Sabtu, Jun 07, 2014

Penambahan hiasan rumahku syurga

Tepat 3 minggu lalu artikel Rumahku Baitul Hikmah ditulis menunjukkan beberapa gambar sekitar rumah baru yang saya dan keluarga duduki sejak penghujung Januari. Artikel dibuat sebagai langkah untuk memecah kebuntuan dalam menyambung penulisan buku baru yang sudah lama tertunda. Namun hingga kini saya masih belum mendapat rentak mahupun gerak yang sesuai untuk menyambung buku. Lalu tumpuan dialih pada mencantikkan rumah dan semalam saya rasa cukup puas hati untuk berkongsi cerita lagi.



Gambar dari halaman rumah sudah dikongsikan pada artikel lalu. Tetapi ketika itu belum ada satu penambahan besar yang memberikan kepuasan seperti didapati malam tadi.


Ia adalah bingkai kayu yang diletakkan antara 2 tiang tempat letak kereta. Saya buat, cat dan pasang sendiri 10 hari lalu.


Cuma bingkai ini baru rasa sempurna selepas ditambah kaca-kaca warna yang dipasang sendiri petang semalam. Sudah lama saya dan isteri inginkan kaca sebegini menghiasi rumah. Cuma baru 2 hari lepas saya mendapat ilham bagaimana dan di mana untuk menggunakannya. Semalam pula baru terjumpa kedai cukup dekat dengan rumah yang ada menjualnya. Lalu saya tempah mengikut saiz yang sesuai dan tanpa membuang masa terus memasangnya.



Sebelum bingkai itu siap saya dan isteri telah terlebih dahulu memasang atap nibong di beberapa tempat, antaranya di tempat wudhuk luar.






Atap turut dipasang atas pangkin buatan sendiri yang diletakkan di tepi tempat letak kereta. Pangkin dibuat sejurus sebelum pindah rumah iaitu ketika ia masih diperbaiki dan diubah-suai. 


Kelihatan juga jaring bawah atap. Ia diberikan orang kampung di Pantai Kandis, Bachok, Kelantan ketika kami bertandang ke sana hujung minggu lepas.


Selepas membuat bingkai atas tiang saya membuat 2 bingkai kecil untuk menghiasi bahagian lain atas...






Atap nibong pula turut digunakan untuk menghiasi bahagian bawah sebuah lagi pangkin buatan sendiri.



Kelihatan baki daripada kayu yang digunakan untuk membuat bingkai bersama 2 keping papan lama dan sebuah tali kapal yang sudah lusuh. Papan itu adalah sebahagian dari bangunan masjid lama wakaf keluarga belah bapa di Teluk Intan, Perak. Berdasarkan tahun yang tertera pada atap genting menara masjid sudah berdiri sejak 1865 lagi. Tak pasti apakah kayu dari zaman itu atau kemudian. Yang pasti ia adalah sebahagian daripada bangunan lama masjid yang telah dirobohkan untuk memberi laluan pada binaan baru batu beberapa tahun yang lalu. Tali pula dari Pantai Kandis. Ketiga-tiga barangan diambil ketika perjalanan kecil hujung minggu lalu untuk dijadikan hiasan, tak pasti nak letak kat mana. Tapi nampak cantik pula dibiarkan atas pangkin ini.


Satu lagi barangan yang didapati dalam perjalanan tersebut diletakkan di ruang tamu.


Ia adalah ukiran kayu dari Akademi Nik Rashiddin di Pantai Kandis, hadiah dari balu arwah Nik Rashiddin iaitu Puan Rosnawati.


Oh. Atap daun nibong turut menghiasi bar di ruang makan, satu tambahan yang dibuat sehari dua selepas artikel Rumahku Baitul Hikmah dipaparkan.


Ia dibeli di Kuala Selangor, selepas berbulan saya dan isteri menyimpan hasrat untuk memasangnya di bahagian ini.


Secara rata semua penambahan hiasan yang kami idamkan sudah dibuat. Sekarang tinggal mahu mengisi ruang kosong di kawasan bacaan.



Saya fikir mahu meletakkan poster, peta atau gambar yang menggambarkan kecintaan pada ilmu dan kecendekiawanan. Baru semalam dapat sedikit ilham apa yang patut diletakkan, antaranya adalah gambar Batu Bersurat Terengganu. Gerak hati ini mengatakan setelah ruang diisi dengan perkara sepatutnya barulah saya betul-betul dapat menyambung penulisan buku yang sudah lama tertunda. Semoga ini dapat dilakukan dalam masa terdekat.


Ini pula adalah gambar melihat ke luar yang diambil sejurus selepas saya mengambil gambar satu risalah lama yang ada kena-mengena dengan batu bersurat. Insyaallah akan dikongsikan artikel berkaitan esok, sebagai satu lagi langkah yang diharap dapat membantu saya mendapatkan rentak dan gerak yang sesuai untuk menyambung penulisan buku. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,199 di blogspot ini. Semoga selesai satu fasa kehidupan untuk masuk ke fasa baru yang lebih gemilang. Amin... :]