Isnin, Mac 02, 2015

Konvensyen Ketamadunan Dunia 1.0 di DBP

Sedikit cerita daripada siang Sabtu baru ini...


Pagi itu, 28 Februari 2015 saya telah bergegas ke DBP atau Dewan Bahasa Pustaka.


Ada acara dipanggil Konvensyen Ketamadunan Dunia 1.0 - "Menjejaki Kegemilangan Tamadun Melayu" anjuran satu kumpulan NGO anak-anak muda bernama GPTD (Grup Penjejak Tamadun Dunia) dengan kerjasama beberapa pihak.


Saya sampai jam 10.15 pagi sedangkan acara sudah bermula jam 9 dengan pembentangan ilmu menyusul tidak lama selepas itu. Kebiasaan pada acara sebegini yang saya sudah pergi begitu banyak kali, ada pembukaan rasmi dengan pelbagai pihak memberikan ucapan itu ini, gimik itu ini  memakan masa sekurang-kurangnya setengah jam kalau tidak sejam. Biasanya kalau sampai lambat sekitar jam 10, acara sedang break atau berehat untuk sarapan pagi, selepas itu baru bermula pembentangan ilmu. Ternyata saya sudah tersilap perkiraan lalu terlepas hampir sejam syarahan. 


Nasib baik sebelum ini saya sudah beberapa kali mendengar syarahan daripada pembentang yang kelihatan. Beliau adalah Puan Zaharah Sulaiman daripada Ikatan Arkeologi Malaysia membawa tajuk : "Jejak Asal Usul Melayu Menurut Kajian Arkeologi & DNA". Tajuk serupa malah pernah dibentangkan dalam satu majlis HIKMAH anjuran pihak saya. Lihat artikel HIKMAH Merdeka Raya - Dari DNA Melayu ke pencarian makna besar kemerdekaan lama di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Lihat juga Video sekitar HIKMAH VI - Sambutan Merdeka Raya. Cuma nampaknya beliau telah menambah beberapa bahan baru yang lebih menjelaskan keadaan.


Namun saya sudah cukup biasa mendengar pembentangan serupa daripada beliau dan mereka yang seangkatan. Saya tahu dan kenal beberapa orang cendekiawan yang membantu pengisian Zaharah. Nampaknya pembentangan kali ini telah mengambil kira beberapa persoalan yang antaranya pernah dilontarkan saya sendiri dalam majlis-majlis terdahulu. Kenyataan beliau yang saya dengar paling baru adalah para sejarawan sudah sepakat bahawa Bahasa Melayu bermula 14,000 tahun lalu. Sila tegur kalau saya tersilap dengar.


Tamat pembentangan Zaharah sekitar 10.50 pagi naik seorang wakil GPTD berkongsi pengalaman dalam satu misi kumpulan.


Beliau yang duduk di Pulau Cocos (lihat kiri atas peta) buat beberapa lama bercerita tentang kewujudan masyarakat orang Melayu yang sudah beranak-pinak beberapa generasi di sana tetapi masih mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu di samping Bahasa Inggeris (kerana Cocos berada di bawah kekuasaan Australia).


Pembentang seterusnya Profesor Madya Dr Mat Rofa Ismail daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) membawa tajuk seperti kelihatan pada gambar. Syarahannya belum pernah saya dengar sebelum ini kalau tak salah ingatan. Tetapi antara mereka yang tersenarai sebagai pembentang, saya paling ingin mendengar apakan yang mahu diperkatakan beliau. Ini kerana beberapa hari lalu saya diberitahu beliau ada menulis buku bertajuk "Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki". 

Saya diberitahu buku itu mengandungi banyak hal tentang hubungan Melayu-Turki zaman dahulukala yang Dr Mat Rofa lihat sendiri ketika berada di sana. Saya tertarik kerana telah menyertai satu kumpulan penyelidik untuk mengumpulkan bahan-bahan sesuai seraya membentuk isi sebuah siri dokumentari 26 episod tentang kehebatan tamadun Melayu dan Istanbul di Turki adalah antara beberapa destinasi luar negara yang insyaallah akan dijejaki...


Satu perkara menarik adalah kefasihan beliau membaca dan bertutur dalam Bahasa Arab. Nampaknya beliau juga memiliki pengetahuan ilmu matematik yang tinggi.


Saya agak terkesan (dan juga rasa sedikit malu) apabila beliau menyatakan orang belajar matematik seharusnya tahu Bahasa Arab kerana ia bahasa sumber ilmu pelbagai bidang terutama Matematik sebelum dunia Barat naik mengambil alih puncak kesarjanaan. Dahulu zaman budak-budak saya memang ada belajar Bahasa Arab. Tetapi saya selalu main-main, tidak mengambil berat.



Senarai universiti tertua dalam tamadun Islam ditunjukkan.



Carta penyebaran agama Islam...


Lihat pula bilakah universiti terawal dalam dunia Barat muncul. Kata Dr Mat Rofa, sebenarnya mereka mengikut acuan universiti-universiti Islam terutama daripada tamadun Islam Andalusia yang pernah menguasai Semenanjung Iberia, tanah besar di mana terletaknya negara Portugal (tempat orang Portugis) dan Sepanyol sekarang.


Tradisi kesarjanaan universiti-universiti Islam ini malah mempengaruhi cara berpakaian para sarjana Barat. Lihat bagaimana muka Barat di kiri gambar memakai satu macam serban, boleh dipadankan dengan cara pemakaian pemikir Islam di kanan (saya lupa apakah nama-nama mereka).


Lihat juga bagaimana cendekiawan terkenal berbangsa Jerman iaitu Gauss memakai tutup kepala. Saya boleh ingat nama Gauss kerana sudah terang tertera pada stem... :]


Tradisi pakaian kesarjanaan Islam inilah yang dibawa ke universiti terkemuka Barat seperti Oxford lalu masih diamalkan hingga sekarang. Lihatlah jubah juga topi yang dipakai untuk majlis tamat pengajian (graduation)...


Daripada Timur Tengah ilmu dibawa ke Barat. Begitu juga daripada Timur Tengah para ulamak Melayu membawa tradisi keilmuan Islam termasuk ilmu falak.


Tamat pembentangan Dr Mat Rofa sekitar 12 tengah hari, sampai giliran ahli GPTD yang ditugaskan mengkaji keadaan orang Melayu Champa di Cambodia berkongsi pengalaman. Turut bersama dua orang Melayu Champa yang didatangkan daripada sana untuk menceritakan keadaan.


Pembentang ketiga, Dato' Dr Siddiq Fadzil, pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan membawa tajuk "Pendekatan Ulama' Melayu Menangani Konflik Adat dan Syariat". Beliau memberikan beberapa contoh di mana ulamak Melayu dapat membuat ijtihad untuk menangani masalah feqah yang kelihatannya tidak pernah atau belum pernah muncul di Tanah Arab, Antaranya masalah tanah pusaka adat selepas pemegang amanah meninggal dunia. Apakah harus difaraidkan mengikut Islam sedangkan faraid itu hanya boleh berlaku kalau tanah tersebut memang milik si mati seorang, bukan milik keluarga apalagi satu suku. Apa pula terjadi kepada harta sepencarian kalau satu pasangan suami isteri kedua-duanya bekerja lalu salah seorang mati?


Selepas rehat makan tengah hari dan solat Zohor, Datuk Dr Awang Sariyan, ketua pengarah DBP mengambil pentas dengan tajuk "Keantarabangsaan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu". Sebagai pejuang Bahasa Melayu yang diakui ramai penggiat, kelihatan banyak telah dilakukan atau cuba dilakukan beliau melalui DBP. Dr Awang mahu Bahasa Melayu diangkat dalam kerangka konteks Melayu sebagai Mahawangsa iaitu bangsa yang besar.



Sekitar jam 3.25 naik ahli GPTD yang ditugaskan untuk melihat dan mengkaji keadaan dan kehidupan komuniti orang Melayu di Cape Town iaitu di Afrika Selatan. Tetapi kumpulan beliau belum berkesempatan lagi pergi ke sana. Maka itu dikemukakan kajian awal mereka di Makassar iaitu di Sulawesi Selatan kerana di sanalah berasal seorang tokoh besar ulamak abad ke-17 bernama Sheikh Yusuf yang kemudian dibuang Belanda ke Afrika Selatan lalu menjadi ikon masyarakat Melayu sana.


Pembentang terakhir Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membawa tajuk "Menelusuri Kekuatan Tamadun Melayu, Persediaan Mengharung Cabaran Abad ke-21". Beliau yang memiliki latar belakang pengajian Matematik yang agak serupa dengan saya, graduan daripada United Kingdom membuka bicara dengan memperkatakan kajian cendekiawan-cendekiawan besar Barat seperti Hegel terhadap tamadun di tempat mereka. Ini adalah langkah untuk mengangkat ketamadunan atau peradaban suatu negara ke peringkat lebih tinggi sambil mengelak masalah-masalah yang boleh membantutkan perkembangan dan kemajuan. 

Atas premis itu Dr. Alinor mengajak para pengkaji tempatan untuk lebih meneliti isi di sebalik batu-batu bersurat, manuskrip dan lain-lain sumber maklumat. Maklumat harus dapat diterjemahkan sehingga dapat diperlihatkan bagaimana misalnya urusniaga dijalankan di pelabuhan Melaka semasa zaman kegemilangannya lebih 500 tahun lalu. Bagaimana para pedagang daripada pelbagai kerajaan dan peradaban dari merata dunia dapat bersetuju dengan kadar pertukaran wang dan nilai jual beli barangan di pelabuhan? Seterusnya bagaimana pengetahuan seperti itu boleh dimanfaatkan untuk menangani keadaan dunia sekarang?


Acara ditutup sekitar jam 4.45 oleh Presiden GPTD, saudara Muhammad Suhail Ahmad. Beliau menyatakan 11 resolusi yang dapat dirumuskan melalui perkongsian ilmu para pembentang untuk diambil tindakan demi mengangkat ketamadunan Melayu ke atas persada yang lebih tinggi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan