Ahad, April 12, 2015

Gotong royong di tadika, qeqah di Bukit Damansara dan air terjun pembentangan di Gombak

Salam semua. Tadi petang sekembalinya daripada satu tugasan saya tidur daripada jam 2 sampai hampir tamat waktu Asar. Kebelakangan ini begitu banyak perkara dilakukan lalu saya amat kepenatan. Sambil mengolah kembali siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" untuk dikembangkan menjadi 6 buah buku, sambil itu juga saya cuba menghadam buku "Sejarah Melayu" setebal 600 muka surat, la ni dah dapat 364 muka surat.  Rujuk artikel Buku "Sejarah Melayu" dari Batam - Membuka langkah menelaahnya. Di celah-celah itu ada beberapa perkara harus dikendalikan, antaranya adalah berkenaan penglibatan dalam satu projek dokumentari televisyen yang dipanggil "Daulah Melayu".

Seminggu lepas pula saya baru selesai mengendalikan satu acara HIKMAH. Lihat artikel Acara ketiga belas HIKMAH di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, Negeri Sembilan 4 April 2015 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ini diikuti perjalanan balik hari ke Pulau Pinang untuk mengikuti pembentangan seorang cendekiawan Barat hari Isnin, esoknya Selasa ada lagi 2 acara. Lihat Ke Pulau Pinang untuk mendengar pembentangan OppenheimerGambus : Manifestasi Budaya Melayu - Seni yang Terpinggir dan Melihat keris berdiri di Kompleks Kraftangan. Ditambah aktiviti hujung minggu ini memang saya amat penat tapi senang hati. Sekarang biar dikongsikan sedikit apa yang berlaku Sabtu dan Ahad...


Pagi Sabtu 11 April 2015. Saya ikut serta bergotong-royong membersihkan kawasan tadika anak di kampung berdekatan rumah di Rawang. Buat le sikit kerja-kerja berkebun, antaranya mencabut sejumlah pokok untuk ditanam kembali di bahagian lain. Namun saya tidak dapat mengikuti gotong-royong sampai habis kerana perlu bersiap ke satu majlis.


Tengah hari itu saya dan keluarga pergi menghadiri majlis qeqah cucu baru kepada seorang bapa saudara di Bukit Damansara. Nasib baik teringat ada majlis ini. Kalau tidak, saya akan terus ke Sri Gombak untuk satu aktiviti lain.


Aktiviti yang dimaksudkan adalah pergi ke kawasan air terjun yang baru ditemui seorang kawan di Sri Gombak. Jam 3 petang kami berjumpa sejumlah kawan lain di sebuah dewan kemudian mengikuti kawan yang menemui air terjun masuk ke dalam.


Ia terletak di dalam hutan belakang kawasan perumahan. Lihat artikel Going to a newly-discovered waterfall in Sri Gombak di blogspot BERPETUALANG KE ACEH
.


Kawan tersebut dan kumpulannya telah membuka tanah yang dimiliki seorang ahli kumpulan sejak 20 tahun lepas tetapi baru 5 bulan diteroka setelah mendapat alamat untuk membuka tanah tempat berehat dalam kawasan Gombak. Menurut kawan itu dia mendapat alamat setelah menghadiri satu acara HIKMAH di Pagoh dekat setengah tahun lalu. Lihat Acara kesebelas HIKMAH di masjid dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Pagoh, Muar 8 Nov 2014. Air terjun pula baru ditemui 2 minggu lepas apabila meneroka kawasan hutan lebih dalam.


Berehat makan minum bersama kumpulan yang dipanggil Zero Team...


Selepas beberapa lama baru kami berjalan kaki ke air terjun. Turun naik bukitlah jugak melalui jalan yang walaupun sudah cukup terang dibuka tetapi licin berlumpur akibat hujan.


Bahagian bawah air terjun. Kat atas ada lagi 6 tingkat. Lihat Going to a newly-discovered waterfall in Sri Gombak continued.


Kami naik ke tingkat yang paling tinggi malah terus lagi sehingga pasti tidak kelihatan air terjun dalam suatu jarak yang cukup jauh. Sempat bersolat jemaah Asar atas batu di tengah sungai selepas air terjun ke-7 di mana saya yang bersolat betul-betul di belakang imam (imam atas batu) harus menahan nafas muka masuk dalam air setiap kali bersujud. Lewat petang baru turun ke bawah tempat kumpulan yang meneroka membuka penempatan rehat yang mereka panggil Kampung Tauhid. Malam hampir Isyak baru keluar dan kembali ke rumah.


Pagi Ahad saya keluar lagi ke Gombak tapi ke bahagian lain 43 km dari rumah. Saya ke sini untuk membentang kertas kerja tentang kaitan Alam Melayu dan tamadun Atlantis yang sering disebut orang.


Sebetulnya saya telah diminta menjadi salah satu panelis tetap untuk berkongsi ilmu tentang asal usul Melayu membawa kepada peranan dan perjuangan akhir zaman membentang setiap minggu mengikut giliran. Acara baru dimulakan penghujung Mac dan ini adalah minggu ketiga...



Sepatutnya hujung minggu ini adalah giliran seorang pembentang lain. Tetapi beliau harus menghadiri satu majlis di Kuantan kalau tak salah lalu saya dihubungi baru Jumaat lalu untuk menggantikan.


Alhamdulillah ada juga sambutan. Walaupun saya diberitahu untuk membentang baru 2 hari lepas bahannya sudah sedia ada kerana pernah dibentangkan beberapa kali bermula pada acara HIKMAH ke-11 di Pagoh. Macam ada kena mengena pula dengan air terjun yang baru ditemui di Sri Gombak. Ini kerana penemuan berlaku setelah kumpulan terlibat membuka tanah akibat seorang ahli mendapat ilham setelah kembali daripada acara HIKMAH tersebut. 

Malah 3 orang hadirin pembentangan merupakan antara mereka yang ikut masuk ke air terjun semalam! Tiga orang ini tahu tentang rancangan mahu ke sana kerana mula mengenali HIKMAH yang dipimpin saya apabila terpanggil untuk hadir ke edisi Kedah pertengahan Januari. Lihat Acara kedua belas HIKMAH di Pondok A.M. Bawa Muhaiyaddeen dan tapak arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah 17-18 Jan 2015. Mereka juga turut serta pada acara terbaru di Negeri Sembilan minggu lepas. Nampaknya anak-anak muda ini dahagakan ilmu berkenaan persediaan untuk menghadapi fitnah dan ujian akhir zaman.


Satu perkara menarik tentang pembentangan saya kali ini - buat pertama kalinya setelah sudah banyak kali membentang di merata tempat saya mendapat sambungan wi-fi lalu dapat membuat paparan tambahan apabila perlu daripada Internet, antaranya paparan gambar satelit terus daripada program Google Earth juga artikel-artikel lama saya daripada blogspot ini. Secara umumnya pembentangan adalah serupa apa yang pertama kali dipersembahkan di Pagoh setengah tahun lalu. Tetapi secara live menurut gerak yang muncul semasa majlis banyak perkara lain yang dirasakan berkaitan tetapi tiada dalam slaid asal dibawa masuk, antaranya adalah kenapa Portugis menjadi kuasa Barat yang mula sekali masuk ke Alam Melayu untuk menjajah, kenapa tidak Inggeris atau Peranchis? Apapun secara rata pembentangan boleh diikuti melalui artikel-artikel lama di bawah :-







Bergambar bersama sejumlah hadirin. Untuk pengetahuan majlis berlangsung 9 pagi hingga 1 petang tetapi saya datang setengah jam lewat kerana ada sedikit urusan. Kembali daripada majlis terus terlelap penat. Cukuplah bercerita tentang apa yang berlaku hujung minggu ini ya.. :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan