Khamis, Disember 31, 2009

Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Habib Ali dan 'permulaan' Batu Pahat...

Sempena cuma beberapa jam sahaja akan masuk tahun baru 2010 Masihi, biar kita bercerita lagi. Bersambung daripada artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : 'Mengumpul tenaga' di Muar...


Ahad 23 November 2009, cukuplah umur Al-Rasyid 40 hari iaitu bermula jam 3.30 pagi. Isteri saya boleh dikira habis pantang walaupun ada yang menambah tempohnya harus mencukupi 44 hari. Pada saya 40 hari sudah cukup untuk kami keluar dari 'pantang berjalan'. Lain-lain pantang seperti makan-minum dan ehem ehem (hehe!) tetap diteruskan apalagi isteri saya dahulu melahirkan anak melalui 'tingkap'...

Pengembaraan sebenar ke selatan dimulakan selepas jam 3 petang dengan pergi ke Batu Pahat melalui jalan lama yang melepasi Parit Jawa. Perjalanan dari rumah di Bandar Tasik Puteri di Rawang, Selangor hingga ke Muar, Johor yang dibuat hari Khamis sebelumnya seperti disebut dalam artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : 'Mengumpul tenaga' di Muar... cuma boleh dikira sebagai perjalanan persediaan walaupun ia sendiri menelan jarak 300 km akibat beberapa kali membuat persinggahan. Namun ia tetap dicampur dalam jarak keseluruhan pengembaraan untuk menunjukkan betapa jauh telah perginya seorang bayi.


Lebih kurang sejam kemudian kelihatanlah bukit yang dikenali penduduk tempatan sebagai Gunung Soga menandakan kita hampir tiba ke destinasi. Walaupun jarak bandar Muar ke Batu Pahat cuma sekitar 50 km, perjalanan melalui jalan lama sering dihambat dengan pelbagai ragam kenderaan...

Kami pun singgah untuk menikmati hidangan nasi beriyani gam di perhentian ini...


Letaknya sejurus sebelum jambatan utama menyeberangi Sungai Batu Pahat.



Inilah bandar Batu Pahat dilihat daripada jambatan. Kelihatan di latarbelakang Gunung Banang yang tingginya sekitar 1,400 kaki dari paras laut... kiranya cukup tinggilah untuk dipanggil sebagai gunung, bukan seperti 'Gunung' Soga yang tingginya cuma sekitar 1,000 kaki sahaja...




Namun Gunung Soga tetap menjadi satu identiti bandar Batu Pahat. Ini adalah gambar bukit tersebut dengan masjid jamek baru kelihatan di satu sisi...





Kami pergi ke sebuah perkampungan di belakang pusat membeli-belah Pacific untuk bertemu seorang tua alim yang dikatakan bertaraf wali. Namanya Habib Ali, orangnya ringkas, amat merendah diri dan kini sudah berumur sekitar 92 tahun kalau tak salah ingatan. Menurut ceritanya, beliau setaraf dengan wali besar Singapura, Habib Nuh yang sudah meninggal dunia lebih 100 tahun lalu. Walaupun orang Batu Pahat sendiri ramai yang tidak mengenalinya, beliau sering diziarahi mereka yang mendambakan berkat para wali dengan para pengunjung ada yang datang dari Singapura malah dari Hadramaut di Tanah Arab pun ada!






Seterusnya kami mengambil jalan melalui tepian Gunung Banang untuk sampai ke satu tempat yang dipanggil Pantai Minyak Beku...




Saya tak ingat kenapa pantai yang terletak berhampiran kuala sungai Batu Pahat ini dipanggil Pantai Minyak Beku. Saya ke sini untuk membawa Al-Rasyid dan isteri melihat suatu benda tertentu...








Apakah bendanya itu? Batu tanda yang kelihatan boleh memberikan jawaban...






Kerana di sini terdapat sebuah perigi yang dipahat dari batu, katanya oleh orang-orang Siam yang mahu menyerang kerajaan Melayu Melaka suatu masa sekitar 550 tahun lalu. Perigi yang menjadi tempat mereka mengambil minuman inilah yang memberikan Batu Pahat namanya itu. Selesai lawatan ini, sampailah masa untuk meneruskan pengembaraan ke daerah lain. Cukuplah cerita untuk tahun baru 2010 ini ya...


7 ulasan:

  1. salam tuan..

    Ada tak gambar Habib ALi di batu pahat tu....teringin nak tgk wajahnya mudah mudahan diizinkanNya ingin kucup tangannya yang diberkahi...

    BalasPadam
  2. Wassalam. Dia tak benarkan orang ambik gambar dia. Kena le respect permintaannya!

    BalasPadam
  3. Salam. Selamat menyambut 1431, moga-moga kita berjumpa pada Ramadhan 1432, Insya-Allah.

    BalasPadam
  4. macam mana hendak berjumpa dgn Habib Ali?

    BalasPadam
  5. Habib Ali bin Jaafar Al- Idrus telah kembali ke rahmatullah 13 Mei 2010.. dan dikebumikan di kebumikan di Tanah perkuburan bukit cermai batu pahat pd hr jumaat..

    BalasPadam
  6. Kalau tak silap, "penziarah" ni dalam bahasa Melayu lama @ klasik membawa erti "orang yg melakukan kejahatan" macam cakap sekarang "pesalah" atau "banduan"

    Hati2 bila mengguna ayat di lain kali.

    BalasPadam
  7. Salaam...
    Perkongsian ilmu dalam bidang persuratan Melayu buat Anonymous (July 05, 03:30:00 pm)

    'Penziarah' merujuk kepada 'orang yang bertandang.' Mungkin saudara telah terkeliru dengan satu lagi istilah iaitu 'penjarah.' Yaakub Isa dalam buku Kamus Bahasa Melayu Klasik, telah mendefinisikan 'penjarah' sebagai 'perampas' (1997: 75).

    Dalam Hikayat Hang Tuah pula, kita akan menjumpai istilah lain dalam teks seperti 'penjurit' iaitu 'askar upahan' yang membuat kerja jahat. Namun, Yaakub Isa (1997: 131) telah mentakrifkan 'penjurit' sebagai 'perajurit' atau 'pahlawan.'

    p/s: Banyak di antara istilah yang dimuatkan dalam Kamus Bahasa Melayu Klasik ini dikutip perkataannya daripada teks hikayat seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Panji Semerang dan sebagainya.

    BalasPadam