Sabtu, Oktober 29, 2016

Sekitar acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara

Lewat malam semalam saya telah menyiapkan artikel ke-5 dan terakhir di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) tentang perjalanan acara ke-18 HIKMAH yang diadakan di Muzium Negara tepat seminggu lalu.  Dengan itu bolehlah saya membuat satu artikel yang meringkas perjalanan acara untuk dipersembahkan di sini...


Pagi Sabtu 22 Oktober 2016. Setelah membuat sedikit lagi persiapan, bahagian dataran di Muzium Negara pun sedia untuk menyambut hadirin dan peserta untuk acara ke-18 HIKMAH. 


Demi memastikan ini saya dan isteri sudah berada di muzium seawal jam 8 pagi. Pendaftaran peserta pula diletakkan sebagai bermula jam 9. Lihat HIKMAH Muzium Negara - Keadaan awal pagi sebelum majlis pembukaan...


Namun kawasan dataran itu sebenarnya adalah untuk perkara-perkara sisi ataupun sideshow. Komponen utama pada acara yang kami panggil juga sebagai HIKMAH Muzium Negara ini terletak sedikit jauh ke bawah iaitu di auditorium muzium. Kelihatan dalam gambar tetamu VVIP bersalaman dengan guru-guru silat dan para peneraju persatuan. Beliau adalah Datuk Hj Ab. Ghaffar bin A. Tambi, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.


Beliau masuk ke auditorium untuk majlis perasmian. Acara dimulakan dengan doa selamat diikuti bacaan syair dan persembahan silat.


Selepas itu saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH, Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman naik ke pentas memberikan ucapan alu-aluan. Ini diikuti ucapan perasmian oleh Ghaffar sebelum beliau memalu gong 3 kali menandakan acara pun bermula secara rasmi. Lihat HIKMAH Muzium Negara - Pembukaan yang gilang gemilang.



Acara HIKMAH kali ini unik kerana menyaksikan dua komponen majlis berjalan serentak. Di dataran ada persembahan silat daripada lebih 20 perguruan yang diatur oleh sahabat-sahabat kami daripada persatuan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) Selangor. Di situ juga ada gerai-gerai pameran dan jualan,, menyediakan barangan seperti baju Melayu, tanjak dan keris sesuai dengan tema majlis iaitu "Busana Lambang Ketamadunan Melayu".


Sambil itu pembentengan-pembentangan ilmu berjalan di auditoriium berpaksikan falsafah dan ketamadunan Melayu yang tinggi seperti pada mana-mana acara HIKMAH. Cuma kali ini penumpuan diberikan pada perkara-perkara yang berkaitan dengan busana. Peserta boleh memilih untuk berada di dataran mengikuti persembahan silat atau di auditorium mendengar syarahan. Ikut suka masing-masinglah nak pergi yang mana, nak keluar masuk turun naik pun tak mengapa. Lihat HIKMAH Muzium Negara - Berulang-alik antara pembentangan ilmu di auditorium dengan persembahan silat di dataran.



Pembentangan berjalan sehingga ke petang. Saya sebagai orang yang lebih sayangkan ilmu lebih banyak menghabiskan masa dalam auditorium apa lagi saya turut membentang untuk sesi petang. Lihat HIKMAH Muzium Negara - Mengimbas perubahan dan perkembangan busana Melayu.



Selesai itu sekitar jam 5 baru saya dapat memberikan tumpuan 100 peratus pada apa yang berlaku di dataran. Akibatnya saya terlepas hampir semua persembahan silat. Tapi tak mengapa, ada gambar-gambar yang dikongsikan kawan-kawan. Ada juga klip-klip video yang dmuatnaik ke Facebook.






Ramai terus berlegar-legar sehingga selepas jam 6 petang. Cuma ketika saya teringat untuk mengajak hadirin bergambar beramai-ramai separuh daripada mereka sudahpun meninggalkan muzium. Apapun memang suasana di dataran lebih meriah kerana keadaannya terbuka, kedudukannya lebih dekat dengan bangunan utama Muzium Negara lalu turut menjadi laluan pelancong datang. Suasana di situ terasa seperti pesta sambutan hari raya. Untuk mendapatkan gambaran lihat HIKMAH Muzium Negara - Kemeriahan di dataran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan