Sementara masih ada siang untuk menandakan hari ini masih 13 haribulan Muharam (ada faktor 131 kerana tarikh ini adalah 13/1/1431 Hijirah) biar dimulakan penceritaan siri "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan" yang sudah lama dijanjikan. Mari! :]
Tengahari Khamis 19 November langkah pun dimulakan untuk membawa Al-Rasyid berjalan ke selatan. Hmm... ada faktor 191 juga sebab tarikh itu bersamaan 19/11/2009. Di atas adalah gambar isteri sedang mendukung anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid bersama kenalan-kenalan di kedai TM Rawang. Kami singgah di sana untuk menyelesaikan bil-bil telefon, Internet dan lain-lain.
Hari itu juga kami singgah di pejabat imigresyen Wangsa Maju, Kuala Lumpur untuk membuat paspot antarabangsa Al-Rasyid. Tu dia... kecik-kecik dah ada paspot. Untuk makluman ketika itu Al-Rasyid baru nak masuk umur 38 hari. Kalau diikutkan baik dia mahupun ibunya belum habis berpantang dan belum patut berjalan...
Namun perjalanan harus diteruskan kerana beberapa sebab. Pertama cuti bersalin isteri semakin menghampiri tarikh tamat. Walaupun ia cuma tamat pada 13 Disember, kami juga sudah merancang untuk membuat perjalanan lain kemudian. Di celah-celah itu pula saya sudah diberitahu supaya bersedia untuk membuat satu tugasan kerja yang bakal meliputi sekitar 40 lokasi di seluruh Semenanjung. Lagipun 27 November adalah tarikh Hari Raya Aidil Adha di mana saya sudah berjanji akan menyambutnya di kampung ibubapa di Muar. Maka eloklah perjalanan ke selatan diselesaikan sebelum itu.
Di atas adalah gambar di bandar Seremban ketika hampir waktu Maghrib. Selain pergi ke Wangsa Maju untuk membuat paspot kami juga singgah ke Jalan Ipoh dan Kajang untuk menyelesaikan beberapa perkara. Seterusnya kami ke Seremban, singgah sebentar di masjid jameknya di mana saya kebetulan mengambil 13 keping gambar, satu jumlah yang baru tadi saya tersedar! Lihat artikel Masjid jamek (main mosque) of Seremban di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Seterusnya kami singgah di rumah seorang makcik di Rembau. Maka lewat malam baru sampai ke Muar, tempat pengembaraan ke selatan akan bermula secara rasmi nanti.
Ini adalah gambar isteri dan Al-Rasyid di kawasan makan stesyen bas tempatan bandar Muar pada pagi Sabtu. Kami ke sini untuk menikmati hidangan nasi beringin di restoran kegemaran saya. Alhamdulillah hidangan laris ini dapat kami perolehi setelah terpaksa berputih mata dalam lawatan sebelumnya ke Muar pada bulan Syawal. Mungkin kerana berkat adanya Al-Rasyid? Kerana dalam lawatan bulan Syawal itu dia belum lahir?
Ini pula gambar di bahagian lain stesyen dengan masjid jamek kedua Muar (kini sudah jadi masjid daerah Ledang, daerah belahan yang baru beberapa tahun diwujudkan) dan Sungai Muar lebih jelas kelihatan. Kedua-dua masjid dan sungai ada dalam gambar sebelumnya tetapi kurang menyerlah akibat kontras semulajadi cahaya tempat makan dengan latarbelakang.
Seterusnya kami singgah di bahagian lain tepian sungai berhampiran pasar lama yang sudah dijadikan stesyen utama bas ekspress antara bandar. OK, sekarang biar diterangkan kenapa artikel ini diberi tajuk kecil "'Mengumpul tenaga' di Muar."
Adapun kami pergi ke Muar untuk bertemu ibu bapa. Walaupun selepas itu kami boleh sahaja meneruskan perjalanan kerana Aidil Adha nanti tetap akan kembali rumah ibu bapa lagi, kami terus berada di sana sejak malam Jumaat kerana saya diberitahu bahawa tugasan penulisan yang bakal meliputi 40 lokasi seluruh Semenanjung akan dimulakan untuk zon selatan hujung minggu itu. Maka rancangnya begini... oleh kerana saya sudah berada di Muar, pasukan kerja akan mengambil saya di situ sebelum bergerak ke tempat-tempat lain di selatan. Sementara itu biar isteri dan anak menunggu di rumah. Selepas kerja zon selatan selesai, baru saya mengambil mereka untuk meneruskan pengembaraan Al-Rasyid ke selatan.
Sebaliknya pagi Sabtu itu baru saya dapat tahu kerja terpaksa ditundakan. Kesempatan ini digunakan untuk kami berjalan anak-beranak di sekeliling Muar. Ini adalah gambar Al-Rasyid di bahagian lain berdekatan stesyen bas antara bandar iaitu di hadapan bekas Kubu Bentayan, tempat angkatan perang Melaka kali terakhir bertahan melawan angkatan penjajah Portugis. Di sinilah Sultan Mahmud Melaka cuba mengatur kembali barisan setelah kejatuhan Kota Melaka di tangan kuasa kuffar itu tahun 1511 Masihi sementara anakanda baginda Sultan Ahmad pula berkubu di Pagoh.
Sebenarnya kalau tidak kerana kerja penulisan yang tertunda itupun, kami tetap akan bermalam di Muar untuk beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan. Ini kerana saya tetap menghormati tempoh pantang isteri, juga keadaan anak yang masih kecil lagi. Lalu apa salahnya menunggu hingga hari pagi Ahad di mana umur Al-Rasyid sudah cukup 40 hari? Maka dari segi ini, kiranya kami 'mengumpul tenaga' di Muar sebelum pergi berjalan lebih jauh.
Kesempatan 'mengumpul tenaga' di Muar turut digunakan untuk menikmati kopi cap 434 yang terkenal di Muar di kedainya sendiri yang terletak berhadapan stesyen bas antara bandar. Walaupun saya sudah biasa menikmati kopi ini yang dibancuh sendiri sejak kecil lagi, inilah kali pertama saya menikmatinya di kedai seperti Starbucks Cafe versi kurang mahal yang mula dibuka beberapa tahun lalu. Menariknya, ketika itu kami duduk di meja nombor 13. Nampaknya kenalah sangat dengan tarikh artikel ini ditulis iaitu 13 Muharram!
Selepas itu saya singgah bersolat di Masjid Jamek Muar, bukan masjid yang kelihatan dalam gambar lebih awal tadi ya tetapi masjid pertama yang terletak setentang menyeberangi Sungai Muar.
Oleh kerana ketika itu hujan renyai-renyai sedangkan isteri pula belum cukup sihat untuk memasuki masjid, mereka menunggu sahaja di dalam kereta. Cukuplah gambar dalam kereta untuk menunjukkan Al-Rasyid sudah sampai ke sini. Selepas ini kita akan pergi lebih jauh lagi...
p/s: Nampaknya pada penulisan artikel ini tergabung unsur nombor 131 (yang turut terkandung nombor 13 juga 31) dengan sedikit unsur 191 (yang ada 19 dan 91), nombor-nombor yang memiliki makna tertentu buat saya. Gambar paspot Al-Rasyid yang baru diambil tadi file jpeg nya juga diberi nama PC300301 secara automatik oleh kamera... masih ada kombinasi nombor 1 dan 3 yang boleh membentuk nombor 13, 131 juga 313...