Rabu, Julai 25, 2012

Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Pusing-pusing Bandung sebelum keluar ke tenggara

Hmm. Hari ini sudah hari ke-5 kita berpuasa Ramadhan sekurang-kurangnya di Malaysia. Bersambung cerita daripada artikel Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Jakarta-Bogor-Bandung.


Rabu 9 Mei 2012, selepas puas berehat di sebuah rumah penginapan berdekatan terminal bas barat Bandung kami mengambil bas ke pusat bandar raya.


Kami mahu melihat apa yang ada di bandar peranginan ini.


Tetapi kami dapati bandarnya tak secantik mana. Cuma suhu dingin disebabkan kedudukan melebihi paras 2,000 kaki dari aras laut sahaja yang memberikan sedikit kesegaran dan rasa nyaman. Lihat artikel A look around Bandung city centre di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Saya cuma faham kenapa Bandung menjadi tumpuan ramai pelancong apabila masuk ke bangunan yang kelihatan ini di Pasar Baru. Ternyata ia memang pusat membeli-belah besar yang menggabungkan banyak barangan menarik daripada seluruh Pulau Jawa.


Selain itu tarikan sebenar Bandung terletak di luar bandar, di tempat-tempat seperti Gunung Tangkuban Perahu yang terletak sekitar 1 jam perjalanan. Puas melihat Pasar Baru kami pun ke masjid besar...


Di sini kelihatan ramai warga Bandung berehat santai, masjidnya pun luas. Lihat artikel Masjid Raya (Main mosque of) Bandung di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Ini pula pemandangan daripada sebuah kedai makan di terminal bas timur. Selepas melihat masjid dan berehat sebentar kami kembali rumah penginapan untuk mengambil barang-barang kami kemudian mendapatkan bas ke sini.


Kami mahu meninggalkan Bandung dengan menghala ke tenggara. Tidak berapa lama kemudian dapatlah sebuah bas ke arah sana.


Fikir saya mahu ke sebuah bandar bernama Tasikmalaya. Tetapi apabila mendapat tahu ada lokasi menarik sebelum sampai ke situ kami pun turun lebih awal.


Lokasi yang dimaksudkan adalah sebuah pesantren atau pondok pengajian agama. Di situlah kami bermalam, di situlah bermula cerita sambungan selepas ini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan