Sabtu, Februari 12, 2011

Balik Muar Raya Cina : Perjalanan malam dan bukti kewujudan istana lama?

Assalamualaikum semua. Pada ketika ini saya sedang memuatnaik satu video tertentu ke Youtube. Sejak hampir sebulan lalu kalau tak salah ingatan akaun saya telah dinaiktaraf sehingga boleh memuatnaik video lebih dari 15 minit. Alhamdulillah ini adalah satu perkembangan yang memberangsangkan. Kerana seingat saya dahulu video paling panjang boleh dimuatnaik (wah... saya berjaya juga menahan dari menggunakan perkataan Inggeris upload)ke akaun percuma itu adalah 10 minit.

Apapun saya hendak beritahu video tersebut panjangnya hampir 30 minit. Ia adalah video pertama mahu dipersembahkan setelah mendapat tawaran lebih 15 minit namun dengan peralatan kurang berkuasa yang ada, ia mengambil masa 6 jam untuk dimuatnaik. Pada ketika menulis ayat ini masih ada 4 jam untuk menunggu. Itu yang membuat saya ingin mengenengahkan dahulu satu siri kecil berdasarkan perjalanan di Muar yang dibuat ketika cuti panjang Hari Raya Cina baru-baru ini.

Sebenarnya siri kecil ini memang mahu diketengahkan nanti, menunggu masa sahaja untuk dibuat setelah sekurang-kurangnya 3 lagi artikel baru siri "Mencari jejak Merong" disajikan untuk tatapan pembaca. Artikel Mencari jejak Merong : Kesan yang ditinggalkan di Perlis? yang dibuat Jumaat malam Sabtu merupakan yang ketiga setelah siri menerima selingan berupa 2 buah artikel berdasarkan koleksi gambar bulan Januari 2011 dan satu artikel tentang buku terbaru saya yang baru keluar di pasaran "Kereta Api menuju destinasi" (lihat Mencari makna di sebalik Januari yang santai?, Meredah hujan dari Tanjung Sepat ke Jugra dan Kelang - Mengenang nasib Sultan Musa dan Akhirnya... keretapi pun menuju destinasi). Cuma cadang saya biarkan ia tidak 'dikacau' sekurang-kurangnya 3 hari. Tapi tadi timbul gerak rasa untuk memuatnaik video yang sudah lama disimpan atas sebab tertentu. Masa yang lama untuk proses membuat saya terasa elok juga cerita-cerita berdasarkan apa yang berlaku cuti Raya Cina disajikan sekarang. Mari... :]


OK. Mereka yang sudah biasa dengan penulisan saya tentu faham gerak bercerita saya selalunya keluar untuk melancarkan sesuatu dalam fikiran dan hati. Maka itu saya turut sahaja apa yang timbul walaupun mungkin kelihatan kurang relevan pada sesetengah orang. Khamis malam Jumaat 3 Februari 2011, setelah puas berehat di rumah kami anak-beranak keluar menghala ke selatan. Jalan senyap sunyi terasa aman dan seronok untuk memandu...


Walaupun cuti Raya Cina telah bermula sejak siang, walaupun isteri saya sendiri sebenarnya telah mula bercuti hari Rabu kami memilih untuk berjalan lambat kerana satu, malas nak berlumba dengan orang lain yang balik kampung, takut kesesakan lalu lintas teruk (yes. saya elakkan penggunaan perkataan traffic jam, kiranya nak practice cakap Melayu tanpa campur-aduk Inggerislah konon). Kedua, sehari dua itu memang kami terasa malas nak keluar rumah. Dah lepas jam 10 malam Jumaat baru nak bergerak. Singgah le pusing-pusing sebentar di tengah bandaraya Kuala Lumpur melihat suasana ketika ramai orang dah balik kampung.




Kami makan malam lewat di restoran selepas tol lebuhraya Plus di Sungai Besi.




Kemudian baru kereta meluncur laju...




Keluar lebuhraya di tol Alor Gajah kami menuju ke pusat bandaraya Melaka.



Bukan apa, dah hampir setengah tahun rasanya tak singgah di Masjid Kampung Hulu.



Beriktikaflah kami sebentar sebelum menziarahi makam Syed Abdullah di hadapan masjid juga makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani kira-kira 300 meter dari situ.



Perjalanan diteruskan ke Muar. Singgah minum di satu restoran yang kebetulan ada nama "Istana". Mungkin ada kena-mengena dengan apa yang akan berlaku siang hari?


Siangnya saya bersolat Jumaat di Masjid Kampung Treh yang terletak tidak jauh dari rumah ibubapa di Kampung Temiang.


Sementara imam membaca khutbah saya sempat memanjat Bukit Treh yang terletak di belakang masjid...




Semasa turun dari satu bahagian lereng, baju saya tersangkut pada ranting.


Gerak hati saya menyebut itu tanda supaya berhenti sebentar lalu meneliti tembok yang ada dengan lebih dekat. Allah! Saya sudah banyak kali memanjat bukit ini. Baru tersedar tembok ini didirikan menggunakan batu karang. Selama ini saya lebih memandang bahagian tembok lain yang kelihatan lebih moden, mungkin buatan zaman Inggeris. Tapi tembok batu karang menandakan sesuatu yang jauh lebih lama, nanti akan dihuraikan di bawah.


Petang sedikit saya, isteri dan anak mengikut ibubapa ke rumah seorang saudara hampir ke sempadan Batu Pahat untuk menyaksikan satu majlis pertunangan.


Selesai majlis kami makan di sungai (bukan parit ya) hadapan.



Bukan apa. Seronok duduk kat atas tembok. Al-Rasyid pun suka tengok air...


Kembali dari majlis kami mendapat panggilan ada saudara-mara yang mahu bertemu tetapi mereka sedang bertandang di rumah seorang datuk saudara saya tidak jauh dari Bukit Treh. Kami pun singgah, dapat juga menziarahi datuk saudara yang merupakan saudara tertua masih hidup, juga orang tertua di Kampung Temiang dan sekitarnya. Sekarang biar diterangkan tentang apa yang tersurat dan tersirat di batu karang. Hmm... saya rasa rujuk dahulu pada artikel Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar? yang dibuat setengah tahun lalu.

.......... Dah baca dah? Baca le sebab saya sebenarnya malas nak menerangkan banyak kali. Nasib baik dua hari lepas saya ada menulis cerita berkaitan untuk satu projek buku baru. Jadi biar disalin kembali di sini ya (yay... saya tak guna perkataan copy and paste). Harap ia dapat menjelaskan lagi bab istana lama itu...

--------------



Bukit Treh menjadi saksi


Kehadiran tembok panjang dari batu karang di tengah Bukit Treh boleh dijadikan bukti bahawa satu tamadun lama pernah wujud di sekitar ini dengan bukit kemungkinan besar menjadi pusat. Batu karang juga menjadi bukti kawasan berdekatan pernah menjadi laut. Bukan senang untuk mencari batu jenis ini dalam jumlah yang banyak untuk dijadikan tembok. Bukan senang pula mahu mengangkutnya lebih 5 km dari garis pantai sekarang jika tidak kerana semasa tembok didirikan pantai terletak cukup dekat. Ini bukan sahaja menunjukkan kewujudan laut atau perairan Selat Melaka berdekatan dengan bukit, ia menunjukkan tembok telah dibina pada satu zaman yang agak lampau. Kalau kisah Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman mahu diselarikan dengan satu cerita rakyat dari Sumatera yang menyebut tentang seorang raja bernama Sultan Muhammad Al-Kamil meninggalkan Bandar Khalifah (kini dalam Aceh) lalu membuka kerajaan baru di Muar, ia harus berlaku sekitar 700 tahun lalu. Kalau kewujudan tembok dikira sebahagian dari istana sebuah kerajaan besar menurut pendapat sesetengah pihak ia merujuk pada zaman yang lebih lampau, abad ke 8-9 Masihi.

Kesan istana di puncak bukit jika benar pun pernah ada telah pupus dengan pembinaan loji air Inggeris yang kini tidak lagi dipakai. Namun Bukit Treh terus menjadi saksi pelbagai perkara sejak sekian lama. Kedudukannya sebagai satu-satunya tanah tinggi dalam lingkungan 5 km dari bandar Muar sekarang (bukan Muar purba yang mungkin terletak lebih pendalaman) malah satu-satunya bukit dalam lingkungan 11 km dari kuala Sungai Muar menjadikannya tempat yang amat istimewa. Walaupun tingginya tidak seberapa cuma sekitar 80 kaki sahaja dari paras laut, ia menjadi terserlah di ketika seluruh kawasan sekeliling rata-rata hanya mendatar belaka.


Jumaat, Februari 11, 2011

Mencari jejak Merong : Kesan yang ditinggalkan di Perlis?

Siang tadi selepas membayar bil di pejabat pos baru tersedar ada sesuatu yang istimewa tentang tarikh hari ini. Pada bil ada tertera nombor 11022011 satu nombor simetrikal yang agak menarik. Rupanya-rupanya ia merujuk pada tarikh 11/02/2011. Ini membuatkan saya rasa patut menyambung siri "Mencari jejak Merong" hari ini juga. Memang sepatutnya saya telah menyambungkannya sejak hari Rabu paling lambat pun Khamis. 

Tetapi sejak kebelakangan ini memang selalu terasa berat hendak membuat artikel baru. Lagipun saya juga sibuk dengan projek baru buku. Untuk memulakan artikel sambungan yang merupakan keenam dalam siri ini pula bukanlah mudah. Saya harus menyiapkan dahulu 7 artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 6 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). \

Disebabkan rasa berat yang mengganggu, jam 4 petang baru boleh memulakan penulisan. Maka setelah menyiapkan sejumlah artikel sokongan hampir tengah malam baru saya boleh memulakan artikel utama ini. Mari. Bersambung dari Mencari jejak Merong - Dari Hatyai ke Perlis Indera Kayangan....

Masuk kembali ke Malaysia dari Padang Besar, Thailand kita masuk ke Padang Besar, Perlis.


Keluar dari bandar perlu melalui jejantas.


Saya pun keluar dari kereta sebentar. Bukan apa, mahu melihat bagaimana rupa landasan keretapi sampai ke stesyen Padang Besar kerana terkenang perjalanan yang dibuat menaiki keretapi hingga ke Hatyai tahun lepas. Lihat buku yang terhasil dalam artikel Akhirnya... keretapi pun menuju destinasi.


Perjalanan diteruskan menghala ke selatan.


Ada sesuatu yang menarik di tepi jalan.


Ada taman burung unta yang dibuka kepada awam secara percuma.


Ada juga tempat membela kuda. Lihat The ostrich farm in Perlis.


Perjalanan diteruskan dengan niat untuk singgah di sejumlah tempat di Perlis. Jangan silap baca... dari taman burung unta yang terletak kira-kira 7-8 km dari Padang Besar itu masih ada 29 km untuk sampai ke Kangar, bukan 9 ya seperti yang kelihatan (nombor 2 depan 9 sedikit kelam). Lihat The road from Padang Besar to Kangar.


Salah satu tempat yang ingin disinggahi adalah tasik luas yang dipanggil Timah Tasoh. Lihat The lake called Timah Tasoh.


Ketika bergerak semakin hampir ke Kangar ternyata tasik Timah Tasoh yang amat indah ini masih boleh dilihat dari satu sudut di mana boleh kelihatan juga bagaimana ia terbentuk. Lihat Timah Tasoh at its 'source'.


Tidak lama kemudian sampai ke Kangar. Tetapi kami setakat melihat dari dalam kereta kerana ada lagi tempat-tempat lebih penting yang perlu dikejar. Lihat A quick look at the town of Kangar.


Perjalanan diteruskan menghala ke laut...



Kelihatan Pulau Langkawi apabila kami hampir sampai.


Sudah boleh agak ke manakah kami pergi? Lihat Kuala Perlis, the town at the estuary of the Perlis river.


Kami singgah di Kuala Perlis sebentar sahaja. Ini kerana selain mahu menunjukkan ia kepada isteri yang belum pernah sampai ke sana saya mahu menziarahi satu makam. Peliknya saya tidak dapat menemui makam yang sepatutnya terletak tidak jauh dari jeti ke Langkawi itu. Apabila ditanya tiada siapa pun tahu. Rupa-rupanya saya terlupa. Makam yang mahu dicari iaitu makam Tok Pasai terletak di Kuala Kedah bukan Kuala Perlis. Hek eleh... :]


Dengan itu kami bergegas ke bandar terakhir yang mahu dikunjungi di Perlis iaitu Arau. Ketika sampai sudah jam 5:30 petang. Maklumlah kami keluar dari Thailand dan melepasi imigresyen pun dah hampir jam 3. Singgah pula di banyak tempat...


Di Arau sendiri ada beberapa tempat yang mahu di jejaki, kalau boleh sebelum gelap...


Mula-mula lalu bahagian bandar lama...


Kemudian masuk ke makam diraja. Lihat Makam diraja (Royal mausoleum of) Perlis, Arau.


Apabila telah melihat ke dalam ternyata apa yang ditanda secara rasmi sebagai makam diraja itu masih baru. Makam diraja asal di mana raja-raja Perlis dan kerabat disemadikan turun-temurun terletak di satu kawasan kubur besar bersebelahan yang turut mengandungi kubur orang awam.


Namun makam kerabat diraja Perlis yang berasal dari keluarga Sayyid Jamalulail keturunan Nabi Muhammad SAW cukup terserlah dengan binaan-binaan batunya. Lihat Makam diraja Perlis yang asal (The original royal mausoleum of Perlis). Sejumlah batu nesan kerabat mengingatkan pada bentuk batu nesan sebuah makam besar yang berkait dengan watak legenda Perak, Keramat Kuala Bidor. Apakah ada kena-mengena? Lihat artikel lama Makam (Tomb of ) Keramat Kuala Bidor.


Di kawasan makam pula ada satu bangunan yang ternyata adalah masjid lama diraja. Lihat Masjid lama diraja Arau (The old royal mosque of Arau).

 

Ternyata Arau sebagai bandar diraja Perlis menyimpan banyak jejak lama yang bersejarah.


Dari masjid lama saya melangkah ke masjid baru. Oh, semasa menziarahi makam dan masjid lama isteri dan anak yang kepenatan menunggu saja dalam kereta. Sebelum ke masjid baru saya terlihat sebuah rumah kayu dengan bentuk lidah terjulur. Apabila rapat untuk melihat lebih dekat saya ternampak Istana Arau tempat Raja Perlis bersemayam juga memiliki bentuk yang sama. Lihat artikel Rumah dengan lidah tergantung di Arau (A house with the hanging-tounge shape in Arau) dan Istana Arau (The palace of Arau).

Namun entah kenapa bentuk itu kelihatan seperti tersorok jika dilihat dari arah lain. Sambil berehat di dalam masjid baru diraja (lihat Masjid negeri (State mosque of) Perlis, Arau), saya terfikir apakah bentuk lidah terjulur itu menandakan wujud satu warisan yang boleh dikaitkan dengan satu identiti Merong Mahawangsa seperti yang diilhamkan kepada saya? Lihat artikel lama Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu? untuk memahami apa yang dimaksudkan. Mungkin pada salasilah keluarga Jamalulail yang diketahui umum sebagai berasal dari kabilah besar Ba' Alawi dari Hadramaut, Yaman ada kaitan tersembunyi membawa kepada salasilah lama Aceh, Samudera-Pasai dan Perlak yang memiliki titisan cucu sulung Rasulullah SAW iaitu Saidina Hassan bercampur dengan titisan sahabat baginda Saidina Salman?


Hari semakin suntuk. Sampai masa untuk bersiap membeli makanan dan minuman untuk berbuka puasa.


Ketika mencari tempat yang elok untuk berbuka kelihatan satu bahagian tepi jalan yang agak selesa.


Rupa-rupanya ia terletak di hadapan sebuah klinik yang seolah memberi petunjuk tertentu. Nama Kamil mengingatkan pada Dinasti Al-Kamil (lihat koleksi artikel lama di Dinasti Al-Kamil bakal bangkit semula...). Nama Arif pula mengingatkan pada Sheikh Abdullah Arif yang dikatakan datang ke Aceh membawa kitab Tasawuf Bahr Laut (Lautan keTuhanan). Adalah dipercayai beliau juga orang yang sama disebut Hikayat Merong Mahawangsa mengIslamkan Sultan Muzaffar Shah Kedah. Tak tahulah Muzaffar Shah yang mana satu sebab dah ada berbagai teori sekarang tentang identiti sebenar Sultan Muzaffar...


Nah. Di sinilah kami menikmati juadah berbuka puasa.


Ketika menghala kembali ke Alor Setar singgah sebentar di makam Datuk Maharaja Kadhi Sheikh Abdul Jalil. Lihat The tomb of Maharaja Khadi Abdul Jalil in Jitra revisited. Bersebelahannya ada surau. Kami mengambil peluang untuk menghimpunkan solat.


Kami singgah di bandar Jitra untuk makan malam lewat.


Perjalanan disambung ke Alor Setar hingga ke Langgar. Singgah di masjid lama ini hampir 12 tengah malam. Cerita akan disambung pada hari dan waktu yang sesuai ya. Sekian buat masa ini. Selamat malam! :]


Isnin, Februari 07, 2011

Mencari jejak Merong - Dari Hatyai ke Perlis Indera Kayangan...

Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, pada cuti Hari Raya Cina baru-baru ini saya sempat kembali ke kampung ibu di Muar setelah 5 bulan gitu tidak ke sana lalu menziarahi beberapa tempat, antaranya makam Panglima Lidah Hitam di Parit Sakai... sempat juga melihat keadaan banjir terutama di Pagoh walaupun ketika itu sudah 3 hari hujan berhenti. Dalam perjalanan kembali ke rumah sendiri hari Ahad pula saya menziarahi makam seorang pahlawan yang dipanggil Tok Laji di kawasan Kesang berhampiran sempadan Melaka-Johor sebelum pergi lagi ke makam Raja Melewar. Tapi biarlah ini diceritakan nanti. Buat masa ini biar disambung kembali siri "Mencari jejak Merong"... bersambung dari artikel Mencari jejak Merong - Melihat 'masyid' ke Hatyai.


OK. Pada bahagian akhir artikel lalu telah ditunjukkan gambar isteri dan anak setelah keluar dari kereta. Apa yang berlaku selepas itu adalah kami berjalan kaki merata di pusat bandaraya Hatyai, singgah juga di stesyen keretapi, tempat paling awal saya jejaki ketika pertama-kali sampai ke bandaraya terbesar di Thailand selepas Bangkok ini penghujung Mei 2010. Lihat artikel Walking with the family in Hatyai di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Puas berjalan kaki kami mula meninggalkan Hatyai...


Bukan apa, kami harus menghala ke selatan untuk kembali ke Malaysia.


Mungkin ada yang tertanya kenapa sekejap sangat berada di Hatyai. Kenapa tak tidur sekurang-kurangnya satu malam di sana memandangkan bukan selalu kita boleh berjalan jauh sehingga sampai ke sini. Ada 2 sebab kenapa. Satu ketika itu bulan puasa Ramadhan. Susah juga jalan di sana dalam keadaan perlu berlapar siang hari selain harus sentiasa menjaga pandangan mata dan deria bau... terasa kurang enjoy kerana makanan yang disajikan orang Islam tempatan di siang hari sentiasa memanggil-manggil sedangkan tiada siapa yang peduli jika kita tak mahu puasa. Sebab utama pula kami harus bermalam di tempat lain. Rujuk balik apa yang telah diperkatakan dalam artikel Mencari jejak Merong - Pokok besar, Alor Setar dan surau tepi kubur.


Langit mula mendung setelah kami meninggalkan bandaraya.


Hujan pun turun.


Di celah-celah itu ada tempat yang kering. Di sini kami menghampiri persimpangan menuju ke Padang Besar, Perlis.

 

Jika tadi kami masuk ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam di Kedah, kami mahu kembali melalui Perlis pula. Kelihatan kawasan di hadapan sudah dilanda hujan.


Dipendekkan cerita kami semakin menghampiri Padang Besar.


Berhenti sebentar di sini...


Bukan apa. Saja je nak rakamkan gambar masjid walaupun tidak singgah masuk ke dalam. Cukuplah 4 buah masjid yang sudah dirakamkan dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam ke Hatyai.

Padang Besar semakin hampir...


Kelihatan penunjuk arah ke pintu masuk sempadan dan tempat imigresyen...


Walaupun sudah sampai ke tempat imigresyen saya mahu ke hadapan sedikit untuk meluangkan sedikit masa lagi di Thailand.



Kereta menyeberangi landasan keretapi yang membawa dari Malaysia hingga ke Hatyai, laluan yang dipakai ketika pertama kali sampai ke bandaraya itu hampir 8 bulan lalu.


Kami mahu melihat bahagian Padang Besar yang terletak di dalam Thailand. Lihat The Thai side of Padang Besar.


  Setelah itu baru kembali ke Malaysia.


  Seperti di Bukit Kayu Hitam, sekali lagi kami dapat melepasi imigresyen Thailand tanpa diperiksa. Ini tidak menjadi masalah untuk masuk kembali ke Malaysia tapi kami diingatkan lebih elok berpatah-balik ke imigresyen Thailand untuk paspot dicop... takut nanti dalam rekod mereka kelihatan kami tidak meninggalkan Thailand dan ini boleh menimbulkan masalah apabila kami ingin masuk lagi ke sana di masa hadapan. Lagipun kami juga mahukan paspot kami dicop agar ada nama imigresyen Thailand di Padang Besar. Di atas adalah gambar apabila sudah selamat berada di Padang Besar, Perlis. Kami masih ada masa untuk berjalan-jalan. Agak-agak ke manakah seterusnya ya? Bersambung nanti.