Masuk bab lebih menarik iaitu mencari makam dalam hutan. Bersambung daripada Trip anak-beranak ke Desaru - "Diserang' Angry Bird di Johor Bahru dan 313 di tempat rehat.
Pagi Ahad 7 Disember 2014. Anak-anak dah tak sabar nak mandi swimming pool lagi.
Tapi harus bersarapan dahulu.
Kemudian saya dan isteri keluar bersama seorang kawan menuju ke Tanjung Belungkor, biar anak-anak mandi dijaga si kakak dan abang yang lebih besar.
Singgah di terminal feri melihat pemandangan perairan Selat Tebrau diikuti Pulau Tekong di Singapura. Lihat artikel Views at Tanjung Belungkor ferry terminal di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Kedudukan tempat-tempat boleh diteliti pada peta yang terdapat di terminal...
Kami pergi ke bahagian lain Tanjung Belungkor. Lihat Views from a restaurant at Tanjung Belungkor. Selain menikmati pemandangan kami mahu mendapatkan seorang anak tempatan yang arif selok-belok perjalanan ke satu tempat di dalam hutan berdekatan.
Setelah mendapatkan jurupandu kami pun pergi ke bukit berdekatan.
Kereta dibawa sejauh mungkin ke dalam hutan. Ada laluan kenderaan membawa ke rumah seperti pondok di kaki bukit.
Selepas itu kami harus berjalan kaki untuk masuk lebih jauh ke dalam hutan.
Oh. Untuk apa kami berbuat begini? Tajuk kecil artikel ini harus sudah cukup menerangkan...
Cuma makam yang dicari tidak jelas laluan keluar masuknya. Kalau cuba cari sendiri kebarangkalian untuk sampai memang sangat tipis. Kelihatan serpihan porcelain daripada zaman bila entah pada laluan.
Sebetulnya saya dan isteri mahu menyempurnakan satu hajat yang sudah lama tertunda iaitu sejak penghujung 2011. Ketika itu kami sampai hampir Maghrib di Tanjung Belungkor sejurus selepas membuat lawatan ke Pulau Bentan. Isteri pula sedang 7 bulan mengandungkan seorang anak. Lihat artikel lama Kembara Johor-Riau - Mencari kesinambungan pemerintahan di Kota Tinggi, Johor.
Tengok tu, jurupandu kami sempat menjawab panggilan telefon dalam hutan. Nasib baik ada liputan. Rupa-rupanya ada sepupunya baru sampai dari Kuala Lumpur dan dia telah berjanji akan menemani sepupu tersebut menziarahi kubur seorang ahli keluarga di sebuah pulau berdekatan. Cuma tak janji jam berapa, tu yang sempat bawa kami masuk hutan.
Kalau tak salah kami meredah hutan lereng bukit sekitar sebatu juga sebelum tanda makam kelihatan.
Selamat datang ke makam Si Bongkok Tanjung Puteri, seorang pejuang Melayu yang gigih menentang campur tangan British di Johor 1830an lalu dituduh sebagai pemberontak dan lanun. Inilah orang yang namanya disebut dalam lagu tradisional terkenal Johor dengan lirik berbunyi :-
Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu
Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri
( korus )
Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diRaja
Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri
Subhanallah, gembira saya dapat sampai ke makam ini setelah sekian lama menyimpan hajat. Ramai menyangkakan ia terletak di Johor Bahru kerana katanya JB itu dahulu bernama Tanjung Puteri. Sedangkan sumber lain memberitahu Tanjung Belungkor yang terletak di kuala Sungai Johor itulah lokasi Tanjung Puteri yang sebenar. Tetapi ini digelapkan untuk memutuskan kesinambungan cerita antara kerajaan Johor Lama di bawah pemerintahan raja-raja berketurunan Sultan Melaka diikuti keturunan Bendahara membawa kepada keturunan Temenggung yang memerintah Johor kini.
Tentang siapa yang dibantu dan disokong British dan bagaimana ulahnya sehingga Si Bongkok pula dituduh sebagai pengkhianat lalu sejarah perjuangan beliau cuba dilupakan tidak perlulah dipanjangkan di sini. Sila cari sendiri di Internet dan sebagainya. Untuk melihat makam dengan lebih jelas masuk artikel Makam (Tomb of) Si Bongkok Tanjung Puteri di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Cuma satu nota tambahan - Ketika menulis artikel tentang makam lalu menyebut Si Bongkok pernah dituduh sebagai lanun, tiba-tiba teringat pembuka Pulau Batam di Indonesia, Raja Nong Isa. Beliau merupakan anakanda sulung kepada Raja Ali Marhum Bayan (Yamtuan Muda Riau yang ke-5) ibni Daeng Kemboja (Yamtuan ke-3) ibni Daeng Parani (saudara tertua antara 5 Opu Daeng Bersaudara yang sangat terkenal dalam sejarah Johor-Riau-Lingga tahun 1720an). Atas sebab itu beliau sepatutnya menjadi Yamtuan Muda Riau yang ke-7 tahun 1831 tetapi diketepikan oleh Belanda atas alasan pernah melanun.
Gambar ketika meninggalkan makam Si Bongkok untuk kembali ke tempat letak kereta. Saya diberitahu ada kawasan di sekitar ini dahulu adalah kampung yang ramai orang, begitu meriah sehingga ia serupa bandar. Memang logik pun kerana tempat ini terletak berdekatan kuala Sungai Johor. Sedangkan selama 300 tahun gitu, tempat-tempat atau kota di sepanjang Sungai Johor menjadi pusat kerajaan Johor-Riau-Lingga, kerajaan Melayu yang mewarisi wilayah jajahan takluk Melaka selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511.
.
Berbalik kepada hal Raja Isa. Kenapa saya teringatkannya? Kerana seperti Si Bongkok beliau juga dituduh sebagai lanun malah hidup dan aktif pada era yang sama iaitu tahun 1830an. Saya terasa hal ini amat peribadi kerana dipercayai Raja Isa ini adalah moyang saya sebelah ibu yang dapat menyambungkan nasab Bugis keluarga kami hingga ke Daeng Parani. Lihat penerangan pada artikel Kembara Johor-Riau - Makam-makam di Hulu Riau dan alamat salasilah ibu.
Cuma semasa artikel itu ditulis awal 2012 saya belum kenal siapa itu Raja Isa. Saya cuma mendapat alamat tentang beliau setahun kemudian iaitu selepas melaksanakan satu acara kedaulatan Melayu dan Islam di Lumut. Lihat artikel Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Tetapi hal ini tidak pernah saya kongsi dalam blogspot, cuma pernah diutarakan di Facebook.
Kami kembali melalui laluan yang lain sedikit daripada yang dimasuki tadi. Memang kalau tiada jurupandu, susah nak masuk susah juga nak keluar dari hutan ini. Ada bahagian lurah licin sama seperti tempat saya jatuh tergelincir semasa masuk tadi. Nasib baik setakat tergeliat sikit bahu kiri, selepas beberapa lama hilanglah sakitnya. Risau juga saya kerana sebetulnya sejak malam sebelum itu kaki kanan saya yang pernah patah di bahagian pergelangan menghadapi masalah mudah cramp atau kena simpul biawak. Mungkin kerana siang sebelumnya saya layan berenang kemudian berlari-lari di tepian pantai. Sedangkan saya sudah lama tidak berlari begitu sejak kaki patah April tahun lepas. Alhamdulillah... :]