Tadi jam 2 petang setelah mengambil paspot baru di pejabat Jabatan Imigresen di Wangsa Maju hujan turun lebat. Saya pun duduk di luar menunggu hujan selesai lalu terlihat satu kedai di hadapan. Terus teringat zaman-zaman semasa saya rajin mencari jawaban tentang keTuhanan secara terang, hampir tidak bertapis langsung mulut apabila bertanya. Ketika itulah saya banyak terjumpa golongan yang kononnya 'sampai', mereka yang kononnya telah mengenal Tuhan.
Satu perkara yang saya perhatikan tentang golongan ini... tak kiralah dari kumpulan mana mereka datang, pengajian atau perguruan mana, mereka ada tabiat riak yang sama. Mereka suka bertanya soalan berbunyi "Engkau dah 'sampai' ke belum?" dengan gaya mengejek. Kemudian dengan nada riak lagi meninggi diri mereka memperlekehkan orang-orang yang dikira tidak 'sampai'.
Kalau diperlekehkan itu setakat saya tak mengapa juga kerana saya memang jenis orang yang tak 'sampai-sampai'. Masalahnya bila ulamak seperti Imam Ghazali dan Imam Syafiee pun mahu diperkecilkan. Seterusnya mereka menjadikan ilmu syariat dan mereka yang patuh pada amalan Nabi Muhammad SAW sebagai bahan gurauan senda. Kata mereka, apabila dah 'sampai' apa lagi yang perlu disembah? Kerana bila dah 'sampai' yang menyembah dan disembah sama sahaja.
Sekadar mengingat kembali keadaan biar diletakkan sedutan-sedutan berkenaan daripada siri trilogi buku "Berpetualang ke Aceh". Sedutan pertama dari buku satu yang bertajuk kecil "Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006)...
--------------
Pencapaian Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani yang tinggi dalam ilmu kerohanian telah menyebabkan Iblis cuba menipunya dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan, kemudian cuba menimbulkan riak dengan memuji-muji ketinggian taraf keilmuannya.
Pernah satu ketika, baginda sedang berjalan-jalan seorang diri, tiba-tiba muncul satu cahaya yang terang benderang dari atas lalu memenuhi seluruh langit. Kemudian kelihatan di dalamnya satu kelibat bentuk manusia lalu berkata: “Wahai Abdul Qadir, akulah Tuhanmu. Kamu telah mencapai darjat yang tertinggi dalam ilmu kerohanian. Sekarang aku halalkan segala perkara yang haram bagimu.”
Mendengarkan ini, Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani pun bertempik: “Chis syaitan! Janganlah kamu cuba hendak menipu aku. Berambuslah kamu dari sini wahai makhluk terkutuk!”
Langit yang terang benderang tadi pun bertukar menjadi gelap dan bentuk manusia itu mendesir menjadi asap. Kemudian Iblis berkata: “Wahai Abdul Qadir, aku telah berjaya menyesatkan 70 orang ahli Sufi dengan cara ini. Bagaimana kamu tahu aku ini Iblis?”
Jawab Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani: “Kerana hukum Syariat itu tetap. Allah tidak pernah menghalalkan perkara yang haram.”
Nah. Apa lagi yang mahu diragukan?
Iblis menukar taktik lalu berkata. “Kamu memang seorang yang alim. Disebabkan ketinggian ilmu kamulah helahku berjaya dibongkar.”
Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani dapat membaca niat jahat Iblis untuk menimbulkan rasa riak dan ujub dengan memujinya. Lalu baginda menjawab: “Tidak. Aku selamat kerana rahmat Allah semata-mata.”
Baginda sedar, belas ikhsan Tuhan sahaja yang melindunginya, bukan apa-apa kelebihan yang terbit daripada dirinya...
Menyedari dia tidak akan berjaya, Iblis terkutuk pun terus menghilang. Lebih baik cari orang yang boleh diperdayakan kerana kejahilan atau digoda dengan puji-pujian. Mereka yang menuntut ilmu dan beramal bukan untuk menghayati erti ubudiah, perhambaan sebenar yang tersirat dalam firman tidak Aku cipta manusia dan jin kecuali untuk menghambakan diri kepada Ku, tetapi untuk menjadi tuan yang memerintah... Untuk mendapat kelebihan-kelebihan tertentu supaya dapat mengatasi orang lain, samada dari segi harta benda, pangkat, nama ataupun kuasa.
Pendek kata, ramai yang masuk ke gelanggang kerohanian dengan hati yang berkarat. Lalu ada yang sampai mengaku dirinya Tuhan sedangkan perangai mereka adalah perangai Hantu jua...
————————
“Ramai yang kononnya menghalusi agama dengan menyelam ke dalam pengajian ilmu Hakikat dan Makrifat tetapi akhirnya menjadi kafir zindiq,” kata pakcik itu. “Mereka adalah orang yang perjalananan kerohaniannyanya belum matang tetapi perasan dirinya dah tinggi sangat, sudah ‘sampai’ ke Hadirat Allah Subhanahu Wata’ala. Ramai yang tidak mahu menunaikan puasa dan solat kerana katanya cukuplah dengan niat. Kononnya orang Syariat sahaja yang wajib melakukan semua ini. Lalu ramai yang hidup mengarut kerana yakin telah mengenali Allah padahal mereka sangat keliru, tidak tahu adab hamba dengan Pencipta. Akhirnya yang susah mereka juga...”
“Anak mesti ingat, nak beramal ilmu Tasawuf ni mestilah dengan hati yang bersih, suci!” dia berpesan pula. “Tidak boleh menyimpan dendam atau apa-apa motif tersembunyi. Beribadat dengan ikhlas, seperti kata Rasulullah SAW, memberi dengan tangan kanan, tangan kiri pun tak tahu. Biar orang kata kita jahat, tidak pernah berbuat kebaikan. Lebih baik menganggap diri kita buruk, banyak dosa supaya sentiasa rasa insaf dan rendah diri.”
------------------------------------
Ini pula sedutan kedua, dari buku seterusnya "Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007)...
------------------------------------
Semalam, di serambi masjid raya, anak Malaysia itu sempat berkenalan dengan seorang pemuda tempatan yang suka bercerita tentang Tasawuf. Lalu mereka berjanji akan berjumpa selepas solat Jumaat dan anak Malaysia itu akan dibawa berjumpa seseorang yang katanya mahir dalam ilmu Sufi... Kononnya cuma terdapat empat orang sahaja sepertinya di Langkat.
Mengikut cerita anak tempatan itu lagi, orang itu pernah memberitahu bahawa seorang sahabat sealirannya telah mendapat mimpi akan ada orang dari jauh datang berjumpa mereka dan orang yang dimaksudkan adalah Rasyid! Dipendekkan cerita, selepas solat Asar, pemuda itupun muncul dengan motosikalnya lalu membawa Rasyid ke rumah orang tersebut di sebuah kawasan terpencil melepasi lorong masuk ke rumah Hassan Oka.
Mereka dijemput masuk lalu berkenalan. Kemudian mula bercerita tentang latarbelakang kedatangan Rasyid ke Pengkalan Brandan. Tidak lama kemudian tuan rumah menyatakan bahawa dia dan rakan-rakannya telah mendapat alamat akan kedatangan anak Malaysia itu melalui mimpi lalu membuka cerita tentang pemahamannya mengenai Tasawuf… Biarlah nama mereka dirahsiakan kerana perbincangan itu amat berat, rasanya sudah jauh menyimpang daripada akidah... Rasyid sedar orang itu susah hendak diperbetulkan kerana terlalu yakin dengan pengalaman dirinya. kononnya sudah “Mikhraj”, betul-betul mengenal Allah. Nampaknya dia termasuk golongan Tasawuf sesat yang merasakan tidak perlu lagi bersolat kerana telah mencapai hakikat solatan da’iman, solat yang berkekalan.
Pemuda itu tetap melayan kerana ingin mengetahui lebih lanjut tentang ilmu “mengenal diri” yang dianutinya. Berbekalkan sedikit pengetahuan berkat bertahun menelaah kitab-kitab Tasawuf karangan wali-wali Allah terkenal seperti Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani serta tunjuk-ajar dan bimbingan beberapa orang tua yang pernah ditemui... Juga sedikit amalan zikir yang pernah dijazahkan mereka dicampur bertahun-tahun usaha mujahadatunnafsi, berperang melawan nafsu sendiri berserta keyakinan bahawa Allah tetap melindungi jika kita ikhlas mencari kebenaran, anak Malaysia itupun terjun ke dalam arena perbincangan.
Kalau hendak diringkaskan, pengajaran orang itu lebih kurang begini: Segala yang terlihat di muka bumi ini, juga yang ada di langit, malah segala-gala yang dicipta Allah Ta’ala sehingga ke syurga, neraka, Kursi dan Arash semuanya ada di dalam diri sendiri iaitu diri setiap manusia. Maka itu tidak perlulah berjalan jauh, lihatlah ke dalam diri kerana di situ terdapat segala jawaban kepada segala persoalan yang membelenggu jiwa manusia.
Rasyid tidak ada masalah tentang ini kerana sudah terbiasa mendengar pengajaran sebegini... Memang ada kebenarannya jika dipandang daripada sudut tertentu, memang ada di dalam pengajian Tasawuf peringkat tinggi, jikalau seseorang itu betul-betul memahami apa itu makna insan saghir, insan kecil dan apa itu insan kabir, insan besar dan kaitan antara keduanya. Yang menjadi masalah adalah apabila orang ini mendakwa telah “sampai ke matlamat mengenal Allah” lalu tidak perlu lagi membuat perjalanan zahir, cukup dengan membuat perjalanan batin sedangkan para Rasul, Nabi dan Wali muktabar pun terus berkelana ke sana ke mari dengan tubuh badan kasar demi mencari kebenaran dan mengalami pengenalan atau Makrifat yang sejati. Lagipun pada mereka yang lebih mengetahui, pengenalan atau Makrifat terhadap Allah sebenarnya mempunyai banyak peringkat... Sedangkan orang seperti Fariduddin Attar, penulis kitab Tazkiratul Awliya (kisah para wali) dan Mantiq-at-Tair (Perjumpaan burung-burung. Komposer terkenal M. Nasir tanahair telah menggunakan cerita itu untuk mencipta lagu Tanya Satu Itu Hud-hud) yang juga dianggap seorang wali besar pernah menyebut, terdapat 70,000 “lembah” yang perlu dilepasi sebelum dapat “melihat” Allah! Dia baru dapat melepasi satu sahaja...
Hamba Allah di Langkat ini terus bercakap seolah-olah tuntutan jasad tidak perlu lagi dipenuhi dalam beribadah kepada Allah apabila kita sudah mencapai makam tertentu. Rukun Islam seperti solat, puasa serta menunaikan haji tidak perlu dizahirkan lagi, cukup sekadar “dilaksanakan” secara batin sedangkan orang ini masih lagi bertubuh kasar, perlu makan dan minum, tidur dan buang air. Katanya, dalam diri kita ada segala Rasul yang pernah dicipta, segala Nabi, juga empat Khulafak al Rasyidin - Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali - sambil menunjukkan tempat masing-masing di badannya dengan yakin. Wah… Cukup senang ini. Oleh kerana semuanya ada di dalam diri termasuk Mekah dan Madinah, apa perlu lagi pergi ke sana secara fizikal untuk menunaikan haji, umrah atau menziarahi makam Rasulullah SAW ya tak? Cukuplah sekadar ‘berjalan’ dalam diri sendiri…
Orang ini juga mengemukakan beberapa potong terjemahan ayat Al-Quran dan Hadis dengan tafsiran yang jauh menyimpang... Seringkali menghina ulamak Syariat sebagai bodoh, tidak sampai kepada tujuan, terlalu meninggi-ninggikan Hakikat seolah-olah agama itu tidak perlu lagi dipakai kulitnya apabila sudah faham makna keTuhanan. Tetapi punchlinenya, kata muktamad yang mengenalkan “perguruannya”, ilmu ini malah segala ilmu Tasawuf yang tertinggi berasal daripada Jawa... Terus hati Rasyid berkata sahlah dia ini jenis manusia yang suka mengagungkan Sheikh Siti Jenar di samping memperbesar-besarkan Sunan Kalijaga, wali songo berketurunan Jawa yang amat dibangga-banggakan masyarakat di sana. Dan betul telahan itu, tidak lama kemudian, orang ini terus memuji-muji Siti Jenar dan Sunan Kalijaga sebagai contoh-contoh terbaik peribadi para wali.
Menurutnya, apa yang dibawanya adalah ilmu Bung Karno atau Sukarno, Presiden Indonesia kebanggaan masyarakat Jawa sehingga ada yang percaya presiden itu telah mencapai taraf wali dan masih hidup lagi! Kemudian dia menghuraikan beberapa istilah Jawa yang diberi pemahaman Tasawuf! Kononnya, ini adalah ajaran rahsia Sukarno yang cuma diketahui empat orang sahaja di wilayah Langkat ini termasuk dirinya sendiri. Maka burung Garuda yang menjadi lambang Republik Indonesia dikatakan singkatan untuk “Garuklah Dadamu” seraya menunjukkan aksi menggaruk dada... “Bukalah dadamu, telanjangkan jiwa demi mendekati Tuhan mu,” katanya. Perkataan Jawa pula dikatakan bermakna mereka yang mengerti, tidak ingat apakah alasannya... Maka orang Jawa adalah orang yang “sudah mengerti” makna keTuhanan yang hakiki sementara Sumatera pula bermakna “Sudah Makin Terang”... Tetapi belum cukup terang seperti di Jawa…
Orang ini juga memberi huraian yang tersendiri terhadap nama-nama tempat seperti Bali, Malaysia dan sebagainya. Seingat Rasyid, hamba Allah juga menyatakan bahawa perkataan Malay pada Malaysia bermakna Malaikat... Maka Malaysia itu Malaikat yang menjaganya. Sebab itu aman makmur lagi sejahtera. Dan ada lagi lebih 10 istilah berkaitan orang Jawa yang diberinya “huraian Tasawuf.” Kononnya itulah makna yang tersirat.
“Inilah ajaran Bung Karno. Ajaran Tasawuf tertinggi yang boleh dipelajari manusia. Ajaran ini cuma boleh didapati cuma di Pulau Jawa, maka jika ingin tahu, perlu belajar lagi di sana.” dia memberitahu, bangga.
——————————————
Di Malaysia lagi, Rasyid sudah terjumpa ramai orang Jawa atau berketurunan Jawa yang menganggap pulau itu ialah pusat dunia. Menurut mereka, segala-galanya ada di Jawa, semua ilmu boleh dipelajari di sana. Semua wali besar datang daripada sana dan seperti biasa, mesti keluar cerita Wali Songo... Mungkin mereka terpengaruh dengan dongeng lama Jawa yang mendakwa Gunung Mahameru, paksi alam tempat tinggal Dewa-dewa terletak di pulau itu? Sampai ada yang turut mendakwa bahawa orang Eropah yang berkulit putih bermata biru, langsung tiada ciri-ciri fizikal Jawa pun berasal daripada sana! Begitu taksub mereka terhadap Jawa...
Di kaki lima bangunan bandar-bandar termasuk Muar pula sering terdapat penjual barangan antik dan pelik seperti keris lama dan batu cincin lalu mendakwa kononnya barang-barang ini berasal daripada Jawa dan mempunyai kelebihan tertentu. “Kesaktian” Jawa begitu diperbesarkan sehingga penjual ubat tepian jalan yang diketahui bukan berketurunan Jawa pun sering menggunakan loghatnya untuk melariskan jualan. Rasyid juga pernah terjumpa ahli perubatan tradisional seperti bomoh dan pawang yang menurun lalu bercakap bahasa Jawa atau loghat Jawa seraya mendakwa diresapi rohani para wali terutama Sunan Kalijaga, satu-satunya Wali Songo yang dikatakan Jawa tulin. Malah dia pernah terjumpa seorang wanita yang mendakwa mempunyai hubungan istimewa dengan wali besar yang dikenali sebagai Sultanul Ariffin Sheikh Ismail... Yang peliknya, Sheikh Ismail berasal dari Timur Tengah tetapi apabila wanita itu “diresapi” Sheikh Ismail, dia mula bersuara garau dan bercakap dengan loghat Jawa !
Rasyid terjumpa wanita tersebut ketika menziarahi Makam Seribu di Pulau Besar, Melaka sebuah kawasan yang dikatakan mengandungi lebih 1000 makam tidak bertanda para pejuang Islam yang mati syahid sekitar abad ke 16 hingga 18 Masihi dalam usaha membebaskan Melaka daripada cengkaman penjajah Barat. Wanita berumur sekitar 40an itu mendakwa dia tahu apakah masalah yang sedang membelenggu anak muda yang rajin menziarahi makam-makam lama itu lalu menjemput Rasyid ikut balik ke rumahnya di sebuah kawasan perumahan di Melaka.
Di situlah wanita itu menunjukkan kebolehannya “menilik” atau meneropong apa sahaja yang sedang berlaku di tempat lain juga perasaan yang terbetik di dalam hati orang lain. Dan dia dapat menggambarkan rupa serta sifat beberapa orang kenalan pemuda itu dengan tepat walaupun ketika sedang sibuk membuaikan anak atau menyediakan masakan.
Sheikh Ismail yang makamnya dianggap paling “keramat” di antara banyak makam lama dan tempat berunsur mistik di Pulau Besar adalah seorang pendakwah Islam dari Timur Tengah. Menurut kitab Hikayat Raja-raja Pasai, juga kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, beliau bertanggungjawab mengIslamkan negeri Samudera dan menabalkan pengasas kerajaan itu, Sultan Malikus Salih lebih 700 tahun lalu selain membawa syiar Islam ke beberapa negeri lain di bumi Timur ini.
Memang Sheikh Ismail dikenali sebagai wali Allah, maka tidak hairanlah jika makamnya dikatakan keramat dan beliau boleh melakukan pelbagai perkara mencarik adat. Tetapi adakah patut beliau meresap ke dalam badan seorang wanita lalu bercakap loghat Jawa dengan suara garau dan garang? Sedangkan setahu Rasyid, wali Allah berketurunan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani ini berdarah Arab campur Parsi dan suka bertutur secara berhemah serta lemah-lembut… Lagipun bukan adab para wali memasuki tubuh badan orang apalagi seorang perempuan.
Mereka yang kurang ilmu mungkin akan cepat terpengaruh dan lekas percaya bahawa manusia seperti wanita tersebut memang telah diresapi roh wali sedangkan anak muda itu sudah lama bergaul dengan pelbagai pihak, tahu perbuatan sebegini lebih menghampiri sihir atau dilaksanakan dengan pertolongan jin samada Kafir mahupun Islam. Lalu dia teringat pesan seorang tua: Ketahuilah wali-wali itu wujud sampai sekarang dan memang mampu ghaib atau menghadirkan diri melampaui ruang dan masa. Tetapi mereka tidak akan meresapi tubuh orang lain kerana ini berlawanan dengan sifat mereka sebagai insan Al-kamil, manusia yang sempurna, yang telah mengenal makna keTuhanan dengan sebenar-benar perkenalan.
Kalau begitu, apakah yang sebenarnya meresapi badan ahli perubatan tradisional sebegini kemudian pandai pula bercakap Jawa? Mengajilah dengan guru mursyid... Fahamilah tipu-daya syaitan dan makhluk halus yang sentiasa cuba merendahkan martabat sebenar manusia dengan menyesatkan mereka… Hakikatnya orang seperti ini menggunakan pendamping dari kalangan jin samada sedar ataupun tidak... Ilmu kebatinan seperti ini boleh dipelajari dalam sesetengah perguruan silat. Tetapi ramai di antara mereka mengaku telah mendapat ilmu laduni dan kasyaf, mengaku sudah sampai ke taraf wali. Sedangkan pada orang yang betul-betul mengkaji serta mencontohi amalan dan cara hidup Nabi, amalan sebegini bukanlah cara hidup orang-orang Salih, apalagi pakaian seorang wali!
Maka itu janganlah merasa hairan, takjub apalagi taksub dengan orang-orang sebegini serta “karamah” yang ditonjolkan mereka. Setakat mahluk halus berbisik di telinga lalu memberikan maklumat tersembunyi, setakat pandang tembus melihat apa yang orang lain sedang buat di sebalik tembok atau melihat orang yang jauh mahupun apa yang terbetik di hati insan lain, setakat boleh mengerakkan benda-benda seperti keris dengan menggunakan ilmu tafakur dan nafas tak payahlah cakap banyak... Ramai orang mampu melaksanakan perkara sebegini dengan khidmat jin atau memakai Qarin (kembar manusia dari alam jin)...Tidak payah menjadi wali, tidak perlu pun mendekati perjalanan seorang Solehin. Pendek kata, walaubagaimana menakjubkan sekali pun kebolehan yang dipertontonkan, walau boleh mencairkan besi, berjalan di atas air, walau boleh terbang di langit seperti burung, ini belum boleh dikatakan bukti kewalian seseorang.
Seorang wali akan mencontohi akhlak, budi-bahasa serta cara ibadat yang terbaik seperti diamalkan Nabi Muhammad SAW. Solat dan puasa tetap dijaga malah jauh melebihi amalan orang biasa. Dan mereka selalunya akan menyembunyikan sifat karamah atau perkara-perkara mencarik adat yang ada pada mereka kecuali apabila betul-betul perlu atau terdesak... Seperti menolong orang yang dalam kesusahan, membuktikan kebenaran Islam apabila diperlekehkan atau berjihad ke jalan Allah.
p/s: Ini adalah artikel ke 656 di blogspot ini. Pada gambar atas ada tertera nombor pendaftaran kedai atau syarikat yang mengandungi nombor 131. Modelnya pun ada 3. Hmm... :]
salam,
BalasPadami like this posting, banyak pengajaran utk menyedarkan org2 yg taksub ni..wali songo tu yg jawa berpa kerat jer..yg lain semua nye arab hehe..org bugis lagi hebat bro...
Apa yg ditulis adalah cerminan diri penulis sebenarnya.....semua nya bermain dgn rasa. Baik2 mengata orang,jgn terpalit kediri sendiri!
BalasPadamKenapa... terasa ke? :]
BalasPadam