Selasa, Ogos 26, 2014

Pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa - Berkejar untuk majlis di Dungun

Hari ini 30 Syawal, hari terakhir bulan raya. Ingin saya memulakan satu siri kecil berdasarkan perjalanan lebih 3 minggu lalu.


Pagi Sabtu 2 Ogos 2014 bersamaan 6 Syawal 1435 Hijriah, kami sekeluarga keluar untuk membuat satu perjalanan jauh.



Dari rumah kami di Sungai Buaya, Rawang kami melepasi Serendah.



Kemudian masuk jalan belakang Batang Kali untuk naik ke Genting Highlands.



Selain saja-saja hendak menikmati pemandangan sekitar laluan ini, kami mengambilnya untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas yang biasa melanda Lebuh Raya Karak dari Gombak ke Genting Sempah. 



Destinasi kami bukanlah Genting tetapi Pantai Timur. Selepas sampai ke ke pusat cable car diikuti bulatan menuju ke puncak kami bergerak turun untuk masuk ke Genting Sempah. Berehat sebentar di tepi jalan apabila brek kereta mula terasa tak makan akibat terlalu panas hingga berasap-asap. Sesungguhnya laluan ini penuh liku tajam dan curam. Kata ayah, brek menjadi terlalu panas akibat selalu ditekan kuat lalu cecair brek menjadi gas. Itulah yang menyebabkan brek tak makan.

Oh. Perjalanan dibuat bersama ibu dan bapa saya. Inilah kali pertama kami membawa mereka berjalan jauh dengan saya membawa kereta. Ini juga kali kedua kami berjalan jauh bersama ke mana-mana. Ini adalah selepas perjalanan ke Aceh yang dibuat dengan tujuan utama mahu menganjurkan acara ke-10 HIKMAH di sana 5 bulan lalu. Lihat artikel  Berjayanya misi HIKMAH Aceh juga Acara kesepuluh HIKMAH di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).



Beberapa minit kemudian baru brek kurang panas dan kami cukup yakin untuk menyambung perjalanan. Dari Genting Sempah kami masuk ke Lebuh Raya kemudian Lebuh Raya Pantai Timur.



Gambar ini diambil selepas keluar dari lebuh raya lalu masuk ke jalan pantai menghala ke Terengganu. Kalau tak salah atas sedikit dari Cherating, berhenti sebentar untuk membeli air. Sebelum itu kami ada berhenti makan tengah hari di RnR Temerloh di mana saya pekena ikan patin buah. Habis makan dah lebih jam 2 petang kalau tak salah ingatan... saya tak ambil gambar.



Tujuan asal perjalanan dibuat adalah untuk menghadiri satu majlis perkahwinan di Kuala Dungun, Terengganu. Ibu bapa kami ajak sekali kerana kebetulan mereka datang dari Muar untuk menghadiri satu majlis anjuran seorang bapa saudara di Bukit Damansara pada hari raya ke-3, selepas itu bermalam di rumah kami buat beberapa hari. Fikir kami dapat sampai ke majlis paling lewat jam 3. Sedangkan kami sampai ke pintu gerbang masuk negeri Terengganu di Kemaman pun sudah jam 3.42.



Di bandar Cukai, Kemaman pula kami berhenti agak lama untuk berehat dan bersolat. Sedangkan dari situ ke Kuala Dungun masih perlu berjalan 70 km.



Akhirnya kami sampai ke majlis jam 6 petang.



Selepas menikmati hidangan perjalanan disambung lagi.



Kami menyeberang jambatan di kuala Sungai Dungun hampir senja. Masih ada 80 km perlu dilalui untuk sampai ke tempat seterusnya berdekatan Kuala Terengganu...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan