Isnin, April 22, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Sampai Jeddah setelah lebih 26 jam tertunda...

Terus ke hari kedua cerita. Bersambung dari Ziarah dan umrah 2013 - 'Menjakunkan' diri di KLIA dan dugaan 1 April.


Pagi Selasa 2 April. Kami bersarapan pagi di Holiday Inn, Glemarie, Shah Alam. Ketika ini saya dapat ramai penumpang seperti suddah melupakan penungguan lama dalam keadaan lapar semalam. Di hotel empat bintang ini (kalau tak salah) mereka dapat lebih dari cukup makan juga berehat dengan penuh keselesaan.


Cuma disebabkan pakaian dah check-in kami harus memakai balik baju semalam. Jam 2 petang bas sudah sedia menunggu untuk membawa kami kembali ke lapangan terbang.


Pesawat dinyatakan akan berlepas jam 8 malam. Kalau dikira dari masa penerbangan asal 5.30 petang 1 April ini adalah penundaan lebih 26 jam. Harap-harap tidak ada lagi apa-apa gangguan...


Semua penumpang mengambil balik boarding pass atau pas menaiki pesawat. Ternyata kami menerima balik boarding pass hari sebelumnya yang dikumpulkan balik oleh kaki tangan KLAS, bukan boarding pass baru untuk hari Selasa. Ini kemudian menimbulkan masalah kepada penumpang yang mahu masuk ke ruang pelepasan lewat petang.  Rupa-rupanya selepas pertukaran shift ramai pekerja lapangan terbang termasuk polis bantuan tidak meyedari telah berlaku penundaan penerbangan pesawat kami ke Jeddah.


Apapun masalah dapat diselesaikan tetapi tidak sebelum berlaku sedikit pertelingkahan dengan pihak keselamatan. Maklumlah, dah lebih 24 jam tertunda penerbangan kemudian ditahan daripada masuk ke ruang pelepasan. Siapa yang tak marah? 


Ketika gambar ini diambil 6.44 petang sudah ramai beratur untuk masuk ke bilik menunggu pelepasan. Alangkah leganya saya dan isteri apabila melihat pesawat juga sudah sedia berada di tempat sepatutnya.


Jemaah lain pun lega. Yang berbaju hijau adalah jemaah dari Indonesia yang transit dari Jakarta. Ada lagi satu kumpulan berbaju lain datang dari sana. Kelihatan dalam gambar sejumlah penumpang dari Malaysia memakai ihram. Mereka adalah orang yang akan terus ke Mekah menunaikan umrah lalu harus berniat atas kepal terbang di miqat (tempat permulaan di niat di luar Tanah Haram) sejam dua sebelum sampai ke Jeddah.


Sekitar 7.40 malam gitu baru penumpang dipanggil masuk kapal terbang. Ramai telah menjamakkan solat Maghrib dan Isyak di bilik menunggu.


Kumpulan saya yang terdiri daripada 79 orang adalah yang terakhir dipanggil masuk. Ketika ini sudah 8.22 malam. Nyata pesawat akan berlepas lebih lewat daripada jadual yang sudah pun sedia ditunda lebih 26 jam.


Sekurang-kurangnya kami lega sudah masuk pesawat berbanding semalam di mana ia langsung tak nampak. Isteri juga sedikit teruja kerana inilah pertama kali beliau menaiki Boeing 747 yang selama beberapa dekad diiktiraf sebagai kapal terbang komersial terbesar di dunia, boleh memuatkan sekitar 400 orang penumpang.


Gambar ini diambil ketika pesawat sedang berlepas. Jam kamera menunjukkan 9.26 malam.


Selepas hampir 9 jam di udara sampailah kami ke lapangan terbang antarabangsa di Jeddah. Kalau dikira jadual asal 5.30 petang 1 April sehingga pesawat berlepas hampir 9.30 malam 2 April penerbangan kami sebenarnya tertunda 28 jam!


Apapun kami sudah sampai di Tanah Arab.


Saya dan isteri termasuk orang paling awal dari penerbangan kami melepasi imigresyen lalu sampai ke ruang legar luar. Di sini berlaku sedikit insiden saya bergelut dan nyaris bertumbuk dengan seorang pemuda Arab, di kala kawan-kawannya kelihatan seperti mengacah-acah mahu turut sama bertindak. Insiden ini berlaku apabila pemuda Arab tersebut dan kawan-kawannya meminta kami menunjukkan paspot. Apabila ditunjukkan  beliau mengambil paspot saya lalu kelihatan seperti hendak membawanya lari.

Saya pun mengejar dan merampasnya balik. Ketika itu kami tidak pasti mereka ini siapa sedangkan mutawif kami masih lagi di tempat imigresyen. Apakah mereka ulat yang mahu mencari kesempatan kerana semasa meminta paspot mereka menunjukkan isyarat seperti mahu meminta duit? Seorang daripada mereka memakai baju seperti pegawai imigresyen. Tetapi kenapa perlu menyemak lagi paspot sedangkan kami sudahpun melepasi pemeriksaan sah selepas mendarat?


Kemudian kami diberitahu mereka ini orang muasassah yang bertugas melancarkan pergerakan sehingga masuk bas. Tetapi kenapa perlu minta dan ambil paspot dengan cara kasar? Apapun perkara ini akhirnya diselesaikan oleh seorang ahli kumpulan kami yang pandai cakap Arab.


Oh. Kami touchdown di Jeddah tadi sekitar 1.30 pagi waktu tempatan yang lewat 5 jam berbanding waktu Malaysia. Bas mula bergerak meninggalkan lapangan terbang sekitar 3.45 pagi iaitu lebih 2 jam kemudian. Kumpulan kami menggunakan 2 bas menuju ke Madinah sekitar 400 km ke utara Jeddah. Perjalanan harus memakan masa lebih 4 jam.


 
Kami cuma berhenti dua kali di perhentian tepi lebuhraya, pertama untuk solat Subuh, kedua untuk makan pagi. Lihat artikel Masjid kecil antara Jeddah dan Madinah (Small mosque between Jeddah and Medina) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Untuk artikel selepas ini akan ditunjukkan keadaan sekeliling Masjid Nabawi di mana terdapatnya makam Nabi Muhammad SAW. Insyaallah saya juga akan menunjukkan sejumlah masjid berdekatan, antaranya Masjid Imam Bukhari,  Masjid Abu Zar al-Ghifari, Masjid Saidina Ali, Masjid Saidina Abu Bakar dan Masjid Saidina Umar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan