Khamis, Mei 02, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Panji-panji hitam Bani Hashim dan jalan-jalan hari Jumaat

Masuk penceritaan hari ke-3 di Madinah. Bersambung dari Ziarah dan umrah 2013 - Nyaris jadi mutawif sebelum dapat membawa isteri berjalan.


Pagi Jumaat 5 April 2013. Selepas sarapan kami turun untuk mendapatkan bas.


Hari ini ada ziarah yang dikira istimewa sekurang-kurangnya menurut agensi kami.


Kami dibawa ziarah ke ladang kurma Bani Hashim, katanya antara sedikit tanah di Arab Saudi yang masih dimiliki anak cucu keturunan Nabi Muhammad SAW turun temurun hingga kini. Lihat artikel The date plantation of Bani Hashim di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Di sini kami diberi syarahan panjang lebar tentang pohon dan buah kurma dan bagaimana ia boleh membawa kecintaan kepada Rasul. Syarahan dibuat oleh seorang ustaz dari Aceh. Saya pula merasakan ada keberkatan berada di sekitar apalagi pada pagi Jumaat. Tergerak untuk potong kuku, sedikit misai dan janggut (memang saya selalu berbuat begitu pagi Jumaat) dan berjalan berkaki ayam. 

Kemudian timbul pula rasa untuk mengibarkan bendera seperti panji hitam yang saya terima dari satu kumpulan pesilat dan pendekar semasa penganjuran acara ketiga HIKMAH yang diadakan 27 Januari lalu, awal musim Maulidur Rasul. Bendera yang dibawa bersama sejumlah pakaian peribadi tertentu termasuk kitab doa-doa dan hizib Imam as-Syadzili ini pernah diarak ke perairan Pulau Pangkor untuk satu upacara istimewa yang dilihat gila oleh mereka yang tak faham. Lihat artikel Kemuncak HIKMAH III - Perarakan Maulidur Rasul dan pembatalan sihir Perjanjian Pangkor 1874 dan Video sekitar HIKMAH III di Lumut di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Itulah satu-satunya masa saya mengibarkannya sepanjang berada di Tanah Suci.


Di ladang Bani Hashim ini juga ada sebuah pondok tradisional Arab yang menarik perhatian. Lihat Pondok tradisional Arab (Arab traditional hut).


Selepas beberapa lama bas membawa kami kembali ke hotel. Saya terus mengajak isteri keluar berjalan kaki, kali ini ke sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Ijabah. Seorang kawan mahu ikut serta membawa bersama anak lelakinya.


Dikatakan di sini Nabi Muhammad SAW pernah memanjatkan doa untuk 3 permintaan yang sangat besar maknanya demi kemaslahatan ummah. Dua permintaan terus dimakbulkan Allah SWT tetapi yang ketiga pula ditolak. Lihat Masjid (Mosque of) Ijabah.


Dari Masjid Ijabah saya mengajak isteri dan kawan meneruskan perjalanan ke Masjid Bilal melepasi pagar timur tanah perkuburan Baqi'.


Untuk ke Masjid Ijabah kami sudah berjalan kaki 1.2 km. Pada sudut gambar ini diambil sudah masuk 2 km. Anak kawan kami sudah kepenatan sedangkan matahari sudah hampir tegak di atas kepala. Kawan kami kata dia sendiri masih dapat bertahan dan sedia untuk terus berjalan...


Lagi 400 meter berjalan Masjid Bilal sudah nyata cukup dekat bagi kami. Tapi kawan tadi mula was-was. Ni dah dekat nak solat Jumaat dan masjid utama adalah Masjid Nabawi. Beliau takut Masjid Bilal ditutup seperti halnya Masjid Ijabah yang kami singgah tadi lalu mengajak kami kembali sahaja ke Masjid Nabawi.


Saya cuma menunjukkannya jalan kembali ke Masjid Nabawi lalu menyambung berjalan kaki sekitar 440 meter lagi bersama isteri. Ternyata Masjid Bilal masih dibuka dan kami dapat berehat lama di dalam setelah penat meredah terik matahari.


Puas berbaring dan sebagainya kami berjalan kaki lebih setengah kilometer untuk ke Masjid Nabawi.


Hmm. Saya dah lupa apakah ketika ini isteri telah kembali ke hotel atau masuk ke tempat solat wanita. Maklumlah, solat Jumaat cuma diwajibkan untuk orang laki-laki. Kelihatan ambulans masuk ke perkarangan masjid, kalau tak salah membawa jenazah untuk disolatkan. Sudah menjadi kebiasaan hampir setiap waktu ada sahaja orang meninggal dunia di Madinah lalu disolatkan di Masjid Nabawi.


Orang ramai mengambil tempat untuk bersolat.


Saya masuk ke dalam mencari ruang yang sesuai untuk masuk ke Raudhah. Ketika itu masjid sudah begitu padat, jalan masuk ke tempat rebutan seperti Raudhah sudah terhalang. Kalau nak, kena tunggu selepas selesai solat, itupun kena cari laluan yang patut dan tidak terhalang oleh sekatan sementara berbentuk kanvas panjang yang diletakkan di tempat-tempat tertentu pada waktu-waktu tertentu untuk mengawal aliran pergerakan orang ramai.


Tiba-tiba teringat tulisan lama saya tentang ziarah dan umrah pertama kali tahun 2005. Saya tak pasti pada artikel mana tapi boleh rujuk pada koleksi yang disenaraikan dalam artikel Ke Tanah Suci menyahut panggil Ilahi... juga panggilan leluhur... (dibuat sejurus sebelum berlepas untuk ziarah dan umrah tahun 2013 ini). Saya ada menyebut betapa susahnya hendak menemui nama Allah diletakkan sebelah menyebelah dengan nama Muhammad seperti halnya masjid-masjid di Malaysia. Ini kerana menurut mazhab Wahabi yang menjadi anutan pemerintah Arab Saudi, Nabi Muhammad itu tidak perlulah diperbesarkan sangat.


Pada mereka semuanya harus minta terus pada Allah, tidak ada konsep tawassul atau perantaraan untuk menguatkan permintaan. Pada mereka meletakkan nama Muhammad sebelah Allah itu seperti menyama-tarafkan Nabi terakhir itu dengan Penciptanya. Sedangkan bagi mereka yang mengaji  dan mengkaji lebih mendalam terutama dalam bab Tasawuf (yang ditolak Wahabi) dan masuk bab Nur Muhammad (lagi ditolak malah seperti dilaknat Wahabi) tidak ada laluan selamat menuju kepada Allah tanpa melalui syafaat kekasihNya, baginda Rasulullah Nabi Muhammad SAW.


Mereka yang mengaji dengan mendalam tahu kalau laluan terus pada Allah, Iblis, syaitan dan segala kuncu-kuncu jahat mereka pun boleh berdoa. Malah doa untuk melaksanakan kejahatan seringkali dimakbulkan lebih cepat atas sebab-sebab rahsia Qada' dan Qadar Ilahi. Sebab itu ramai manusia tertipu dengan perkara-perkara ajaib yang disangkakan anugerah dan karamah kerana mendatangkan apa yang dilihat sebagai kebaikan pada mata zahir sambil mencarik adat seolah-olah itulah tanda kebesaran dan kemuliaan. Walhal ia cuma istidraj yang semakin menjauhkan kita dari Allah.


Untuk jaminan keselamatan kita manusia, laluan syafaat Nabi Muhammad SAW amat diperlukan, laluan yang tidak mahu diakui dan amat dibenci oleh musuh-musuh kebenaran. Apapun, nama Muhammad boleh ditemui di Masjid Nabawi tetapi ia harus dicari kerana tidak banyak kelihatan seperti nama Allah sahaja yang menghiasi hampir merata bahagian atas masjid.


Ini haruslah gambar selepas solat Jumaat. Saya rasa tak perlulah dipanjangkan bab pergi Raudhah, ziarah makam Nabi dan sebagainya kerana boleh kata setiap hari saya akan berbuat begitu hingga beberapa kali. Gambar ini saya ambil untuk menunjukkan satu bentuk sempadan. Nampak tak ada tiang yang memiliki jalur-jalur kuning, ada yang tidak. Sesungguhnya tiang berjalur kuning itu menunjukkan ia terletak di dalam kawasan asal Masjid Nabawi, semasa Nabi Muhammad SAW masih hidup lebih 1,400 tahun lalu.


Posing sebentar bersama isteri waktu senja. Selepas ziarah ke Masjid Bilal kami tidak lagi berjalan jauh, hanya di sekitar hotel ke Masjid Nabawi sahaja.


Saya banyak menghabiskan masa keluar masuk masjid dari pintu-pintu berlainan. Di sini saya sedang menunggu peluang untuk masuk ke pintu yang dipanggil Bab Jibril, belakang pintu Baqi'.


Dari pintu ini kita boleh masuk ke bahagian timur luar makam Nabi. Untuk pengetahuan Raudhah terletak di bahagian barat luar makam.




Bab Jibril juga boleh membawa kita terus ke bahagian hadapan satu kawasan istimewa lain. Ia adalah kawasan Ahli Suffah, tempat sahabat Nabi seperti Abu Hurairah selalu duduk malah menginap di luar Masjid Nabawi yang asal. Ketika itu kawasan Ahli Sufah merupakan serambi luar masjid. Saya sempat mengambil berkat duduk berzikir di atas kawasan ini yang dibuat tinggi sedikit seperti pangkin besar sebelum menyambung lagi 'tabiat' suka berjalan ke merata tempat dalam masjid.

OK. Biar dimaklumkan esok saya akan berlepas ke Makassar untuk melaksanakan satu misi menziarahi tempat-tempat bersejarah di Tanah Bugis. Saya akan cuba laksanakan ini sebaik mungkin walaupun kaki kanan saya kini sedang bersimen gara-gara tergelincir ketika melompat sehingga retak tulang bukulali (rujuk Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot). Insyaallah siri ziarah dan umrah 2013 ini akan disambung sekembalinya saya ke tanah air. Wassalam. :]


3 ulasan:

  1. As salam,Blog yg baik dan berguna utk tatapan bersama

    BalasPadam
  2. Wassalam. Semoga tuan dan semua pembaca mendapat manfaat... :]

    BalasPadam
  3. Satu usaha yang bagus

    BalasPadam