Jumaat, September 16, 2016

Menjejak tanah perkuburan lama di Kampung Chohong

Salam pagi Jumaat. Sempena hari ini hari Malaysia 16 September biar pembaca dibawa keluar sebentar daripada cerita-cerita perjalanan di Pantai Timur. Disuakan di bawah satu berita menarik yang muncul di dada akhbar kurang sebulan lalu. Yang disuakan adalah berita versi Internet yang boleh dicapai melalui pautan sini...



------------------


Acuan batu nisan unik ditemui di Kampung Chohong

NOOR AZURIN MOHD SHARIF
24 OGOS 2016


Acuan batu nisan unik ditemui di Kampung Chohong Mohd Nasruddin (tengah) ketika meninjau kubur-kubur lama di Kampung Chohong...


MELAKA - Penemuan beberapa batu nisan berbentuk belimbing di Kampung Chohong, Jasin, awal bulan ini, dipercayai bukan saja satu-satunya Malaysia, malah seluruh nusantara setakat ini.

Pengerusi Persatuan Warisan Malaysia (Warisan) negeri, Drs Nasruddin Rahman berkata, pendapat itu disokong arkeologis tempatan dan  luar negara berikutan hasil kajian secara lisan dijalankan.

“Pada peringkat awal, saya istilahkan sebagai batu nisan belimbing. Ada juga arkeologis lain yang kata ia berbentuk bunga lawang. Namun itu semua masih belum kita putuskan.

“Uniknya, penemuan bentuk sedemikian satu-satu di Malaysia setakat ini. Malah di nusantara setelah hasil selidik dijalankan bersama arkeologis lain, termasuk Penyelidik Pusat Penyelidikan Perancis di Timur Jauh (EFEO), Prof. Dr. Daniel Perret,” katanya.

Menurutnya, batu nisan berbentuk belimbing itu diperbuat dari laterit atau batu merah dan acuan sedemikian adalah sesuatu yang sukar dilakukan, menunjukkan Melayu sudah lama bertamadun di Melaka.

“Sebenarnya, di Thailand sendiri banyak ditemukan batu nisan jenis laterit ini, namun tak ada ukiran seperti ini (bentuk belimbing) kerana sifat laterit itu sukar diukir.

“Kalau dilihat hasil penemuan itu, saiz nisan belimbing itu semuanya sama seperti dicetak menggunakan alat dan itu menunjukkan Melayu bertamadun dah lama.

"Jadi, juruukir dulu bukan sahaja ukir pada kayu, tapi juga batu,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Nasruddin berkata, penglibatan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Jabatan Warisan dalam membuat kajian di kawasan tersebut menunjukkan kepekaan terhadap penemuan berkenaan.

“Kita akan menjalankan kerja-kerja esklavasi di tanah seluas kira-kira dua ekar ini selewat-lewatnyanya Oktober nanti yang mana, ia mungkin mengambil masa tiga hingga empat bulan.

“Hasil kajian ini juga secara tak langsung dapat membuktikan sama ada kesultanan Melayu Melaka wujud pada tahun 1400 atau lebih awal lagi iaitu 1262 Masehi,” katanya.



------------------


Ahad lepas saya telah kembali ke rumah ibu bapa di Muar untuk menyambut perayaan Aidil Adha atau Hari Raya Haji yang jatuh pada hari Isnin keesokannya. Terlihat pula dalam surat khabar Ahad itu cerita tentang penemuan tanah perkuburan lama di Kampung Chohong diangkat sekali lagi tetapi dengan pendekatan yang berlainan. Berikut adalah versi Internet berita tersebut yang boleh dicapai melalui pautan sini...



------------------


Pusara orang besar?

KUBUR dianggarkan berusia ratusan tahun dipercayai milik seseorang berpengaruh ditemui di Kampung Chohong...


Jasin: Jabatan Warisan Negara akan menjalankan kajian secara komprehensif susulan penemuan lebih 100 batu nisan lama dan beberapa artifak di kawasan hutan di Kampung Chohong, di sini, awal tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Dr Zainah Ibrahim berkata, proses kajian perlu dijalankan bagi mengenal pasti dan mencari kaitan tapak kubur lama itu dengan kerajaan purba Melayu Melaka atau Lang Buana.

Beliau berkata, buat permulaan proses memasang pagar di sekeliling kawasan itu akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mengelakkan daripada diceroboh pihak tidak berkenaan.

“Penemuan tidak sengaja ini dikatakan bermula selepas penduduk melakukan gotong-royong dan menjumpai nisan kubur lama diperbuat daripada batu merah atau ‘laterite.

“Bentuk batu nisan itu yang seperti belimbing belum pernah dijumpai di mana-mana tanah perkuburan lama di seluruh Semenanjung Malaysia.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:35 AM



------------------



Adapun petang Isnin 12 September yang bersamaan 10 Zulhijjah iaitu Hari Raya Haji itu saya dan isteri harus mengorak langkah kembali ke rumah di Rawang, Selangor kerana isteri bekerja pada keesokan harinya. Memandangkan Kampung Chohong dalam berita terletak di negeri Melaka, dalam perjalanan balik ke rumah kami pun terasa ingin singgah melihat apa yang ada. Setelah disemak melalui Google Map ternyata kampung itu terletak tidak berapa jauh dari Tangkak, dekat sempadan negeri Melaka-Johor. Setelah merasa cukup puas meluangkan masa bersama ibu bapa kami pun meninggalkan rumah mereka sekitar jam 5...


Berdekatan Tangkak juga terletak satu pintu masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan. Memang dah biasa lalu jalan ini, cuma saya lebih selalu mengambil jalan pintu masuk di Ayer Keroh, Melaka untuk ke lebuh raya atau sebaliknya...


Namun laluan ke Tangkak lebih menarik jika kita ingin menikmati pemandangan Gunung Ledang yang sangat terkenal dengan kisah puteri lagenda.


Sepanjang perjalanan menuju ke bandar itu boleh kelihatan gunung di latar belakang...








Dari pusat bandar Tangkak kami membelok masuk ke jalan menuju ke Jasin lalu sampai ke sempadan negeri Melaka.



Bertemu simpang, Jasin ke kiri, Nyalas, Asahan ke kanan saya ambil kanan untuk ke Kampung Chohong.



Ternyata kampung ini terletak tidak jauh daripada salah satu bahagian banjaran bukit bukau dan gunung ganang yang membentuk Gunung Ledang...



Nah. Pada ketika ini kami sudah sampai di hadapan tanah perkuburan lama.


Memang menarik apa yang terdapat di sini. Untuk gambaran lanjut sila lihat artikel Tanah perkuburan lama di (Old burial ground at) Kampung Chohong, Jasin, Melaka di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Terasa seperti kami dah buat satu langkah yang baik pada 10 Zulhijjah.



Adapun petang ini saya dan keluarga harus bertolak ke Seremban pula untuk menganjurkan acara ke-17 HIKMAH pada hari Sabtu 17 Sept bersamaan 15 Zulhijjah. Dengan ini biar dikongsikan pautan beberapa artikel berkenaan yang telah dibuat di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)...


Meninjau lokasi acara ke-17 HIKMAH di Seremban

Lokasinya adalah di alamat berikut, tidak jauh dari exit tol Senawang. Mari le sertai...


Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara, 
No 2302, Tingkat 1, 
Jalan SJ 10/1, Taman Seremban Jaya, 
70450 Seremban, 
Negeri Sembilan,


2 ulasan:

  1. Pada saya...itu pusara zaman kerajaan kesang...tiada kena mengena dengan lang buana...jika pusara tersebut dianggap sebelum zaman kerajaan melaka...dimana pula pusara moyang orang2 chohong...?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu saudara dikatakan ada makam raja indra dan isterinya gusti ayu merah....tiada kena mengena dengan lang buana

      Padam