Jumaat, Mac 15, 2013

Akademi Nik Rashiddin sedia untuk menyambut tetamu HIKMAH IV hari Sabtu

Berita hari ini. Diambil dari blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


-------------


Salam semua. Malam semalam sekitar jam 9 saya telah memulakan perjalanan ke Kelantan untuk HIKMAH IV, singgah sebentar berjumpa kawan dan keluarganya di Lurah Bilut berdekatan Raub, Pahang. Hampir tengah malam baru menyambung kembali perjalanan. Kami sampai ke destinasi iaitu Kandis, Bachok jam 5 pagi lalu berehat di Masjid Kuala Kandis sebelum bersolat Subuh. Setelah hari siang baru ke Akademi Nik Rashiddin yang terletak cuma 300 meter dari masjid untuk berbincang hal persiapan HIKMAH IV dengan Puan Rosnawati, pengarah ANR juga pemilik premis.

Selepas sarapan kami pergi ke homestay berdekatan meletakkan barang sebelum menuju ke Kota Bahru untuk satu dua hal termasuk melihat pertandingan kuda di Pengkalan Chepa. Masuk tengah hari saya dah tak larat nak tahan mengantuk lalu kami sekeluarga bersama seorang rakan yang ikut sama dari Lembah Kelang kembali ke homestay untuk berehat. Petang selepas Asar baru ke ANR lagi. Sukacita kami melihat ketika itu persiapan untuk HIKMAH IV sedang giat dilakukan.

Ketika kami sampai awal pagi belum kelihatan ANR sudah dipersiapkan secara fizikal untuk menerima acara. Tetapi ketika sampai petang sudah kelihatan bunting dan banner dipasang. Sayangnya ini tidak dapat ditunjukkan dengan gambar. Entah kenapa ada gambar-gambar yang dimuat-naik menggunakan Celcom Broadband di ANR tidak mahu keluar. Walhal kalau ikut HTML coding ia sudah pun masuk ke dalam sistem.


Tak mengapa. Kita tunjukkan sahaja apa yang dapat. Kelihatan dalam kawasan sejumlah kereta...






Kawan-kawan dari Kelantan terutama dari Kelab Pencinta Sejarah Kelantan (KPSK) sudah menjalankan kerja. Rupa-rupanya mereka sudah sampai jam 3.30 petang. Meriah juga keadaan apabila berjumpa mereka dan sejumlah sukarelawan yang selama ini cuma dikenali dan berhubung melalui Facebook.


Kemudian muncul lori membawa dua buah khemah besar dan 100 buah kerusi. Biar dimaklumkan sebuah khemah ditaja pihak kami hasil sumbangan kawan dan kenalan yang prihatin, lagi satu khemah berserta kerusi disumbangkan KPSK.




Sambil khemah didirikan saya melihat persiapan lain yang telah dibuat kawan-kawan.

Pentas mahu didirikan di sini.


Peserta boleh mengikuti acara dengan bersila di bahagian ini. Sesetengah kawasan ada tempat duduk termasuk khemah.


Meja pendaftaran belum betul-betul disediakan. Kelihatan sejumlah buku yang saya bawa dari Lembah Kelang belum diatur lagi.


Gambar khemah setelah siap tidak dapat ditunjukkan kerana masalah Celcom Broadband. Di sini biar ditunjukkan  satu bahagian pameran dan jualan dengan buku-buku saya sudah diatur pada malam hari. Cukuplah cerita ringkas ini ya. In syaa Allah bertemu kita di sini siang nanti. :]


Rabu, Mac 13, 2013

Sempena tarikh 13.3.13 : Bab 13 dari buku ke-3




Salah satu gambar yang muncul apabila dibuat Google image search perkataan "Rahsia nombor 13" tadi. Ia adalah gambar ke-4 (1+3) dari kiri. Nampaknya 13 di sini merujuk pada 13 rukun solat...



Semalam, apabila memikirkan hari ini akan masuk tarikh 13.3.13 yang juga bersamaan 1 Jamadil Awal 1434 Hijrah, saya berazam akan membuat artikel tentang hari ke-3 perjalanan terbaru ke Pantai Timur, sambungan dari artikel Misi penganjuran HIKMAH IV - Mesyuarat di Kandis sebelum meredah hujan dan banjir ke Kuala Terengganu yang dibuat Isnin baru ini. Ia juga akan menjadi artikel ke-4 (1+3 lagi) dalam siri berkaitan. Kerana penceritaan telah dibuka dengan artikel pengenalan bertajuk Misi penganjuran HIKMAH IV - Bermotosikal solo meredah banjir dan hujan lebat yang dibuat Jumaat lalu, 1.3.13. 

Kebetulan tarikh hari ini iaitu Rabu 13.3.13 juga boleh ditulis 3.13.13 kalau mengikut sistem bulan/hari/tahun. Maka pusing tang mana pun ia membentuk satu rentetan nombor yang menarik dan pada saya ada makna tertentu. Namun tadi apabila melihat gambar-gambar yang mahu digunakan untuk membuat artikel baru (seperti biasa saya harus menyediakan artikel-artikel sokongan di blogspots saya yang lain terlebih dahulu) timbul gerak lain. Hati kecil saya berkata biar disajikan seluruh isi Bab 13 daripada buku ke-3 saya, "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?"







"Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?"
ISBN 978-983-42031-2-2, terbit November 2007




Adapun Bab 13 ini adalah bab bernombor yang terakhir dalam buku ini juga terakhir dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" itu sendiri. Siri ini memiliki sistem aturan bab yang tersendiri di mana secara rata bab-bab bernombor diselang-selikan dengan bab-bab bertajuk. Sebelum Bab 13, adalah bab bertajuk "Tok Pulau Manis,  batu bersurat Terengganu dan beberapa warisan Aceh". Selepas Bab 13, menyusul 4 (1+3 lagi...) lagi bab iaitu "Aceh sekarang : Bilakah kembali Darussalam?", "Lagi catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah", "Impian seorang petualang : Melangkaui adat dan masa" dan akhirnya "Penutup : Puas sudah berpetualang?".

Gerak hati saya menyuruh agar seluruh isi Bab 13 dikongsikan di sini sekali harung. Sepanjang ingatan inilah kali pertama sebuah bab dari buku tulisan saya dikongsikan penuh untuk satu artikel di blogspot .Biasanya saya sekadar meletakkan sebahagian, kalau mahu dikongsikan satu bab penuh dipecahkan menjadi beberapa buah artikel. Biar diberitahu, bab ini mengisi muka surat 211-225 buku ketiga tulisan saya itu. 

Tentang sambungan siri "Misi penganjuran HIKMAH IV" saya rasa biar dibuat selepas acara  keempat dari saya, acara bernama HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah selesai diadakan 16 Mac atau Sabtu hujung minggu ini. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang acara sila masuk ke blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).  Baca artikel-artikel berikut :-









    --------------------------------------
BAB 13

--------------------------------------


   Bagai susu dengan sakar,
    Bagai cincin dengan permata,
     Bagai cembul dengan tutupnya,
      Sirih pulang ke gagangnya,
      Bunga pulang ke tangkainya,
      Buah pulang ke tampuknya,
       Kuah tumpah ke nasinya,
        Harta pulang ke yang empunya.

     - Sebuah gurindam klasik Melayu

      

  
     Pagi Jumaat, 23 haribulan Januari 2004 bersamaan 1 Zulhijjah 1425 Hijrah. Setelah menginap semalaman di Batubara untuk memenuhi pesanan almarhum Nenek supaya singgah di sana jika menjejakkan kaki ke Sumatera dan mencari saudara mara jika boleh, Rasyid akhirnya mendapat gerak untuk memulakan langkah kembali ke tanah-air. Rasanya cukuplah pengembaraannya di Indonesia setakat ini. Peluang untuk kembali memasuki Aceh yang sedang darurat sudah hampir kosong... Lagipun dia sudah terasa amat letih sedangkan hati kecilnya berkata ada sesuatu perkara yang perlu di selesaikan apabila sampai di Malaysia nanti...

Pemuda inipun menyatakan niatnya kepada Makcik Aina sekeluarga. Pada mulanya, mereka mahukannya menginap di rumah mereka beberapa hari lagi kerana baru sahaja saling mengenali... Menurut adab orang  Islam pun seseorang tetamu itu patut diraikan dan dilayan penuh hormat selama tiga hari. Kata Makcik Aina dia sendiri akan menyeberang Selat Melaka untuk melawat saudara-mara di Lumut, juga anak perempuannya yang telah berumahtangga di Kuala Lumpur. Maka tunggulah buat beberapa hari...

“Seminggu sahaja lagi,” kata Makcik Aina. “Bukannya lama sangat. Berehat-rehatlah dahulu di Batubara kemudian kita pergilah sama-sama.”

Anak muda itu menjawab tidak boleh kerana gerak hatinya  menyuruh kembali ke tanah-air secepat  mungkin. Rasyid pun tidak pasti kenapa... Kalau hendak dikatakan kerana rindu semata, dia sudah biasa keluar berjalan jauh dalam tempoh masa yang panjang. Anak Malaysia ini juga pernah menetap di luar negara selama empat tahun, tiga tahun terakhir tidak pernah pun kembali ke tanah-air... Tidak timbul pun rasa rindu mahu kembali kecuali beberapa bulan terakhir, setelah terdengar lagu-lagu Melayu yang mendayu-dayu di sebuah restoran Malaysia di London.

Apapun, itu di London, lebih 10,000km dari tanah-air, satu tempat yang perjalanan menaiki kapal terbang tanpa henti untuk ke sana sahaja memakan masa 13 jam…  Sekarang Rasyid cuma berada di Sumatera, paling jauh pun sekitar 100km menyeberangi Selat Melaka. Naik feri paling lama enam jam, naik kapal terbang lagilah cepat, paling lama pun sejam sahaja. Pendek-kata, bila-bila masa sahaja boleh kembali… Dan pemuda ini baru berada di sini 18 hari sahaja, bukannya lama sangat  sedangkan cop imigresyen Indonesia yang tertera di dalam paspot antarabangsanya memberikan kebenaran untuk dia berada di Indonesia selama 60 hari.

Memang awalnya anak kelahiran Muar, Johor ini mempunyai niat untuk berada di Sumatera lebih lama, sekurang-kurangnya untuk sebulan.  Malah pemuda ini melangkah ke Indonesia dengan tekad untuk meninggalkan Malaysia buat selama-lamanya, mungkin menetap terus serta berumahtangga di Aceh... Jika terjumpa tempat dan orang yang dapat memberikan rasa home sweet home yang dicari-carinya selama ini, perasaan yang telah hilang lebih 20 tahun lalu semenjak meninggalkan rumah keluarga tempatnya membesar untuk memasuki sekolah berasrama penuh.

Lagipun mengikut rancangannya yang asal, masih banyak tempat yang perlu dilawati termasuk Perlak,  keSultanan Islam pertama dalam sejarah bumi Serambi Mekah yang pernah diterajui Sultan-sultan berketurunan Nabi seawal 840 Masihi. Rasyid juga kempunan ingin ke Geudong, tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai yang didirikan Sultan Malikus Salih lebih 700 tahun dahulu... Seterusnya  Banda Aceh yang menjadi pusat pemerintahan kerajaan Aceh, juga pantai barat wilayah itu sehingga ke Barus dan Singkel, wilayah kelahiran Sheikh Hamzah Fansuri, penulis karya Tasawuf yang pertama dikenali anak Malaysia ini ketika berumur 18 tahun.

Rasyid juga menyimpan niat untuk melawat bumi Minangkabau termasuk Pagar Ruyung yang pernah menjadi pusat pemerintahannya. Tempat ini tidak jauh dari sempadan barat-daya Aceh, jika sahaja dia dapat meneruskan perjalanan dari Langsa ke Perlak kemudian ke Lhoksuemawe dan Banda Aceh hingga ke Singkil, satu perjalanan mengelilingi bumi Serambi Mekah dengan melawan arah jam. Tetapi pemuda ini tahu jika tidak dihalau keluar dari Langsa kemudian Pengkalan Brandan tempoh-hari, ada kemungkinan dia akan terus menetap di Aceh. Apapun, anak Malaysia ini  sudah cukup penat dan rasa terpanggil untuk kembali ke tanahair. Maka setelah selesai waktu bersolat Jumaat, Makcik Aina pun menyuruh adiknya menghantar pemuda ini ke Tanjung Balai menaiki motosikal. 
     

 Z

   
Entah kenapa adik Makcik Aina sengaja menggunakan jalan dalam estet untuk membawa Rasyid ke Tanjung Balai sedangkan ada jalan utama yang jauh lebih elok. Mungkin kerana mereka tidak memakai topi keledar tetapi bukannya tidak ada topi keledar lebih di rumah Makcik Aina tadi... Kenapa tidak digunakan sahaja topi-topi keledar itu? Atau dia sengaja mengunakan jalan ini kerana takut anak Malaysia itu akan ditahan pihak berkuasa? Takut jika Rasyid dikaitkan dengan puak pemisah GAM?

Sampai satu ketika, mereka terpaksa berpatah jauh ke dalam ladang kelapa sawit semata-mata untuk mencari jalan lain apabila terdapat sekatan polis di jalanraya utama 10km ke Tanjung Balai. Apapun, mereka selamat sampai... Cuma sudah terlambat untuk mengejar perkhidmatan feri ke Port Klang yang rupa-rupanya berlepas  9 pagi... Terpaksalah Rasyid bermalam di bandar yang pernah menjadi pusat pemerintahan sebuah keSultanan lama bernama Asahan yang pernah runtuh bersama beberapa keSultanan lain Sumatera akibat revolusi rakyat 1946 tajaan pihak komunis yang menyaksikan ramai kerabat diraja dibunuh dan dipijak rakyat bawahan. Saki-baki keSultanan yang timbul kemudian hilang kekuasaan, tinggal  lambang yang terpaksa tunduk kepada Jakarta... KeSultanan Asahan yang meliputi Batubara pun ditukar menjadi kabupaten atau daerah Asahan.

Selepas minum petang, adik Makcik Aina menurunkan Rasyid di perkarangan Masjid Raya Tanjung Balai. Mereka bersalaman lalu mengucapkan selamat tinggal. Anak Malaysia itu melangkah masuk ke perkarangan masjid, terserempak dengan sebuah makam yang menonjol berdekatan pintu masuk utama masjid. Makam itu milik Sultan Asahan yang bernama Sultan Saibun Abdul Jalil Rahmat Shah, mangkat 1980.

Aitt? Namanya seperti nama suami Makcik Aina, Pakcik Saibun. Apakah ada yang tersirat di sebalik ini… Apakah pakcik itu berasal daripada keSultanan Asahan sepertimana Abang Arman di Medan mempunyai darah keSultanan Serdang yang merupakan pecahan keSultanan Deli? Atau dia seperti Pakcik Hassan Oka di Pengkalan Brandan yang terletak dalam wilayah keSultanan Langkat tetapi berasal daripada keSultanan Siak?

Ah…Nampaknya Rasyid ‘dipanggil’ ke sini untuk menelusuri sedikit sejarah kerajaan tersebut. Mungkin kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan keSultanan Aceh, mungkin ada sesuatu untuk diambil iktibar?


                                        ——————————


KeSultanan Asahan boleh dikira lebih beruntung daripada keSultanan Aceh. Walaupun Sultan sekarang, Sultan Kamal Ibrahim Abdul Jalil Rahmat Shah, anakanda Sultan Saibun hanya tinggal lambang kerajaan era lama yang kurang dipandang masyarakat moden, sekurang-kurangnya wilayah bekas jajahan takluk Aceh ini masih juga mempunyai raja. Sultan Saibun yang ditabalkan 1915 pula sempat memerintah sebagai raja berdaulat yang mempunyai kuasa mutlak selama 30 tahun sebelum Republik Indonesia diasaskan 1945... Dan walaupun kuasanya selepas itu tidak meluas seperti dahulu, baginda  masih dapat memegang takhta sehingga 1980 sedangkan keSultanan Aceh telah ditamatkan secara rasmi oleh Belanda 1903!

Apapun, keSultanan Asahan sebenarnya bukan calang-calang. Kajian Rasyid menunjukkan walaupun wilayah kekuasaannya tidak sebesar mana, mungkin sebesar Negeri Sembilan sahaja, ia berasal daripada keturunan raja-raja yang sangat berdaulat, keturunan raja dan penakluk agung dari Aceh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang pernah menundukkan hampir seluruh bumi Nusantara. Ini bermula apabila penakluk besar itu singgah di Asahan dalam perjalanan  ke Semenanjung Tanah Melayu. Baginda sempat berkahwin dengan seorang puteri raja tempatan lalu mendapat anak lelaki yang diberi nama Raja Abdul Jalil.

Pada 1630, anakanda Iskanda Muda ini telah diberi kekuasaan dan hak memerintah ke atas Asahan yang merupakan sebahagian daripada jajahan takluk Aceh. Anak cucu Raja Abdul Jalil terus memerintah sebagai wakil keSultanan Aceh sehingga 1813, apabila kekuasaan Aceh ke atas Sumatera merosot jauh dan keSultanan Siak yang disokong Belanda menunjukkan belang.  Seorang daripada mereka telah mengisytiharkan wilayah itu merdeka daripada Aceh. Dia mengangkat diri sebagai Sultan pertama Asahan dengan memakai nama Sultan Muhammad Husain Rahmat Shah.

Sumber lain pula menyebut, orang ini bukan Raja Asahan yang sebenar. Bapanya Raja Muhammad Ali Shah telah merampas hak anak saudaranya, Raja Muhammad Ishaq yang dilahirkan tiga bulan selepas Raja Said Musa Shah (memerintah Asahan 1805-1808) mangkat. Peluang ini telah diambil oleh adinda Raja Said iaitu Raja Muhammad Ali untuk menguasai kerajaan. Para bangsawan Asahan yang tidak bersetuju dengan tindakan Raja Muhammad Ali telah membawa Raja Ishaq yang masih bayi lari ke wilayah Kualuh dan mengisytiharkannya sebagai pemerintah di sana sementara  Asahan terus diperintah oleh Raja Ali hingga beliau mangkat 1813.

 Setelah itu, seorang anaknya pun naik menjadi pemerintah Asahan. Jika pemerintah sebelumnya memakai gelaran raja kerana bertindak sebagai wakil di bawah kekuasaan empayar Aceh, beliau pula mengisytiharkan wilayah itu merdeka lalu ditabalkan sebagai Sultan Husain Rahmat Shah. Raja ini memerintah selama 46 tahun. Apabila beliau mangkat, terjadi pergaduhan besar di antara keluarganya dengan keluarga Raja Ishaq, waris kerajaan Asahan yang sebenar... Tetapi keluarga Sultan Husain terus memegang takhta dengan pertabalan anaknya Tengku Ahmad Shah yang memakai nama Sultan Ahmad Shah 1859.

Keluarga Raja Ishaq sempat berkuasa seketika apabila pihak Belanda menjatuhkan Sultan Ahmad 1865 lalu digantikan dengan Tuanku Al-Haji Abdullah Nikmatullah Shah ibni Al-Marhum Raja Muhammad Ishaq. Tetapi atas sebab-sebab tertentu, raja ini pula dijatuhkan  1867 dan Sultan Ahmad diberi balik kuasa. Menurut salasilah keSultanan Asahan, Sultan Ahmad mangkat 1888 tanpa meninggalkan waris laki-laki. Lalu raja inipun digantikan seorang anak saudara yang memakai nama Sultan Muhammad Husain Rahmat Shah II ibni Al-Marhum Tengku Muhammad Adil.

Sultan ini mangkat 1915 lalu digantikan anak ke enam. Ini disebabkan anak pertamanya Tengku Amir mangkat lebih awal sedangkan empat anak lelaki berikutnya bukan anak gahara. Maka naiklah Sultan Saibun Abdul Jalil Rahmat Shah... Bagindalah raja yang mangkat tahun 1980 lalu dimakamkan berhampiran pintu masuk utama Masjid Raya Tanjung Balai.

Petang itu, setelah menunaikan solat Asar, Rasyid berjalan-jalan di sekitar perkarangan masjid yang agak cantik dan unik ini.  Tidak ingat bagaimana rekabentuknya secara terperinci tetapi memang menarik. Hah… Rasanya ada sedikit persamaan dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur yang terletak di antara pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak. Ya… Lebih kurang begitulah rupanya tetapi warnanya lain, cair kebiruan…

Setelah selesai berjalan mengelilingi masjid, baru pemuda ini sedar di kawasan lapang berhadapan mimbar terdapat banyak lagi makam-makam milik kerabat diraja Asahan. Dia tergerak untuk memilih anjung kanan di luar tempat imam sebagai tempat tidur malam... Letaknya bersebelahan sebuah makam dengan sepasang batu nesan terserlah paling besar, masing-masing setinggi orang dewasa, tidak ingatlah makam siapa…


                                        ——————————


Malam itu, Rasyid keluar makan di sebuah warung berhampiran, ditemani seorang tua penjaga masjid yang kaki sebelahnya tempang. Sepanjang malam bandar Tanjung Balai riuh rendah dengan bunyi mercun yang sangat bising, bingit dibakar sempena sambutan Tahun Baru Cina. Kata orang tua itu, bandar ini dikuasai kaum Cina yang memegang hampir segala bentuk perniagaan. Pihak polis mahupun tentera ‘tidak berani’ menegur walaupun perbuatan mereka bermain mercun daripada awal malam sehingga ke pagi boleh menganggu ketenteraman awam.

“Orang Melayu di sini tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka kebanyakannya miskin, tidak berapa dipedulikan pihak pemerintah,” dia memberitahu. “Kami cuma boleh melihat apa yang berlaku, itu sahaja...”

“Ini perkara biasa ditempat yang ramai orang Cina” Rasyid memotong. “Agaknya sebab orang Cina banyak duit, boleh beri rasuah?”

Orang tua itu tidak terkata apa-apa... Cuma mengangguk bersetuju dengan muka kesal. Beginilah rata-rata nasib orang Melayu di Sumatera, sering dianak-tirikan para pemerintah yang berpusat di Jakarta. Sekurang-kurangnya di Malaysia terdapat ramai orang Melayu berada. Di Sumatera keadaannya begitu jauh berbeza... Patutlah orang Aceh begitu marah…

Selepas makan dan berehat sebentar di warung memerhatikan keadaan, pemuda itu kembali ke masjid lalu berkenalan pula dengan seorang pakcik yang mengaku berasal daripada bumi Serambi Mekah. Umurnya sudah melepasi 50an tetapi orangnya masih tegap dan segak... Air mukanya penuh keyakinan, ada gaya seorang perajurit, askar ataupun pahlawan perang.

Mengikut ceritanya, dia sudah lebih dua bulan meninggalkan Aceh lalu menumpang tidur di masjid ini, lebih 400km daripada sempadan tanah-airnya! Tidak tahulah kenapa kerana pakcik ini tidak mahu menceritakan sebabnya. Entah-entah dia ini orang GAM? Daripada perawakannya, memang ada gaya mata-mata, seorang military intelligence

Pakcik itu tersenyum lebar apabila anak Malaysia ini menceritakan tujuan kedatangannya ke Sumatera, juga pengalamannya berada di Langsa sebelum dihalau keluar. Rasyid turut menceritakan  perkara hampir sama yang berlaku di Pengkalan Brandan... Terfikir juga untuk bertanya jika orang ini dapat menolongnya masuk ke Aceh kerana dapat merasakan memang pakcik ini mempunyai kaitan dengan puak pemisah. Tetapi dia tidak jadi menyuarakan niat itu apabila melihatnya seolah-olah cuba mengelak daripada bercakap tentang bumi Serambi Mekah.

Fikiran Rasyid pun mengimbas kembali ke malam sebelumnya ketika sedang bersantai menikmati angin laut di jeti Tanjung Tiram... Selepas keluarga Makcik Aina memberitahu orang-orang GAM selalu datang ke ke bandar pelabuhan ini yang dipanggil warga tempatan sebagai wilayah Batubara. Semasa itu terbetik juga harapan supaya puak pemisah dapat menolongnya menyusup masuk ke Aceh. Pemuda ini merasakan biarlah dirinya disandera, diculik mereka asalkan dapat menziarahi makam Sultan Malikus Salih yang merupakan tujuan utamanya datang ke Sumatera. Sekarang terjumpa pula pakcik ini yang memiliki gaya seorang anggota GAM... Apakah mungkin masih ada peluang untuknya masuk ke Aceh?

Rasyid masuk tidur dengan harapan akan diculik puak pemisah ketika sedang tidur nyenyak... Yang penting dapat masuk ke Aceh walaupun sebagai tawanan. Jauh sungguh angan-angannya sehingga pemuda itu terasa sanggup merengkok di dalam penjara, sanggup terkorban nyawa asalkan dapat melawat makam moyang di sana terlebih dahulu. Begitu tinggi hasratnya untuk menjejakkan kaki ke tapak kerajaan Samudera-Pasai.

Kalau tidak diculik pun, dia berharap agar  berlaku sesuatu keajaiban, satu magic yang mana dengan kuasa dan takdir Allah, tiba-tiba dia mendapati dirinya berada di sana. Manalah tahu, Tuhan Yang Maha Kuasa hendak menunjukkan kebesaranNya? Sekurang-kurangnya jika jasad yang nyata ini tidak dapat ke bumi Serambi Mekah, biarlah roh yang bebas daripada sekatan ruang dan masa pula dibawa melayang-layang ke kampung halaman nenek moyangnya yang sangat didambakan. Bagilah dia peluang…

Sebeum menutup mata, Rasyid memanjatkan doa agar salah satu permintaan ini dimakbulkan -   Samada diangkut oleh orang GAM walaupun terpaksa diculik, diangkat secara ghaib (mungkin jin Aladdin datang atau muncul tikar terbang?) atau bergerak dalam mimpi ke Aceh (mimpi yang benar, bukan angan-angan). Ternyata harapan ini cuma tinggal angan-angan gila sahaja, harapan orang yang sudah buang tebiat... Apabila pemuda itu bangun Subuh keesokannya, dia masih lagi berada di Masjid Raya Tanjung Balai, lebih 400km daripada sempadan Aceh. Tidak ada penculik, tidak ada orang GAM... Tidak ada jalan kembali masuk ke Aceh dan tidak ada mimpi indah yang membawanya ke Samudera-Pasai. Maka telah tetaplah takdir bahawa anak Malaysia ini mesti kembali ke tanah-air...


                                             ————————

Selesai solat Subuh dan rehat, Rasyid terus berjalan ke tempat menjual tiket feri yang dibuka sekitar jam 8 pagi. Semalam, adik Makcik Aina telah membawanya ke sana... Ketika itu jam 4 petang dan kedai yang rupanya seperti kedai runcit buruk di belakang Chow Kit itu sudah tutup. Baru sekarang dibuka dan ramai orang sedang menunggu membeli tiket.

Salah satu sebab utama anak muda ini memilih untuk kembali ke Malaysia melalui Tanjung Balai adalah kerana jarak perjalanannya hampir separuh perjalanan Pulau Pinang ke Medan melalui Belawan yang diambil untuk masuk ke Sumatera dahulu. Maka itu, dia menjangkakan tambangnya adalah separuh tambang ketika itu iaitu RM90. Lalu Rasyid beranggapan wang 80,000 Rupiah yang masih ada, baki daripada 666,000 Rupiah yang dibawa ketika mula-mula memasuki Indonesia dahulu sudah cukup untuk membawanya kembali ke tanah-air melalui Port Klang.

Rupa-rupanya jangkaannya meleset. Duit itu bukan sahaja tidak cukup malah nyonya yang menjaga urusan jual-beli tiket memintanya membayar hampir 300,000 Rupiah atau sekitar RM150, jauh lebih tinggi dari tambang lalu! Terbetik rasa menyesal, kenapa tidak mengambil return ticket, tiket pergi-balik semasa bertolak dari Pulau Pinang... Bukankan lebih senang? Dengan harga tambang sebanyak itu, anak muda ini boleh membeli return ticket, cuma dia perlu bertolak balik melalui Belawan, itu sahaja...

Nasib baik Rasyid ada menyimpan duit sebanyak RM100 yang diselitkan di dalam dompet, baki terakhir duit jualan saham sebelum memulakan perjalanannya “Berpetualang ke Aceh”. Nyonya itu dapat menerima wang Malaysia walaupun pemuda itu sebenarnya kerugian kerana wanita ini mengira dengan kadar RM1 bersamaan 2,000 Rupiah sedangkan semasa di Pulau Pinang, kadar tukaran adalah  RM1 bersamaan 2,220 Rupiah. Tetapi apa boleh dibuat? Itulah satu-satunya perkhidmatan feri yang ada...

Apabila menaiki feri pula, Rasyid diminta membayar 20,000 Rupiah semata-mata untuk perkhidmatan mengangkut beg dari jeti naik ke atas feri. Gilakah hendak membayar wang sebanyak ini setakat untuk mengangkut beg galas yang boleh diangkat dengan sebelah tangan? Tetapi mengikut kata pekerja di jeti, beg-beg pakaian dan segala bentuk bagasi tidak boleh diangkut sendiri oleh tuan punya, mesti melalui mereka… Macam-macam helah mereka hendak mencari duit. Sakit hati pemuda itu  dipaksa membayar wang untuk kerja yang tidak seberapa, lebih-lebih lagi kerana dia  hampir kehabisan wang, tinggal tidak sampai RM5 sahaja!

Baki itu setakat cukup untuk tambang keretapi komuter Port Klang ke Kuala Lumpur campur tambang bas ke rumah makcik di Ampang. Setelah bertengkar habis-habisan baru Rasyid dibenarkan masuk tanpa menjelaskan bayaran. Lagipun mereka sudah membuat banyak untung…. Bayangkan,  lebih 100 orang penumpang masing-masing disuruh membayar 20,000 Rupiah... Paling kurang 10,000 Rupiah, itupun kalau berani berunding.

Kebanyakan penumpang terutama warga Indonesia yang mahu kembali ke Malaysia untuk meneruskan pekerjaan sebagai pembantu rumah atau pekerja rendah sektor perkilangan juga mereka yang baru mengintai peluang pekerjaan di Malaysia tidak berani membantah lalu membayar sahaja jumlah yang diminta. Maka busuk-busuk pun pekerja-pekerja ini boleh mendapat 1 juta rupiah, dekat RM500 sekali perjalanan feri! Jika dibahagi kepada mereka yang ada, agaknya termasuk pihak kastam dan imigresyen yang membiarkan ini berlaku, boleh dapat RM50 sehari seorang atau hampir 100,000 Rupiah, satu jumlah yang agak besar di Indonesia.

Inilah salah satu sebab kenapa Rasyid sudah terasa begitu penat berada di Indonesia. Perjalanan di sana yang memakan masa 19 hari kesemuanya sehingga  meliputi Langsa di utara, Medan di tengah-tengah dan Tanjung Balai di selatan menunjukkan segala-galanya adalah tentang wang belaka, duit yang menjadi faktor utama. Maka wujudlah ‘kaki sembelih’ merata, dari tepian jalan, tempat-tempat makan sampai ke perkarangan Masjid Raya Al Mansun dan Istana Maimon di Medan. Malah boleh dikatakan hampir di semua tempat, ada sahaja manusia cuba mengintai peluang untuk mendapatkan wang. Hinggakan Kampung Babussalam yang merupakan sebuah pusat kerohanian malah di hadapan makam pengasas kampung ini yang bertaraf wali iaitu Sheikh Abdul Wahab pun wujud mata duitan...

Teringat bagaimana dia ‘termakan’ cerita sedih seorang pengayuh beca yang membawanya dari Tanjung Pura ke Babussalam menyebabkannya membayar tambang 20,000 Rupiah sedangkan Rasyid boleh menaiki motosikal dengan membayar 2,000 Rupiah sahaja...  Keesokannya dia terpaksa membayar  20,000 Rupiah lagi untuk perjalanan bas Tanjung Pura ke Langsa  sedangkan itu adalah tambang dari Medan ke Langsa, hampir dua kali jarak Medan ke Tanjung Pura. Belum dikira harga makan minum di beberapa tempat selama berada di Sumatera... Boleh kata semua harga barangan sengaja dinaikkan peniaga tempatan apabila sedar anak muda ini orang Malaysia yang tidak tahu harga sebenar di tempat mereka....

Oh, terlupa hendak bercerita… Semasa ditahan pihak imigresen di Langsa lima hari lepas, Rasyid telah diminta membayar wang sebanyak 100,000 Rupiah, kononnya duit minyak untuk ‘menghantar’nya keluar Aceh, sehingga ke sempadan Sumatera Utara-Aceh yang letaknya cuma 40km ke selatan. Bukankah gila namanya itu? Sudahlah dipaksa keluar, disuruh lagi membayar wang yang nilainya hampir RM50 pula!

Pemuda itupun meminta belas kasihan supaya tidak perlu membayar apa-apa. Ketika itu dia memiliki kurang 200,000 Rupiah sedangkan perjalanan masih jauh, harus memikirkan tambang dan makan minum...

Fikirkanlah. Selama inipun dia setakat mampu tidur bersepah atau menumpang di masjid. Dengan budget yang dimiliki, mungkin Rasyid mampu bermalam di hotel murah empat lima hari... Jika sanggup berjalan tanpa makan-minum dan duit tambang. Nasib baik ada orang-orang seperti Kak Dewi di Medan dan Pakcik Hassan Oka di Pengkalan Brandan yang sudi menjemputnya menginap di rumah. Bagaimana pula wang untuk tambang feri kembali ke Malaysia nanti?…  Itu pun harus difikirkan juga.

Apabila pegawai imigresyen terus memaksa, anak Malaysia ini cuba menurunkan jumlah bayaran kepada 20,000 Rupiah. Orang itu  menggertak akan menyumbatkannya ke dalam lokap jika tidak mahu membayar jumlah yang dipinta. Katanya, dia boleh berbuat begitu kerana pemuda ini sudah membuat kesalahan besar dengan memasuki Aceh tanpa keizinan Menteri Kehakiman di Jakarta. Akhirnya, Rasyid terpaksa membayar juga tetapi dapatlah dikurangkan ke 50,000 Rupiah.

Memikirkan ini semua, dia meninggalkan Tanjung Balai, Sumatera dan Indonesia dengan perasaan lega. Sekurang-kurangnya tidak perlu lagi berurusan dengan orang-orang yang sentiasa mencari peluang untuk ‘menyembelih’ . Rupa-rupanya di Tanjung Balai inilah pemuda ini kena  paling teruk... Tetapi dia baru tersedar setelah sampai ke Port Klang.

Ketika menunggu giliran pemeriksaan immigresen Malaysia, seorang lelaki berketurunan Jawa dari Kelang yang selalu berulang-alik ke Sumatera menegur lalu memberitahu Rasyid sudah kena tipu. Sebenarnya dia berada di sebelah semasa pemuda itu membeli tiket feri di Tanjung Balai tetapi mereka tidak bertegur-sapa. Katanya, tambang hampir 300,000 Rupiah (lupa jumlah sebenarnya, kalau tidak silap 275,000 Rupiah bersamaan RM125) adalah tambang return ticket, tiket pergi-balik Tanjung Balai ke Port Klang, Katanya lagi, wanita Cina Indonesia itu memang kuat menipu...

Dalam perjalanan ke pusat bandaraya Kuala Lumpur, Rasyid mengimbas kembali ‘petualangan’nya ke Aceh dan apa yang berlaku 19 hari kebelakangan. Kenapa setakat sampai ke Langsa, 40km ke dalam wilayah Aceh, kemudian selepas tiga malam boleh dihalau keluar  pada pagi hendak bergerak ke Perlak? Kenapa dapat melepasi berbagai halangan termasuk sekatan askar tetapi tidak sempat sampai ke Perlak, apalagi ke tapak kerajaan Samudera-Pasai untuk menziarahi Makam Sultan Malikus Salih? Bukankah itu tujuan utamanya memulakan perjalanan?

 Sekarang, setelah menjejakkan kaki di tanah-air, setelah keretapi komuter hampir sampai ke Kuala Lumpur, baru Rasyid dapat menelaah apa yang berlaku dengan lebih jelas. Selagi berada di Sumatera, selagi itu  dia terasa masih mempunyai harapan untuk kembali masuk ke Aceh... Walaupun melalui cara tidak masuk akal sihat seperti membiarkan dirinya diculik orang GAM semasa di Batubara atau di Tanjung Balai.

Mungkin kalau tidak ada jalan lain, bekas wartawan ini boleh menyeludup masuk. Tentu ada orang yang boleh mengaturkan jika perlu. Cuma risikonya amat tinggi kerana Rasyid boleh ditembak mati jika dikesan pihak polis ataupun tentera. Tetapi tidak mustahil dia akan berbuat begini jika mendapat  tanda, gerak hati ataupun firasat menyuruhnya pergi. Sebaliknya dia mendapat ‘arahan’ untuk menghala ke selatan pula, ke Batubara lalu terus kembali ke tanah air atas sebab-sebab yang tertentu.

Dari satu segi, perjalanan di Sumatera itu adalah perjalanan di DALAM Aceh juga… Ini kerana semua tempat yang dilawati baik Medan, Tanjung Pura, Kampung Babussalam, Pengkalan Brandan, Teluk Aru dan Pulau Kampai, mahupun Batubara dan Tanjung Balai pernah berada di dalam lingkungan jajahan takluk Aceh terutama semasa Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam memerintah 1607-1636. Beberapa tempat berada di dalam lingkungan  tersebut sehingga 1669 apabila Tuanku Panglima Perunggit, anakanda Laksamana Khoja Bintan yang memerintah Deli sebagai wakil Aceh di bekas wilayah kerajaan Haru mengisytiharkan Deli yang berpusat di Medan merdeka daripada Aceh. Langkat yang mengandungi Tanjung Pura dan Pengkalan Brandan pula diisytiharkan merdeka daripada Aceh  abad ke 19, begitu juga Asahan yang mengandungi Tanjung Tiram (atau Batubara) dan Tanjung Balai. Ini semua berlaku ketika Aceh mula menghadapi ancaman secara terang-terangan dari pihak penjajah Belanda yang telah meluaskan sayap kekuasaan ke hampir seluruh kepulauan Indonesia,

 Sejarah menyaksikan bagaimana Belanda menolong keSultanan Siak mengembangkan pengaruh ke atas beberapa bekas jajahan takluk Aceh. Kononnya ini dilakukan atas dasar mereka ‘bersahabat’ walhal Belanda cuma mahu mendapatkan wilayah-wilayah ini untuk kepentingan diri.

Deli menjadi keSultanan sendiri apabila cucu Panglima Perunggit, Tuanku Amal diangkat menjadi Sultan Panglima Mangedar Alam dengan akta Sultan Siak bertarikh 8 Mac 1814 yang disokong Belanda. Asahan yang terletak lebih jauh ke selatan pula mula mempunyai  Sultan 1813 seperti  diceritakan awal tadi.  KeSultanan Langkat pernah diserang Siak 1818  lalu Belanda menggunakan peluang ini untuk mengisytiharkannya berada di luar kekuasaan Aceh. Tetapi negeri ini yang terletak di selatan sempadan Sumatera Utara-Aceh sekarang telah ditakluki Aceh kembali 1854. Rajanya ketika itu, Tengku Ngah Musa (memerintah 1840-1893) diberi gelaran Pengeran Indra di-Raja Amir Pahlawan Sultan Aceh.

Pada 1869, Langkat menandatangani perjanjian dengan Belanda yang membolehkannya bebas daripada pengaruh Aceh mahupun Siak. Pada 1887 raja ini dinaikkan taraf menjadi Sultan Musa Muazam Shah. Ketika itu Belanda secara rasmi sedang berperang dengan Aceh. Perang bermula  1873 yang akan memakan masa 70 tahun ini merupakan susulan pendudukan Belanda ke atas Siak, akibat perjanjian Siak dengan Belanda 1858 yang memaksa Sultan ketika itu, Sultan Ismail menyerahkan Deli, Langkat, Asahan dan Serdang (satu pecahan kerajaan Deli) kepada Belanda, wilayah-wilayah yang asalnya berada di bawah kekuasaan Aceh.

Sejarah rasmi mencatatkan Deli, Langkat, Asahan dan Serdang  meloloskan diri daripada pengaruh Aceh selepas abad ke 18 lalu dikatakan berada di bawah lingkungan pengaruh Siak. Hakikatnya wilayah-wilayah ini tidak pernah menjadi jajahan takluk Siak tetapi pernah cuba diduduki keSultanan ini yang meningkat naik awal abad ke 19. Belanda pula yang menyokong Siak lalu membuat perisytiharan mengatakan wilayah-wilayah ini kononnya milik kuasa baru itu. Hakikatnya, penjajah Barat itu berhajat untuk memecah-belahkan wilayah jajahan takluk Aceh dengan memperalatkan Siak... Lagipun sejarah juga mencatatkan, keSultanan itu terhutang budi kepada Belanda kerana Dinasti Sayyid yang menaiki takhta Siak 1797 dapat menggantikan dinasti terdahulu yang berketurunan Raja Kechil yang pernah memerintah Johor atas sokongan Belanda jua. Bukankah ini akan menyebabkan muncul udang di sebalik batu nanti?

Siak dan Belanda juga menjadi ‘sahabat’ baik kerana Sultan pertama Dinasti Sayyid ini, Sayyid Ali dari keluarga al Shahab yang mempunyai kaitan dengan keluarga Sayyid di Perak pernah menolong Belanda mengalahkan Selangor lebih 10 tahun dahulu. Apakah orang ini dan ahli keluarganya yang terus memegang takhta kerajaan Siak tidak dapat menduga niat sebenar Belanda di sebalik sokongan dan ‘persahabatan’ ini?

Apabila bekas jajahan takluk Aceh seperti Langkat dan Asahan telah berjaya ‘dimiliki’ Siak, Belanda pun melanggar kerajaan itu lalu memaksa Sultan Ismail menandatangani Perjanjian Siak 1858. Akibatnya menyebabkan wilayah-wilayah ini termasuk Siak sendiri berada di bawah kekuasaan Belanda. Maka tergadailah lagi negeri-negeri milik Melayu... Terjajahlah bangsa di bawah telunjuk penjajah durjana.

Perjanjian Siak boleh dikatakan adalah satu natijah dari Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang ditandatangani 30 tahun lebih awal, perjanjian yang telah menyaksikan bumi Melayu difaraidkan, dipecah kepada dua bahagian untuk dibahagikan sesama mereka sesuka rasa... Sumatera, Jawa serta pulau-pulau di selatan Singapura telah diserahkan ke bawah pengaruh kekuasaan Belanda sementara Inggeris pula menguasai Singapura, Semenanjung Malaysia dan sebahagian Pulau Borneo. Perjanjian Inggeris-Belanda ini juga menyaksikan empayar Johor-Riau-Lingga yang merupakan kesinambungan empayar Melaka dipecah dua...  Ia terus dipecahkan menjadi beberapa buah negeri lebih kecil yang masing-masing mempunyai keSultanannya sendiri, keSultanan-keSultanan yang kononnya merdeka kerana tidak perlu tunduk di bawah kuasa besar Melayu seperi Empayar Johor mahupun Aceh tetapi ternyata semakin lemah untuk menangkis pengaruh kekuasaan Barat yang pandai mengadu-domba...

Apapun Perjanjian 1824 itu tidak akan bermakna jika Belanda tidak dapat menakluki atau sekurang-kurangnya mengekang keSultanan Aceh. Mereka tahu, selagi Aceh berpengaruh, selagi itulah mereka tidak akan berjaya mendapatkan kekuasaan sepenuhnya ke atas bahagian Nusantara yang telah difaraidkan kepada mereka seperti termaktub dalam perjanjian dengan  Inggeris. Maka itu, kekuasaan serta pengaruh Aceh cuba dihakis secara berperingkat dengan memecah-belahkan wilayah takluknya. Sampai masanya, Aceh  pun diserang terang-terangan dan ini berlaku 1873...


                                                ———————


Kembali kepada imbasan perjalanan Rasyid... Jika tidak kerana tipu-muslihat penjajah memecah-belahkan bekas jajahan takluk Aceh sehingga menjadi beberapa keSultanan yang tersendiri, seluruh perjalanannya di Sumatera itu boleh dikatakan berlaku di Aceh. Tentang niat mahu menjejakkan kaki di tapak kerajaan Samudera-Pasai, bukankah Langsa yang menjadi tempatnya singgah tiga hari tiga malam itu pernah terletak di dalam  keSultanan lama Perlak? Perlak pula diserapkan di bawah sempadan dan kekuasaan Samudera-Pasai... Maka walaupun anak muda berketurunan Aceh ini cuma sampai di Langsa yang terletak 40km sahaja ke dalam Aceh, dia sebenarnya sudah sampai ke tapak kerajaan Samudera-Pasai juga!

Nama Sumatera diketahui berasal daripada perkataan Samudera. Pedagang dahulukala mengenali seluruh Pulau Sumatera sebagai jajahan takluk wilayah naungan kerajaan Samudera Pasai. Maka perjalanan Rasyid yang meliputi Medan, Tanjung Pura, Pengkalan Brandan, Pulau Kampai, Langsa, Batubara dan Tanjung Balai juga boleh dikira sebagai perjalanan di dalam kerajaan dan wilayah jajahan takluk Samudera Pasai! Cuma dia tidak sampai ke pusat kerajaan yang terletak 20km ke selatan bandar industri Lhokseumawe, tempat yang sekarang dikenali sebagai Geudong... Tidak dapat menziarahi makam nenda yang tercinta, Sultan Malikus Salih.

Apakah ini berlaku kerana Rasyid tidak memenuhi syarat tertentu? Kerana tidak membawa orang yang sepatutnya turut menziarahi makam ini bersama seperti pernah dilihatnya dalam sebuah bayangan lebih enam bulan sebelum sampai ke Aceh? Bukankah Nur, teman setia yang amat disayanginya  juga pernah mendapat bayangan yang sama? Maka mungkin anak muda ini cuma dapat ke sana jika si dia juga turut bersama...

Rupa-rupanya, perjalanan kembali ke Malaysia setelah berada cuma 19 hari sahaja di Sumatera itu ternyata ada kena mengena dengan si  Nur. Wanita ini sedang menghadapi satu masalah besar maka lelaki itu terpaksa kembali untuk menyelamatkannya.... Yang pasti, mereka tidak boleh berenggang terlalu lama. Walaupun berbagai halangan menyebabkan pasangan ini belum dapat bersama sebagai suami isteri, hakikatnya jiwa mereka tetap bertaut erat sehingga saling memerlukan satu sama lain...