Salam pagi Jumaat13 Mac, Friday the 13th. Sampai sudah masa untuk menutup siri. Masuk kita pada hari ke-7 dan terakhir perjalanan di Aceh 13-19 Februari, perjalanan ke-7 saya ke bumi Serambi Mekah itu. Bersambung daripada Perjalanan ke-7 di Aceh - Bincang Sejarah Adat dan Budaya Aceh-Malaysia.
Awal pagi 19 Februari 2015. Setelah 7 hari berada di Aceh saya tergerak untuk bersolat Subuh di Masjid Baiturrahman.
Sebelum ini bukan tak nak solat Subuh di masjid tapi tak berkesempatan. Paling dekat saya menginap adalah apabila berada di Hotel Medan, 1.3 km jarak berjalan kaki (kenderaan cuma dapat dipakai siang hari). Dalam tempoh 7 hari 6 malam berada di Aceh kali ini cuma 3 malam saya menginap di hotel, pada masa lain di tempat-tempat yang begitu jauh daripada masjid. Pada 2 malam pertama di Hotel Medan pula iaitu ketika 5 orang lagi daripada Malaysia ada bersama 13-15 Feb, aktiviti harian kami begitu padat. Bila dah kepenatan, cukuplah bersolat Subuh di hotel. Lihat Perjalanan ke-7 di Aceh - Memberi rasa dan cinta kepada penggiat muda dan Perjalanan ke-7 di Aceh - Hol Tuan di Kandang dan Emansipasi Citra Lamuri.
Jam 9 Agam yang turut bermalam di hotel membawa saya keluar menaiki motosikal ke satu tempat. Kalau tak salah ingatan Muammar ikut sama dengan motosikalnya. Kami keluar untuk bertemu sejumlah aktivis budaya dan sejarah Aceh yang lebih tua
Terlihat gambar yang diambil dalam perjalanan baru teringat hari itu 19 Februari adalah sambutan Tahun Baru Cina termasuk di Malaysia. Di Indonesia ia dipanggil Imlek. Di Aceh ada masyarakat Cina tetapi kecil. Namun begitu mereka tetap menyambut perayaan tahun baru secara terbuka namun di kawasan-kawasan tertentu.
Satu lagi gambar menarik perhatian saya adalah iklan Minyak Cap Kapak. Baru teringat. Tadi tu yang nampak papan sepanduk tahun baru Cina itu adalah ketika melalui kawasan bernama Peunayong. Ia terkenal sebagai kawasan pasar yang menjadi penempatan utama kaum Cina di Aceh.
Aktivis mahu ditemui di perkarangan masjid yang dipanggil Masjid Oman.
Seperti biasa apabila sampai ke masjid terutama yang belum pernah saya singgah (masjid ini selalu saya lihat daripada luar apabila lalu di jalan hadapan tetapi tak pernah masuk) saya pun mengambil peluang untuk melihat ke dalam. Lihat artikel Masjid Oman di Aceh (Oman mosque in Aceh) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART.
Hampir jam 11 kami kembali ke hotel lalu check-out. Ustaz Mujib kemudian mengambil dengan kereta untuk ke satu majlis.
Ia adalah Maulidur Rasul di makam Syiah Kuala, ulamak besar bertaraf wali abad ke-17 yang sangat disanjung tinggi masyarakat Aceh.
Kelihatan pada mata kasar majlis dihadiri tidak kurang 10,000 orang. Lihat artikel Maulidur Rasul celebration at tomb of Syiah Kuala di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Nampaknya Maulidur Rasul dihadiri orang daripada seluruh Aceh. Setiap wilayah menghantar wakil dengan masing-masing ada membawa usungan seperti ini. Saya tertarik mengambil gambar kerana ada nombor 131 tertera. Untuk pengetahun nombor ini memiliki makna home sweet home atau rumahku syurgaku buat saya dan isteri...
Beginilah pakaian saya ke majlis.
Bergambar bersama Muammar.
Sebelum meninggalkan majlis kami menziarahi dahulu makam Syiah Kuala.
Makam beliau terletak di dalam kurungan besi, di sisi kanan dan kiri adalah makam murid-murid kanan...
Kami meninggalkan majlis sekitar jam 12.05 kerana saya harus berada di lapangan terbang untuk menaiki pesawat jam 2 lebih kembali ke Malaysia. Daripada sana saya cuba lagi mencuri pandang pemandangan Gunung Seulawah yang biasa tersergam indah begitu gagah.
Untuk makluman sepanjang perjalanan kali ini di Aceh susah betul hendak kelihatan gunung akibat langit kurang terang. Pada hari ke-5 iaitu ketika keluar jauh daripada Banda Aceh menuju ke selatan baru kelihatan sedikit, itupun separuh. Lihat Perjalanan ke-7 di Aceh - Silaturrahim Daruddunia-Pedir, khususan Teungku Chik di Reubee Daeng Mansur.... Begitu juga keadaannya dari lapangan terbang pada hari terakhir saya di Aceh ini...
Siapa sangka puncak gunung itu akan 'menyapa' saya di atas kapal terbang? Sebetulnya apabila pesawat berlepas saya mula melelapkan mata akibat kepenatan pelbagai aktiviti sepanjang 7 hari susah hendak dibendung lagi. Selepas beberapa lama tiba-tiba terasa hendak melihat ke luar tingkap. Terus nampak puncak gunung yang saya sangat pasti adalah Seulawah. Kelihatan sekali sekelompok awan yang menutup pemandangan daripada arah Banda Aceh.
Setelah satu jam setengah penerbangan kapal terbang pun mendarat di KLIA2. Dengan ini cukuplah cerita. Adapun artikel ini adalah yang ke 1,297 di blogspot ini. Ia mengingatkan bahawa Sultan Malikus Saleh yang mengasaskan kerajaan Samudera dan Pasai telah mangkat pada tahun tersebut mengikut kiraan Masihi. Sekian, wassalam. :]
Makam syiah kuala?!
BalasPadamBole x terangkan apa hubungan dengan syiah!?
Sebab bila sebut syiah, ustaz wahabi selalu kehadapan dalam menyebar info..selalunya berbau kebencian (hate speech)..
dan mengelirukan orang awam seperti saya..