Salam semua. Telah berlaku satu rentetan peristiwa hujung minggu baru ini yang membuat saya ingin berkongsi cerita...
Malam tadi, saya, isteri dan anak-anak kembali lewat ke rumah. Kami telah keluar sejak pagi Sabtu untuk melakukan beberapa perkara yang mana klimaksnya pada saya adalah mendapat tanjak baru.
Fikirnya saya cuma akan menunjukkan tanjak kepada umum apabila dipakai untuk acara terbaru HIKMAH yang dijadualkan berlangsung di rumah penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H.Alattas hujung bulan. Lihat artikel HIKMAH Janda Baik di rumah Pak Habib 30-31 Januari 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Tengok-tengok gambar saya memakai tanjak sudah ditunjukkan oleh pembuatnya di FB pagi tadi. Saya pun tergerak untuk berkongsi cerita.
Adapun cerita sudah lebih awal dikongsikan di Facebook. Ini saya perbaiki sedikit untuk persembahan di blogspot pula...
----------------
SELESAI SATU GERAK BERKAITAN ACARA KE-16 HIKMAH - TANJAK BARU SEBAGAI KEMUNCAK GERAK HUJUNG MINGGU?
Alhamdulillah. Ada semacam klimaks daripada satu renteten peristiwa berkaitan perjalanan diri dan perjuangan Melayu dan Islam Sabtu hingga Ahad,
Sabtu 16 Jan 2016
1) Pergi ke mesyuarat satu gabungan NGO membincangkan hala tuju perjuangan dan tindakan dalam membela Melayu dan Islam.
Sejak 2-3 minggu lalu mesyuarat sudah ditetapkan mahu diadakan pagi 16 Jan, Ia merupakan mesyuarat kedua gabungan dihadiri oleh saya, saya tidak pergi mesyuarat sebelum itu dan asalnya tidak bercadang untuk ke mesyuarat terbaru. Ini kerana saya tidak mahu terlibat sangat dengan pergerakan, cuma mengikuti perkembangan dari jauh kerana sudah diajak bersama tetapi tidak dapat memberikan komitmen penuh akibat sibuk dengan pelbagai hal lain. Tetapi disebabkan saya diminta membawa bapa angkat saya, penulis buku politik terkenal Pak Habib @ S.H.Alattas bersama, maka saya pun menghadiri mesyuarat. Permintaan ini timbul setelah saya memberitahu kepada ahli gabungan akan membuat majlis terbaru HIKMAH di rumah Pak Habib.
2) Bertandang ke rumah Prof Dato' Dr Othman Yatim untuk memulangkan keratan-keratan akhbar berkaitan Beruas yang dipinjamkan beliau penghujung tahun 2013.
Ia adalah sebagai persediaan untuk acara ke-15 HIKMAH yang berlangsung di Beruas, mula-mula dirancang untuk diadakan awal tahun 2014, kemudian ditunda ke pertengahan tetapi akhirnya diadakan 8 Ogos. Lihat Acara ke-15 HIKMAH di dewan orang ramai Kampung Banjar, Beruas 8-9 Ogos 2015. Sejak pertemuan tersebut kami tidak pernah bersua kerana beliau melanjutkan tugas di Brunei, baru bulan lepas kembali setelah tamat kontrak. Prof Othman pernah merasmikan acara pertama (ke-1) HIKMAH di Kompleks Seni Islam (Yayasan Restu), Shah Alam juga ke-6 Galeri Shah Alam. Lihat Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 diikuti Acara keenam HIKMAH di Galeri Shah Alam 7 Sept 2013. Sekarang, beliau akan merasmikan acara ke-16 di Janda Baik 30-31 Jan ini insyaallah.
3) Pergi majlis Maulidur Rasul Akbar di Yayasan al-Jenderami dan sampai sebelum Maghrib.
Majlis telah berlangsung sejak Khamis 14 Jan tapi majlis Maulid malam itu iaitu pada 16 Jan merupakan klimaks. Saya mendapat gerak untuk menghadirinya 1-2 hari sebelum itu.
4) Singgah bermalam di rumah abang ipar di Bukit Changgang sambil melawat anak buah yang mendapat anak baru.
Daripada Jenderam dah cukup dekat. Oleh kerana esoknya kami mahu ke satu forum di Shah Alam eloklah bermalam di Bukit Changgang. Bolehlah singgah di Shah Alam dalam perjalanan kembali ke rumah di Rawang. Lagipun anak buah isteri saya baru mendapat anak kedua, bolehlah dijengok sekali.
Ahad 17 Jan
5) Menghadiri forum berkaitan fitnah dan cabaran akhir zaman di Shah Alam.
Gerak untuk menghadiri majlis ini muncul sejurus selepas saya telah menetapkan diri mahu ke Jenderam untuk Maulidur Rasul. Ketika disuakan kerta kerja ringkas bersama undangan beberapa hari lalu, saya dapati ia cukup sesuai digunakan untuk membuka pembentangan saya sendiri di Janda Baik nanti.
6) Bertemu dan meluangkan masa bersama ibu bapa yang datang dari Muar ke sebuah rumah kami di Kajang.
Jumaat malam Sabtu tiba-tiba ibu saya menalifon untuk memberitahu dia dan bapa akan berada di Kajang hari Ahad kerana mahu menyelesaikan beberapa perkara. Isnin harus kembali ke Muar. Ibu juga memberitahu beliau dan bapa mahu pergi umrah lagi awal Februari. Itu yang membuat saya dan isteri menukar rancangan - selepas Shah Alam kami tidak terus kembali tetapi pergi ke Kajang dahulu bertemu ibu bapa lalu meluangkan masa bersama mereka.
7) Mendapat tanjak baru untuk pakaian HIKMAH ke-16
Adapun perkara 1-6 sudah ada dalam rancangan saya dan isteri sebelum kami keluar pagi Sabtu. Cuma malam sebelumnya isteri ada bertanya apakah persalinan yang mahu saya pakai untuk HIKMAH ke-16 nanti. Ketika itulah, setelah melihat koleksi kami sejak 3 tahun lalu, timbul rasa untuk mendapatkan satu tanjak baru yang dapat menggambarkan keazaman baru saya selari tentang terbitnya acara. Ingat, saya asalnya tidak mahu mengadakan apa-apa acara HIKMAH tahun ini malah pernah terfikir untuk bersara terus daripada penganjuran majlis. Tetapi keadaan berubah akibat satu rentetan peristiwa yang berlaku 2 minggu lalu. Lihat HIKMAH reunion di Bukit Tinggi.
Untuk ini, saudara Johan Iskandar yang senasab dengan saya iaitu daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota di Perak yang memiliki darah kerabat diraja Aceh juga Bugis dirasakan orang paling sesuai untuk menangani perkara. Cuma tak tahu bila mahu bertanya. Beliau memang sudah cukup terkenal sebagai pembuat tanjak yang berkaliber. Ramai aktivis busana mendapat ilmu membuat tanjak daripada beliau. Ada beberapa tanjak milik saya dibuat oleh anak-anak murid beliau. Tetapi saya sendiri belum pernah mendapatkan satu buatan beliau walaupun Johan tidak lain adalah saudara sepupu-sepapat saya.
Ahad selepas Zuhur, dalam perjalanan daripada Shah Alam ke Kajang untuk bertemu ibu bapa timbul rasa untuk menalifon beliau bertanyakan hal tanjak. Terus berjanji untuk berjumpa lewat malam di pejabatnya di Subang, dalam perjalanan kami kembali ke rumah di Rawang. Permintaan saya adalah buatkan satu tanjak yang dirasakan paling sesuai dan serasi dengan diri dan peribadi saya zahir dan batin, utamanya untuk dipakai semasa HIKMAH ke-16. Datang ke pejabat tu pun fikirnya sekadar hendak mengukur dan meninjau. Tak sangka dapat pula beliau menyiapkannya malam itu juga, alhamdulillah.
Seolah-olah pembikinan tanjak ini adalah klimaks daripada 6 perkara/aktiviti sebelumnya yang semuanya berlaku berkaitan persediaan untuk HIKMAH ke-16. Aktiviti dimulakan pada 16 Jan. Dan pada tarikh itu juga saya bertemu Prof Othman lalu mendapatkan kepastian secara berdepan untuk beliau merasmikan majlis hujung bulan. Menarik apabila difikirkan bahawa beliau pernah merasmikan acara ke-1 diikuti ke-6. Sekarang beliau telah bersedia untuk merasmikan acara ke-16. Nampak tak permainan nombor di situ?.
Ditambah lagi fakta bahawa 6 aktiviti yang sudah difikirkan untuk hujung minggu dicampur lagi 1 yang tak dirancang. Hmm. Segala ini macam membentuk nombor 1661 pula. Adapun nombor 11 pada saya adalah semacam nombor diri, 66 pula dikaitkan dengan Allah. Nombor 1661 itu seperti 11 mengapit 66 di tengah-tengah. Ada makna ini semua. Subhanallah... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan