Sabtu, Oktober 13, 2012

Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)

Hmm. Ingatkan nak sambung siri "Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan" masuk hari kedua. Tapi bila difikirkan harus menyediakan sekitar 10 artikel sokongan atau lebih terlebih dahulu untuk itu, saya rasa buat hari lainlah. Hari ini saya mahu berkongsi satu perkembangan baru menarik yang tidak dirancang. Mari...




Pembaca setia blogspot ini mungkin ingat 3 bulan lalu saya ada membuat ceramah ilmu di Muzium Negara, Kuala Lumpur atas jemputan Jabatan Muzium Negara Malaysia. Lihat artikel Ceramah "Batu Nesan Aceh" di Muzium Negara. Namun ia adalah ceramah tertutup untuk kakitangan muzium sahaja. Lalu ada kawan-kawan dan pembaca blogspot bertanya jika boleh diadakan acara serupa yang mana sesiapa sahaja boleh datang mendengarnya.

Isteri pun mencadangkan agar berhubung dengan satu badan sejarah yang katanya selalu membuat program perkongsian ilmu di mana orang luar yang ada bahan boleh menjalankan seminar di premis mereka. Dia sendiri sering berhubung dengan seorang kakitangan badan tersebut. Kakitangan itu meminta kami agar memanjangkan cadangan kepada pegawai atasannya. Beberapa hari lepas saya pun menghantar e-mail kepada pegawai itu.

Esoknya saya menelefon untuk memperkenalkan diri, menceritakan sedikit tentang cadangan kemudian meminta dia memeriksa e-mail. Kedengaran pegawai itu agak ramah dan berfikiran terbuka. Dua hari lepas baru saya mendapat balasan. Selain menyebut "Minta maaf takwim badan tahun ini amat padat" saya terasa jawaban keseluruhan pada e-mailnya seperti acuh tak acuh. Nampaknya cadangan saya seperti langsung tidak dipandangnya.

Saya terus berkata kepada isteri : "Kalau begini tak mahu Abang berhubung dengan badan ini lagi. Macamlah kita ni nak minta sedekah". Kemudian baru saya menambah : "Kalau Abang nak berhubung dengan mereka pun rasanya terus cakap dengan pengerusilah." Bila difikirkan kembali tak eloklah kalau memutuskan hubungan hanya kerana merasa terkilan. Lagipun ada juga orang-orang kuat badan ini yang merupakan kenalan baik saya. Dan mereka juga mahu memperjuangkan kebenaran sejarah Melayu dan Islam.

Rupa-rupanya isteri terus merancang sesuatu. Setelah menghubungi beberapa lagi badan siang semalam lalu mendapati premis perlu disewa kalau mahu membuat aktiviti (badan awal tadi menawarkan premis percuma, insyaallah dengan makan minum ditampung untuk hadirin sekali jika aktiviti diterima) dia menelefon pula rakan baik kami yang merupakan seorang VVIP yang banyak berjuang menaikkan kedudukan orang Melayu di sebalik tabir. Apabila diberitahu kami mahu menjalankan aktivti perbincangan/pembentangan sejarah Melayu Islam dia terus menawarkan beberapa premis yang berada di bawah pengawasan beliau. Dia mencadangkan agar diambil satu premis yang boleh muat 200 orang ke atas di Shah Alam. Isteri pun memberitahu saya tentang tawaran ini. 

Saya fikir elok juga orang dah bagi peluang untuk berkongsi ilmu. Tapi kalau setakat ilmu saya sahaja yang tak seberapa rasa rugilah dipakai satu premis yang boleh menampung agak ramai orang. Saya ada rakan-rakan dan kenalan yang aktif berbincang di Internet terutama di Facebook tentang sejarah Melayu Islam. Ada di antara mereka adalah aktivis tegar silat dan budaya yang suka memakai busana atau berpakaian penuh Melayu cara bangsawan lama setiap kali berpeluang. Apa kata digabungkan semua mereka dalam satu perhimpunan? Antara banyak ahli group atau kumpulan perbincangan di Internet pula ada yang cuma pernah berhubung di Internet, belum berkesempatan bertemu muka secara fizikal. Kan elok kalau majlis ilmu ini dijadikan tempat bersilaturrahim berhadapan secara nyata?

Setelah memikirkannya dalam-dalam saya pun bertindak hampir jam 11 malam semalam dengan membuka sebuah page FB. Sebelum itu saya sudah memikirkan tajuk untuk perhimpunan, tajuk yang boleh dipakai terus menjadi identiti satu badan. Saya terkenang perhimpunan penggiat-penggiat dan peminat ilmu Sufi dan Tasawuf yang diadakan di Shah Alam setengah tahun lalu di mana saya dijemput menceritakan sedikit tentang buku tulisan saya. Lihat artikel Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh. Perhimpunan itu diberi nama Himpunan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HARUM) 2012. Saya fikir elok juga majlis ilmu yang saya cadangkan diberi nama hampir serupa.

Gerak hati saya menyebut "Himpunan Kedaulatan Melayu Islam". Gerak hati seterusnya menambah biarlah singkatannya menjadi HIKMAH. Tapi "Himpunan Kedaulatan Melayu Islam" tidak ada huruf "h" untuk menjadi pelengkap kepada singkatan HIKMAH. Timbul pula ilham, tambahlah perkataan "Akhir Zaman". Kan dah "h"? Jadilah ia "Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)". :]

Nama inipun diberikan kepada page FB lalu diwar-warkan. Alhamdulillah dalam masa yang singkat ia sudah mendapat maklum balas yang memberangsangkan. Cuma majlis ilmu atau perhimpunan belum ditentukan bila. Siang tadi isteri telah menghubungi rakan VVIP kami untuk menyatakan perkembangan. Antara perkara yang dibincangkan adalah tarikh yang sesuai kerana premis yang dicadangkan sering digunakan untuk aktiviti pelbagai kumpulan. Namun VVIP yang teringin hendak bercakap dengan saya itu menyatakan program kami akan menjadi keutamaan.

Selepas Zuhur saya pun menghubunginya. Kali terakhir kami berjumpa adalah tahun 2008. VVIP ini amat teruja apabila mendapat tahu tajuk majlis/badan adalah "Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)". Katanya ada beberapa pihak/badan di bawah pengawasannya juga pihak istana memang sudah lama tercari satu program yang sesuai tentang Melayu dan Islam. Katanya lagi tajuk dan aktiviti ini boleh dipanjangkan kepada pihak istana. "Kita boleh buat perhimpunan secara besar-besaran di Istana Melawati dengan sokongan sultan. Dan ini boleh diteruskan menjadi aktiviti mingguan tak pun bulanan terus-menerus di tempat-tempat lain".

Menarik memang menarik tapi saya rasa terlalu awal dan bercita-cita besar. Walaupun VVIP ini memang mampu menaikkan majlis ilmu yang dirancang ke peringkat itu saya rasa biarlah berpada-pada. Jawab saya : "Dato', kita buat sahaja yang kecil dahulu ini dan lihat sambutannya. Selepas itu baru buat di istana dan tempat lain".

Dengan ini saya ingin mewar-warkan premis yang ditawarkan adalah Pusat Belia di Seksyen 7, Shah Alam. Tarikh yang dicadangkan adalah hari Ahad 4 November 2012 iaitu hujung minggu selepas Hari Raya Haji. Program mungkin dijalankan 9 pagi hingga 1 tengah hari, mungkin juga dipanjangkan sehingga ke petang kalau cukup bahan yang sesuai untuk dikongsikan. Semua pengkaji/peminat sejarah Melayu dan Islam dijemput datang. Sesiapa yang ada bahan kajian/ kertas kerja dialu-alukan.

Nak pamer koleksi keris dan baju tradisional pun boleh malah apa-apa asalkan kena-mengena dengan sejarah Melayu dan Islam. Penyertaan adalah percuma. Ingat ini adalah aktiviti sukarela demi memartabatkan kedaulatan bangsa dan agama tanpa mengira latar belakang politik kita. Dalam hal ini biarlah kita mengambil contoh bangsa Cina. Tidak kira siapa pun yang memerintah, siapa pun yang mengaku berjuang bagi pihak mereka, kaum Cina tetap dapat 'menjolok' mana-mana pihak agar menyokong mereka mempertahankan budaya, bahasa juga sistem sekolah mereka. Sila klik pada badge di bawah....








p/s : Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan, hari ini 13/10/2012 genaplah umur anak saya Muhammad Al-Aminul Rasyid 3 tahun, anak yang namanya telah lebih awal berkumandang dalam siri novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007), nama yang digunakan untuk menggantikan watak sebenar diri saya dalam cerita. :]


1 ulasan:

  1. Selamat hari Lahir kepada Muhammad Al-Aminul Rasyid...semoga beroleh kejayaan dunia dan akhirat...

    BalasPadam