Khamis, Oktober 25, 2012

Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Berposing di merata Kelantan sebelum buat kerja gila mendaki Bukit Panau

Assalamualaikum. Malam ini, sempena sudah masuk 10 Zulhijjah iaitu Hari Raya Haji @ Aidil Adha biar cerita pengembaraan ke Pantai Timur 27 Sept-1 Okt dilanjutkan. Maka bersambung dari Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Berposing dari Kuala Terengganu hingga ke Kota Bahru.


Ahad 30 September 2012. Kami telah bermalam di rumah seorang rakan berdekatan PCB (Pantai Cahaya Bulan atau nama lamanya, Pantai Cinta Berahi) lalu sedia untuk menyambung perjalanan.


Alang-alang dah dekat PCB kami pergi melihat pantai.


Kemudian pergi ke Kuala Besar, masuk kawasan pusat perikanan melihat pemandangan kuala Sungai Kelantan.


Ketika itulah saya dapati ada perubahan geografi sudah berlaku di kawasan kuala sungai. Sebuah semenanjung pasir yang pernah saya jejaki sehingga ke tengah telah bertukar menjadi pulau. Kami pun pergi lebih dekat untuk memastikan. Lihat artikel The new 'island' in the middle of Kelantan river mouth blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Seterusnya kami bersarapan di sebuah kedai yang agak klasik.


Di sini kami berkenalan dengan beberapa orang tempatan termasuk seorang pakcik yang berumur 80an, tetapi masih tegap dengan kulit tegang seperti berumur paling tua pun 50an. Rupa-rupanya pakcik itu adalah pengamal persilatan dan tomoi juga aktif budaya seperti wayang kulit. Ingatkan itu dah habis tua ataupun senior... kemudian kami dikenalkan dengan seorang pakcik yang didakwa pelanggan lain sebagai berumur 140 tahun! Kedengaran agak mustahil, tubuh badan dan perawakan seperti berumur paling tua pun 70an, mungkin dah lemah sedikit, jalannya bertongkat. Tetapi kalau 140 tahun itu dakwaan melampaun pun, saya percaya dia memang sudah berusia lebih 100 tahun. Oh. Saya tidak mengambil gambar mereka ya...


Kedai makam tadi sudah dekat dengan Banggol di mana terdapat sebuah tanah perkuburan Islam yang agak besar.


Kami menziarahi makam lama yang dikatakan milik Cik Siti Wan Kembang, pemerintah perempuan terkenal dalam sejarah negeri Kelantan.


Di Banggol juga terdapat makam ulamak besar yang dipanggil Tuan Tabal, kalau tak salah orang pertama membawa Tariqat Ahmadiyah ke Semenanjung Tanah Melayu.


Masuk ke bandar raya Kota Bahru kami singgah di Masjid Muhammadi lalu memanjat menara azannya. Lihat Kota Bahru from a highest part of Masjid Muhammadi.


Kami juga singgah di Pasar Khadijah kerana saya teringin nak beli dan makan jering rebus cicah kelapa parut. Makanan ini dibawa ke Nilam Puri di mana terdapat Masjid Kampung Laut.


Selepas menjamakkan solat Zuhur dan Asar kami berkejar ke Masjid Brunei di tepian Danau Tok Uban. Lihat The Brunei Mosque at Danau Tok Uban by bike.


Kemudian kami mengambil jalan ke Sungai Keladi, terus keluar satu kawasan kampung kemudian masuk jalan berbatu-batan kasar.


Ada satu misi yang sudah lama ingin saya selesaikan. Saya pernah melakukannya sekali beberapa tahun lalu dengan berjalan kaki. Kali ini kami mahu memanjat Bukit Panau sehingga ke puncak dengan menaiki motosikal besar.


Sungguh, jalan sangat curam malah teruk dan banyak pecah-pecah. Sungguh, taubat tak nak buat lagi dah. Tapi bila dah masuk tu pantang berundur. Boleh kata sepanjang perjalanan kami pakai gear satu sahaja dan tidak boleh berhenti langsung sampai ke atas. Nasib baik pemandang di situ memang indah. Lihat artikel Going up Bukit Panau. Di puncak juga terdapat makam tunggal yang dipercayai sesetengah pihak milik seorang tokoh pendeta yang namanya sangat besar. Lihat artikel Makam Adiputra di Bukit Panau? (Tomb of Adiputra at Bukit Panau?) blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Bila jalan dah sangat curam kemudian berliku-liku pula, banyak pecah dan berlubang, ada batu-batan bersepah, perjalanan turun juga mencabar. Pakai motosikal besar yang memang berat, ini sangat mencabar! Memang memanjang kena main brek sahaja, kalau tersilap langkah boleh tergelincir jatuh atau terlepas selekoh sempit langgar besi penghalang. Memang taubat tak nak buat lagi dah. 

Bila dah rasa pengalaman ini baru saya tersedar. Dulu ada hati nak bawak isteri dan anak-anak naik sampai ke puncak Bukit Panau dengan kereta Kenari kami. Mentang-mentanglah pernah naik sampai ke puncak Gunung Jerai. Tapi jalan sana jauh lebih elok, tidak seperti di sini. Nasib baik tak buat apabila isteri melihat jalan masuk ke kaki bukit pun dah cukup teruk untuk kereta. Kalau naik juga memang sah cari nahas.


Cukuplah kerja gila tu sekali. Kalau nak naik lagi lain kali lebih elok pakai motosikal cub atau berjalan kaki. Selesailah misi kami di Kelantan. Sekarang kami mahu mengorak langkah menghala selatan ke Terengganu.

Kelihatan di sini kami berhenti dalam perjalanan ke Machang... apabila mendapati tanda-tanda hujan lebat di hadapan. Lihat beg-beg yang diselaputi poncho askar. Sebelum itu kami menyarung baju hujan.


Ternyata hujan amat lebat sehinggalah hampir ke sempadan Terengganu. Kami berhenti di Jerteh untuk mengisi minyak.


Perjalanan diteruskan menghala ke Kuala Terengganu. Berhenti di Kampung Gemuruh untuk makan malam kemudian ke masjid untuk mandi dan solat.


Kelihatan di langit bulan penuh. 


Rancangnya selepas solat mahu menyambung perjalanan sehingga ke Hulu Dungun. Tengok-tengok pakaian dalam beg dimasuki air akibat hujan petang. Nampaknya saya terlupa menutup satu bahagian, menyebabkan air boleh mengalir hingga membasahkan hampir semua isi beg. Dah terpaksa keringkan dahulu dengan kipas dalam masjid. Nasib baik memang ada ruang yang boleh digunakan musafir. Apa lagi, kami pun layan lelap...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan