Selasa, Mei 31, 2016

Bangunan Freemason di Bukit Jalil, legasi Raja Haji di Cyberjaya dan Masjid Besi di Putrajaya

Meneruskan gerak penceritaan yang mesti dilunaskan malam ini juga. Bersambung daripada Jadi 'Chef Wan' di Bentong sebelum mencari jejak Dato' Bahaman di Lanchang.


Esoknya tengah hari Ahad 29 Mei 2016 saya dan isteri membawa dua orang anak kecil kami ke satu majlis di Bukit Jalil.





Ia adalah majlis kesyukuran dan hari terbuka bagi sebuah yayasan Islam. Difahamkan bangunan untuk yayasan baru siap dibuka dalam tempoh sebulan dua. Yayasan diterajui oleh seorang bapa saudara saya yang agak terkenal di seluruh Malaysia kerana usaha dan kepakarannya dalam bidang tertentu. 


Majlis diadakan seiring dengan qeqah seorang anak buah saya. Bila dah berlegar buat berapa ketika saya dapat tahu yayasan ini baru dihidupkan sekitar 2 tahun lalu, nampaknya untuk menggantikan sebuah yayasan terdahulu yang didirikan sekitar 20 tahun lalu dengan tujuan mahu mendirikan hospital Islam pertama di Malaysia. Seketika itu juga teringat beberapa perkara yang sudah lama dilupakan. Ini adalah kerana saya pernah menjadi pentadbir yayasan buat beberapa waktu untuk membantu bapa saudara mencapai impian berkenaan.


Tak perlulah diperincikan apakah perkara-perkara itu. Cukuplah disebut hal ini menimbulkan rasa sedih yang amat sangat. Saya juga terasa sedih  kerana melihat bangunan yayasan yang baru siap seperti tersepit di celah beberapa bangunan kondominium tinggi. Tidak jauh dari yayasan pula terlihat bangunan ini...


Nampak tak apa yang tidak kena?


Lihat dan teliti betul-betul perkataan-perkataan yang tertera...


Ah. Inilah bangunan Freemason yang saya lihat ada disebut beberapa orang telah didirikan di Bukit Jalil. Sedangkan ramai tahu Freemason adalah satu badan yang terkait dengan gerakan Yahudi Zionis Illuminati lalu anti-Islam. Bagaimana boleh didirikan dalam kawasan ini, cuma sekitar 70 meter sahaja dari bangunan yayasan. Siapa pula memberikan kebenaran atau memberi ruang untuk ia didirikan?


Sebetulnya saya telah meluahkan banyak perkara dalam versi asal penulisan ini yang terkait dengan perjalanan lama yayasan yang menimbulkan banyak persoalan. Tetapi setelah diteliti dan difikirkan balik saya mencabut hampir kesemua isi tersebut agar cerita lama yang tidak menyenangkan dapat dikuburkan terus demi memberikan laluan pada harapan baru...


Lupakan hal yayasan juga Freemason. Daripada Bukit Jalil kami ke kawasan Puchong lama untuk menziarahi abang kandung isteri yang sedang menerima rawatan di sebuah klinik. Oleh kerana sudah dekat ke Putrajaya kami kemudian menghala ke sana untuk berjalan-jalan. Terlihat nombor plet kereta ini teringat bahawa ketika itu sudah terdapat 1,441 artikel di blogspot ini. Lihat artikel Nisfu Syaaban di Pulau Besar - Ujian babi hutan dan jejak kesyahidan Raja Haji yang dipersembahkan 5 hari lalu. Terasa kemunculan nombor mahu menunjukkan sesuatu yang berkaitan dengan artikel tersebut.


Daripada Puchong kami main agak je jalan. Masuk ke Maju Expressway ke hapa dengan niat  mahu ke Masjid Besi di Putrajaya. Terlihat pula papan tanda ke Cyberjaya, teringat Masjid Raja Haji di sana. Oleh kerana isteri dan anak-anak belum sampai saya pun mengajak mereka singgah. Bila dah sampai terbetik dalam fikiran. Agaknya inilah sebab ternampak nombor 1441 pada plet kereta tadi. Lihat sahaja bahagian akhir tajuk Nisfu Syaaban di Pulau Besar - Ujian babi hutan dan jejak kesyahidan Raja Haji yang merupakan artikel ke 1,441 di blogspot ini. Kan ada sebut pasal Raja Haji?


Nampaknya memang ada sesuatu yang tersurat dan tersirat tentang ini. Untuk pengetahuan ini adalah kali ke-3 saya bertandang ke masjid ini, tetapi kali pertama membawa isteri dan anak-anak bersama. Menariknya kali pertama saya sampai adalah dalam rangka perjalanan untuk masuk ke Pulau Besar di Melaka bersama seorang kawan dan anak-anaknya. Lihat artikel Menyahut panggilan pulau yang dipersembahkan 13 November tahun lepas. Kali kedua pula adalah untuk majlis memperingati pahlawan besar Bugis-Melayu yang namanya diabadikan pada masjid iaitu baru sebulan lebih lalu. Lihat Majlis hol almarhum Raja Haji di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya

Kini saya datang bersama isteri dan anak-anak setelah seminggu keluar dari Pulau Besar, satu lawatan terbaru ke pulau keramat tersebut yang diikuti pula usaha untuk mencari makam lama asal/tempat Raja Haji gugur ketika menentang Belanda di Melaka lebih 200 tahun yang lampau. Terasa seperti ada semangat kepahlawanan terserap ketika bertafakur selepas solat.


Maklumat tentang Raja Haji yang terdapat di bahagian belakang masjid. Lihat Bringing the family to Raja Haji mosque in Cyberjaya.


Perjalanan diteruskan masuk ke Putrajaya.


Tengok-tengok terdapat kesesakan lalu lintas ketika masuk ke Presint 4 akibat ada pesta ke pameran apa. Hampir-hampir mahu berpatah balik, malas nak teruskan.


Nasib baik lalu lintas sesak di kawasan tertentu sahaja. Dapatlah berpusing-pusing melihat pemandangan daripada beberapa kawasan lain.


Kami sampai ketika senja hampir menjelang, Pemandangan matahari hampir nak terbenam sangat cantik ketika itu.


Pemandangan menjadi lebih cantik ketika kami menghampiri Masjid Besi.


Kalau tidak kerana ada perkara harus dikejar di rumah malam itu mahu sahaja saya duduk bertafakur lama dalam masjid. Lihat Walking to Putrajaya's 'iron' mosque close to dusk.


Bila melangkah keluar daripada masjid kelihatan pula pelangi melengkung tinggi ke atas langit.


Ah. Ketika menulis artikel sampai ke bahagian ini terbetik dalam fikiran apakah ada kaitan dengan urutan peristiwa dan perasaan melibatkan apa yang berlaku sepanjang hari itu? Daripada rasa kekecewaan melihat keadaan pembangunan sekitar yayasan di Bukit Jalil dengan bangunan Freemason menonjol diikuti harapan semangat kepahlawanan yang muncul atas nama Raja Haji. Timbul rasa ketenangan amat di Masjid Besi, Putrajaya kemudian keluar pula pelangi berwarna-warni. Apakah ini petunjuk ke arah satu macam kesenangan setelah mengalami pelbagai macam kesulitan? Harapnya begitulah. Dengan ini selesailah gerak penulisan berdasarkan aktiviti-aktiviti yang dilakukan hujung minggu lalu. Bolehlah saya memberikan penumpuan pada satu acara yang dirasakan penting siang nanti sekitar 7 jam daripada sekarang...


3 ulasan:

  1. The fact is kita tak leh nak buat apa2 about this thing, benda ni diluar kuasa kita, apa yg pasti semoga Allah melindungi kita dari fitnah dajjal laknatullah

    BalasPadam
  2. Ya. Dan salah satu sebab kenapa tak dapat buat apa2 adalah disebabkan terdapa begitu ramai pengkhianat dalam kalangan orang Melayu Islam kita. Semuanya disebabkan gilakan harta dan kesenangan dunia.

    BalasPadam
  3. Perjuangan dalam jalan agama dan Allah dah tiada atas kepentingan dan menjadi pengkhianat agama dan bangsa...

    BalasPadam