Sabtu, November 26, 2011

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Berastagi ke Danau Toba

Assalamualaikum semua. Selamat menyambut Ma'al Hijrah atau awal Muharram tahun baru Hijriah 1433. Adapun walaupun lewat kerana hal-hal lain, artikel ini mula ditulis sebelum tengah malam, masih lagi 26 November 2011 iaitu hari lahir saya yang ke 41. Maaf kerana lambat menyambung daripada artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Medan ke Berastagi. Dari Jumaat lepas hingga ke Selasa, saya dan isteri telah keluar membawa anak-anak berjalan ke Pulau Besar, Melaka, Muar dan Negeri Sembilan. Rabu dan Khamis pula saya menghadiri bengkel Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur sepanjang hari.

Kalau mengikut rancangan asal Jumaat malam Sabtu atau malam semalam pula kami mahu ke Muar lagi sebelum menghadiri satu majlis perkahwinan di Johor Bahru kemudian satu lagi di Pontian di mana saya diharapkan untuk memperkenalkan beberapa ahli keluarga dengan saudara mara belah Bugis yang baru setengah tahun ini saya kenali. Kemudian rancangnya mahu ke Singapura sebelum pusing-pusing Johor diikuti masuk Pahang melalui Endau kemudian ke Rompin. Namun masalah kereta melanda lalu ia harus dihantar ke bengkel. Apapun, ini hikmah dari Allah menyuruh kami berehat dari berjalan-jalan buat sementara. Dapat juga meneruskan penulisan di blogspot yang asyik tertunda... :]


Pagi Khamis 3 November 2011. Setelah puas bermalam di sebuah hotel kami bersedia untuk berjalan-jalan di Berastagi.


Kami ada melihat-lihat kota. Namun untuk blogspot ini tidak dipaparkan gambar kerana kebanyakan rakaman dibuat melalui video untuk satu projek akan datang. Maka biar ditunjuk gambar ini sebagai pengganti. Dengan menaiki 'angkut' iaitu van pengangkutan awam kami naik ke sebuah bukit yang dipanggil Bukit Gundaling bersebelahan kota.


Terletak pada ketinggian 1475 meter dari paras laut gitu, ia cuma sekitar 230 kaki lebih tinggi dari bandar. Dari sini boleh kelihatan gunung berapi Sinabung dan Sibayak. Menariknya adalah asal-usul nama Gundaling yang katanya bermula dari perkataan "Good bye darling!". Lihat artikel Bukit Gundaling, the "Good bye darling" hill di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Ini pula adalah gambar setelah beberapa jauh meninggalkan Berastagi untuk ke selatan. Oh... sebelum itu kami sempat singgah di masjid utama bandar. Lihat artikel Masjid Raya (Main mosque of) Berastagi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Dengan menaiki kereta sewa kami singgah di beberapa tempat bermula di satu bahagian bersebelahan bukit yang kelihatan.



Di situlah terdapat air terjun tinggi Sipiso Piso.


Menariknya adalah bagaimana ia masuk mengalir ke bahagian utara Danau Toba. Lihat The waterfall of Sipiso Piso.


Seterusnya kami singgah di istana lama milik raja-raja Batak Simalungun. Saya difahamkan kaum Batak terbahagi kepada tiga - Batak Karo yang mendiami kawasan tanah tinggi di Berastagi dan sekitarnya, Batak Simalungun di timur Danau Toba dan Batak Toba di sekitar danau (tasik besar sebenarnya) dan Pulau Samosir, pulau di dalam danau yang besarnya seperti Singapura! Istana yang dilihat ini terletak di satu tempat bernama Permatang Purba. Antara raja yang pernah bersemayam di situ, ada yang memiliki 12 isteri! Lihat Istana Raja Batak Simalungun di Permatang Purba (The Batak Simalungun king's palace at Permatang Purba).
Dari Permata Purba kami mengambil jalan pergunungan tepian Danau Toba untuk ke Prapat. Sepanjang jalan boleh kelihatan Pulau Samosir yang terletak di tengah danau.



Parapat merupakan pintu masuk utama ke pulau. Kami sampai waktu senja lalu terus menuju ke feri...


Destinasi kami adalah ke Tuk-tuk, pekan utama di pulau. Cadangnya mahu singgah satu malam sahaja. Tapi siapa sangka penginapan akan dilanjutkan dan kami akan pusing pulau? :]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan