Khamis, Jun 21, 2012

Bengkel kajian naskhah kesultanan Melayu Selangor di Muzium Alam Shah

Assalamualaikum. Sempena hari ini 1 Syaaban biar dipersembahkan artikel ke 1,001 di blogspot ini. :]


Baru-baru ini saya telah ke Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam.


Ada bengkel 2 hari kajian naskhah kesultanan Melayu yang bermula pagi Selasa.


Mengikut maklumat yang tertera juga yang didapati dari Facebook, ia bermula 8 pagi sedangkan saya sampai 9.30.


Nasib baik ketika itu masih lagi peringkat pembukaan dan alu-aluan.


Bengkel sebenar bermula dengan sesi pertama sekitar jam 11 iaitu selepas makan pagi.


Mengikut rancangan asal ia sepatutnya dibuka oleh Profesor Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd. Yusoff Hj. Hashim dari Melaka dengan makalah bertajuk "Naskhah-naskhah kesultanan Selangor". Tetapi beliau kurang sihat dan tidak dapat muncul. Sebaliknya yang awal naik ke pentas adalah Encik Zaidin (ke Saidin?) dari Arkib Negara. Beliau mewakili Encik Azemi Abdul Aziz yang asalnya dijadualkan menjadi pemakalah ketiga dengan tajuk "Sumber-sumber bahan di arkib negara Malaysia berkenaan negeri Selangor".Menurut beliau, arkib menyimpan lebih 4 juta dokumen penting tetapi cuma sekitar 60,000 sahaja sudah dimanfaat sebagai kajian. Katanya lagi arkib memiliki rekod-rekod paling lengkap tentang negeri Selangor setelah zaman penjajahan British

Pemakalah kedua adalah Dr. Arbaiyah Mohd. Nor dari Universiti Malaya dengan tajuk "Selangor dalam naskah Melayu". Menariknya, beliau yang asalnya harus menjadi pemakalah keempat membuka dengan menceritakan bahawa nama Selangor ada disebut dalam kitab Sulalatus Salatin tetapi pada versi Raffles 18 sahaja, dalam cerita mengenai kedatangan Tun Jana Khatib ke Singapura sebelum ia diserang todak. Dalam kitab versi itu ada disebut Tun Jana Khatib disebut bersahabat dengan Tuan di Bungoran dan Tuan di Selangor. Walhal malam sebelumnya saya memang terfikir mahu membangkitkan  hal itu.

Ini kerana versi-versi lain  seperti Sejarah Melayu @ Sulalatus Salatin oleh pengkaji Barat zaman penjajahan, Shellabear dan Sulalatus Salatin versi moden terbitan pelajar yang diselenggarkan A. Samad Ahmad berdasarkan 3 naskah lama simpanan Dewan Bahasa Pustaka menyebut sahabat-sahabat Tun Jana Khatib adalah Tuan di Bungoran dan Tuan di Samalanga. Saya telah membaca sampai habis ketiga-tiga versi dan ada membuat perbandingan antara setiap versi. Ada pengkaji sudah lebih awal berbuat begitu sehingga saya pernah terbaca buku menyebut Tuan Jana Khatib bersahabat dengan Tuan di Bungoran dan Tuan di Samalanga (Selangor)... Selangor sengaja disebut dalam kurungan selepas Samalanga...

Adapun Samalanga itu adalah wilayah yang masih wujud dengan nama sama di Aceh. Dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai ia menjadi tempat permulaan cerita wujudnya Merah Silu yang kemudian bergelar Sultan Malikus Saleh. Cerita serupa ada disebut di dalam kitab Sulalatus Salatin dan penulisnya Bendahara Johor Tun Sri Lanang kemudian bermastautin di sana di mana beliau dijadikan pemerintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh lalu bergelar Ampon Syeikh Samalanga. Saya sudah lama tertanya-tanya. Apakah hal Selangor disebut dalam kurungan selepas Samalanga itu petunjuk bahawa satu kaitan lama antara kedua negeri pernah wujud, kaitan yang boleh ditafsirkan sebagai hubungan purba Aceh dengan Selangor?

Pemakalah seterusnya adalah Profesor Abdullah Zakaria Ghazali (ketiga dari kiri dalam gambar), juga dari UM dengan tajuk "Surat-surat Sultan Abdul Samad". Kajian beliau menunjukkan bagaimana sultan selalu sahaja meminta pendapat penasihat Inggerisnya dalam menangani urusan negeri. Kenyataan ini membuat saya sedikit sangsi apakah kenaikan Sultan Abdul Samad sebagai Sultan Selangor ke 4 menggantikan mertuanya Sultan Muhammad ada udang di sebalik batu? Kerana ramai juga tahu ada calon lain untuk menaiki takhta tetapi kemudian dipinggirkan entah atas sebab apa.

Di hujung kanan adalah pengerusi sesi, Dr. Harun Mat Piah. Prof. Abdullah sebenarnya dijadualkan menjadi pemakalah ketiga sesi petang tetapi menukar gilirannya ke pagi kerana ada hal lain selepas itu. Semasa makan pagi, sebelum bermula sesi ini, saya sempat bertanya kepada beliau tentang nama Selangor dalam Sulalatus Salatin versi Raffles tetapi Samalanga dalam versi lain. Kata beliau ini mungkin disebabkan kekaburan tulisan pada naskah asal yang berhuruf jawi. Beliau berpendapat versi Raffles yang silap, Tuan di Samalanga yang tepat.

Perkara ini saya bangkitkan semasa sesi soal jawab. Dr. Arbaiyah pula berpendapat versi Raffles yang menyebut Selangor itu lebih tepat kerana ia versi awal. Versi lain yang tersilap. Hmm...


Ini pula adalah gambar sesi petang yang bermula jam 2.30.


Kelihatan dalam gambar pengerusi majlis Dr. Taufiq Arridzo diikuti  Dr. Mardiana Nordin dari Akademi Pengajian Melayu UM (tajuk makalah : "'Hikayat Negeri Johor' sebagai sumber sejarah Selangor"), Dato'  Dr. Abu Hassan Shah ("Tokoh dan episod-episod Selangor dalam Tuhfatun Nafis"), Puan Effah Imtiaz Zainol ("Koleksi khazanah kesultanan Selangor") dan Puan Halimah Hassan ("Salasilah Datuk Engku Klang"). Secara rata pembentangan dibuat menurut jadual asal kecuali kelompongan akibat Prof. Abdullah bertukar ke sesi pagi diisi Puan Effah yang asalnya merupakan pemakalah kedua sesi awal itu.

Dr. Mardiana yang pertama kali saya temui membuat satu pembentangan agak kontroversi tentang salasilah diraja Perak (lihat artikel lama Satu sisi lain salasilah Raja-raja Perak - Fantasi gila atau ada yang tersirat?) memberitahu bagaimana manuskrip yang dilabelkan sebagai "Hikayat Negeri Johor' sebenarnya lebih banyak menceritakan sejarah Selangor sebelum kesultanannya bermula secara rasmi tahun 1766. Dato' Abu Hassan pula menyebut nama tokoh-tokoh yang tidak asing buat saya, maka saya tidak terasa menerima ilmu baru kecuali mengingatkan apa yang sudah terlupa. Sambil itu saya berkira-kira hendak bertanya tentang barang pertabalan Sultan Selangor yang dipanggil Keris Beruk Berayun kepada Puan Effah kerana tajuk makalahnya berkenaan koleksi kesultanan itu. Sangka saya mungkin beliau bekerja dengan istana. Rupa-rupanya Puan Effah adalah daripada Perpustakaan Negara dan koleksi yang dimaksudkan adalah naskah-naskah lama di pusat manuskrip sana


Ini pula adalah Cikgu apa (saya lupa namanya) yang rajin bertanya apabila muncul sesi soal jawab. Saya terlupa apa yang saya sendiri tanya untuk sesi kali ini. Ah... baru ingat. Salah satu pertanyaan saya adalah berkenaan keluasan sebenar negeri Selangor semasa kesultanannya di bawah raja-raja berketurunan Bugis bermula pertengahan abad ke 18 Masihi. Saya bertanya kerana pernah mendapat mimpi yang membayangkan Selangor ketika itu adalah wilayah di selatan Sungai Selangor sementara tanah di utara sungai masih termasuk di dalam negeri Perak. Tetapi saya tidak memberitahu khalayak tentang mimpi itu. Lihat artikel Mimpi pelik Kuala Selangor... yang dibuat 2 tahun lalu.

Cikgu ini kemudian menawarkan untuk menjawab pertanyaan saya. Beliau memberi statistik keluasan negeri Selangor menurut batu/km persegi, ekar dan hektar seperti yang pernah dilihatnya dalam beberapa tulisan pada masa yang berlainan. Nampaknya beliau bukan menjawab pertanyaan saya tetapi mahu menunjukkan kepada khalayak betapa tanah milik Melayu semakin berkurangan. Ini berlaku akibat pemilikan orang berketurunan asing yang kelihatan semakin menjadi-jadi, pemilikan yang dibenar oleh orang Melayu sendiri yang sudah gelap mata...  


Ini pula gambar sesi pagi hari seterusnya iaitu Rabu. Sesi bermula jam 9 tetapi saya meninggalkan rumah yang terletak sekitar 40 km dari Shah Alam pun selepas 9.30. Hasilnya saya terlepas pembentangan tiga makalah.


Ketika saya sampai pembentang keempat dan terakhir sesi, Dato' Zainal Abidin Borhan sedang bercakap tentang "Adat dan budaya dalam teks kenang-kenangan Selangor". Saya pula agak terkilan kerana terlepas pembentangan Dr Harun Mat Piah yang bertajuk "Riwayat Tengku Musauddin - Hubungan dua teks hikayat dan sejarah". Ini kerana ia melibatkan satu topik yang sangat kontroversi dalam sejarah kesultanan Selangor moden. Adapun Tengku Musauddin itu adalah kerabat diraja paling kanan untuk menggantikan ayahandanya almarhum Sultan Sulaiman. Tetapi Inggeris yang nampaknya memiliki muslihat tertentu menaikkan adiknya Sultan Hishammudin Alam Shah dan daripada sultan inilah terbit keturunan yang memerintah sekarang.

Tengku Musauddin pernah diangkat menjadi Sultan Selangor apabila Jepun berkuasa di Tanah Melayu 1942-1945. Tetapi baginda diturunkan oleh Inggeris selepas Pihak Perikatan (Amerika, Inggeris @ British. Peranchis dan Rusia) menang Perang Dua Kedua dan Sultan Hishammudin dinaikkan kembali. Asalnya Dr Harun dijadualkan membentangkan kertas kerjanya waktu petang. Sebaliknya beliau ditukarkan menjadi pembuka sesi pagi diikuti Prof. Madya Dr. Ahmad Jelani Halimi (dua dari kiri) dengan tajuk "Surat-surat Francis Light (Hubungan Pulau Pinang dan Selangor)" dan Prof. Madya Dr. Sanat Md. Nasir ("Aspek bahasa Melayu dalam teks kenang-kenangan Selangor"). Dua dari kanan adalah pengerusi sesi Prof. Madya Dr. Jelani Harun.


Jam 11, selepas makan pagi sesi seterusnya dimulakan. Dinyatakan sebagai sesi keempat keseluruhan bengkel ia dibuka oleh Prof Jelani Harun dengan tajuk "Adat segala hamba orang lari di dalam Selangor berasaskan salina manuskrip oleh Edouard Dularier 1840".


Tetapi saya cuma teringat mahu mengambil gambar apabila pembentang kedua Prof. Datuk Dr. Zainal Kling menonjolkan makalahnya "Kesinambungan sistem kerajaan Melayu : Kajian perlembagaan Selangor". Sesi yang dipengerusikan Prof Ahmad Jelani ini diikuti pembentangan oleh Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim (dua dari kiri) yang bertajuk "Selangor dalam Hikayat Pelayaran Ibrahim Munsyi" dan Prof Madya Dr. Saiful Bahri Md. Radzi yang duduk paling kanan ("Si Tenggang, batu belah batu bertangkup dan cerita-cerita asal nama dan tempat : Suatu perbincangan terhadap folklor Selangor").

Pembentangan Prof. Zainal menarik perhatian kerana menyebut tentang bidang kuasa raja yang selama ini yang kelihatan sengaja diketepikan atau dilupakan. Apabila masuk sesi soal jawab saya pun bertanya berkenaan itu... setakat mana raja di Selangor mahupun di mana-mana di Malaysia ini dapat bertindak mempertahankan hak orang Melayu jika parti-parti politik dari sebelah mana pun tidak lagi boleh diharap lantaran keadaan semasa yang terasa lebih berpihak kepada keturunan bangsa asing. Prof. Zainal agak berhati-hati menjawab. Namun mesejnya jelas. Walaupun ada takrifan perlembagaan dan undang-undang yang agak kabur mahupun bertindih boleh digunakan oleh ahli politik untuk berbuat sesuka hati mereka, hakikatnya ada peruntukan untuk para raja mengatasi segala permainan politik jika mereka sendiri ada kesedaran dan kekuatan diri untuk melaksanakannya.


Sesi terakhir diadakan selepas makan tengah hari, bermula jam 2.30 gitu.


Pembuka sesi, Puan Intan Salina Idrus dari Muzium Sultan Alam Shah bercerita tentang "Kesenian telepuk warisan kesultanan Melayu Selangor". Pengerusi, Dr. Ibrahim Ghaffar duduk di tengah diikuti Dr. Mohd. Supian Sabtu (pembentang terakhir dengan makalah "Mata wang kesultanan Selangor") dan pembentang kedua, Dr. Mohd Taufik Arridzo ("Kitab Tazkiyat al-Anzar wa Tasfiyat al-Afkar karangan Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abd al-Rahman al-Fatani - Shaykh al-Islam Selangor : Melibas fatwa salah"). Seperti biasa, selesai sesi saya mengambil peluang untuk bertanya, kali ini dengan soalan khusus untuk setiap pembentang atau ahli panel. Namun pada saya soalan yang paling ringan tetapi paling bermakna adalah apabila saya bertanya kepada Puan Intan setakat mana pernah wujud hubungan antara Aceh dengan Selangor. 

Saya tergerak bertanya ini kerana dalam pembentangannya, beliau ada menyebut tentang pakaian rasmi seorang sultan yang memiliki ciri-ciri Aceh selain Bugis. Hubungan dengan Bugis sudah sedia diketahui ramai lantaran raja-raja Selangor berketurunan Bugis. Tetapi hubungan dengan Aceh. Daripada jawaban yang diberi nampaknya perkara ini belum dikaji. Mungkin tidak ada keperluannya? Entahlah.

Lalu satu soalan yang terbuku dalam hati saya simpan begitu sahaja... tentang kenapa Aceh pernah meminta pertolongan Selangor untuk menangani apa yang disebut sebagai pemberontakan orang Dusun di sana. Sehingga Raja Muda Selangor pada zaman Sultan Ibrahim (1780an-1820an gitu), Raja Nala ibni Sultan Salehuddin dihantar ke Aceh lalu mangkat di Aceh, Raja Nala yang seorang anaknya Raja Busu Hassan pernah menguasai perlombongan biji timah di Lukut tetapi akhirnya mangkat bersama keluarganya dibunuh pelombong Cina...


Bengkel dua hari ini ditutup selepas 4.30 oleh Orang Besar Daerah Gombak, Dato' Paduka Raja Dato' Hj. Wan Mahmood Pa'Wan Teh. Beliau mengambil semangat sejarawan dengan menceritakan bagaimana ketika mudanya begitu tidak sukakan subjek sejarah kerana merasakan ada yang tidak kena tentangnya... bagaimana beliau pernah disuruh menjadi cikgu sejarah tetapi membantah kepada guru besarnya yang berbangsa Inggeris kerana tidak percaya dengan kurikulum yang dikemukakan lalu di'denda' menjadi guru senaman sahaja. Namun dengan bengkel ini beliau mendapati ada semangat kuat untuk memperbetulkan sejarah yang selama ini telah dipesongkan lalu menyatakan minat baru terhadap subjek ini.

Oh. Saya terlupa satu perkara. Sepanjang bengkel ada kecenderungan kuat untuk pembentang dan peserta menceritakan semangat perjuangan kental orang Bugis menentang penjajah sehingga sukubangsa itu sering dituduh sebagai lanun. Maklumlah apabila menceritakan hal kesultanan Selangor kita tidak akan dapat lari daripada cerita orang Bugis kerana yang merajai Selangor itu sendiri keturunan Bugis. Peliknya setelah bercerita sampai ke perenggan ini tidak banyak yang saya perihalkan tentang semangat tersebut sedangkan darah Bugis saya sendiri berkobar-kobar (selain berdarah Aceh saya juga berdarah Bugis malah darah Aceh itu sendiri datang daripada apa yang dipanggil "raja-raja Aceh Dinasti Bugis") apabila terbangkit hal perjuangan Melayu melawan penjajah dari Barat. Apapun cukuplah saya berkongsi bab bengkel naskah kesultanan Selangor. Cukuplah ini sebagai artikel ke 1,001 di blogspot ini. Takkan hendak dipanjangkan jadi cerita Arabian Nights 1,001 malam! :]




Isnin, Jun 18, 2012

Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Dari Giri ke makam Sunan Drajat dan Sunan Bonang

Sekarang sampailah masanya untuk blogspot ini menerima artikelnya yang ke 1,000. Penceritaan membawa kita kembali ke Pulau Jawa. Bersambung dari artikel Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Sunan Ampel, Sunan Gresik dan Sunan Giri serta makam-makam di Pulau Madura.


Pagi Khamis 3 Mei 2012, saya merenung ruang solat di pondok sebuah pesantren.


Setelah menziarahi makam Sunan Giri malam sebelumnya kami anak beranak berehat di sini.


Letaknya di dalam lingkungan pusat pentadbiran dan pemerintahan kerajaan Giri yang pernah diterajui Sunan Giri dan anak cucunya. Dari situ kami boleh berjalan kaki ke pusat utama yang dipanggil Giri Kedaton.


Cuma kena tahan le naik bukit.


Tengok tu. Rasyid yang baru berumur dua tahun setengah pun mampu berjalan ke atas. Takkan le kita yang lebih dewasa setakat tahu berkokok mengembara secara on-line di Internet? 


Di puncak bukit inilah Sunan Giri pernah mendirikan pesantren atau sekolah agamanya yang pertama, setelah mendapat wasiat daripada bapanya Maulana Ishaq di Pasai  (kini dalam Aceh) agar mencari tempat yang tanahnya serupa dengan sekepal tanah yang dibawa dari sana.


Johan yang baru berumur dua setengah bulan berehat dalam surau di puncak. Sebenarnya selepas solat Subuh tadi saya telah naik berseorangan lalu berlegar di puncak sehingga matahari naik untuk melihat pemandangan. Lihat artikel Views from Giri Kedaton di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Saya juga mengambil gambar tempat-tempat untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Lihat artikel berikut :
Tetapi selepas naik sekali lagi untuk membawa isteri dan anak-anak baru saya mendapat tahu fungsi beberapa objek. Misalnya batu ini katanya adalah tempat Sunan Giri suka duduk untuk menerima tetamu.


Hampir tengah hari baru kami keluar menaiki kereta meninggalkan pesantren. Kereta kali ini disewa dengan bantuan dua orang santri atau anak murid pesantren. Mereka akan membawa kami menziarahi makam-makam para Wali Songo sehingga ke Demak, sekitar 300 km dari Giri.


Tetapi sebelum itu kami mahu menziarahi beberapa makam yang terletak di sekitar Giri. Ini dimulakan dengan menaiki sebuah bukit berdekatan di mana terdapat makam ibu kepada Sunan Giri. Lihat Makam (Tomb of) Dewi Sekardadu.



Di puncak bukit sama terdapat dua buah makam dan masjid berkaitan. Kemudian saya ke sebuah kolam yang katanya dibina Sunan Giri. Lihat :-
.

Seterusnya saya meminta pemandu membawa kami ke bukit di mana terdapat makam Sunan Giri. Terus saya berlari ke puncak untuk mengambil gambar masjid berdekatan kerana malam sebelumnya terlupa untuk menjenguknya... apabila berada di Giri Kedaton baru saya tersedar setelah melihatnya dari jauh. Lihat Masjid (Mosque of) Sunan Giri.


Di Giri Kedaton juga saya mendapat tahu bahawa tidak berapa jauh dari Giri dan kota Grisek terdapat makam Islam yang dikatakan tertua di Pulau Jawa, 400 tahun lebih awal daripada zaman Wali Songo! Kebetulan ia terletak dalam perjalanan menghala ke makam Wali Songo seterusnya dan pemandu tahu tempatnya. Kami pun singgah. Lihat Makam (Tomb of) Fatimah binti Maimun.


Beginilah keadaan Rasyid dan Johan dalam perjalanan...


 Sampai ke makam Sunan Drajat baru mereka dikejutkan lalu dibawa ke dalam.


Selepas menziarahi makam Sunan Ampel, Sunan Grisek dan Sunan Ampel ini adalah makam Wali Songo ke empat. Lihat Makam (Tomb of) Sunan Drajat.


Perjalanan diteruskan menyusuri kawasan pantai yang menghadap Laut Jawa terus ke barat. Singgah di satu tempat yang turut berkaitan. Lihat Masjid (Mosque of) Ibrahim Asmarakandi.


Di hadapan masjid terdapat makam seorang ulamak besar bertaraf wali. Walaupun tidak disenaraikan sebagai seorang Wali Songo, beliau mungkin setaraf jika tidak lebih tinggi kedudukannya. Lihat Makam (Tomb of) Ibrahim Asmarakandi.


Kemudian baru kami ke kota Tuban untuk menziarahi makam Sunan Bonang. Dah senja baru sampai...


Seperti halnya di makam Sunan Ampel dan Sunan Giri kami perlu melepasi kawasan orang berjual-beli untuk ke makam.




Maka sampailah kami ke makam Wali Songo ke 5 dalam senarai. Lihat Makam (Tomb of) Sunang Bonang.


Ini pula masjid besar sini. Sebelum itu saya singgah di masjid kecil berdekatan makam. Lihat Masjid (Mosque of) Astana, Tuban dan Masjid Agung (Great mosque of) Tuban.


Perjalanan diteruskan barat menghala ke Demak. Naik ke Gunung Muria yang tingginya hampir sama dengan Genting Highlands untuk ke makam Sunan Muria. Sampai ke tempat perhentian kereta berhampiran puncak pun dah tengah malam. Maka cerita seterusnya sudah masuk hari Rabu 4 Mei. Bersambung dalam artikel baru nanti ya... :]