Sabtu, Mac 31, 2012

Sneak peek pengembaraan sedang berlangsung melibatkan Johan

Dalam hutan di satu tempat sangat bermakna dalam sejarah lama negeri Cik Siti Wan Kembang cuba mencerna sejumlah maklumat sambil mengharapkan berkat yang boleh melancarkan fikiran dan menimbulkan ilham...



Subhanallah. Melihatkan tarikh hari ini 31 Mac atau 31/3 saya terasa harus membuat artikel baru. Kebetulan siang tadi sebelum sampai ke tempat yang tertera dalam gambar saya ada singgah di sebuah masjid berdekatan lalu mendapati meter kereta menunjukkan nombor 131. Malam apabila kembali ke hotel pula kelihatan nombor 310 pada meter, nombor yang sebenarnya ada faktor 131 juga (nanti diceritakan). Jadi sangatlah kena susun atur nombor yang tidak dirancang dengan tarikh hari ini, sangat sesuai untuk membuat artikel baru walau tak sepanjang mana.

Adapun pada artikel Dari Tok Bentayan ke Sultan Alauddin ke Tuanku Tambusai - Latihan awal Johan untuk pengembaraan akan datang yang dibuat 9 hari lalu ada dibayangkan kami anak beranak akan berjalan jauh dalam masa terdekat bersama anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan yang lahir 17 Februari iaitu bulan lepas. Nah. Perjalanan sudah pun dimulakan Isnin 5 hari lalu. Dari rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang masuk Kuala Lumpur membawa ke Janda Baik melalui jalan lama ke Pahang sebelum keluar balik untuk bermalam di Raub. Kemudian ke Kuala Lipis hingga ke Kampung Relong, patah balik ke KL (Kuala Lipis le) untuk ke Jerantut hingga ke Lubuk Pelang. Patah balik ke Jerantut untuk ke Jengka lalu ke Gunung Senyum. Kemudian berkejar ke Terengganu untuk bermalam di Dungun.

Bayangkan, sampai di Dungun pun saya sudah memandu lebih 750 km. Jadi agak-agak le berapa jauh lagi kereta bergerak bila kami ke Kuala Terengganu kemudian pusing-pusing sebelum berkejar ke Jertih untuk bermalam di sana. Masuk Kelantan, sempat lagi ke Pasir Puteh sebelum ke Machang lalu ke Pulai Chondong sebelum mendapatkan hotel di Kota Bharu. Siang tadi pusing lagi beberapa tempat termasuk ke Masjid Brunei di pinggir selatan Danau Tok Uban sebelum ke Bukit Panau kemudian ke pinggir utara danau yang merupakan sebuah tasik besar.

Meter bawah kereta sebenarnya sudah kosong balik menandakan ia melepasi tahap 1,000 km sebelum sampai ke KB. Bila nombor 310 timbul iaitu ketika kembali ke hotel malam tadi, ia sebenarnya menunjukkan 1,310 km sudah diharungi sejak perjalanan dimulakan hari Isnin. Adapun jarak perjalanan KB ke Kuala Lumpur adalah sekitar 474 km, kalau campur sekali jarak hingga kembali ke rumah jadi tidak kurang 515 km. Itu kalau kembali melalui laluan biasa KB-Gua Musang-Kuala Lipis-Raub-Kuala Lumpur tanpa keluar dari laluan. Sedangkan kami bercadang untuk mengikut laluan lain yang akan melibatkan banyak lagi tempat.

Sesungguhnya perjalanan terbaru ini jadi lebih istimewa kerana kami membawa anak kecil kami Johan. Sukacita dimaklumkan ini adalah artikel ke 969 di blogspot ini. Doakan kami anak beranak selamat sihat walafiat dan mendapat faedah tidak terhingga dari perjalanan ini ya. Selamat malam! :]


3 ulasan:

  1. Salam tuan,

    untuk info .. 30/3 dan 31/3 adalah hari besar bagi rakyat & sultan kelantan kerana adalah hari keputeraan Tuanku Sultan Ismail Putra Ibni Almarhum Tuanku Yahya Petra...

    teringat ambo waktu remaja dulu.. akan ada perarakan kereta berhias pada waktu malam bermula dari batu 4 jln kuala krai hingga ke stadium sultan muhammad ke iv.

    syabas diucapkan kerana berjaya menggali sejarah silam yg boleh memberi pengajaran kpd semua...

    wassalam & terima kasih

    BalasPadam
  2. Wassalam. Diucapkan semoga bergembira dengan keredhaan Allah bagi seluruh rakyat Kelantan. Kami anak beranak berada 3 malam di Kota Bharu.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum ...

    Terasa juga 'cemburu' di hati ambo krn tuan lebih mengenali dan mengetahui tentang sejarah tanah tumpah negeri ambo...hummm...

    Tapi Allah Taala kurniakan kite kelebihan & kekurangan masing2..Sebenarnya dgn menjenguk blok tuan serta berkongsi sedikit cerita darinye ambo pun terasa ingin mencontohi tuan sekadar termampu..

    Sudah berkarpet pulak di makam tok kenali.. kali terakhir ambo ziarah pada december tahun lepas sempena awal muharam..

    Terima kasih & alhamdulillah berkat perkongsian dgn tuan, ambo sudah menziarahi makam tok syeikh harun rashid sentul sbnyk 3x. Moga2 Allah taala membalas jasa tuan kerana menunjukkan jln kebaikan kepada ambo.

    tq

    BalasPadam