Sabtu, September 22, 2012

Penyertaan sulung di Car Book Sale Kota Buku - main pondok askar anak-beranak

OK. Masuk satu aktiviti siang tadi...

Hampir 3 bulan lalu saya ada membuat artikel bertajuk Istana Negara, Kota Buku dan naik gajah - Perjalanan terjauh selepas pusing Pulau Jawa di mana ada disebut tentang satu acara baru dipanggil Car Book Sale anjuran sebuah badan berkaitan kerajaan yang dipanggil Kota Buku.


Acara ini melibatkan sejumlah penggemar buku menjual buku/majalah/komik terpakai juga yang baru menggunakan konsep Car Boot Sale iaitu jualan dari ruangan barangan kereta.


Ketika saya pertama kali melihatnya Sabtu 30 Jun, ia adalah edisi ke-5 acara.


Secara rata ia diadakan 2 minggu sekali di hadapan perkarangan Perpustakaan Kuala Lumpur iaitu di sebelah Dataran Merdeka dan pernah diadakan di pusat bandar raya Melaka pertengahan Julai.


Kemudian acara direhatkan panjang sempena umat Islam berpuasa bulan Ramadhan dan beraya bulan Syawal. Baru tadi ia disambung kembali bermula jam 2.30 petang.


Sejak mendaftarkan diri pertengahan Julai saya memang ternanti-nati bilakah dapat menyertainya.


Alhamdulillah dapat juga saya dan keluarga turut serta buat julung kalinya. Berbekalkan koleksi buku tulisan/terbitan sendiri berserta poster-poster yang pernah dibuat beberapa tahun lalu saya pun mendirikan gerai Car Book Sale secara ad hoc.


Lihat bagaimana saya mendirikan bunting. Pakai kon DBKL dengan kayu yang kebetulan ada di tempat letak kereta, kayunya diangkat tinggi, disendal dengan kain lampin anak. Bunting kemudian disangkut pada hujung atas kayu, diikat dengan plastik pengisi bunting. Apabila mendapati bunting boleh melayang ditiup angin, saya menghempap bahagian bawahnya dengan beg kain berisi buku...


Tidak lama kemudian kami anak-beranak terasa lapar lalu keluar makan berdekatan Central Market. Kami cuma membawa barangan penting bersama, insyaallah tiada masalah meninggalkan pintu kereta terbuka bersama gerai ad hoc dan buku. Gambar ini diambil ketika menuju kembali ke kawasan Car Book Sale. Saya memaparkannya  untuk menunjukkan betapa senangnya menuju ke tempat itu.



Nampak bangunan berkubah hitam? Itulah Perpustakaan KL. Kotak kuning menandakan kawasan Car Book Sale. Dari jauh pun boleh nampak gerai-gerai yang ada asal kita tahu nak tengok kat mana.


Sampai di kereta kami dapati ada dua gerai lagi sudah didirikan.




Cuma kali ini acara sedikit 'kureng' kerana beberapa muka biasa yang berpengaruh tidak muncul akibat terikat dengan hal-hal lain. Rujuk artikel Car Book Sale at the KL Library di blogspot BERPETUALANG KE ACEH di mana acara terasa meriah dengan penyertaan personaliti seperti aktivis budaya, Profesor Dr. Siti Zainon dan seniman puisi terkenal saudara Pyanhabib. Ketidakpastian tentang edisi terbaru ini juga mungkin mengganggu sambutan. Apabila orang tidak pasti apakah sesuatu acara itu jadi atau tidak mereka selalunya tidak akan menunggu lalu mula mengatur program atau menerima jemputan lain.

Dahulu semasa bulan Ramadhan saya diberitahu acara akan diadakan pada penghujung minggu kedua raya. Tetapi masuk minggu itu baru saya dapat tahu ia dibatalkan, mungkin kerana baru menyedari susah hendak mendapat penyertaan kerana hujung minggu bulan Syawal selalu digunakan untuk melawat saudara-mara dan sahabat-handai. Beberapa hari kemudian saya mendapat maklum balas dari pihak penganjur bahawa acara telah ditunda kepada hari Sabtu 22 September iaitu selepas tamat bulan beraya. Tetapi keadaan kemudian agak senyap sehingga saya tertanya-tanya apakah akan berlaku lagi perubahan. 

Beberapa hari lepas saya ada meninggalkan pertanyaan di Facebook penganjur untuk memastikan keadaan. Tetapi pagi Jumaat iaitu semalam baru saya mendapat kepastian. Selepas itu baru saya dapat memaklumkan kepada rakan-rakan dan kenalan. Ternyata ketika itu ramai sudah membuat perancangan lain hujung minggu, ada pula yang sudah sedia berada jauh di bahagian lain Semenanjung. Kalau tidak, penyertaan sulung saya di Car Book Sale ini boleh menjadi lebih meriah. Antara yang mungkin datang adalah sejumlah rakan dan kenalan peminat silat dan senjata tradisional Melayu yang sanggup memakai persalinan penuh busana lama seperti hulubalang, pendekar, panglima juga bangsawan dan kerabat diraja dahulukala.


Nasib baik ada juga peminat-peminat tulisan saya yang datang, ada yang memang ingin bertemu dan membeli buku. Muncul juga sahabat baik saya Zaidi membawa satu surprise ataupun kejutan... dia telah membelikan saya sehelai kain ponco askar lalu saya gunakan untuk mendirikan semacam khemah. Kebetulan saya memang sedang memakai baju serba hijau dengan seluar celoreng askar. Macam tau-tau je...


Adapun dia menghadiahkan ponco itu sebagai persediaan untuk kami keluar mengembara nanti. Semasa zaman saya kembali bujang sering berjalan ke merata tempat, Zaidi adalah sahabat yang paling selalu ikut mengembara sama. Namun kali terakhir kami keluar jauh adalah pada tahun 2008 melihat tempat-tempat bersejarah di Perak. Dalam perjalanan itu Zaidi membuat rakaman video, lalu saya sunting menjadi DVD yang kemudian telah dibeli ramai orang. Lihat artikel lama Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap!

Selepas saya kembali berumahtangga penghujung 2008 kami tidak pernah lagi keluar mengembara bersama.  Sejak itu Zaidi cuma pernah menemani saya untuk satu majlis agama di Masjid Negeri Shah Alam setengah tahun lalu. Lihat artikel Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh. Dialah yang membuat rakaman saya berkongsi pengalaman tentang penulisan siri novel "Berpetualang ke Aceh" dengan khalayak di ruang utama solat masjid besar itu. Selain ini kami cuma pernah bertandang ke rumah masing-masing bersama keluarga.


Kami kemudian pergi berjalan melihat pameran di satu bangunan berdekatan. Lihat Kuala Lumpur City Gallery. Kembali ke kereta saya dapati anak-anak telah menjadikan gerai ad hoc kami tempat bermain.


Tengok tu. Johan dipegang oleh ibunya, jadi dia mungkin tak tahu apa-apa. Tapi Rasyid? Sejak awal dia seronok keluar masuk kereta kemudian naik atas tikar main-main mengatur buku. Kini setelah ada ponco, tanpa disuruh dia masuk ke dalam kotak buku pula. Itu belum cerita dia berlari-lari keriangan di sekitar kawasan Car Book Sale yang lapang.

Saya sendiri seronok dengan gerai ad hoc yang dibuat secara spontan ini. Kalau dilihat gambar-gambar teratas, tentu boleh nampak saya ada menggunakan satu kain bunting lama untuk dijadikan tambahan bumbung. Tetapi dengan adanya ponco ini bunting tersebut dapat digantung di pintu kiri kereta. Agar ponco dapat ditebar lebih luas bunting pertama yang telah didirikan menggunakan kon DBKL dan kayu yang disendal kain lampin pun diletakkan di sudut kiri menjadi penahan. Itu belum lagi dilihat payung atas bumbung kereta yang digunakan untuk menyendal ponco ke kereta. Macam main pondok-pondok askar pula... :]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan