semacam nombor diri, 66 pula dikaitkan dengan Allah. Nombor 1661 itu seperti 11 mengapit 66 di tengah-tengah. Ada makna ini semua. Subhanallah... :]