Sabtu, Julai 13, 2013

Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Keluar dari Makassar selepas 3 hari berehat

OK. Malam ini, Sabtu malam Ahad 13/7/13 adalah malam ke-5 bulan Ramadhan. Malam ini biarlah disambung cerita perjalanan, dari artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Sheikh Yusuf dan pertentangan antara Sultan Hasanuddin dengan Arung Palakka yang dibuat Isnin lalu.


Pada awal artikel lalu ada disebut bahawa saya mahu menamatkan bahagian awal penceritaan perjalanan ke Tanah Bugis-Makassar 3-12 Mei 2013. Artikel itu sendiri merujuk pada aktiviti hari ke-3 kami berada di Makassar iaitu Ahad 5 Mei 2013. Ketika itu rakyat Malaysia sedang mengundi untuk PRU-13.


Selepas itu kami lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Dalam tempoh 3 hari iaitu dari Isnin ke Rabu kami sekadar ada keluar ke kedai berdekatan rumah, dengan saya menaiki kerusi roda bersama anak-anak dan isteri menolak. Maka tidak ada yang mahu diceritakan sangat. Tempoh 3 hari rehat boleh dikatakan pemisah antara bahagian awal perjalanan dan bahagian yang seterusnya.


Dalam 3 hari itu saya mengambil peluang untuk menelaah 2-3 buku terutama satu yang bertajuk "Salasilah Melayu dan Bugis". Saya juga dapat merehatkan kaki yang telah bengkak teruk akibat perjalanan 3-5 Mei. Rehat ini diperlukan kerana kami akan berjalan lebih jauh. Selain itu, Ibu Nur, tuan punya rumah dan hos kami mahu menunggu dua orang lagi tetamu ikut sama. 

Adapun petang Rabu ada kawan Ibu Nur mahu datang dari Malaysia. Beliau adalah seorang mahasiswa Aceh yang menuntut di Universiti Malaya, kawan saya dan isteri juga. Kawan ini mahu datang bersama seorang rakan sekuliah, seorang rakyat berbangsa Cina rakyat Malaysia. Namun kawan dari Aceh itu menghadapi masalah paspot lalu tidak dibenarkan menaiki pesawat. Ini menyebabkan beliau harus menunggu hari lain untuk datang ke Makassar, kawan Cina itu terpaksa datang bersendirian...


Pagi Khamis 9 Mei, selepas 6 hari berada di Makassar dan persekitarannya, buat pertama kali saya, isteri dan anak-anak pergi keluar jauh. Aktiviti hari itu menjadi permulaan bahagian kedua atau seterusnya perjalanan. Ada tempat-tempat lebih penting berkaitan salasilah keluarga saya yang mahu dijejaki.


Kami menuju ke kota Maros, sekitar sejam perjalanan ke utara...


Sampai di sekitar kota, kami singgah di rumah saudara dua pupu Ibu Nur, seorang pengusaha lombong bijih besi dan nikel yang luas.


Sekitar 10.15 kami menyambung perjalanan dengan menghala ke timur.




Perjalanan melalui sawah dan desa terasa begitu menyegarkan.


Rumah-rumah tradisional seperti ini menghias kiri kanan jalan.


Kalaulah tidak kerana kecederaan kaki tentu saya akan meminta kereta berhenti lalu mengambil gambar yang lebih teliti di beberapa tempat.



Ibu Nur mahu saya melihat taman pra-sejarah di Leang Leang.


Katanya di sini terdapat gua-gua batu kapur dengan lukisan-lukisan dan kesan yang dipercayai dibuat oleh orang zaman batu. Namun kita harus berjalan kaki jauh ke dalam kemudian memanjat tangga-tangga tinggi untuk masuk ke gua. Jadi saya cuma mampu melihat kawasan luar sahaja. Lihat artikel Leang Leang prehistoric park di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ketika hendak meninggalkan Leang Leang muncul seorang wartawan merangkap jurukamera dari agensi berita ANTARA Indonesia bersama pembantunya. Ia adalah agensi peringkat nasional yang membekalkan bahan berita kepada pihak lain seperti halnya BERNAMA di Malaysia. Wartawan ini kenal Ibu Nur kerana biasa menemuramahnya untuk bercakap tentang sastera dan budaya. Melihat saya orang Malaysia beliau pun bertanyakan pendapat tentang Leang Leang dan tempat-tempat menarik di Tanah Bugis.




Saya setakat boleh memberikan pandangan tentang beberapa tempat yang pernah dilihat di Makassar kerana di Leang Leang pun saya cuma melihat halaman, isteri saya, anak-anak dan lain-lain yang naik ke gua. Tetapi sebagai seorang peminat dan pengkaji sejarah juga seorang penulis saya ada cukup pengetahuan tentang Tanah Bugis yang dapat dikaitkan pula dengan Malaysia. Selepas itu kami pergi ke Bantimurung di mana monyet besar ini menyambut...


Tarikan di sini adalah aliran dari air terjun kawasan bukit batu kapur yang membentuk taman permainan air yang cantik. Lihat artikel The waterfall of Bantimurung.


Rasanya dekat 2 jam juga kami berada di Bantimurung sebelum keluar kembali menghala ke Maros. Dalam perjalanan singgah makan tengah hari di sebuah kedai di mana buat pertama kali seumur hidup dalam ingatan saya merasakan makanan orang Bugis yang dipanggil burasak.


Sampai di Maros ibu Nur keluar kereta untuk kembali ke Makassar bersama anak angkatnya Syahril yang ada ikut sama ke Leang Leang dan Bantimurung menaiki motosikal. Beliau perlu kembali ke rumah kerana harus menyambut kedatangan kawan kami, mahasiswa dari Aceh petang Jumaat. Kami pula akan berada jauh di luar Makassar hingga petang Sabtu. Saya pun bertukar tempat duduk ke belakang, kawan Cina dari Malaysia ke hadapan. Selepas ini kami akan berjalan lebih jauh ke utara. Eloklah kaki saya diberi ruang diangkat ke atas untuk mengurangkan bengkak.


Kami akan berjalan 2 jam untuk ke satu tempat bernama Barru, satu perhentian pertengahan sebelum ke satu tempat yang lebih jauh dan sangat bermakna buat saya.


Isteri dan anak-anak duduk di barisan paling belakang.


Sepanjang perjalanan saya lebih banyak berbaring merehatkan badan sambil merenung keadaan. Masuk waktu senja baru kami menghampiri kawasan perumahan di pinggir kota Barru di mana kami akan menginap malam Jumaat.


Biar diberitahu setelah keluar dari kota Makassar baru kami betul-betul dapat menjejakkan kaki ke Tanah Bugis. Ini kerana menurut definisi tempatan, sekitar kota Makassar membawa 100 km ke timur sampai ke laut juga 60 km ke selatan adalah tanah orang Makassar yang dikira etnik berlainan tapi hampir serupa bahasa dan budaya dengan orang Bugis. Rujuk artikel lama La Galigo dan makna Daeng buat orang Bugis. Selepas ini kami akan masuk ke satu bahagian Tanah Bugis di mana leluhur saya dikatakan berasal.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan