Jumaat, Mac 18, 2011

Mencari jejak Merong : Betul ke candi di Lembah Bujang menghadap kiblat?

Salam Jumaat untuk semua. Rasanya sampailah kita kepada satu bahagian yang agak penting dalam penceritaan. Mungkin ramai yang sudah terlupa kerana penceritaan yang memakan masa... kalau ingat, inilah bahagian yang ditunggu-tunggu. Bersambung dari Mencari jejak Merong : Dari Kuala Kedah ke Yan. Mari... :] (Baru sedar artikel sebelum ini ditulis pun seminggu lalu, punyalah slow nak menyiapkan siri ini...).


Dari Masjid Yan kami keluar menghala ke selatan lalu sampai di Ruat.


Singgah sebentar di masjidnya. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ruat, Yan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kemudian kami singgah di rumah seorang kenalan. Tapi dia rupanya tiada di rumah ketika itu...


Perjalanan diteruskan melewati Tanjung Jaga.


Sampai di Singkir Laut kami singgah di satu lagi masjid.


Lihat Masjid (Mosque of) Singkir Laut.


Perjalanan diteruskan ke Tanjung Dawai.


Saya mahu anak dan isteri menikmati pemandangan sekitar kuala Sungai Merbok yang luas. Lihat artikel Merbok river mouth at Tanjung Dawai revisited di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Seterusnya kami pergi ke Pengkalan Kakap di mana terdapat sebuah masjid lama yang tidak lagi dipakai bersebelahan masjid yang dibina kemudian. Lihat Masjid (Mosque of) Abdul Rahman, Pengkalan Kakap dan Masjid lama (Old mosque of) Pengkalan Kakap.


Kemudian kami ke Merbok di mana terdapat sebuah muzium arkeologi dan candi-candi.


OK. Dalam artikel bertajuk Bukti candi di Gunung Jerai menghadap kiblat? yang dibuat 3 bulan lalu saya ada memaparkan gambar ini berserta persoalan apakah candi yang terdapat di situ menghadap kiblat? Sekarang biar kita kaji dan kupas persoalan ini dengan tertib...


OK. Peta dari Google Earth ini harus meliputi perjalanan dari Yan melalui Ruat, Tanjung Jaga dan Singkir Laut hingga ke Tanjung Dawai sebelum ke Merbok yang terkandung di dalam kotak...


Kita zoom in. Muzium arkeologi terletak di dalam kotak ini pula.



Zoom in lagi. Boleh agak tak di manakah candinya?


OK. Sebenarnya terdapat 4 buah candi di sini. Tetapi satu sahaja memang asal dari sini. Yang lain semuanya dialihkan dari tempat lain. Itulah candi yang telah ditunjukkan dalam gambar dari artikel Bukti candi di Gunung Jerai menghadap kiblat? Sekarang biar kita buat garisan untuk menunjukkan ke manakah candi tersebut menghadap.



Melalui Google Earth kita boleh melihat ia menghadap pada sudut 323.48 darjah jika diukur menurut arah jam bermula dari paksi utara. Kalau tak nampak buka gambar dalam windows baru.



Sekarang kita tarik garisan itu jauh hingga ke separuh bumi. Mak ooiii... jauh betul dari Semenanjung Arab. Dari utara India dah lepas ke atas Laut Kaspian masuk ke Eropah hingga ke United Kingdom hampir ke London. Candi ni menghadap ke Stonehenge ke hapa?





Cuba kita tarikh garis yang sama hingga ke Mekah.






Nah. Sudut yang menghadap kiblat adalah lebih kurang 291.39 darjah. Ada perbezaan 32.09 darjah berbanding arah yang dihadap oleh candi di Lembah Bujang.







Kesimpulannya, candi di Lembah Bujang tidak menghadap kiblat di Kaabah. Nak menghadap kiblat lama di Baitul Muqaddis atau Jerusalem pun bukan kerana sudutnya adalah pada 302.31 darjah.




Tapi untuk menyedapkan hati kita cuba satu kemungkinan...




Dengan menggunakan Photoshop saya mencabut dan menyengetkan Semenanjung pada 32.09 darjah kemudian merapatkannya dengan Pulau Sumatera. Pada kedudukan ini candi di Lembah Bujang akan menghadap Kaabah. Bayangkan kalau begitulah kedudukan dua tanah besar ini suatu zaman dahulu. Tolak campur beberapa bahagian tanah yang belum dicantum atau ditenggelamkan/ditimbulkan mungkin benar mukabumi sekitar ini pernah begitu rupa? Biar diberi sedikit pendapat berdasarkan isyarat yang pernah saya dapat beberapa tahun lalu juga panduan dari kitab-kitab dan cerita orang lama.

1. Fasa satu : Separuh tanah Asia Tenggara pernah bersambung dan terletak di hujung Tanah Arab. Kemungkinan begitulah keadaannya semasa zaman Nabi Sulaiman sehingga Yaman dan Asia Tenggara termasuk di dalam jajahan kerajaan Saba' yang diperintah Ratu Balqis. Petunjuknya ada pada cerita kanak-kanak Sang Kanchil yang asyik menyebut tentang Raja Sulaiman.

2. Fasa dua : Bahagian Asia Tenggara itu telah berpecah dari Tanah Arab lalu bersambung dengan kawasan benua besar Asia yang kita kenali sebagai Indo China. Ketika ini Sumatera masih sebahagian dari Semenanjung dan ini pernah dilukiskan di dalam peta pemikir Yunani bernama Ptolemy yang dibuat sebelum atau sekitar zaman Nabi Isa AS. Keadaan ini masih berlangsung sehingga zaman para sahabat Nabi Muhammad SAW lalu jika kapal belayar dari Tanah Arab atau India untuk ke China mesti melalui pantai barat Sumatera. Maka naiklah pelabuhan-pelabuhan seperti Barus juga daerah Minangkabau sebagai persinggahan segala dagang.

3. Fasa tiga. Sumatera dan Semenanjung berpisah dari Indo China. Laluan dagang dari India ke China dan sebaliknya perlu melepasi utara Aceh yang rapat dengan Pattani dan Kelantan. Lalu kawasan-kawasan ini dan sekitarnya menjadi tempat persinggahan utama.

4. Fasa empat. Sumatera terpisah dari Semenanjung sedangkan Semenanjung bersambung kembali dengan Indo China lalu menutup laluan fasa tiga. Maka muncullah Selat Melaka sebagai laluan utama antara India dan China dan naiklah kerajaan Melaka.

5. Fasa lima? Kita sudah melihat bagaimana peristiwa Tsunami 26 Disember 2006 boleh mengalihkan seluruh Pulau Sumatera sejauh beberapa meter dan mengubah garisan pantai di beberapa tempat. Dengan segala macam gerakan seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi yang mungkin terjadi, tidak mustahil nanti Sumatera akan bersambung kembali dengan Semenanjung dan Selat Melaka kembali menjadi sebesar sungai untuk memenuhi hadis akhir zaman tentang "negeri di belakang sungai".

Sekian. Ini adalah artikel ke 818 di blogspot ini. Semoga Jumaat anda semua semakin ceria! :]


p/s: Peta yang dibuat dengan Photoshop tadi turut membayangkan satu lagi kemungkinan, bagaimana kedatangan seseorang yang dikenali sebagai Maharaja Salman sekitar 750 Masihi gitu sehingga terbit kerajaan lama Jeumpa di Aceh boleh dikaitkan dengan Siam atau panggilan Arabnya Sharun Nuwi. Rasanya Siam yang dimaksudkan zaman itu adalah di sekitar Ligor yang telah 'ditarik' mendekati Aceh. maka boleh disesuaikan dengan cerita lama Aceh bagaimana empat orang anak-anak Raja Salman membuka kerajaan-kerajaan baru di mana anak sulungnya Shahir Nuwi menjadi punca terbitnya nama Sharun Nuwi.