Jumaat, September 24, 2010

Al-Rasyid berhari raya : Beberapa kenangan lama, mukadimah untuk pengembaraan kecil berkaitan Bugis?

Assalamualaikum. Sekarang kita masuk pula pada cerita siang hari raya ketiga...


Pagi itu saya membawa isteri dan anak keluar berjalan ke bandar Muar...


Sebenarnya kami teringin hendak makan nasi beringin di satu kedai kegemaran. Namun ia masih ditutup sempena raya. Kami pun beralih angin ke kedai Kopi 434 yang boleh tahan terkenal juga. Ternyata kopi yang diminum kali ini terasa lebih enak berbanding lawatan sebelumnya kira-kira setahun lalu.

Al-Rasyid pula tak boleh duduk diam. Maklumlah baru kurang sebulan 'dapat kaki'. Susah juga hendak menikmati kopi sambil memerhatikan dia berjalan laju ke sana ke mari hingga ke luar kedai. Kalau tak kasi berjalan nanti mengamuk pula, dah memang begitu sifat budak-budak...

Itupun untunglah, sejak umur 10 bulan sudah boleh berjalan. Ada budak yang umur dekat setahun setengah pun masih lebih banyak merangkak. Malah 2 bulan lalu semasa Al-Rasyid baru pandai berdiri ada juga yang pelik kenapa dia belum boleh berjalan. Rupa-rupanya mereka tersilap menyangkakan anak kami ini sudah berumur 2 tahun walhal badan sahaja besar, ketika itu umurnya baru 9 bulan. Maka syukurlah dia boleh berjalan cepat. Berilah galakan walaupun kadangkala pening melayan...


Dari kedai kopi kami menghala kembali ke rumah, singgah sebentar ke Bukit Treh, terasa ingin melihat satu bahagian lereng.



Sebenarnya isteri teringin menziarahi makam di kaki bukit yang terdapat di dalam rimbunan pepohon ini. Apakah yang istimewa tentang tempat ini? Lihat balik artikel Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar?.




Di kaki bukit juga terdapat batu-batu sebegini yang seolah-olah memberikan petunjuk kawasan ini pernah terletak di dalam laut. Lihat peta-peta yang disuakan dalam Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar?.





Kemudian baru kami kembali ke rumah. Baru betul-betul bersedia untuk kembali menyambut hari-raya.




Ternyata kami kembali tepat pada masanya. Tidak lama kemudian datang saudara-mara dari Johor Bahru.







Al-Rasyid pula sibuk bermain dengan sepupunya. Yang berdiri kanan tu kira pangkat ibu saudaranya, sepupu kepada saya. Sedangkan apabila kembali ke rumah keluarga isteri di Tanjung Sepat, Al-Rasyid memiliki beberapa orang anak saudara yang sedikit lebih tua daripadanya! Itulah yang boleh terjadi apabila saya, anak sulung dari 5 beradik berkahwin dengan isteri, anak ke 11 dari 13 orang... umur saya menghampiri adik-beradik ibu yang bongsu sedangkan isteri saya pula memiliki abang dan kakak yang sudah bercucu.




Suasana hari raya dengan kedatangan saudara dari JB, keluarga adik kepada ibu kepada ibu saya, masih ada 4 generasi kerana suami kepada adik ini yang berpangkat datuk saudara saya masih hidup lagi. Lihat album dalam artikel Album for 3rd Raya... enter the JB folks di blogspot BERPETUALANG KE ACEH




Petang itu saya membawa anak dan isteri pergi menziarahi makam almarhum adik lelaki bongsu saya. Untuk makluman beliau meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya, sehari selepas anak perempuan saya dilahirkan tahun 2002.

Allah. Teringat lagi. Siang itu saya baru sahaja membawa kembali anak dan bekas isteri dari hospital ke rumah ibu mertua. Ketika mengemas barang di rumah sendiri malam itu saya mendapat panggilan agar pergi ke rumah ibu mertua seketika itu juga. Ini kerana anak perempuan saya tidak berhenti menangis kuat.

Sebaik sahaja sampai ke rumah mertua saya mendapat panggilan telefon mengatakan adik lelaki bongsu baru sahaja kemalangan dan kini berada di hospital. Oleh kerana anak masih menangis kuat saya tidak boleh bercakap lama. Saya cuma mengira hendak ke hospital keesokan harinya kerana perlu menguruskan anak lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Seketika itu juga saya mendapat panggilan telefon memberitahu adik sudah meninggal. Peliknya anak terus berhenti menangis sebaik sahaja berita disampaikan!





Ini pula makam ibu kepada ibu saya. Beliau meninggal dunia ketika bulan Syawal tahun 2002, tidak lama selepas adik meninggal. Adik sangat rapat dengan atuk perempuan yang kami panggil Mak atau Mak Muar ini. Tak tahulah jika Mak meninggal dunia sebab sedih dengan ketiadaan adik. Yang pasti makam mereka terletak cuma sekitar 20 kaki antara satu sama lain.

(Teringat hari-hari terakhirnya, hampir 2 minggu Mak berada dalam wad di Hospital Pantai Kuala Lumpur. Kalau ikutkan saya harus ke Sarawak berhari raya bersama bekas isteri dan anak kecil kami bersama keluarga belah ibunya, tiket pun dah beli. Namun keadaan Mak menyebabkan saya tidak mahu ke Sarawak lalu lebih banyak berada di sisinya. Belanja hospital dekat RM30,000 ke lebih tetapi kalau dah sampai waktu tiada siapa boleh menundanya. Namun beberapa orang ibu saudara merasakan tidak puas hati dengan layanan yang diberi. Sekarang, seorang bapa saudara baru sahaja menjadi pengerusi Pantai Holdings. Tak tahulah kalau dia mahu mengungkit perkara ini...)



Turut menziarahi makam-makam yang terdapat di satu bahagian Muar ini adalah adik-beradik ibu dan keluarga mereka. Di sini kami berada di makam bapa kepada ibu yang sudah meninggal dunia hampir 20 tahun lebih awal. Untuk makluman, atuk lelaki saya ini berdarah Bugis sedangkan isterinya yang saya panggil Mak itu berdarah Jawa.





Hampir senja pula saya membawa adik nombor dua berehat di satu jeti tepian Sungai Muar. Di situ saya teringat walaupun selama ini keluarga ibu sering berbangga dengan darah Jawa dari sebelah Mak, hakikatnya keturunan induk mereka adalah Bugis kerana bapa kepada ibu adalah dari suku-kaum itu.

Teringat juga betapa saudara-mara dari JB iaitu keluarga adik kepada Mak sering menyebut diri mereka sebagai berketurunan Jawa. Walhal suami kepada adik itu (masih hidup sedangkan isterinya sudah meninggal dunia) berketurunan Bugis, begitu juga keturunan almarhum suami kepada seorang lagi adik-beradik Mak iaitu kakaknya (baru meninggal dunia Ramadhan tahun lepas) sedangkan anak-anaknya sering menyebut diri mereka sebagai orang Jawa.

Baru-baru ini saya dan isteri terperanjat apabila ibu saya menyebut dirinya sebagai Bugis. Maklumlah sepanjang ingatan saya sejak kecil lagi, ibu selalu menyatakan dirinya juga diri adik-beradik dan sepupunya sebagai orang Jawa belaka! Apakah ini bermakna faktor Bugis semakin terserlah dalam keluarga ibu? (Keluarga bapa saya memang sudah lama tahu dan mengakui mereka berdarah Bugis dari Aceh)...



Sambil menikmati pemandangan waktu senja di tepi sungai saya juga teringat kata-kata adik bongsu bapa kepada ibu yang ditemui pada hari raya kedua. Beliau adalah satu-satunya adik-beradik atuk lelaki saya yang masih hidup. Tanpa ditanya beliau tiba-tiba membuka satu cerita tentang darah Bugisnya. Atuk yang saya panggil Tok Su Omar ini menyebut bahawa Parit Betak berdekatan Pontian (ia sebenarnya masih terletak di dalam daerah Batu Pahat) dibuka oleh moyang kami yang memakai nama Betak.

Untuk makluman, nama atuk lelaki saya ialah Ismail bin Hussin bin Betak. Saya sebenarnya masih mencari nasab sebenar datuk ini dan setakat ini saya cuma diberi petunjuk samada betul atau tidak, nasab beliau sampai kepada Raja Haji ibni Daeng Chelak melalui seorang anak baginda yang bernama Raja Ahmad. Keesokannya hari Isnin hari raya keempat kami bergerak untuk mencari satu makam di Tanjung Bidara, Melaka yang dikatakan milik Daeng Chelak. Nanti lain kali kita sambung cerita ya. Teruskan berhari-raya... :]

Rabu, September 22, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Menghidupkan tradisi keluarga di Muar

Kembali pada suasana hari raya. Bersambung dari artikel Al-Rasyid berhari-raya : Mula di Tanjung Sepat....

Sabtu 11 September 2010 saya, isteri dan anak kecil kami Al-Rasyid berada di rumah ibubapa saya di Muar.


Sambutan hari raya kami di situ bermula agak hambar. Ini disebabkan ramai ahli keluarga belum muncul kerana menyambut hari raya pertama di tempat lain, misalnya saya di rumah keluarga isteri di Tanjung Sepat, Selangor, adik perempuan saya, adik paling bongsu pula di rumah keluarga suami di Johor Bahru.

Saya, isteri dan anak cuma muncul selepas sampai ke Muar jam 2 pagi. Adik perempuan dan keluarga pula selepas Zuhur. Selepas mendapat sedikit rehat, saya dan isteri lebih sibuk mengemas rumah. Maklumlah ibu bapa saya cuma tinggal berdua, banyak yang tak sempat disiapkan ketika itu. Nasib baik adik perempuan ada, juga adik lelaki kedua. Dapat juga menyiapkan kerja sebelum kami keluar beraya kemudian singgah melihat monyet di Tanjung. Lihat artikel A Raya family outing with the monkeys in Tanjung, Muar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

Seterusnya kami pergi makan di bahagian lain Tanjung di mana terdapat kepala keretapi lama ini. Lihat Al-Rasyid and the old Muar railway.


Keadaan bandar Muar yang lengang musim raya. Nasib baik apek jual air tebu di satu sudut bandar tetap berniaga, apek tempat saya suka minum air tebu sejak zaman kanak-kanak lebih 30 tahun lalu. Bayangkan, air tebunya masih dijual dengan harga segelas besar 60 sen. Seingat saya itu adalah harga yang sama tidak kurang 15 tahun lalu!



Oh. Sekali lagi biar disebut hari raya di Muar kali ini bermula agak hambar kerana seperti disebut awal tadi ramai ahli keluarga belum kembali. Kemudian ibu saya menambah, ramai tidak akan kembali kerana merasakan lebih elok bertemu sahaja di Lembah Kelang untuk majlis perkahwinan seorang sepupu saya hari raya ke 8 hingga ke 10.

Saya terus mengeluh mendengarkan ini. Maklumlah saya telah membawa balik sebuah gitar semi-akustik, sebuah gitar elektrik dan sebuah amplifier gitar untuk digunakan dalam persembahan keluarga sedangkan ibu kata kali ini ia tak jadi. Telah menjadi tradisi keluarga kami sejak 10 tahun lalu atau lebih untuk berkumpul beramai-ramai pada malam awal bulan raya di mana anak-anak kecil hingga ke dewasa harus membuat persembahan seperti nyanyian, lakonan, persembahan silat dan sebagainya untuk mendapatkan ang pow...

Alhamdulillah, tanpa disangka petang itu muncul sejumlah ahli keluarga iaitu adik-beradik ibu, anak dan cucu. Walaupun jumlah mereka kurang 1/3 dari keluarga besar kami, ia sudah cukup untuk meneruskan acara tradisi. Cuma persediaan sedikit kelam-kabut kerana tidak menyangka mereka akan muncul. Malam itu juga kami harus membersihkan lantai dan menyediakan sistem alat pembesar suara agar majlis dapat berjalan lancar. Lihat video klip di bawah. Untuk makluman ini adalah artikel ke 737 di blogspot ini.





Isnin, September 20, 2010

Antara faham ilmu Tasawuf, memang tak faham atau buat-buat tak faham (akibat ada agenda tersembunyi)...


OK. Keluar dari mood hari raya sebentar....


Merujuk pada komen-komen di artikel Mereka yang menjual agama sehingga sanggup menjatuhkan negara... . Setelah bertahun pernah membacanya, baru tadi saya terjumpa kembali satu artikel oleh almarhum Ustaz Wan Saghir yang turut mempersoalkan motif ulamak besar Aceh bernama Sheikh Nuruddin Ar-Raniri dalam menghukum para pengikut ilmu Tasawuf Wahdatul Wujud yang dibawa oleh Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Sumatrani (disebut Wan Saghir sebagai Sumatra'i) sebagai sesat malah halal dibunuh. Kepada mereka yang menganggap saya berniat buruk apabila memperkatakan banyak perkara kurang enak terhadap Sheikh Nuruddin sedangkan sheikh ini sudah lama meninggal dunia lalu tidak dapat mempertahankan diri, saya harap anda kembali mengkaji sejarah dan kitab-kitab lama dengan teliti dan jujur. Ketahuilah Nuruddin berani bertindak menyesatkan para pengikut Sheikh Hamzah dan Sheikh Shamsuddin malah merendahkan ilmu sheikh-sheikh besar ini hanya selepas keduanya mangkat.

Nuruddin juga cuma berani datang ke Aceh (ada yang sebut kali kedua setelah kali pertama ditolak istana) setelah penakluk besar merangkap raja yang dikira ramai sebagai paling agung di sana, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636) juga mangkat memberi ruang kepada seorang menantunya menaiki takhta. Kerana apa? Kerana sultan yang amat dibenci dan ditakuti penjajah Barat ini sebenarnya adalah pengikut ajaran Sheikh Hamzah dan Sheikh Shamsuddin! Saya mahu meletakkan artikel Ustaz Wan Saghir pada komen artikel saya sebagai jawaban untuk mereka yang betul-betul berfikir atau dapat melihat dengan mata hati. Tetapi oleh kerana ruangan komen tidak membenarkan apa-apa ayat atau perkataan dihighlight, saya rasa lebih elok ia dibuat dalam bentuk artikel baru.

Bukan apa... ada pihak yang suka membaca sesuatu secara semberono kemudian terus meninggalkan komen yang tidak bernas lagi boleh mengelirukan. Atau mungkin juga mereka memiliki daya intelektual yang lemah lalu sering tertinggal maksud sebenar sesuatu penulisan... kecuali jika ditunjukkan dengan terang dan nyata perkara-perkara yang harus diambil-berat. Maka itu biar dihighlight bahagian-bahagian tertentu dalam artikel Ustaz Wan Saghir itu. Sebagai bacaan tambahan saya sarankan cuba cari buku "The mysticism of Hamzah Fansuri" mungkin di perpustakaan Universiti Malaya dan sebagainya di mana anda boleh melihat intelektual besar seperti Profesor Syed Muhammad Naguib Al-Attas (penulis buku) turut mempersoalkan motif Nuruddin menyesatkan ajaran Wahdatul Wujud di Aceh.

Baca... baca dengan nama Allah yang menjadikan kalam..

-----------



Ar-Raniri Vs Fansuri
Sheikh ArRaniri Vs Hamzah Fansuri


PADA mukadimah dan penutup tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri keluaran yang lalu, telah saya singgung gambar imaginasi. Dalam artikel ini disiarkan gambar imaginasi Syeikh Nuruddin ar- Raniri yang juga tiada siapa yang tahu penciptanya, seperti Syeikh Hamzah al-Fansuri juga. Sebagaimana Syeikh Hamzah al-Fansuri, nama Syeikh Nuruddin ar-Raniri cukup banyak mendapat perhatian dan ditulis orang. Jauh sebelum kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri ke Aceh, pada masa pemerintahan Sultan Husein (pengganti Sultan sebelumnya), yang mangkat tahun 975 H/1567 M, di Aceh telah ada seorang ulama yang digelar Syeikh Nuruddin. Mengenainya disebut dalam Hikayat Aceh.

Perlu dibezakan, apabila kita menulis nama lengkap Syeikh Nuruddin ar- Raniri dengan nama ayah saudaranya yang pernah datang ke Aceh. Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diriwayatkan ini nama lengkapnya berdasarkan kepada karya-karyanya ialah Syeikh Nuruddin Muhammad ibnu 'Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid ar-Raniri al-Quraisyi.

Syeikh Nuruddin ar-Raniri walau pun berasal daripada keturunan Arab di India dari pihak ayahnya dan bangsa Melayu dari sebelah ibu, namun beliau lama tinggal di Pahang dan Aceh, dan banyak mengarang kitab- kitab dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar karangannya ditujukan membantah fahaman 'Wahdatul Wujud' yang diajarkan oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i.
Banyak perkara menarik mengenai ulama ini, di antaranya kitab fikah dalam bahasa Melayu yang pertama sekali berjudul ash-Shirath al- Mustaqim adalah karya beliau. Demikian juga mengenai kitab hadis yang berjudul al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadits an-Nabawiyah atau judul
lainnya Hidaya al-Habib fi at-Targhib wa at-Tarhib, adalah kitab membicarakan hadis yang pertama sekali dalam bahasa Melayu.

Hampir semua penulis menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilahirkan di Ranir, berdekatan dengan Gujarat. Asal usul beliau ialah bangsa Arab keturunan Quraisy yang berpindah ke India. Tetapi salah seorang muridnya bernama Muhammad 'Ali atau Manshur yang digelarkan dengan Megat Sati ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa'id Ja'far Shadiq ibnu 'Abdullah dalam karyanya Syarab al-'Arifin li Ahli al- Washilin menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah "Raniri negerinya, Syafi'ie nama mazhabnya, Bakri bangsanya." Pendidikan asasnya dipercayai diperolehnya di tempat kelahirannya Raniri atau Rander.

Raniri/Rander, sebahagian riwayat mengatakan berdekatan dengan Kota Surat, dan riwayat lain mengatakan dekat Bikanir, kedua-duanya di negeri India. Syeikh Nuruddin ar-Raniri berhasil berangkat ke Mekah dan Madinah dalam tahun 1030 H/1621 M dan di sana beliau sempatbelajar kepada Syeikh Abu Hafash 'Umar bin 'Abdullah Ba Syaiban atau nama lain ulama ini ialah Saiyid 'Umar al-'Aidrus. Kepada ulama ini beliau mengambil bai'ah Thariqat Rifa'iyah. Dalam sektor Thariqat Rifa'iyah itu syeikh yang tersebut adalah murid kepada Syeikh Muhammad al-'Aidrus. Selain Thariqat Rifa'iyah, Syeikh Nuruddin ar- Raniri juga pengamal Thariqat Qadiriyah.

Kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri buat pertama kalinya ke Aceh diriwayatkan dalam tahun 1577 M, tetapi ada juga ahli sejarah mencatat bahawa beliau sampai di Aceh pada tahun 1637 M. Ini bererti setahun setelah mangkatnya Sultan Iskandar Muda (memerintah dari tahun 1606 M hingga 1636 M). Syeikh Nuruddin ar-Raniri seakan-akan kedatangan pembawa satu pendapat baru, yang asing dalam masyarakat Aceh. Setiap sesuatu yang baru selalu menjadi perhatian dan pengamatan orang, sama ada pihak kawan atau pun pihak lawan. Fahaman baru yang dibawa masuk oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu ialah fahaman anti atau penolakan tasawuf ajaran model Syeikh Hamzah al- Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Kedua-dua ajaran ulama sufi itu adalah sesat menurut pandangan beliau.
Syeikh Nuruddin ar-Raniri mendapat tempat pada hati Sultan Iskandar Tsani, yang walaupun sebenarnya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda beliau tidak begitu diketahui oleh masyarakat luas.
Oleh sebab ketegasan dan keberaniannya ditambah lagi, Syeikh Nuruddin ar-Raniri menguasai berbagai-bagai bidang ilmu agama Islam, mengakibatkan beliau sangat cepat menonjol pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani itu. Akhirnya Syeikh Nuruddin ar-Raniri naik ke puncak yang tertinggi dalam kerajaan Aceh, kerana beliau mendapat sokongan sepenuhnya daripada sultan. Beliau memang ahli dalam bidang ilmu Mantiq (Logika) dan ilmu Balaghah (Retorika). Dalam ilmu Fikah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah penganut Mazhab Syafie, walaupun beliau juga ahli dalam ajaran mazhab-mazhab yang lainnya. Dari segi akidah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah pengikut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang berasal daripada Syeikh Abul Hasan al-Asy'ari dan Syeikh Abu Manshur al-Maturidi.

Pegangannya dalam tasawuf ialah beliau adalah pengikut tasawuf yang mu'tabarah dan pengamal berbagai-bagai thariqah sufiyah. Tetapi suatu perkara yang aneh, dalam bidang tasawuf beliau menghentam habis-habisan Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Walau bagaimanapun Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak pernah menyalahkan, bahkan menyokong Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Abi Yazid al- Bistami, 'Abdul Karim al-Jili, Abu Manshur Husein al-Hallaj dan lain-lain.

Perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang keluar daripada ulama-ulama sufi yang tersebut itu tidak pernah beliau salahkan tetapi sebaliknya perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang berasal daripada Syeikh Hamzah al- Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i selalu ditafsirkan secara salah oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Di dalam karyanya Fath al-Mubin 'ala al-Mulhidin, Syeikh Nuruddin ar-Raniri berpendapat bahawa al-Hallaj mati syahid.

Katanya: "Dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua." Padahal jika kita teliti, sebenarnya Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu pegangannya tidak ubah dengan al-Hallaj.
Ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i berpunca daripada ajaran Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Syeikh Abi Yazid al-Bistami, Syeikh 'Abdul Karim al-Jili dalam satu sektor. Dan bahagian lain juga berpunca daripada ajaran Imam al-Ghazali, Syeikh Junaid al-Baghdadi dan lain-lain, adalah dipandang muktabar, sah dan betul menurut pandangan ahli tasawuf. Bahawa ajaran tasawuf telah berurat dan berakar di kalbi, bahkan telah mesra dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, dari kulit hingga daging, dari tulang hingga ke sumsum pencinta-pencintanya, yang tentu saja mereka mengadakan tentangan yang spontan terhadap Syeikh Nuruddin ar-Raniri.

Bahkan kepada siapa saja yang berani menyalah-nyalahkan pegangan mereka. Pengikut-pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i menganggap kedua-dua guru mereka adalah wali Allah, yang faham terhadap pengetahuan syariat, tarekat, haqiqat dan makrifat. Mereka beranggapan, walaupun diakui bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri sebagai seorang ulama besar, yang dikatakan juga telah mengetahui ilmu tasawuf, namun tasawuf yang diketahui oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu hanyalah tasawuf zahir belaka. Bahawa beliau hanyalah mengetahui kulit ilmu tasawuf, tetap tidak sampai kepada intipati tasawuf yang sebenar-benarnya. Bahawa beliau baru mempunyai ilmu lisan sebagai hujah belaka, tetapi belum mempunyai ilmu kalbi, yang dinamakan juga dengan ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, wajiblah mereka membela guru mereka yang mereka sanjung tinggi itu.

Selama menetap di Pahang atau pun setelah beliau pindah ke Aceh, ramai penduduk yang berasal dari dunia Melayu belajar kepada ulama besar yang berasal dari India itu, namun sampai riwayat ini saya tulis, belum dijumpai tulisan yang menyenaraikan nama murid-muridSyeikh Nuruddin ar-Raniri. Untuk memulakan penjejakan mengenainya di sini dapat saya perkenalkan hanya dua orang, iaitu: Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi/al-Maqasari al-Khalwati yang berasal dari Makasar/tanah Bugis. Tidak begitu jelas apakah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati ini belajar kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu beliau masih di Aceh atau pun Syeikh Yusuf datang menemui Syeikh Nuruddin ar-Raniri di negerinya, India. Sementara pendapat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Khalwati benar-benar dapat berguru kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu masih di Aceh lagi, dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati menerima bai'ah Tarekat Qadiriyah daripada Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Yang seorang lagi ialah Syeikh Muhammad 'Ali, ulama ini berasal dari Aceh.

Ada yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia di India. Pendapat lain menyebut bahawa beliau meninggal dunia di Aceh. Ahmad Daudi, menulis: "Maka tiba-tiba dan tanpa sebab-sebab yang diketahui, Syeikh Nuruddin ar-Raniri meninggalkan Serambi Mekah ini, belayar kembali ke tanah tumpah darahnya yang tercinta, Ranir untuk selama-lamanya. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1054 H (1644 M)." Bahawa beliau meninggal dunia pada 22 Zulhijjah 1069 H/21 September 1658 M. Tetapi Karel A. Steenbrink dalam bukunya, Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat berpendapat lain, bahawa hingga tahun 1644 M bererti Syeikh Nuruddin masih berada di Aceh. Menurutnya terjadi diskusi yang terlalu tajam antara beberapa kelompok pemerintah: Seorang uskup agung (ar-Raniri) di satu pihak dan beberapa hulubalang dan seorang ulama dari Sumatera Barat di pihak lain. Pihak yang anti ar-Raniri akhirnya menang, sehingga ar- Raniri dengan tergesa-gesa kembali ke Gujarat. Tulisan Karel itu barangkali ada benarnya, kerana secara tidak langsung Syeikh Nuruddin mengaku pernah kalah berdebat dengan Saiful Rijal, penyokong fahaman Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, perkara ini beliau ceritakan dalam kitab Fath al-Mubin.

Ada pun tempat meninggalnya, H.M. Zainuddin, berbeza pendapat dengan Ahmad Daudi di atas. Menurut Zainuddin dalam Tarich Atjeh Dan Nusantara, jilid 1, bahawa terjadi pertikaian di istana, dalam perebutan itu telah terbunuh seorang ulama, Faqih Hitam yang menentang tindakan Puteri Seri Alam. Dalam pada itu Syeikh Nuruddin diculik orang, kemudian mayatnya diketemukan di Kuala Aceh. Menurut H.M. Zainuddin pula, bahawa makam Syeikh Nuruddin itu dikenal dengan makam keramat Teungku Syiahdin (Syeikh Nuruddin ar-Raniri) terletak di Kuala Aceh.

Dalam masa pemerintahan Iskandar Muda, kerajaan Aceh maju, ajaran sufi tidak menghalang kemajuan yang berasaskan Islam. Sebaliknya masa pemerintahan Iskandar Tsani, ajaran sufi dianggap sesat, ternyata kerajaan Aceh mulai menurun. Bantahan terhadap sesuatu pegangan yang pernah berkembang di dunia Islam perlulah ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Siapa saja yang memegang urusan keislaman janganlah tersalah penilaian, sering terjadi yang benar menjadi salah, atau sebaliknya yang salah menjadi benar.

Penulis : Wan Mohd Saghir Abdullah [ cucu Sheikh Daud Al Fathani]

Ahad, September 19, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Mula di Tanjung Sepat...

Assalamualaikum semua. Sebelum masuk bulan Ramadhan gitu saya ada memberitahu akan membuat satu siri baru tentang perjalanan yang dibuat ke Brunei sekitar waktu itu untuk hidangan di blogspot ini selepas Hari Raya. Sekitar pertengahan Ramadhan pula saya ada menambah akan turut mempersembahkan siri tentang perjalanan ke utara yang dibuat ketika berpuasa, juga untuk selepas Hari Raya, seeloknya selepas tamat cerita tentang Brunei.

Namun memandangkan suasana Hari Raya masih berkemundang di sana-sini elok kita bercerita hal lain dahulu. Maka dipersembahkan satu siri kecil tentang sambutan Hari Raya untuk saya, isteri dan anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid. Maklumlah, ketika Hari Raya tahun lepas Al-Rasyid masih di dalam perut menunggu masa untuk keluar... baru tahun ini dia betul-betul dapat menyambutnya buat pertama kali dalam hidup. Kiranya ini kita bercerita secara santai sambil 'membina' album gambar Hari Raya ya. Mari! :]



OK. Rasanya boleh kata kebanyakan orang Melayu Islam di Malaysia ini mula kembali ke kampung petang Rabu 29 Ramadhan tak pun pada malam selepasnya. Kami sendiri meninggalkan rumah sekitar jam 10 malam, singgah di Uptown Damansara Utama untuk mengembalikan kenangan saya makan-makan ketika masih menuntut untuk program 'A' Level tajaan kerajaan di sekitar ini kira-kira 22 tahun lalu.


Dari situ kami kembali ke kampung isteri di Tanjung Sepat, selatan sikit dari pantai Morib. Ini gambar Al-Rasyid 'menolong' membuat persiapan di dapur siang Khamis.


Rumah keluarga isteri.


Malam itu, malam Jumaat @ malam raya, saya, isteri serta 2 orang anggota keluarga santai berurut kaki di pekan. Sementara menunggu yang lain siap (saya dan seorang kakak ipar urut lebih awal) saya keluar berjalan-jalan seorang diri hingga ke penghujung jeti yang ada laut berdekatan kedai urut.

Adapun saya telah beberapa kali datang ke sini tetapi malam itu adalah pertama kali saya sahaja yang berada di jeti, tiada orang lain langsung di situ. Dah lah suasana agak gelap, sunyi... bunyi angin mahupun ombak pun langsung tak kedengaran.

Ingat kes jutawan kosmetik Sosilawati yang dikatakan mati dibunuh kemudian dibakar di Tanjung Sepat? Tempat beliau dan 3 orang Melayu yang mengiringinya dibunuh terletak tidak jauh dari sini! Malah di sekitar ini memang ada tempat membakar mayat orang Hindu dengan papantanda bertulis "Karimakuriyai" (begitulah bunyinya lebih kurang) menunjuk arah ke tempat pembakaran boleh kelihatan sebaik sahaja melepasi Morib menghala ke Tanjung Sepat. Kalaulah saya tahu mereka telah dibunuh dan abu mayat mereka dibuang ke sungai masuk ke laut sekitar ini seawal 30 September, belum tentu lagi saya berani berjalan-jalan seorang diri ke jeti!


Oh. Asalnya artikel ini mahu diletak tajuk "Al-Rasyid berhari-raya : Misteri pembunuhan Sosilawati" atau sewaktu dengannya. Barulah gempak bunyinya! Tetapi apabila difikirkan kembali bukankah ini merosakkan mood Hari Raya? Jadi janganlah diangkat sangat cerita ini. Biar sahaja pihak yang berwajib menyelesaikannya. Di atas adalah gambar sebaik sahaja selesai solat Hari Raya di masjid Kampung Tanjung Sepat.


Kembali dari masjid kami bersalam-salaman dengan ahli keluarga. Ramai... maklumlah isteri ada 13 orang adik beradik (termasuk beliau) dan beberapa orang pula memiliki anak ramai sehingga 8 orang, sudah siap bercucu beberapa orang lagi! Kelihatan di sini isteri bersama Al-Rasyid juga si kecil Adam yang berpangkat anak saudara kepada Al-Rasyid, cucu saudara kepada isteri. Lihat, Adam umurnya sudah 2 tahun namun Al-Rasyid yang ketika itu hampir nak masuk 11 bulan lebih kurang sama saiz badan.

Seharusnya saya mengambil banyak gambar di rumah keluarga tetapi tidak terfikir semasa itu. Saya juga tidak terfikir hendak mengambil gambar di rumah pertama kami lawati untuk Hari Raya, rumah kepada waris tertua belah isteri yang masih hidup kalau tak salah ingatan.


Sampai di hadapan masjid ini di Kundang, Kuala Langat (kena sebut Kuala Langat sebab berdekatan rumah kami di Bandar Tasik Puteri pun ada tempat bernama Kundang) baru saya lebih aktif mengambil gambar. Isteri terkenang zaman kecil-kecil sering bermain di sekitar ini. Maklumlah sering bertandang ke rumah almarhum bapa kepada ibunya. Untuk pengetahuan jalan di hadapan masjid ini dinamakan sempena nama almarhum. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Raudhatus Solihin, Kundang, Kuala Langat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kami singgah di rumah ibu saudara isteri bersebelahan masjid...



Kemudian baru masuk ke dalam. Al-Rasyid melihat rumah tadi dari dalam masjid.


Seterusnya kami berhari-raya di rumah seorang abang kepada isteri...



Kiranya di sinilah saya 'menggantikan' gambar-gambar yang tidak diambil di rumah keluarga tadi. Di sini adik-beradik isteri, anak-anak dan cucu saudara kami berkumpul lagi tanpa ada orang lain di luar lingkungan keluarga terdekat...


Rumah abang ipar menjadi 'pengkalan' kami berehat sebelum yang lelaki keluar bersolat Jumaat. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Tanjung Sepat.


Selepas solat sesi ziarah-menziarahi disambung semula. Di rumah seorang lagi ibu saudara isteri, Al-Rasyid seronok melihat burung kakak tua.


Kemudian baru kami masuk beraya...




Di pintu rumah tiba-tiba Al-Rasyid duduk bertenggek. Rupa-rupanya 'uuu... uuu...'. Terpaksalah saya dan isteri meninggalkan yang lain untuk kembali ke rumah keluarga untuk membuat apa yang patut. 'Terpotonglah' sesi menziarahi kami untuk waktu itu...



Ini pula gambar waktu malam selepas Al-Rasyid berebut basikal dengan anak saudara di rumah salah seorang abang isteri yang paling tua. Gambar malam tanpa flash dengan lampu yang tidak seterang cahaya siang memerlukan tempoh exposure yang sedikit lama... bila asyik bergerak dah jadi mata nampak macam apa. Heh! :]



OK. Sekadar petunjuk untuk isi akan datang dalam siri kecil "Al-Rasyid berhari-raya" ini... selepas Tanjung Sepat ada cerita hari raya di Muar. Kemudian ada faktor Bugis yang membawa kepada pencarian satu makam yang dikatakan milik Daeng Chelak di Melaka.

Sehari dua ini pula kami sibuk dengan acara perkahwinan seorang sepupu saya. Pada siang tadi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah datang menghadiri acara, sempatlah beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah mendendangkan satu lagu untuk semua.

Tengahari karang kami dijadualkan menghadir majlis tea ceremony di Hotel Shangri La. Malam nanti ada acara persandingan lagi tetapi saya dan isteri tidak dapat hadir. Difahamkan Sultan atau Raja Muda/ Tengku Mahkota dari 5 buah negeri akan turut hadir. Sekian buat masa ini... :]