Sabtu, November 19, 2016

Bedah buku di Kota Buku dan jenama Bona Fida untuk surat khabar

Salam semua. Masuk satu malah dua berita baik. Selepas tengah malam tadi saya ada membuat satu update di Facebook. Biar dikongsikan di sini dengan sedikit suntingan...




BEDAH BUKU MERAH SILU DI KOTA BUKU PAGI JUMAAT 25 NOV

Salam semua. Saya sudah mendapatkan kepastian daripada CEO Perbadanan Kota Buku, tuan Sayed Munawar untuk meneruskan rancangan bagi mengadakan satu sesi bedah buku di pejabat Kota Buku di Aras 24, Bangunan Maju iaitu di atas kompleks membeli belah Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, sebelah Medan MARA, dekat Pertama Complex. Program ini akan diadakan pada hari Jumaat 25 Nov bermula jam 9.15 pagi. Ia diadakan secara ad hoc atas saranan isteri. Rancangnya mahu membincangkan buku ketiga saya bersama Hijjaz Record Publishing merangkap buku ke-10 keseluruhan saya, "Membela Syiar yang Asal : Mencari Hakikat di Sebalik Syariat" kerana telah menyiapkan semakan akhir pdf buku hampir 3 minggu lalu. Tetapi saya kemudian mendapat tahu ia tidak sempat diterbitkan dalam masa terdekat, harus menunggu 3-4 bulan lagi baru berada di pasaran.

Sebagai ganti saya fikir bolehlah dibedah buku kedua saya bersama HRP, "Menelusuri Jejak Leluhur : Menyingkap Makna Wasiat Nabi" yang terbit Mei 2016. Ia pernah dibincangkan dalam satu sesi serupa pada Pesta Buku Selangor hujung Julai lalu.. Namun tidak salah membincangkan atau membedahnya kembali, kali ini dalam konteks persediaan untuk menyambut ketibaan buku ketiga yang merupakan sambungannya nanti.

Sesi bedah buku di Kota Buku ini adalah terbuka dan percuma. Semoga kawan-kawan dan kenalan dapat membantu memeriahkannya. Harap dapat datang berbusana tradisional Melayu atau paling kurang berbaju Melayu ya. Untuk makluman, poster yang disertakan bersama update ini adalah pengubahsuaian daripada poster yang dibuat oleh Taman Pustaka untuk mempromosi perbincangan buku saya pada Pesta Buku Selangor. Lihat artikel Antara diskusi buku di Shah Alam dengan open house di Sungai Buaya



-----------------



OK. Itu berita yang dikongsikan sekitar 21 jam tadi. Sebetulnya sejak beberapa hari lalu isteri ada menghubungi tuan Sayed Munawar dari Kota Buku untuk mengatur sesi bedah buku tersebut. Untuk pengetahuan hamba Allah ini pernah mewawancara saya dua kali untuk program Resensi iaitu ulasan buku dalam Selamat Pagi Malaysia di TV1. Lihat artikel Mengenang ulasan siri buku "Berpetualang ke Aceh" dalam program Resensi, Selamat Pagi Malaysia di RTM1 penghujung 2007... dan Wawancara siaran langsung "Mencari Diri dan Erti" di TV1. Cuma petang semalam baru saya sendiri mendapat kepastian daripada Sayed untuk meneruskan sesi pada tarikh yang cadangan kami iaitu 25 Nov, Jumaat akan datang.

Siang tadi pula berlaku sesuatu yang mengujakan buat isteri juga bagi saya sebagai suami. Isteri telah diwawancara oleh wartawan akhbar Kosmo yang tertarik dengan jenama Bona Fida, satu nama yang isteri asaskan atas saranan saya kurang 5 bulan lalu. Lihat blogspot Bona Fida untuk mengetahui tentang jenama dan bagaimana ia boleh terbentuk. Di dalamnya ada diceritakan juga apakah barangan atau jenis pakaian yang kami tawarkan...


Di sini biar dikongsikan sedikit gambar yang diambil sekitar wawancara.


Photoshoot turut diadakan dengan anak saudara isteri menggayakan 4 jenis persalinan pakaian rekaan dan gaya Bona Fida. Lihat Photoshoot dan wawancara bersama akhbar Kosmo.





Menurut wartawan hasil wawancara dan photoshoot ini insyaallah akan menghiasi sisipan Aura Jelita dalam akhbar Kosmo pada hari Sabtu minggu hadapan. Alhamdulillah baik sungguh aturan yang Allah SWT berikan. Pagi Jumaat akan datang saya akan bercakap tentang buku di Kota Buku. Esoknya hasil kerja isteri pula dijangka keluar dalam surat khabar. Subhanallah... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan