Selasa, September 02, 2014

Pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa - Sejenak di Kota Bahru sebelum berlepas ke Perak



Pagi Isnin 4 Ogos bersamaan 8 Syawal iaitu tepat sebulan lalu menurut perkiraan Hijirah (malam ini sudah masuk 8 Zulkaedah) saya berkejar dari pusat bandar raya Kota Bahru, Kelantan ke satu kawasan luar 15 km perjalanan.


Saya berkejar untuk menghantar anak ke sekolah. Anak yang menetap bersama bapa saudara di Kelantan itu kami ambil Ahad lewat malam, awal pagi harus dihantar kerana bukan cuti sekolah. Selepas itu singgah di sebuah warung untuk membeli sarapan pagi buat keluarga. Tertarik melihat ada bungkusan nasi ala-ala franchise dari Tumpat.


Perjalanan dari Kota Bahru ke sekolah juga kembali melalui Nilam Puri di mana terdapat masjid lama Kampung Laut yang telah dialih tempat. Singgahlah sebentar untuk beriktikaf. Seingat saya dahulu tiada kedai di hadapan.


Memang perjalanan ini dirancang sebegitu rupa agar selepas menghadiri majlis kahwin di Terengganu hari Sabtu (lihat artikel pembuka siri, Pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa - Berkejar untuk majlis di Dungun) kami dapat menjenguk anak yang bersekolah di Kelantan. Cuma masa sampai ke suatu tempat itu yang susah hendak dijanjikan kerana bergantung pada keadaan. Selepas mengambil anak kami membawanya bermalam di sebuah hotel bersebelahan Sungai Kelantan.


Tengah hari kami pun bersedia untuk meninggalkan hotel.


Jika di Kuala Terengganu kami membawa ibu bapa berjalan di Pasar Payang (lihat Pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa - Jejak HIKMAH di Terengganu dan Kelantan) di Kota Bahru kami membawa mereka ke Pasar Siti Khadijah.


Mereka seronok dengan pelbagai juadah yang susah hendak ditemui di tempat lain. Di sini juga saya buat pertama kali makan buah perah rebus, selepas ditunjukkan ayah. Sebelum ini saya setakat tahu buah perah digunakan untuk masakan gulai asam rong yang merupakan satu kegemaran saya, mesti cari kalau singgah di Raub, Pahang. Ia adalah sejenis buah hutan yang biasanya didapati daripada orang asli sekurang-kurangnya di Pahang.



Kami berjalan ke merata ceruk pasar. Kalau saya berjalan bersama anak dan isteri sahaja kami jarang membeli belah. Tetapi untuk menggembirakan ibu bapa kami bawa mereka berjalan melihat segala macam barangan yang ada, daripada makanan ke pakaian dan barangan besi/tembaga. Perhatikan, dah 3 hari perjalanan belum ada sebuah makam pun kami singgah, masjid pun setakat 2-3 buah.


Ini pula di satu bahagian pinggir bandar raya. Kami ke sana untuk menziarahi juga berhari raya ke rumah seorang rakan penulis yang sedang diuji sedikit kesakitan. Kami turut menerima ujian tersendiri apabila tayar kiri belakang kereta membengkak teruk seperti hendak meletop. Apa yang berlaku adalah sejurus selepas memasuki Kelantan dari arah Kuala Besut petang Ahad saya dapati tayar kurang angin. Bila pergi ke stesyen-stesyen minyak berdekatan semua pam rosak. Saya pun tumpang mengepam di sebuah bengkel kereta, tak sedar telah terlebih mengepam akibat tiada meter.

Lewat malam ketika mahu meninggalkan rumah tempat anak menetap di Kelantan baru tersedar tayar sudah tersebut sudah menggelembung semacam. Sebenarnya tayar sudah beberapa lama ada gelembung kecil akibat terhentak lubang di jalanan tetapi tidaklah teruk sangat, masihlah boleh dibawa berjalan ke merata tempat. Tapi bila dah terlebih sangat letak angin terus tayar jadi rosak, tukarlah dengan spare malam itu juga, bila sampai ke stesyen minyak yang ada pam elok baru disemak. Rupanya saya telah meletakkan pressure lebih 400 kpa sedangkan ia biasanya sekitar 200-220 kpa!


Selepas berhari raya di rumah kawan saya singgah lagi ke Masjid Kampung Laut. Sebenarnya pagi selepas menghantar anak ke sekolah saya pergi seorang diri kerana memikirkan tidak akan lalu ke sini lagi apabila meninggalkan Kota Bahru. Ini disebabkan saya memikirkan mahu membawa keluarga ke Rantau Panjang melalui Pasir Mas. Tetapi apabila mendapati masa semakin suntuk sedangkan kami harus masuk ke Perak petang ayah kata tak perlulah ke Rantau Panjang. Dengan itu bolehlah kami menghala ke Perak melalui Tanah Merah, boleh singgah di Masjid Kampung Laut yang terletak dalam perjalanan.


Sebetulnya ada 2 orang lagi kawan mahu kami ziarahi atau berhari raya di Kota Bahru. Tetapi seorang sedang memberikan syarahan di Pasir Mas, petang baru selesai. Seorang pula pada mulanya bersedia untuk makan tengah hari sama, cadangnya di sekitar Pasar Siti Khadijah. Tetapi ini terpaksa dibatalkan kerana beliau tersangkut dalam taklimat bersama kerajaan negeri. Tak mengapalah. Apa nak buat? Saya pun tak beritahu mereka awal-awal mahu berjumpa kerana tidak pasti sampai ke Kota Bahru jam berapa dan bilakah pula ada kelapangan. Mungkin lain kali baru dapat berjumpa...


Kami meninggalkan Masjid Kampung Laut sekitar 4.30 petang. Ketika gambar ini diambil iaitu di atas jambatan menyeberangi Sungai Kelantan masuk ke Tanah Merak sudah hampir jam 5.15.


Sampai ke puncak laluan Kelantan ke Perak melalui Jeli hampir 6.45.


Rancangnya nak sampai ke Kuala Kangsar sekitar Maghrib tapi nampaknya tak sempat. Rehatlah sebentar melihat pemandangan sekitar.


Kami sampai ke Tasik Banding juga dikenali sebagai Tasik Chenderoh pun hampir Maghrib. Dari sini ke KK masih sekitar 150 km perjalanan. Entah bila le nak sampai...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan