Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Semoga hari Maulidur Rasul yang berlangsung semalam memberikan manfaat kepada kita semua. Adapun pada 19-22 Disember baru ini saya, isteri dan anak-anak telah berjalan di beberapa tempat di negeri Perak. Sekarang biar dikongsikan cerita.
Tengah hari Sabtu 19 Disember 2015. Kami bertolak melalui jalan lama ke Ipoh. Sampai ke Tanjung Malim baru mengambil lebuh raya PLUS sebelum keluar di Sungkai.
Jam 2.30 petang sampailah ke destinasi iaitu Pasir Salak Resort. Ada majlis yang mahu dihadiri di sini.
Ini adalah kali ketiga saya dan keluarga bertandang ke Pasir Salak untuk memeriahkan majlis tahun 2015. Kali pertama adalah pada pertengahan tahun, kali kedua pada bulan September. Lihat artikel-artikel berikut :-
Cuma kali ini kami ada membawa dua orang anak yang berada di sekolah menengah. Sebelum ini kami cuma membawa dua orang anak paling kecil, seorang kini berumur 6 tahun lebih, seorang dah dekat 4 tahun.
Majlis bermula waktu malam.
Untuk penerangan lihat artikel Bersyair dan bergurindam di Pasir Salak di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Pagi Ahad 20 Disember. Anak-anak dah tak sabar nak mandi di kolam berenang.
Majlis bersambung selepas Zuhur dengan pertandingan silat. Seperti halnya pada malam sebelumnya saya dan isteri pergi ke majlis tanpa membawa anak-anak. Lihat Bertari silat di Pasir Salak.
Majlis selesai hampir jam 4. Selepas jam 5 saya, isteri dan beberapa orang bertolak ke selatan Pasir Salak.
Kami pergi ke sebuah jeti kecil untuk mendapatkan bot. Lihat artikel Perak river from across the tomb of the 17th Sultan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Kami mahu ke satu tempat yang dikenali sebagai Pulau Inderasakti.
Kami kembali hampir waktu Maghrib dalam keadaan puas yang amat sangat. Sebetulnya ziarah menaiki bot ini sudah dirancang sejak pertama kali menghadiri majlis di Pasir Salak tapi tak jadi akibat halangan tertentu. Kali kedua majlis pun nak pergi tapi turut terhalang...
Akhirnya dapat juga kami ke sana dengan menaiki bot, setelah 3 kali menghadiri majlis di bumi yang terkenal dengan kebangkitan perjuangan orang Melayu melawan penjajah ini. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,400 di blogspot ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan