Pagi Sabtu 8 Oktober 2011, selepas bermalam di rumah seorang ibu saudara di Shah Alam, kami anak beranak pun mengorak langkah keluar. Pemandangan bandar yang kelihatan dari sekitar rumah membuat saya tertarik untuk mengambil gambar. Lihat artikel A morning look of Shah Alam di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Kalau ikut rancangan asal, selepas Shah Alam kami mahu terus ke kampung ibu saya di Muar. Sebaliknya kami singgah dahulu di Putrajaya.
Saya baru dapat tahu kurang dua minggu lalu ada perhimpunan menarik mahu diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin... tapi tak pasti nak pergi disebabkan rancangan mahu ke Muar. Kemudian saya berfikir balik. Apa salahnya singgah dalam perjalanan? Kebetulan ibu saudara di Shah Alam memang ingin saya datang untuk mengambil satu barang yang mahu dikirimkan kepada bapa saya. Dari sana sudah elok le Putrajaya dalam perjalanan sebelum ke Muar. Saya pun mengubah rancangan. Dari rumah kami ke Bandar Tasik Puteri cukup senang untuk ke Shah Alam melalui jalan belakang.
Alhamdulillah, ia bukan keputusan yang sia-sia. Selain dapat berjumpa sejumlah kawan lama dan berkenalan dengan ramai lagi yang saya tidak pernah jumpa kerana perbezaan umur dan tempoh masa persekolahan saya dapat peluang mempromosi dan menjual buku.
Sebenarnya ini adalah perjumpaan bekas pelajar sekolah lama saya, Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang.
Sekolah ini juga dikenali dengan nama singkatannya SMSJ. Persatuan bekas pelajar pula dipanggil SAJOHA.
Sebagai salah sebuah sekolah berasrama penuh pendidikan sains yang terawal di Malaysia ia tentu memiliki ramai pelajar. Batch terawal adalah mereka yang masuk tahun 73 sedangkan saya sendiri masuk 83 sebelum mengambil peperiksaan SPM 87 lalu turut dikenali sebagai ahli batch SPM 87. Sekarang tahun 2011 maka mereka yang tamat SPM 2010 juga sudah dikira sebagai bekas pelajar, cuma mungkin belum cukup dewasa untuk memiliki karier lalu cukup berkeyakinan untuk bergaul dengan mereka yang jauh lebih tua. Biasanya seorang bekas pelajar cuma memiliki karier selepas tamat pengajian di universiti, satu tempoh yang memakan masa lagi 4 atau 5 tahun selepas SPM. Maka tidak salah mengatakan bekas pelajar paling muda yang sudah memiliki karier haruslah dari batch SPM 2005.
Apapun perjumpaan sebegini haruslah dapat menghimpun lebih 30 tahun batch pelajar. Maka ada bekas pelajar lebih tua yang tidak pernah saya temui sebelum ini begitu juga halnya yang lebih muda. Di atas adalah gambar dalam dewan di mana diadakan mesyuarat persatuan. Semasa mula sampai saya terus menuju ke sini lalu terjumpa rakan lama satu batch yang meminta saya agar membuka gerai buku.
Alhamdulillah. Kebetulan saya ada membawa sejumlah buku berserta bunting promosi dalam satu kotak yang selalu dibiarkan berada di dalam kereta. Kebetulan juga ada satu meja kosong siap dengan 2 buah kerusi seperti menunggu saya. Apa hendak dihairankan kalau ada gerai menjual buku? Tempat menderma darah pun siap ada untuk memeriahkan majlis.
Selepas Zuhur hadirin semakin ramai. Namun ada juga yang sudah pulang awal.
Sungguh, saya seronok majlis ini diadakan di dewan bawah masjid besar yang juga dikenali sebagai Masjid Besi ini.
Sejak ia dibuka kepada umum setahun dua lalu ia menjadi tempat utama untuk saya menunaikan solat apabila berada di Putrajaya.
Sambil itu dewan yang tadi digunakan untuk mesyuarat telah dijadikan tempat anak-anak bermain dan berkumpul. Kalau tidak susah juga hendak melayan kerenah anak kecil yang sentiasa hendak berlari ke sana ke mari.
Kembali kepada makan-makan... dan rakan-rakan...
Siap ada persembahan dan hiburan lagi...
Alhamdulillah. Ramai bekas pelajar SMSJ telah menjadi orang berpangkat dan memiliki tempat dalam masyarakat. Ada juga beberapa yang telah menempah nama menjadi orang terkenal dalam dunia seni.
Ini pula adalah gambar lewat malam di rumah seorang saudara dua pupu saya, bekas ADUN Jorak. Satu kenduri telah diadakan tetapi kami anak beranak datang lewat namun masih sempat menikmati juadah. Seharusnya saya juga mengambil gambar di rumah seorang datuk saudara yang dipanggil Tok Musa kerana turut menghadiri kenduri di sana lebih awal. Namun saya terlupa dalam kekecohan ahli keluarganya mahu mendapatkan 8 naskah buku "Jejak keluarga Yakin..." yang masih tinggal.
Tu le. Saya tak jangka ada kenduri di rumah mereka. Semasa meninggalkan rumah di Bandar Tasik Puteri untuk ke Shah Alam cuma ada 13 naskah dalam kereta lalu satu dibeli ibu saudara situ. Di perjumpaan bekas pelajar di Masjid Besi pula 3 naskah dibeli orang walaupun harganya mahal iaitu RM125 senaskah. Tinggallah 9 naskah yang mana satu mahu dihadiahkan pada Tok Musa sebagai ahli tertua keluarga belah ibu yang masih hidup, satu lagi mahu dihadiahkan kepada bapa...
Siapa sangka sebaik sahaja sampai ke rumah Tok Musa ada tahlil baru tamat diikuti kenduri? Rupa-rupanya ramai telah menyaksikan temu ramah dan ulasan buku yang muncul di Selamat Pagi Malaysia pagi Khamis baru ini lalu sangat teruja. Lihat balik artikel Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia. Kalau ikutkan cuma 7 naskah sahaja boleh dijual kerana 2 dari 9 mahu dihadiahkan. Nasib baik saya ada membawa satu naskah awal yang pernah diserahkan untuk paparan grafik Khamis seminggu sebelum itu, naskah yang mahu disimpan sendiri kerana ia muncul sebelum buku-buku lain siap seminggu selepaskan. Itulah yang dihadiahkan kepada bapa terlebih dahulu, maka 8 dapat dijual untuk keluarga Tok Musa.
Oh. Tok Musa ialah abang kepada ibu kepada ibu saya. Nama Yakin pada tajuk merujuk kepada bapa Tok Musa yang berketurunan Jawa. Bapa kepada ibu pula berketurunan Bugis. Dari belah ituah muncul saudara dua pupu yang pernah menjadi ADUN Jorak lalu kenduri di rumahnya kami hadiri selepas rumah Tok Musa. Namun cerita keluarga belah Bugis turut disebut dalam buku "Jejak keluarga Yakin..." selain sedikit sejarah Jawa, Singapura, Johor, Batu Pahat dan Muar malah sejarah England pun ada sebagai rasional yang membawa kepada penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Untuk mendapatkan gambaran lihat Sneak peek "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah". Selepas ini saya akan bercerita tentang perjalanan ke Gunung Ledang...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan