Jumaat, Oktober 30, 2015

Bicara Dunia Melayu di Muzium Negara : Tradisi pelayaran Melayu

Salam Jumaat. Merujuk pada artikel Daulah Melayu di Jawa Timur - Antara penggambaran sekitar pesantren dan majlis hol Wali Songo yang gambar-gambarnya diletakkan Isnin malam Selasa ketika saya masih berada di Surabaya tetapi ceritanya dibuat 24 jam kemudian di rumah di Malaysia. Masih ada 2 hari penceritaan perlu dipersembahkan sebelum semua yang patut dikongsikan tentang perjalanan dan penggambaran selesai. Tapi sebelum ini biar dipersembahkan satu cerita daripada siang semalam...


Khamis 29 Oktober 2015 saya ke Muzium Negara untuk mengikuti wacana ilmu tentang pelayaran orang Melayu.


Sampai ke dewan auditorium, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, En. Kamarul Baharin A. Kasim sedang memberikan kata-kata aluan. Nampaknya ini KP baru JMM. Kali terakhir saya berurusan dengan pihak muzium, jawatan dipegang orang lain.


Selepas itu ada ucapan perasmian oleh timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi. Kita terus pergi kepada sesi pembentangan  ilmu yang bermula sekitar jam 10.10 pagi. 

Membuka sesi adalah tuan haji Mohd. Yusof bin Abdullah, Tajuk yang tertera pada buku kecil program adalah "Orang Melayu dan Alam Kelautan".


Setelah meneliti profail dalam buku baru tersedar orang ini adalah pengarah Muzium Negeri Terengganu. Beliau membuka dengan menunjukkan laluan biasa pelayaran orang Melayu sejak beberapa abad di kepulauan Melayu/ Asia Tenggara.


Asas kepada kepakaran orang Melayu dalam bidang pelayaran pun dimudahkan seperti berikut...








Yusuf kemudian menunjukkan contoh perahu dan kapal buatan Melayu.






Kaedah pembinaan turut diterangkan. Kemudian baru saya tahu beliau berasal daripada satu keluarga yang telah turun-temurun membuat bot di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.











Antara perkara menarik diceritakan tentang kebolehan orang Melayu dalam perkapalan adalah selain pandai membaca gerakan angin, kita dapat mengenal tempat berdasarkan air laut yang dicolet sedikit pada lidah untuk dirasa. Kata Yusuf, ini kerana air pada setiap tempat adalah unik kerana mengandungi zat daripada tumbuh-tumbuhan berdekatan. Secara rata orang Melayu dahulukala sangat peka dengan alam lalu dapat mengecam tanda-tanda untuk menafsirkan keadaan. Lagi misal yang diberi, bau hanyir di tengah laut boleh menandakan ada terumbu batu karang berdekatan.



Terus pada pembentangan kedua oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Jelani Halimi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM). Tajuknya, "Undang-undang Pelayaran Melayu".


Ini dimulakan dengan menyatakan bahawa kedudukan seorang nakhoda kapal di laut adalah seperti seorang raja. Selagi berada dalam kapal dan di laut, beliau boleh memutuskan semua perkara seperti lagaknya seorang raja. Apabila menghampiri darat barulah terikat dengan undang-undang kerajaan yang menguasai daratan tersebut.






Pun begitu nakhoda tidak boleh berbuat sesuka hati juga kerana harus menurut undang-undang yang terpakai di laut. Wujudnya banyak naskah undang-undang laut menunjukkan orang Melayu sudah memiliki kerangka kerja yang cukup lengkap untuk mengatur perkara dan menangani segala macam kemungkinan...





Umumnya, undang-undang laut Melayu boleh dibahagi kepada dua :-

Undang-undang Belayar untuk mengatur apa yang berlaku apabila layar sudah dibuka menandakan kapal siap untuk meninggalkan perairan berdekatan/pelabuhan.

Undang-undang Perahu untuk mengatur perkara ketika kapal berlabuh. Apabila kapal berlabuh itu maka perahu sering digunakan untuk berulang-alik antara kapal dan daratan.

Perbezaan ini perlu untuk menangani keadaan yang berbeza. Misalnya jika yang dinaiki itu kapal sewa kemudian didapati kerosakan. Siapakah harus menanggung kos kerosakan, pemilik kapal atau penyewa? Maka itu ditetapkan, kalau kerosakan berlaku ketika kapal di perairan kuala (merujuk pada perairan pelabuhan yang biasanya terletak di kuala sungai) maka penyewa dan pemilik harus sama-sama menanggung kos. Kalau sudah belayar dan meninggalkan kuala, maka penyewa harus menangggung kesemuanya. Maka itu menjadi tanggungjawab penyewa untuk memastikan tiada kerosakan ketika mengambil kapal. Kalau ada kerosakan itu tanggungjawab pemilik...


Undang-undang juga dibuat untuk menangani jenayah seperti pencurian juga perzinaan (jika ada penumpang perempuan). Di sini saya tidak mahu memanjangkan perkara. Kedua-kedua kertas kerja daripada majlis di Muzium Negara ini boleh didapati di sini. Cukup perkongsian daripada saya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan