Jumaat, September 24, 2010

Al-Rasyid berhari raya : Beberapa kenangan lama, mukadimah untuk pengembaraan kecil berkaitan Bugis?

Assalamualaikum. Sekarang kita masuk pula pada cerita siang hari raya ketiga...


Pagi itu saya membawa isteri dan anak keluar berjalan ke bandar Muar...


Sebenarnya kami teringin hendak makan nasi beringin di satu kedai kegemaran. Namun ia masih ditutup sempena raya. Kami pun beralih angin ke kedai Kopi 434 yang boleh tahan terkenal juga. Ternyata kopi yang diminum kali ini terasa lebih enak berbanding lawatan sebelumnya kira-kira setahun lalu.

Al-Rasyid pula tak boleh duduk diam. Maklumlah baru kurang sebulan 'dapat kaki'. Susah juga hendak menikmati kopi sambil memerhatikan dia berjalan laju ke sana ke mari hingga ke luar kedai. Kalau tak kasi berjalan nanti mengamuk pula, dah memang begitu sifat budak-budak...

Itupun untunglah, sejak umur 10 bulan sudah boleh berjalan. Ada budak yang umur dekat setahun setengah pun masih lebih banyak merangkak. Malah 2 bulan lalu semasa Al-Rasyid baru pandai berdiri ada juga yang pelik kenapa dia belum boleh berjalan. Rupa-rupanya mereka tersilap menyangkakan anak kami ini sudah berumur 2 tahun walhal badan sahaja besar, ketika itu umurnya baru 9 bulan. Maka syukurlah dia boleh berjalan cepat. Berilah galakan walaupun kadangkala pening melayan...


Dari kedai kopi kami menghala kembali ke rumah, singgah sebentar ke Bukit Treh, terasa ingin melihat satu bahagian lereng.



Sebenarnya isteri teringin menziarahi makam di kaki bukit yang terdapat di dalam rimbunan pepohon ini. Apakah yang istimewa tentang tempat ini? Lihat balik artikel Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar?.




Di kaki bukit juga terdapat batu-batu sebegini yang seolah-olah memberikan petunjuk kawasan ini pernah terletak di dalam laut. Lihat peta-peta yang disuakan dalam Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar?.





Kemudian baru kami kembali ke rumah. Baru betul-betul bersedia untuk kembali menyambut hari-raya.




Ternyata kami kembali tepat pada masanya. Tidak lama kemudian datang saudara-mara dari Johor Bahru.







Al-Rasyid pula sibuk bermain dengan sepupunya. Yang berdiri kanan tu kira pangkat ibu saudaranya, sepupu kepada saya. Sedangkan apabila kembali ke rumah keluarga isteri di Tanjung Sepat, Al-Rasyid memiliki beberapa orang anak saudara yang sedikit lebih tua daripadanya! Itulah yang boleh terjadi apabila saya, anak sulung dari 5 beradik berkahwin dengan isteri, anak ke 11 dari 13 orang... umur saya menghampiri adik-beradik ibu yang bongsu sedangkan isteri saya pula memiliki abang dan kakak yang sudah bercucu.




Suasana hari raya dengan kedatangan saudara dari JB, keluarga adik kepada ibu kepada ibu saya, masih ada 4 generasi kerana suami kepada adik ini yang berpangkat datuk saudara saya masih hidup lagi. Lihat album dalam artikel Album for 3rd Raya... enter the JB folks di blogspot BERPETUALANG KE ACEH




Petang itu saya membawa anak dan isteri pergi menziarahi makam almarhum adik lelaki bongsu saya. Untuk makluman beliau meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya, sehari selepas anak perempuan saya dilahirkan tahun 2002.

Allah. Teringat lagi. Siang itu saya baru sahaja membawa kembali anak dan bekas isteri dari hospital ke rumah ibu mertua. Ketika mengemas barang di rumah sendiri malam itu saya mendapat panggilan agar pergi ke rumah ibu mertua seketika itu juga. Ini kerana anak perempuan saya tidak berhenti menangis kuat.

Sebaik sahaja sampai ke rumah mertua saya mendapat panggilan telefon mengatakan adik lelaki bongsu baru sahaja kemalangan dan kini berada di hospital. Oleh kerana anak masih menangis kuat saya tidak boleh bercakap lama. Saya cuma mengira hendak ke hospital keesokan harinya kerana perlu menguruskan anak lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Seketika itu juga saya mendapat panggilan telefon memberitahu adik sudah meninggal. Peliknya anak terus berhenti menangis sebaik sahaja berita disampaikan!





Ini pula makam ibu kepada ibu saya. Beliau meninggal dunia ketika bulan Syawal tahun 2002, tidak lama selepas adik meninggal. Adik sangat rapat dengan atuk perempuan yang kami panggil Mak atau Mak Muar ini. Tak tahulah jika Mak meninggal dunia sebab sedih dengan ketiadaan adik. Yang pasti makam mereka terletak cuma sekitar 20 kaki antara satu sama lain.

(Teringat hari-hari terakhirnya, hampir 2 minggu Mak berada dalam wad di Hospital Pantai Kuala Lumpur. Kalau ikutkan saya harus ke Sarawak berhari raya bersama bekas isteri dan anak kecil kami bersama keluarga belah ibunya, tiket pun dah beli. Namun keadaan Mak menyebabkan saya tidak mahu ke Sarawak lalu lebih banyak berada di sisinya. Belanja hospital dekat RM30,000 ke lebih tetapi kalau dah sampai waktu tiada siapa boleh menundanya. Namun beberapa orang ibu saudara merasakan tidak puas hati dengan layanan yang diberi. Sekarang, seorang bapa saudara baru sahaja menjadi pengerusi Pantai Holdings. Tak tahulah kalau dia mahu mengungkit perkara ini...)



Turut menziarahi makam-makam yang terdapat di satu bahagian Muar ini adalah adik-beradik ibu dan keluarga mereka. Di sini kami berada di makam bapa kepada ibu yang sudah meninggal dunia hampir 20 tahun lebih awal. Untuk makluman, atuk lelaki saya ini berdarah Bugis sedangkan isterinya yang saya panggil Mak itu berdarah Jawa.





Hampir senja pula saya membawa adik nombor dua berehat di satu jeti tepian Sungai Muar. Di situ saya teringat walaupun selama ini keluarga ibu sering berbangga dengan darah Jawa dari sebelah Mak, hakikatnya keturunan induk mereka adalah Bugis kerana bapa kepada ibu adalah dari suku-kaum itu.

Teringat juga betapa saudara-mara dari JB iaitu keluarga adik kepada Mak sering menyebut diri mereka sebagai berketurunan Jawa. Walhal suami kepada adik itu (masih hidup sedangkan isterinya sudah meninggal dunia) berketurunan Bugis, begitu juga keturunan almarhum suami kepada seorang lagi adik-beradik Mak iaitu kakaknya (baru meninggal dunia Ramadhan tahun lepas) sedangkan anak-anaknya sering menyebut diri mereka sebagai orang Jawa.

Baru-baru ini saya dan isteri terperanjat apabila ibu saya menyebut dirinya sebagai Bugis. Maklumlah sepanjang ingatan saya sejak kecil lagi, ibu selalu menyatakan dirinya juga diri adik-beradik dan sepupunya sebagai orang Jawa belaka! Apakah ini bermakna faktor Bugis semakin terserlah dalam keluarga ibu? (Keluarga bapa saya memang sudah lama tahu dan mengakui mereka berdarah Bugis dari Aceh)...



Sambil menikmati pemandangan waktu senja di tepi sungai saya juga teringat kata-kata adik bongsu bapa kepada ibu yang ditemui pada hari raya kedua. Beliau adalah satu-satunya adik-beradik atuk lelaki saya yang masih hidup. Tanpa ditanya beliau tiba-tiba membuka satu cerita tentang darah Bugisnya. Atuk yang saya panggil Tok Su Omar ini menyebut bahawa Parit Betak berdekatan Pontian (ia sebenarnya masih terletak di dalam daerah Batu Pahat) dibuka oleh moyang kami yang memakai nama Betak.

Untuk makluman, nama atuk lelaki saya ialah Ismail bin Hussin bin Betak. Saya sebenarnya masih mencari nasab sebenar datuk ini dan setakat ini saya cuma diberi petunjuk samada betul atau tidak, nasab beliau sampai kepada Raja Haji ibni Daeng Chelak melalui seorang anak baginda yang bernama Raja Ahmad. Keesokannya hari Isnin hari raya keempat kami bergerak untuk mencari satu makam di Tanjung Bidara, Melaka yang dikatakan milik Daeng Chelak. Nanti lain kali kita sambung cerita ya. Teruskan berhari-raya... :]

2 ulasan:

  1. Salam Abg g, Sy mmg menantikan salasilah lengkap tok mail.. menurut kajian dari student UKM:-

    Wak Betak telah menjadi ketua kampung pertama di Parit Betak. Keterangan ini diperoleh dari hasil temubual dengan Ibrahim bin Ismael bin Hj Kirana bin Bedu, cucu kepada Wak Kurikang (di sebelah ibunya) pada 30 Januari 2009 di rumahnya di Parit Betak.

    harap link ini dapat membantu http://pkukmweb.ukm.my/jebat/images/upload/Rahilah%20Omar%20Khazin%20Mohd%20Tamrin%20Nordin%20Hussin%20&%20Nelmawarni%2036.pdf

    BalasPadam
  2. Wassalam Amir. Abg G dah baca dah tulisan tu. Tapi nama Wak Betak cuma disebut sepintas lalu, tak disebut asal-usulnya. Namun kita boleh mengagak beliau memang dari golongan bangsawan kalau takpun kerabat diraja kerana ada 2 orang Daeng kalau tak salah ingatan yang datang ke tempat yang sama namun Wak Betak pula yang menjadi ketua.

    Rasanya nak cari asal-usul tu kena gak pegi cari orang lama kat Parit Betak. Tak pun cari orang yang bukak Muzium Bugis kat Pontian, mungkin dia boleh menolong. Buat masa ni Abg G tak nampak bila akan ke sana dalam masa terdekat...

    BalasPadam