-------------
Salam semua. Malam semalam sekitar jam 9 saya telah memulakan perjalanan ke Kelantan untuk HIKMAH IV, singgah sebentar berjumpa kawan dan keluarganya di Lurah Bilut berdekatan Raub, Pahang. Hampir tengah malam baru menyambung kembali perjalanan. Kami sampai ke destinasi iaitu Kandis, Bachok jam 5 pagi lalu berehat di Masjid Kuala Kandis sebelum bersolat Subuh. Setelah hari siang baru ke Akademi Nik Rashiddin yang terletak cuma 300 meter dari masjid untuk berbincang hal persiapan HIKMAH IV dengan Puan Rosnawati, pengarah ANR juga pemilik premis.
Selepas sarapan kami pergi ke homestay berdekatan meletakkan barang sebelum menuju ke Kota Bahru untuk satu dua hal termasuk melihat pertandingan kuda di Pengkalan Chepa. Masuk tengah hari saya dah tak larat nak tahan mengantuk lalu kami sekeluarga bersama seorang rakan yang ikut sama dari Lembah Kelang kembali ke homestay untuk berehat. Petang selepas Asar baru ke ANR lagi. Sukacita kami melihat ketika itu persiapan untuk HIKMAH IV sedang giat dilakukan.
Ketika kami sampai awal pagi belum kelihatan ANR sudah dipersiapkan secara fizikal untuk menerima acara. Tetapi ketika sampai petang sudah kelihatan bunting dan banner dipasang. Sayangnya ini tidak dapat ditunjukkan dengan gambar. Entah kenapa ada gambar-gambar yang dimuat-naik menggunakan Celcom Broadband di ANR tidak mahu keluar. Walhal kalau ikut HTML coding ia sudah pun masuk ke dalam sistem.
Tak mengapa. Kita tunjukkan sahaja apa yang dapat. Kelihatan dalam kawasan sejumlah kereta...
Kawan-kawan dari Kelantan terutama dari Kelab Pencinta Sejarah Kelantan (KPSK) sudah menjalankan kerja. Rupa-rupanya mereka sudah sampai jam 3.30 petang. Meriah juga keadaan apabila berjumpa mereka dan sejumlah sukarelawan yang selama ini cuma dikenali dan berhubung melalui Facebook.
Kemudian muncul lori membawa dua buah khemah besar dan 100 buah kerusi. Biar dimaklumkan sebuah khemah ditaja pihak kami hasil sumbangan kawan dan kenalan yang prihatin, lagi satu khemah berserta kerusi disumbangkan KPSK.
Sambil khemah didirikan saya melihat persiapan lain yang telah dibuat kawan-kawan.
Pentas mahu didirikan di sini.
Peserta boleh mengikuti acara dengan bersila di bahagian ini. Sesetengah kawasan ada tempat duduk termasuk khemah.
Meja pendaftaran belum betul-betul disediakan. Kelihatan sejumlah buku yang saya bawa dari Lembah Kelang belum diatur lagi.
Gambar khemah setelah siap tidak dapat ditunjukkan kerana masalah Celcom Broadband. Di sini biar ditunjukkan satu bahagian pameran dan jualan dengan buku-buku saya sudah diatur pada malam hari. Cukuplah cerita ringkas ini ya. In syaa Allah bertemu kita di sini siang nanti. :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan