Seperti disebut pada artikel Bersolat Jumaat di Masjid Baitur Rahman... aktiviti siang hari Jumaat dimulakan dengan bersolat di masjid utama di situ, aktiviti pertama saya sekembalinya dari makam Sultan Malikus Salih. Selepas itu saya dan isteri berjalan kaki jauh di tengah Banda Aceh dan buat pertama kali sejak sampai ke Aceh hari Isnin merasa naik kenderaan awam seperti van dan beca bermotosikal.
Ini diceritakan panjang lebar dalam artikel A leisurely afternoon in Banda Aceh and reflections on its socio-political conditions... yang baru dibuat di blogspotBERPETUALANG KE ACEH sebelum saya bersahur tadi. Tak sangka pula apabila kami kembali ke hotel terus terserempak dan sekumpulan gadis manis berpakaian tradisional di gambar atas ini...
Sejurus kemudian keluar pula satu kumpulan gadis lain yang lebih senior. Rupa-rupanya mereka-mereka ini akan membuat persembahan tarian tradisional pada satu majlis malam hari nanti.
Allah! Ini betul-betul kes bulan jatuh ke riba. Sejak beberapa hari itu saya 'mengidam' ingin melihat persembahan tarian tradisional Aceh. Isnin semasa turun dari kapalterbang, memang ada persembahan menyambut tetamu di ruang tiba lapangan terbang tetapi saya tidak dapat menikmatinya kerana perlu mengikut Kak Ann berkejar keluar. Lihat artikel pembuka cerita bertajuk Sampai ke Aceh setelah 5 tahun 5 bulan menunggu! Rupa-rupanya ada faktor 131 di sini....
Kemudian saya diberitahu persembahan tarian tradisional cuma dapat dilihat apabila ada majlis tertentu. Taman kebudayaan di pinggir bandar yang diharap dapat menyajikan persembahan setiap hari untuk para pengunjung pula belum siap lagi ketika itu. Ah. Timbul rasa terkilan tidak dapat menunaikan hajat. Siapa sangka rupa-rupanya ada persembahan bakal disajikan di depan mata. Tak lain tak bukan di dalam hotel tempat saya dan isteri menginap ini sendiri!
Saya meminta kumpulan yang baru keluar tadi bergambar dengan isteri. Bukan selalu dapat bergambar dengan mereka-mereka yang berpakaian begini apalagi dari Aceh, bumi asal tok nenek moyang saya! Rupa-rupanya mereka ini pelajar universiti sedangkan kumpulan pertama yang saya temui seperti dipaparkan pada gambar teratas ialah para pelajar sekolah menengah. Kata mereka, mereka pelajar UnSyiah (Universiti Syiah Kuala). Hmm...
Saya dan isteri kembali ke bilik hotel untuk berehat dan bersiap. Selepas waktu Isyak kami pun turun ke lobi lalu masuk ke dewan utama... dengan selambanya kerana ini majlis orang yang kami tak kenal dan tidak pula dijemput. Tetapi kami buat tak tahu sahaja kerana ingin melihat persembahan tarian tradisional sahaja...
Kelihatan para pemuzik sudah siap menunggu. Saya seperti biasa berjalan mengambil gambar apabila ada peluang untuk merekodkan keadaan...
Ternyata saya dan isteri adalah antara orang paling awal sampai. Kami difahamkan majlis bermula jam 8 sedangkan kami sendiri turun selepas Isyak iaitu selepas jam 8.30. Itupun dewan masih banyak kosong. Terpaksalah menunggu agak lama semata-mata untuk menikmati persembahan tarian.
Nasib baik kami cukup selamba berlagak seperti tetamu jemputan. Sempat berbual dengan beberapa jemputan lagi dan apabila ditanya kami dari mana kami cuma jawab dari Malaysia. Terus disangka kami ini adalah dari NGO Malaysia yang pernah turut tolong membantu proses pemulihan Aceh selepas tsunami menyerang 26 Disember 2004. Memang majlis ini menjemput banyak wakil NGO seantero dunia yang terlibat kerana ia dianjurkan oleh sebuah syarikat Jerman yang turut bekerjasama!
Ini adalah pembacaan Quran yang turut membuka majlis yang akhirnya bermula sekitar jam 9. Sebenarnya sudah ada satu sesi tarian tradisional membuka majlis terlebih dahulu tetapi saya terlupa mengambil gambar. Atau saya yang tersilap mengatur gambar kerana terjadi sesuatu perkara yang menyebabkan aturan gambar dalam simpanan komputer jadi sedikit celaru? Ah. Cukup susah untuk saya mengingatkan aturan sebenar kerana majlis ini berlaku hampir 3 bulan lalu!
Hadirin turut ditunjukkan tayangan video yang menyatakan sumbangan syarikat Jerman dalam pemulihan Aceh.
Kemudian ada persembahan tradisional dari sekumpulan kanak-kanak lelaki!
Kemudian sampailah giliran untuk kumpulan gadis remaja sekolah menengah yang saya temui lebih awal di lobi untuk membuat persembahan...
Ternyata persembahan mereka adalah main course atau 'hidangan utama' tarian tradisional untuk majlis ini kerana dibuat untuk membawa kepada kemuncak. Paling menarik (juga melucukan) adalah gaya yang pada saya kelihatan seperti sekumpulan siput sedang menari!
Ini diikuti sesi pertukaran cenderamata dengan tokoh-tokoh pemerintahan Aceh... kerana syarikat Jerman ini telah tamat tempoh menawarkan khidmat mereka di sana lalu mahu bertukar-tukar barang yang boleh dijadikan ingatan...
OK. Bagaimana saya boleh ingat kembali aturan majlis? Sebabnya, saya turut membuat klip-klip rakaman video yang agak teratur dan dapat saya ingat kerana telah diuploadkan ke Internet iaitu di YouTube lebih sebulan lalu dengan diberi label yang sesuai. Dengan itu anda boleh melihat rakaman tarian-tarian tradisional juga bacaan Quran dari majlis ini. Tadi telah saya kumpulkan kesemuanya dalam satu artikel bertajuk Enjoying Aceh traditional dance by crashing a private function... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Oh. Sebelum, dalam dan selepas majlis, ramai orang tersenyum pelik melihat saya. Nak tahu kenapa? Lihat sendirilah pakaian yang saya gunakan untuk majlis besar yang melibatkan ramai tokoh pemerintahan Aceh, tokoh korporat dan NGO berserta Gabenur Aceh sendiri.
Tengok video klip di bawah yang diambil secara tidak sengaja. Asalnya saya cuma meminta isteri mengambil gambar. Rupa-rupanya saya terlupa hendak menukar mood kamera dari video ke gambar biasa. Jadilah klip video pendek ini!
Dengan ini tamatlah proses penulisan yang dibuat malam Jumaat ini untuk menerangkan aktiviti yang dibuat pada hari Jumaat hampir 3 bulan lalu di Aceh. Sedar tak sedar, sejak tengah malam tadi hinggalah kini hampir jam 7 pagi, saya telah menulis 7 buah artikel baru, 3 di blogspot ini, 1 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 3 di BERPETUALANG KE ACEH . Kiranya 3-1-3 le. Sekian, selamat malam, eh selamat pagi! :]
Saudara. Bila hendak ke Pulau Besar Melaka lagi? Atau ke Negeri Jebat ini? Sekiranya saudara dan rakan2 ke sini, hubungilah saya.
BalasPadamInsyaallah! :]
BalasPadam