- Sabda Nabi Muhammad SAW seperti dipaparkan dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai.
Pengunjung lain di rumah suluk itu yang berasal daripada pelbagai pelusuk Sumatera juga mengajak pemuda ini supaya duduk lebih lama. Kalau boleh 40 hari, paling kurang pun tujuh. Mereka seronok apabila mendapat tahu Rasyid orang Malaysia dan ingin mengenalinya lebih dekat. Memang terdapat warga Malaysia yang rajin datang ke Babussalam dan orang-orang di sini nampaknya sukakan orang Malaysia, tidak tahulah mengapa... Adakah kerana orang Malaysia banyak duit? Harap-harap tidak...
Tetapi pemuda itu menjawab dia tidak boleh duduk lama kerana ada rancangan lain. Mereka terus memujuk. “Kalau tak dapat lama, tiga hari pun jadilah. Kalau mahu merasakan kelebihan Babussalam...”
Rasyid cuma tersenyum sahaja. Katanya cukuplah satu malam. Melihatkan permainan duit yang tidak putus hari itu, dia merasa tidak selesa untuk menetap lebih lama tetapi tidak menyatakan apa yang terbuku dihatinya. Harus juga menjaga perasaan orang lain walaupun pemuda ini kadang-kadang mulutnya lancang...
Lagipun dia sudah menunaikan janji kepada diri sendiri untuk bermalam di Kampung Babussalam, sudah melihat sedikit-sebanyak isinya walaupun setakat satu malam. Sudah masuk pintu kesejahteraan walaupun ia sekarang bergelumang dengan permainan wang. Sekarang sampailah masanya untuk pemuda ini masuk ke daerah kesejahteraan. Maka target seterusnya adalah bermalam Jumaat, malam esok di Aceh Darussalam...
Perhatikan perenggan akhir sedutan di atas. Perhatikan betapa ia menyebut bahawa dalam perjalanan pertama ke bumi Serambi Mekah yang dibuat Januari 2004, saya telah mensasarkan untuk bermalam Jumaat di Aceh... kerana saya meninggalkan Babussalam pada pagi Khamis. Sekarang teliti balik beberapa cerita yang membawa kepada cerita sebelum ini iaitu Ke makam Sultan Malikus Salih - Hikmah yang membawa persinggahan sebentar ke makam Sultan pertama Perlak... . Perhatikan bagaimana perjalanan dari Banda Aceh untuk ke makam Sultan Malikus Salih Jun 2009 dimulakan hari Rabu dan sepatutnya boleh selesai hari itu! Tetapi keadaan menyebabkan saya harus menyambung kembali perjalanan Januari 2004 melalui Langsa pada hari Khamis. Sekarang baru kita menyambung cerita...
Tadi saya telah membuat sebuah artikel baru bertajuk From Perlak to Geudong, seat of the powerful twin ancient kingdoms of Samudera and Pasai! di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Cerita dan gambar di situ dapat menerangkan bagaimana rombongan kami meninggalkan Perlak petang Khamis dan singgah di satu tempat bernama Idi waktu Maghrib iaitu masuk malam Jumaat. Kami ke sana kerana saya hendak menunaikan pesanan seorang kenalan iaitu Habib Hassan Aceh di Malaysia yang kini saya anggap seperti seorang ayahanda.
Beliau yang dikenali dalam satu perjumpaan mengenai peranan Ahlul Bait anak cucu Nabi (lihat artikel Peranan Ahlul Bait lawan propaganda Zionis Illuminati! ) meminta saya berjumpa sanak saudaranya di Idi. Lawatan ke sana nampaknya turut menyumbang kepada aturan Qada' dan Qadar' untuk saya hari itu sehingga kami akhirnya sampai ke makam Sultan Malikus Salih sekitar jam 10 malam Jumaat. Ini seolah-olah menyambung juga perjalanan lama yang dirancang lebih 5 tahun lalu seperti disebut pada perenggan terakhir sedutan di atas gambar... kerana niat untuk bermalam Jumaat di Aceh Januari 2004 rupa-rupanya ditunaikan dengan sampai malam Jumaat ke makam Sultan lama tersohor di bumi Serambi Mekah ini lebih 5 tahun kemudian!
Ah. Tidak dapat digambarkan perasaan yang bermain di hati apabila akhirnya dapat sampai ke sini setelah perjalanan lebih 5 tahun tergendala! Lebih-lebih lagi sampai dalam keadaan saya telah kembali berumahtangga, bersama isteri yang tersayang setelah begitu lama menduda tak tentu hala. Tadi selepas turun daripada kereta, ketika semua orang termasuk isteri terus masuk ke kawasan makam, saya pergi seorang diri ke kawasan luar untuk mengambil wudhuk. Dalam berjalan mencari air paip itu sedar tak sedar saya mula menangis teresak-esak.
Kemudian saya terdengar bacaan Quran yang begitu indah seperti berkumandang dari sebuah rumah berdekatan, bacaan paling indah pernah saya dengar seumur hidup hingga kini! Allah, tadi semasa menulis perenggan ini tiba-tiba dada saya terhenjut-henjut lagi teringatkan apa yang berlaku... teringat bahawa Sultan Malikus Salih yang juga dikenali sebagai Raja Merah Silu pernah disuruh membaca Al-Quran oleh Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad. Apakah itu suara paduka nenda yang cunda dengar? Allah!
Rasanya tidak mampu untuk saya bercerita perasaan sebenar saya sepanjang berada di situ. Maka itu biarlah cerita ini diselang-selikan dengan beberapa sedutan tentang identiti sebenar Sultan Malikus Salih yang cuba disinggung melalui bab bertajuk "Samudera Pasai : Bumi para wali" dari buku pertama "Berpetualang ke Aceh"...
-----------------------
“Kamu tahu tak, selain Sharif Mekah, wasiat itu juga disempurnakan oleh seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq iaitu Sultan Muhammad yang sanggup turun takhta menjadi fakir semata-mata untuk turut serta menjalankan amanah Nabi?” Rasyid masih cuba meyakinkan Badrul. “Ini diperkuatkan dengan kehadiran Sultanul Ariffin, Sultan orang-orang arif iaitu Sheikh Ismail yang diketahui memiliki nasab keturunan Saidina Hassan daripada sebuah jurai yang amat diagung-agungkan dalam dunia pengajian Tasawuf dan orang-orang Sufi iaitu keturunan Sultanul Awliya, raja para wali Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani!”
“Bukankah ini menunjukkan Sultan Malikus Salih itu sendiri mempunyai hubungan kekerabatan ataupun pertalian kerohanian yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW?” dia bertanya pula. “Kalau tidak mengapa wasiat mengenai Samudera ini disempurnakan dua orang bertaraf Sultan daripada keturunan Nabi melalui Saidina Hassan iaitu Sharif Mekah dan Sheikh Ismail, ditambah dengan kehadiran seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, sahabat karib Nabi dan Khalifah pertama seluruh umat Islam? Bukankah ini satu pengiktirafan yang kuat?”
“Mereka juga disuruh membawa perkakas dan alat-alat kerajaan daripada Mekah untuk menabalkan Sultan Malikus Salih menurut adat pertabalan Raja-raja Islam,” pemuda itu menyambung. “Apakah ada raja lain di Nusantara atau mana-mana pun yang pernah menerima pengiktirafan sebegini?” katanya lalu merenung tepat muka rakan itu.
Oh. Kedatangan kami di sini turut diiringi dan disambut ketua-ketua kampung dan ulamak berdekatan. Mereka yang menyarankan agar saya membasuh kepala dan muka di atas batu nesan kepala Sultan Malikus Salih lalu membiarkan airnya mengalir mengenai batu nesan sebelum masuk ke dalam tanah makam. Lagi sedutan kecil...
------------------
Wasiat Rasulullah SAW dalam Hikayat Raja-raja Pasai juga menyebut negeri Samudera mesti diIslamkan kerana di sana nanti ramai orang akan jadi wali. Jika ramai rakyatnya akan jadi wali, siapakah pula raja yang layak memerintah kalau baginda sendiri bukan raja bertaraf wali atau raja para wali? Bukankah pemimpin mesti lebih arif daripada yang dipimpin?
Selain ini, hikayat yang dianggap teks tertua Melayu Islam itu juga menyebut Nabi sendiri yang memberikan nama Sultan Malikus Salih yang bermakna Sultan dan raja kepada orang-orang salih. Walaupun ini berlaku dalam mimpi, tidakkah ia menunjukkan Merah Silu adalah seorang manusia yang berdarjat tinggi, baik sebagai pemerintah mahupun sebagai seorang Islam dan Mukmin sejati?
“Maka kasta Brahman ini adalah kasta yang tertinggi dalam hierarki agama Hindu, lebih setingkat daripada golongan Kesatria termasuk raja-rajanya kerana mereka lebih dekat kepada Sang Pencipta,” dia menambah. “Maka itu juga, seorang raja dari golongan Brahmin adalah lebih tinggi kedudukan dan tarafnya daripada seorang raja Kesatria, ibarat kelebihan seorang raja bertaraf wali ke atas raja-raja biasa, tidak kiralah berapa tinggi pun daulat raja itu.”
Kata pakcik itu lagi, adab seorang raja wali juga berbeza dengan raja biasa. Lebih dekat kepada cara Rasulullah SAW yang pada hakikatnya adalah raja segala raja walaupun penampilannya sekadar seperti seorang hamba.
“Raja biasa lebih menunjukkan kebesaran yang diringi berbagai perhiasan seperti sering dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain yang dikatakan moyang Raja-raja Melaka sedangkan seorang raja wali lebih mendekati kezuhudan, amat merendah diri dan sangat ringkas penampilannya walaupun peribadinya jauh lebih terserlah kerana keakrabannya dengan hadirat Ilahi.”
Sultan Malikus Salih yang mangkat tahun 1297 Masihi (ada yang menyebut 1292) telah mendirikan kerajaan Samudera kemudian Pasai untuk meneruskan perjuangan Rasulullah SAW, bukan untuk bermegah-megah. Baginda memakmurkan kerajaan dengan asas Iman dan Takwa, bermula daripada diri baginda sendiri sebagai Ulil Amri, pemerintah dan ulamak pewaris Nabi yang layak memerintah bumi para wali.
Maka itu tercatat di batu nesan baginda di makamnya di tapak pusat kerajaan Samudera, terjemahan dari bahasa Arab: “Ini kuburan almarhum yang diampuni, yang taqwa, yang menjadi penasihat, yang terkenal, yang berketurunan, yang mulia, yang kuat beribadat, penakluk yang bergelar Sultan Malik Al-Salih.” Sifat-sifat seperti inilah yang akan diwarisi anak-cucu baginda nanti, meneruskan perjuangannya menegakkan syiar Islam di muka bumi ini, perjuangan yang juga diwarisi dari Nabi...
Kak Ann turut bergambar di sisi makam. Kelihatan juga di sisi bertentangan ialah makam Sultan Malikul Zahir yang disebut sebagai anakanda Sultan Malikus Salih. Nampaknya dalam banyak-banyak orang yang berada di sekitar ketika itu, pada pandangan saya tidak kurang 50 orang, cuma saya, isteri dan Kak Ann sahaja yang berani duduk rapat dengan makam. Mungkin kerana orang lain segan?
Sebenarnya banyak perkara yang ingin saya lakukan jika ada privacy dan kelapangan. Mahu sahaja saya berbaring sebentar di sebelah makam jika saya sendiri tidak terasa segan dengan kehadiran begitu ramai orang yang memerhatikan. Apapun, gambar ini boleh menjawab persoalan yang ditujukan dalam artikel pertama saya tentang perjalanan Jun 2009 di Aceh ini, artikel pembukaan bertajuk Ole-ole dari Aceh... coming! yang dibuat hampir 3 bulan lalu. Kini makam ini sudah dilawati, maka hampirlah kita kepada penghujung cerita-cerita tentang perjalanan ke Aceh!
Saya pun memberitahu hajat saya kepada orang tua yang terdekat ketika itu. Saya sudah lupa apakah beliau ketua kampung, ulamak atau penjaga makam. Yang pasti beliau juga orang penting tempatan dan beliau membenarkannya. Apa lagi saya pun melepaskan hajat yang tertunda.
Dengan ini, pada malam 19 Ramadhan, dapat juga saya akhirnya melepaskan cerita sehingga sampai ke makam Sultan Malikus Salih ini. Dengan ini saya memohon kepada Allah Subhanahuwataala dengan berkat kewalian nenda dan para leluhur lain berserta paduka Habibullah yang paling 'ali di seluruh semesta alam ini agar bulan Ramadhan di mana penghujungnya saya akan mencapai umur 40 mengikut tahun Hijriah dapat membawa perubahan menyeluruh yang menghilangkan segala keburukan serta sifat-sifat mazmumah diganti dengan segala kebaikan dan sifat-sifat mahmudah. Amin ya Rabbul Alamin. Selamat malam!
p/s: Pagi tadi selepas menghabiskan Surah Yassin lalu masuk Juzuk ke 23 saya bertekad cuma akan sambung mengaji selepas selesai melepaskan cerita ini. Alhamdulillah, nampaknya selepas ini dapatlah saya menyambung usaha cuba mengkhatamkan Al-Quran sebelum masuk Malam Tujuh Likur, Insyaallah! :]
Saya murid tarikat Naqsabandiyah Kholidiah dari surabaya.saya bersukur masuk tarikat ini dan diilhamkan kepada saya siapa leluhur hamba yang mendoakan saya masuk tarikat ini.lalu dialam kasyaf diilhamkan berkunjung ke sebuah makam.dan ternyata makam leluhur hamba adalah makam malikus saleh setelah mencari cari makam makam tua di internet.dan diberitahu pula sultan malikus saleh adlh keturunan Nabi Muhammad dari jalur Imam Ghazali.hambapun semakin bingung .dan sebenarnya malikus saleh sudah islam sebelum kedatanganya syech ismail dan fakir muhammad darimekkah .kedatangan beliau disambing mentasbihkan sebagai sultan islam juga membaiat malikus saleh masuk islam secarah kaffah jasmani dan rohani.dengan kata lain syech ismail dan fakir muhammad membait THAREKAT SUFI kepada leluhur kami malikus saleh.entah tarekat jalur Saidina Abubakar(lewat fakir muhammad) atau tarekat jalur Sadina Ali(lewat syech ismail).saya bertaya kepada semua pembaca siapa keturunan malikus saleh yang hijrah ke jawa.
BalasPadam