Satu lagi cerita selingan santai sebelum kembali kepada penceritaan perjalanan/pengembaraan di sekitar Medan, Sumatera. Bersambung dari Majlis kahwin dalam stadium 2011.
Pagi Isnin 21 November 2011. Setelah bermalam di rumah ibu bapa saya di Kampung Temiang kami keluar makan pagi nasi beringin di stesyen bas bandar Muar kemudian berjalan-jalan. Kelihatan Rasyid berdiri menghadap perairan kuala Sungai Muar.
Seterusnya kami singgah di tanah perkuburan Bentayan, Jalan Bakri. Nak cuba cari makam Tok Bentayan (rujuk artikel Pertemuan waris Temenggung Muar di Kluang, nostalgia zaman sekolah dan Tok Bentayan) tapi tak tahu yang mana. Apakah yang ini? Batu-batu nesannya dicat penuh dengan binaan menunjukkan ia milik orang penting. Tetapi tiada catatan boleh dibaca.
Tertera nama Encik Awang bin Daeng Bachok. Teringat cerita "Lembing Awang pulang ke Dayang". Cuma cerita dikatakan berlaku sekitar tahun 1776. Watak hero Awang pula berlawan dengan watak jahat bernama Bachok, bukan anak dan bapak...
Gambar diambil di bawah menara ini. Selepas itu kami anak beranak makan buah mata kucing dan menikmati air buah pir (pear) di sebuah kedai berdekatan.
Singgah bermandi-manda di Gunung Ledang sebelum bermalam di rumah kakak kepada isteri di Felda Jelai, Negeri Sembilan.
Esoknya Selasa 22 November kami keluar menghala ke Bahau. Tidak jauh dari FELDA Jelai terdapat jambatan gantung ini. Lihat artikel Muar river near the FELDA of Jelai di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Dari Bahau kami pergi ke tempat pertemuan Sungai Muar dengan Sungai Jempol. Untuk mengetahui keistimewaan tempat ini rujuk artikel-artikel lama Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!, Where Muar river meets Jempol in Negeri Sembilan... dan Sambungan cerita "Menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!"... Menyusuri juga makna sebuah mimpi lebih 10 tahun lalu dan kehadiran hantu Siam?.
Ia adalah rumah yang dibina untuk mengenangkan seorang tokoh besar bahasa. Lihat artikel Teratak (House of) Za'aba di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Seterusnya kami singgah di makam Tuan Tulis di Tanjung Ipoh, 8 km melepasi Kuala Pilah. Saya ada mengambil gambar masjidnya. Lihat Masjid (Mosque of) Tuan Tulis.
Kemudian ke bandar diraja Seri Menanti. Sempat bergambar di singgahsana lama yang terletak di dalam istana lama yang telah dijadikan muzium...
Oh. Sebelum itu saya ada mengambil gambar masjid diraja. Lihat Masjid diraja (Royal mosque of) Tuanku Munawir. Di tingkat teratas istana lama ini baru kami berehat lama melepaskan penat lelah. Menurut ceritanya di sini dahulu pernah tersimpan satu barang warisan diraja yang agak misteri. Ia merupakan rambut, sehelai kalau tak salah ingatan yang sangat panjang, disimpan dalam bekas khas.
Kami sampai di Kuala Lumpur waktu senja. Berehat sebentar di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad sebelum kembali ke rumah. Tamatlah cerita-cerita selingan dari perjalanan santai yang dibuat 19-22 November. :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan