Selasa, Januari 13, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur bersama isteri - Pusing-pusing Kuantan dan Kemaman

Assalamualaikum semua. Hari ini 13 Januari 2009, nombornya jadi 13.1.09, ada 131 iaitu satu nombor kesukaan saya, rasanya elok juga membuat posting baru untuk menceritakan sedikit pengalaman terbaru pergi ke Pantai Timur yang dibuat bersama isteri 2 minggu lalu. Adapun tujuan perjalanan ini dibuat adalah untuk berjumpa anak-anak isteri dengan bekas suami yang berada di Kelantan. Memandangkan isteri tidak pernah berjalan di Terengganu seumur hidup, sekadar lalu naik bas sahaja sekali, maka saya membuat keputusan mengambil laluan Kuala Lumpur ke Kuantan sebelum naik ke Terengganu untuk ke Kelantan. Ini ceritanya...

Pada petang 31 Disember 2008 selepas waktu kerja, kami terus berlepas menghala ke Kuantan. Hujan amat lebat yang bermula setelah menghampiri Temerloh tidak kami hiraukan... terus ke Kuantan di mana hujan sudah renyai, sampai ke sana selepas jam 10 malam begitu.

Kami berjalan-jalan di sekitar bandar Kuantan kerana isteri juga tidak pernah berjalan-jalan di ibunegeri Pahang ini. Setelah itu saya membawanya ke Pantai Teluk Chempedak. Walaupun orang sudah mula ramai dan lalu-lintas juga agak sesak kerana orang mahu bersedia menyambut tahun baru, kami terus ke sana juga kerana memikirkan itulah kali pertama isteri akan merasa sampai ke pantai terkenal di Pahang itu.

Dalam kesamaran malam tepian pantai yang diterangi sedikit lampu, kami kemudian berjalan kaki mengambil laluan binaan kayu yang menaiki lereng bukit di hujung pantai... itu yang dapat ambil gambar di atas ini. Sampai hampir habis laluan itu, kami berpatah-balik hingga ke pantai utama. Ternyata sudah masuk tahun baru apabila orang ramai mula bersorak dan ada sedikit pertunjukan bunga api.


Kemudian baru kami menyambung perjalanan ke Terengganu. Sampai ke pintu gerbang sempadan di Kemaman selepas jam 1 pagi gitu...

Malam itu kami tidur di rumah sepupu isteri. Di dalam gambar ini adalah suaminya Abang Zul berserta anak-anak di hadapan rumah pagi keesokannya.

Abang Zul kemudian rancak membuat promosi Kemaman... katanya di belakang rumahnya sahaja sudah ada sebuah pantai yang cantik lalu dia membawa kami ke situ.



Inilah sebahagian pantai...



Saya mula mencari apa-apa papan yang ada menyebut nama pantai ini iaitu Pantai Mak Nik atau Teluk Mak Nik. Terus Abang Zul menegur: "Ish! Apa ni ambik gambar papan tandas awam!"




Terus dia membawa keluar di mana terdapat papan-tanda elok. Fuh, glamournya nama... Pantai Teluk Mak Nik @ D' Monica Bay. Apakah di sini tempat pertama Monica Lewinsky bertentang mata dengan bekas presiden Amerika iaitu Bill Clinton? Abang Zul kemudian membawa kami ke jeti kompleks perikanan di Kuala Kemaman...





Jeti ini terletak di kuala Sungai Kemaman.



Selepas itu Abang Zul ingin membawa kami melihat sebuah makam lama, katanya milik seorang ulamak yang dikenali sebagi Lebai Saras. Ini kerana dia teruja apabila mendapat tahu saya dan isteri suka menziarahi makam-makam lama dan saya ada menulis siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang banyak bercerita tentang sejarah di sebalik tempat-tempat sebegini.

Kami pun mengekori keretanya menghala ke satu tempat bernama Cheneh, kalau tak salah ingatan. Kata Abang Zul tempat yang dicari memang menghala ke situ tetapi tak lah sampai ke Cheneh yang terletak sekita 30 km dari Kemaman. Sedangkan kami sudah mengekori keretanya sehingga hampir 20 km... rupa-rupanya Abang Zul dah terlupa di manakah tempatnya.

Kami pun berpatah balik sebelum sampai di kampung apa entah, lupa namanya lalu bertanyakan orang. Kata mereka makam itu terletak di hujung jalan masuk satu simpang. Kami pun cuba mencarinya lagi tapi tak berjumpa. Akhirnya kami terpaksa mengalah... Abang Zul perlu menghadiri satu meeting sedangkan saya dan isteri perlu bergerak lebih jauh lagi di Terengganu, dan ada beberapa tempat kami ingin singgah sebelum malam.

Antara tempat yang ingin disinggahi adalah masjid lama di Kampung Tuan. Saya baru dapat tahu tentang masjid ini melalui sebuah buku tentang masjid di Nusantara. Jenuh juga nak mencarinya.. rupanya dekat sahaja ke tengah bandar Chukai iaitu bandar utama daerah Kemaman, cuma perlu mencari simpangnya di kampung pinggiran bandar.

Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Kampung Tuan, Kemaman yang baru dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi. Kami sampai waktu tengahari ketika hujan lebat.



Adapun pagi itu Abang Zul ada mengajak agar kami pergi ke taman rekreasi Telaga Simpul di bahagian utara kuala sungai Kemaman, kiranya seberang jeti yang kami pergi tadi... katanya tempat itu cantik, ada cerita menarik dan letaknya sangat dekat dengan tempat kerja Abang Zul. Tetapi masa yang terbuang mencari makam Lebai Saras menyebabkan saya tidak pasti apakah sempat ke sana.

Selepas dapat mencari Masjid Kampung Tuan, baru saya terasa selesa meluangkan masa ke sana. Apapun terimakasih pada Abang Zul dan keluarga kerana sudi menerima kehadiran saya dan isteri yang membawa kami berjalan-jalan!




Ternyata tempatnya memang cantik. Malah isteri saya pula deja vu melihat sebuah air terjun kecil di tepi jalan masuk yang terbentuk akibat hujan lebat juga bentuk pantai yang ada. Untuk melihat cerita tentang Telaga Simpul, bacalah informasi yang tertera di atas. Sila juga lihat-lihat gambar yang terpapar pada artikel Pictures around Kemaman yang dibuat blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Sekian buat masa ini... :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan