Melengkapkan satu pusingan hidup yang sangat bermakna. Sebelum masuk bulan Maulidur Rasul iaitu Rabiual Awal pada Maghrib nanti biar disambung cerita daripada artikel Misi HIKMAH Bukit Tinggi - Dugaan yang melanda ke lokasi.
Awal pagi Ahad 27 November 2016. Pemandangan di luar tingkap rumah pemilik Dusun Nora terus menyerlah sebaik sahaja suasana cukup terang.
Terasa hilang penat lelah akibat kereta rosak malam sebelumnya. Lupa langsung masalah sambil saya memberikan tumpuan pada pemandangan. Lihat artikel Views from the house of the owner of Dusun Nora di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Sudah disebut dalam artikel Misi HIKMAH Bukit Tinggi - Dugaan yang melanda ke lokasi bahawa saya pertama kali sampai ke tempat ini lebih 3 tahun lalu tetapi tidak betul-betul dapat menikmati apa yang ada akibat masalah patah kaki. Sekitar dua bulan lalu saya sampai lagi sekali bersama isteri dan anak-anak tetapi masuk lewat malam kemudian keluar selepas Subuh kerana ada komitmen lain. Kali ini kesihatan saya lebih elok, ada pula kelapangan masa. Selepas puas menikmati pemandangan dari serambi rumah saya naik ke lereng bukit belakang rumah untuk melihat keindahan Banjaran Titiwangsa dari atas sana. Lihat Views from behind the main house at Dusun Nora.
Pemilik tempat, kawan yang dikenali ramai sebagai Puan Sri Nora tapi kami panggil Kak Nora ada menceritakan keadaan tempat ketika tanah untuk dusun yang dibeli sekitar 30 tahun lalu masih merupakan hutan tebal di lereng bukit yang curam. Cuma ada satu tempat sahaja yang cukup mendatar dan lapang untuk beliau berehat sambil memikirkan cara terbaik membangunkan tempat. Ia adalah sebiji batu yang kemudian menjadi tempat beliau berfikir dan mendapatkan ilham. Pemandangan pun menarik dari atas batu. Lihat Views from Dusun Nora's 'thinking stone'.
Tinjauan pemandangan diteruskan sehingga ke bahagian paling tinggi dalam kawasan.
Namun tempat paling tinggi tidak semestinya memberikan pemandangan terbaik. Banyak pula pokok yang menghalang pemandangan. Lihat Views from the highest ground in Dusun Nora.
Rehat sebentar di atas "Batu Fikir". Memang sesuai untuk bertafakur juga mencari ilham.
Setelah beberapa lama baru menyambung kembali tinjauan.
Terdapat juga pondok-pondok kecil untuk beramal dan bersuluk.
Turun daripada tepi asrama yang menempatkan 20 buah katil berserta ruang untuk lebih ramai menginap. Tak perlulah tunjuk keadaan dalam asrama ya.
Melangkah ke arah surau...
Masuk ke dalam.
Di sinilah akan diadakan komponen utama acara ke-19 HIKMAH pada 17 Disember nanti. Di sini boleh diadakan tahlil, sambutan Maulidur Rasul dan sesi-sesi pembentangan ilmu.
Melihat lagi ke luar. Kawasan-kawasan luar boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti sokongan semasa acara utama HIKMAH berlangsung, antaranya pameran dan perniagaan juga persembahan silat.
Terdapat beberapa buah chalet boleh disewa. Tetapi untuk HIKMAH, chalet juga penginapan di asrama akan diberikan secara percuma mengikut keutamaan berikut :-
1. Urusetia HIKMAH dan keluarga
2. Pembentang dan keluarga
3. Para penyokong setia HIKMAH dan mereka yang biasa datang menghadiri majlis termasuk peniaga.
4. Lain-lain peserta
Tinjauan diteruskan ke kawasan hujung belakang. Buat masa ini kabin yang menempatkan beberapa orang penjaga tempat dikira paling hujung. Kawasan hadapan kabin biasa digunakan untuk memusingkan kereta agar dapat keluar dari Dusun Nora.
Saya berjalan melepasi kabin. Ada kawasan tambahan sedang dibina.
Difahamkan kawasan yang kelihatan akan dimanfaatkan untuk kelancaran acara.
Sekurang-kurangnya sedikit ruang akan ditambah untuk orang meletak lebih banyak kereta.
Di sebelah rumah utama iaitu kediaman rehat Kak Nora ada menara tinjau. Lihat Views from Dusun Nora's observation deck.
Masuk ke dalam rumah untuk bersarapan bersama keluarga.
Cadangnya kami ingin berehat di sana sehingga sekitar jam 3 petang. Tetapi turun hujan lebat yang memanjangkan waktu rehat.
Sekitar jam 6.15 baru kami bersedia untuk keluar. Adapun sebelum hujan turun saya ada memeriksa keadaan kereta lalu mendapati radiator kering langsung, begitu juga bekas air di sebelah. Apabila dicurahkan air ke dalam radiator tidak lama kemudian terus keluar menitis laju di bawah bahagian enjin. Nampaknya water pump dah rosak dan bocor teruk.
Kipas radiator juga tidak berfungsi langsung, tidak seperti pada malam sebelumnya di mana walaupun aliran air penyejuk enjin bermasalah teruk, kipas masih hidup. Bermulalah cabaran untuk membawa kereta kembali sekurang-kurangnya ke bengkel kami biasa berurusan di Rawang sekitar 60 km perjalanan. Beberapa botol air disediakan untuk menampung keperluan.
Enjin mulai panas melepasi tahap berjaga-jaga apabila hampir sampai ke pekan Bukit Tinggi. Berhenti rehat sebentar menyejukkan enjin kemudian isi air baru jalan lagi. Hal serupa berlaku sebelum terowong di Genting Sempah kemudian beberapa kilometer sebelum tol Gombak . Selepas itu hentian dibuat dan perkara diulang di hadapan Batu Caves diikuti Selayang dekat kolam air panas dan stesyen BP sebelum bandar Rawang. Campur perhentian di bengkel dalam bandar di mana kereta akhirnya dapat direhatkan, jadilah 7 perhentian kesemuanya. Esoknya baru pemulihan dilakukan.
Memang keadaan ini amat mencabar. Dicampur bil lebih RM1,600 untuk menggantikan dan membaiki segala yang rosak boleh terduduk kami suami isteri. Nampak aje kami memiliki ramai kenalan juga ahli keluarga yang berada. Tetapi disebabkan haluan hidup yang dipilih dan demi menjaga prinsip, kami sendiri hidup cukup-cukup makan walaupun kalau ikut pada kelulusan, kelayakan, pengalaman dan jaringan contact saya seharusnya sudah lama dapat memberikan anak dan isteri kehidupan mewah seperti halnya ramai kawan yang setaraf.
Apapun alhamdulillah kami dapat juga sampai ke rumah dengan selamat. Daripada bengkel malam itu, ada rakan sekerja isteri sanggup menghantar kami 14 km ke rumah. Semoga dugaan yang diharungi ini digantikan Allah SWT dengan kebaikan yang berganda-ganda, amin. Untuk makluman ini adalah artikel ke 1,515 di blogspot ini. Ada banyak lagi gambar sekitar Dusun Nora tetapi biar dikongsikan pula di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan