Khamis, November 13, 2014

Seminar dan Pameran Sejarah Tenggelam dan Munculnya Kuala Kubu - Antara peranan Cina dan Yahudi



Selepas makan tengah hari diikuti solat Zohor kami kembali masuk ke dewan untuk sesi pembentangan petang. Oh, semasa makan itu saya mendapat beberapa maklumat baru yang menarik. Biar dicopy paste sepertimana telah dikongsikan dalam Facebook...


TENTANG PENEMUAN SURAU PURBA DI LEMBAH BUJANG YANG DIGELAPKAN

Salam. Siang tadi saya telah menghadiri satu wacana ilmu tentang sejarah Kuala Kubu di Darul Quran sana. Semasa rehat makan tengah hari sempatlah berbual2 dengan seorang ahli arkeologi juga seorang pakar matematik yang telah lama menceburkan diri di dalam bidang sejarah. Saya pun bertanya tentang penemuan2 terbaru relau2 besi di Lembah Bujang seperti di Sungai Batu, apakah pentarikhan beribu tahun lalu yang diberikan pengkaji yang diberi tanggungjawab membuat pembongkaran itu tepat. Jawab mereka segala yang diumumkan pengkaji tersebut sebenarnya belum sahih dari segi disiplin ilmu sebenar.

Mereka turut menyebut tentang penemuan sebuah surau purba yang boleh menyanggah atau membatalkan beberapa teori lama. Tetapi penemuan ini sengaja ditenggelamkan oleh seorang cendekiawan besar kerana tidak mahu ia membatalkan teori sejarah yang sekian lama dibina cendekiawan tersebut. Geleng kepala saya mendengar ini. Ada soal ego, soal nama, ada soal bukti sejarah sengaja disorokkan agar dapat menyokong teori baru tertentu, ada pula sampel tidak sesuai digunakan untuk menentukan tarikh suatu objek lama tetapi diangkat untuk menyokong dakwaan objek itu sudah berusia sekian lama tetapi pada pihak lain ia dikira salah dan tidak boleh dijadikan hujah. Macam2...


Berbalik pada pembentangan. Muncul satu-satunya pembentang berketurunan Cina untuk program ini. Tajuk dan nama adalah seperti di atas...





Beliau membuka latar belakang kedatangan orang Cina ke Hulu Selangor yang berkait rapat dengan kepesatan industri perlombongan biji timah di Selangor abad ke-19. Tokoh-tokoh Cina turut terlibat dalam perang saudara antara kerabat diraja Selangor.








Saya rasa tak perlulah mengulas panjang lebar ya. Biar slaid-slaid ini bercerita.

















Penekanan banyak diberikan kepada Loke Yew sebagai seorang tokoh besar utama berbangsa Cina.








Ini diikuti kedatangan orang Cina di setiap mukim dalam daerah Hulu Selangor (saya tak ambil gambar semua slaid).





Pembentangan kedua petang.





Apa yang berlaku di Kuala Kubu cuba dikaitkan dengan perkembangan kurang enak di Palestin awal abad ke-20 Masihi di mana ia mula dijajah kuasa-kuasa Barat yang mengikut telunjuk Yahudi.


Kaitan dibuat melalui tokoh British bernama Henry Gurney.





Namanya cukup terkenal hingga kini di Malaysia tetapi berapa ramai yang tahu peranan beliau mendokong agenda kekuasaan Yahudi di Palestin?


















Kaitan dengan Kuala Kubu? Di satu jalanan menuju ke Pahang tokoh British ini dibunuh komunis. Tamat pembentangan masuk sesi soal jawab di mana saya sempat mengenengahkan 3 soalan :-

1. Ada diceritakan bahawa orang Yahudi sudah masuk ke negeri Cina melalui Jalan Sutera seawal abad 12-13 Masihi lalu berkahwin campur dengan rakyat tempatan hingga kelihatan seperti orang asal Cina. Namun mereka masih mengamalkan agama dan nilai-nilai sendiri lalu dalam kajian dikenali sebagai Kaifeng Jews. Apakah ada dari antara mereka ini kemudian datang ke Tanah Melayu abad ke-19 British lalu terlibat sama menerbitkan kekacauan yang menghalalkan campur tangan Barat ke atas hal ehwal negeri-negeri Melayu?

2. Tentang Henry Gurney. Sekolah budah jahat di Telok Mas, Melaka dikenali sebagai Sekolah Henry Gurney. Lokasi itu pula berdekatan tempat Raja Haji mangkat dalam rangka kerja menghalau Belanda keluar dari Melaka. Apakah kaitan semua ini?

3. Sharif Mashahor di Sarawak dengan Sayid Mashor di Selangor, apakah orang yang sama?

Dah, Sama malas lagi nak bercerita. Cukuplah ini ya... :]


Seminar dan Pameran Sejarah Tenggelam dan Munculnya Kuala Kubu - Lukisan terukur dan buaya putih



Sampai masa untuk masuk ke dalam dewan mengikuti seminar.


Oleh kerana kami sampai lambat iaitu hampir jam 11 tidak ada lagi salinan atur cara kecuali di meja pendaftaran.


Masuk ke dewan pula setelah setengah jam berlegar-legar melihat pameran.










Ketika itu sesi pembentangan pagi sudah selesai, tinggal bahagian soal jawab yang digunakan sesetengah orang untuk mengemukakan pandangan atau kajian sendiri.









Tidak lama kemudian sampai waktu rehat pagi. Katanya rehat cuma 7-9 minit sahaja. Tetapi saya pula terasa gatal untuk keluar lalu menuju ke masjid Darul Quran, duduk agak lama di sana sambil menikmati pemandangan tasik di sebelah. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Darul Quran, Kuala Kubu di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan Lakeside views at Darul Quran mosquedi BERPETUALANG KE ACEH.


Akibatnya saya masuk ke dewan jam 12.15.


Ketika itu Dr Norafidah Abd Ghafar daripada Fakulti Bina Alam, Universiti Malaysa baru sahaja memulakan pembentangan bertajuk "Memelihara Warisan : Lukisan Terukur".








Secara rata ia adalah tentang usaha mengumpul data tepat dimensi atau panjang/lebar/tinggi setiap bahagian bangunan warisan yang ada di Kuala Kubu lalu membentuk lukisan 3D yang menggambarkan dengan teliti suatu bangunan mengikut skala. Data boleh digunakan untuk membentuk simulasi dalam komputer.


Habis sahaja pembentangan terus masuk sesi soal jawab. Nampaknya saya telah terlepas pembentangan bertajuk "Sejarah Kuala Kubu dalam Sastera" oleh seorang penulis bernama Mohammad Kholid Hamzah.


Saya menyedari ini apabila seorang hadirin membangkitkan persoalan tentang binatang mistik buaya putih. Walhal ini tidak disentuh langsung dalam pembentangan yang sempat saya ikuti.


Apabila Kholid bangkit untuk menjelaskan persoalan baru saya tahu perkara ini dibangkitkan beliau dalam pembentangan. Rupa-rupanya beliau ada menyebut tentang satu mitos tempatan di mana seorang wanita dari Pahang telah melahirkan seorang bayi manusia berserta seekor anak buaya. Selepas wanita itu meninggal dunia buayatersebut dibawa oleh 'adik'nya ke suatu pertemuan sungai. Jadilah ia buaya putih yang menurut ceritanya pernah menetap di dalam empangan besar yang pernah wujud di Kuala Kubu lebih seabad lalu.



Rabu, November 12, 2014

Seminar dan Pameran Sejarah Tenggelam dan Munculnya Kuala Kubu - koleksi gambar lama

Salam. Merujuk pada artikel Misi HIKMAH Pagoh - Mendapatkan kebenaran jabatan agama sambil menikmati makan minum di Muar dan Misi HIKMAH Pagoh - Berkat 10 Muharram surat kebenaran pun diperolehi! yang dibuat seminggu lalu, sukacita dimaklumkan acara tersebut telah selamat diadakan 8 Nov iaitu Sabtu lalu. Namun saya belum bersedia untuk bercerita tentangnya di mana-mana blogspot. Sebaliknya saya ingin berkongsi dahulu apa yang berlaku siang tadi.


Saya telah pergi ke institusi tahfiz yang dipanggil Darul Quran di Kuala Kubu.



Walaupun sudah ke pekan Kuala Kubu Baru yang terletak di sekitar itu entah berapa banyak kali juga ke kawasan-kawasan di sekitarnya, inilah kali pertama saya masuk ke kawasan institusi ini.


Ada acara dipanggil "Seminar dan Pameran Sejarah Tenggelam dan Munculnya Kuala Kubu".


Seorang kawan dari Shah Alam mendapat tahu tentangnya pagi tadi lalu mengajak saya datang bersama.


Kami berlegar-legar melihat  pameran dahulu...








Banyak tempat menarik di sekitar Kuala Kubu ditunjukkan termasuk gambar-gambar lama daripada lebih seabad lalu.








Kuala Kubu pernah menjadi salah satu tempat utama melombong bijih timah di negeri Selangor.















Turut ditunjukkan gambar Kuala Kubu pernah dilanda banjir beberapa kali termasuk akibat empangan besar pecah. Itulah yang menyebabkan pekan dibina kembali di tempat lebih tinggi lalu dikenali sebagai Kuala Kubu Baru.









Kuala Kubu juga pernah menjadi salah satu kawasan yang dilanda Perang Saudara Selangor.


Gambar lebih moden tahun 1950an.



Perbandingan keadaan di lokasi pekan lama Kuala Kubu dahulu dan sekarang...


Baru saya tahu institusi Darul Quran ini didirikan di atas tinggalan pekan lama yang sudah tertimbus tanah akibat lumpur yang sering dibawa banjir dahulukala...