Alhamdulillah. Setelah beberapa lama sampailah satu fasa baru dalam penceritaan siri perjalanan ke Tanah Suci 1-12 April. Bersambung dari Ziarah dan umrah 2013 - Panji-panji hitam Bani Hashim dan jalan-jalan hari Jumaat.
Pagi Sabtu 6 April 2013. Saya ke Masjid Nabawi lebih awal dari biasa untuk menunaikan solat Subuh.
Seperti biasa, selepas solat saya mesti berjalan-jalan untuk melihat isi masjid dari beberapa sudut. Kelihatan dalam gambar bahagian terangkat sedikit seperti pangkin yang merupakan kawasan Ahlus Suffah, tempat para sahabat Nabi menumpang tidur, serambi luar masjid zaman baginda masih hidup lebih 1,400 tahun.
Tengah hari nanti rombongan saya akan meninggalkan Madinah untuk menunaikan umrah di Mekah. Ziarah sat makam Nabi tapi bukanlah ziarah wida' iaitu ziarah perpisahan sebelum berlepas. Itu saya akan buat tengah hari nanti kerana kalau dah buat ziarah wida' tak boleh berlegar-legar lagi di sekitar masjid. Lihat artikel Makam (Tomb of) Nabi (Prophet) Muhammad SAW di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Apabila keluar dari masjid saya dapati pintu masuk ke tanah perkuburan Baqi' sudah dibuka. Saya pun masuk untuk menziarahi makam Saidina Hassan dan para Ahlul Bait. Kali ini saya berjalan lebih jauh ke dalam melihat banyak lagi makam, antaranya makam para isteri Nabi, anak lelaki baginda yang meninggal dunia ketika kecil iaitu Ibrahim, makam ibu susuan baginda Halimatul Saadiah dan makam seorang sahabat paling rapat. Lihat Makam (Tomb of) Saidina Uthman.
Tengah hari saya masuk lagi ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Zuhur berjemaah. Sempatlah melepak agak lama di kawasan Ahli Suffah sebelum membuat ziarah wida' ke makam Nabi.
Kembali ke hotel ramai yang sudah bersiap memakai ihram.
Asalnya kami dijadualkan meninggalkan Madinah jam 2 petang. Tapi bas berlepas hampir 4 petang.
Sampai di Masjid Bir Ali (8 km di luar Madinah kalau tak salah) iaitu tempat miqat dari arah Madinah mutawif menyuruh kami setakat berniat atas bas. Katanya terlalu ramai orang singgah dan dia tidak mahu kita berebut masuk lalu mengambil banyak masa. Esoknya baru saya dapat tahu satu lagi bas yang membawa kumpulan jemaah kami singgah di masjid lalu mereka dapat solat sunat. Teringat saya mandi sunat sekali di sini tahun 2005, timbul juga rasa marah pada mutawif bas saya. Terbetik di fikiran, entah-entah dia ni cuma fikir ahli jemaahnya yang dibawa dari Kelantan belasan orang kerana selalu juga ahli jemaah ini yang ramai orang tua melambatkan perjalanan. Terkilan sebab tak dapat menjejakkan kaki lagi di Bir Ali disebabkan hal orang.
Jarak dari Madinah ke Mekah adalah lebih 400 km dan perjalanan memakan masa 5 jam. Kelihatan kami makan malam di sebuah tempat rehat.
Akhirnya sampai ke hotel di Mekah sekitar 10 malam. Rehat sebentar sebelum keluar menunaikan umrah. Kena berjalan 1 km untuk sampai ke Masjidil Haram. Lihat artikel An introductory view of Mecca and its holy mosque di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Alhamdulillah suka betul isteri dapat berada di Masjid Haram dan di hadapan Ka'abah. Suka sungguh kerana sudah lama bernazar mahu menunaikan umrah. Ambik gambar sat selepas tamat tawaf 7 pusingan.
Ibadah umrah disambung dengan sa'ei antara Safa dan Marwah. Lihat Puncak bukit (Summit of the hill of) Safa.
Selesai sa'ie kemudian tahalul (memotong atau mencukur rambut) untuk melengkapkan ibadah kami keluar dari pintu di sebelah Marwah.
Melihat ke kanan nampaklah bahagian bangunan panjang Masjidil Haram yang menempatkan tempat sa'ie di dalam.
Betul-betul menghadapnya di luar adalah bukit Jabal Qubis yang dahulu terkenal sebagai tempat orang-orang Sufi dan Tariqat berkumpul di Tanah Haram. Sejak beberapa dekad bukit ini ditutup kepada awam. Yang ada cuma salah satu istana keluarga Bani Saud yang memerintah negara Saudi Arabia.
Kami sampai ketika Masjidil Haram sedang mengalami proses pembinaan apa entah yang sangat besar. Semua pintu berhadapan Jabal Qubais termasuk pintu paling afdhal untuk memasuki Masjidil Haram iaitu Babussalam ditutup kepada awam.
Jauh sedikit ke kiri luar dari pintu sebelah Marwah boleh kelihatan sebuah bangunan kecil dua tingkat. Alhamdulillah, suka saya melihat ia masih ada. Untuk pengetahuan itulah tapak tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Sebelum kembali ke hotel saya mengambil kesempatan bergambar di hadapan Ka'abah. Syukur ya Allah kerana masih sudi membawa hambaMu yang lemah, dhaif dan penuh dosa ini sampai di rumahMu ya Allah... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan