Rabu, Oktober 03, 2012

Perjalanan terbaru - Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan

OK. Tepat seminggu lalu iaitu pada hari Rabu 26 September saya telah membuat satu artikel bertajuk Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Jejak Laksamana Aceh.... Artikel itu merupakan penutup bagi siri "Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun" yang mula diperkenalkan pertengahan Ogos. Pada penghujung artikel saya ada menyebut akan mempersembahkan satu lagi siri pengembaraan bermotosikal besar tidak lama lagi. Sukacita dimaklumkan pengembaraan yang dimaksudkan berjaya diselesaikan awal pagi Selasa iaitu semalam.


Di satu bahagian timur Tasik Kenyir, Terengganu...


Pengembaraan kali ini dibuat bersama rakan baik saya Zaidi yang pernah memakai nama PerpatihTulus ketika aktif berforum di Internet. Adapun ketika saya rajin mengembara setelah kembali bujang, melawat makam-makam dan masjid 2003-2008 iaitu zaman sebelum berumahtangga bersama isteri sekarang beliau pernah beberapa kali keluar berjalan bersama saya. Kali terakhir kami mengembara adalah ketika membuat rakaman video yang bakal membentuk DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874". (lihat Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap!). Setelah itu kami disibukkan dengan hal masing-masing. Awal tahun 2012 baru dia menyatakan hasrat ingin mengembara lagi bersama saya, kalau boleh dengan menaiki motosikal. Oh... selama ini kami mengembara menaiki kereta miliknya...

Beberapa bulan lalu Zaidi telah membeli motosikal baru berjenama Kawasaki Ninja 250cc dengan harapan dapat keluar bersama saya yang membawa motosikal Yahama Virago 535cc berusia 15 tahun, motosikal yang pernah rosak terbengkalai 2003-2008 tetapi kini menjadi lebih mantap. Lihat Wajah baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman?. Saya pernah mengajaknya pergi beriktikaf dari masjid ke masjid penghujung bulan Ramadhan baru ini, pengembaraan yang menjadi siri  "Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun" tetapi beliau tidak dapat pergi kerana selain kesibukan kerja perlu menghadiri kelas kerana menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Pengembaraan baru pun ditetapkan akan bermula Khamis 27 September sehingga Isnin 1 Oktober kerana dalam tempoh itu Zaidi tiada kelas. Alhamdulillah permohonan cuti di tempat kerjanya diluluskan dan kami pun mengorak langkah.



Saya di kaki air terjun besar Chemerong, Ulu Dungun, Terengganu.

Perancangan untuk laluan perjalanan semuanya dibuat saya, Zaidi mengikut sahaja kerana akur saya lebih luas pengalaman mengembara. Dia bersetuju untuk ke Pantai Timur kerana setakat ini pernah sampai ke Kuala Terengganu sahaja, belum sampai ke Kota Bahru.  Zaidi juga teringin hendak menziarahi makam Tok Pulau Manis di Terengganu dan mahu ke Masjid Brunei di Danau Tok Uban. Saya pula sudah lama mengidam untuk mengambil laluan dari Gua Musang ke Tasik Kenyir yang dikatakan baru wujud setahun dua kerana cuma pernah melihat tasik tersebut dari Pengkalan Gawi dan empangan Hulu Terengganu iaitu di sekitar Kuala Berang. 

Selain itu saya teringin hendak mandi di air terjun Chemerong di Ulu Dungun yang didakwa sesetengah orang sebagai yang tertinggi di Malaysia kalau tidak pun di Asia Tenggara. Letaknya tidak begitu jauh dari persekitaran kampung Pasir Raja yang juga belum pernah saya jejaki sebelum perjalanan ini. Saya juga mahu mengambil peluang mendaki lagi Bukit Panau yang menurut cerita orang lama Kelantan adalah tempat Hang Tuah pernah berguru dengan Sang Adi Putra, kali ini dengan motosikal. Saya pernah sampai sekali dengan berjalan kaki 5 tahun lepas lalu mendapati memang ia menawarkan satu pengalaman yang menarik. Lihat artikel lama Mendaki Bukit Panau.



Lakaran peta ringkas perjalanan

Saya memulakan perjalanan dari rumah di Bandar Tasik Puteri dan Zaidi dari rumahnya berdekatan bandar lama Bangi pagi Khamis. Kami berjumpa selepas tol Gombak di Lebuh Raya Karak lalu menghala ke Bentong, singgah di Raub untuk makan tengah hari ikan keli gulai asal rong. Laluan membawa kami ke Kuala Lipis dan Gua Musang sebelum ke Tasik Kenyir melalui jalan raya melepasi hutan yang menawarkan cabarannya yang tersendiri. Esoknya kami pusing menziarahi sejumlah makam-makam lama dari Kuala Berang hingga ke Kuala Terengganu, lusa pula ke Kota Bahru melalui jalan pantai, singgah di Bukit Keluang, Kuala Besut dan Tok Bali.

Tulat kami ke beberapa tempat sekitar KB sebelum menghala ke Masjid Brunei seterusnya Bukit Panau. Hari berikutnya iaitu Isnin baru ke Pasir Raja dan air terjun Chemerong sebelum kembali ke Lembah Klang di mana kami berpisah lalu saya sampai ke rumah selepas 1 pagi. Cukuplah dimaklumkan perjalanan yang memakan masa 5 hari 5 malam ini (rancangnya hari terakhir tak sampai ke malam) memakan jarak 1,860 km. Bagi Zaidi terlalu banyak pengalaman baru yang menggembirakan dialaminya, antaranya bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz betul-betul di hadapan rumahnya di Pulau Melaka di mana beliau terlebih dahulu menegur kami yang baru sahaja merehatkan motosikal...  :]