Jumaat, Januari 30, 2009

Lagi satu Jumaat dan gerak penceritaan terbaru...

Gambar motosikal saya di Jalan Ampang dengan tikar mengkuang buruk almarhum Nenek terikat di sisi kiri. Ketika itu hampir 2 minggu lepas, saya baru kembali dari Janda Baik bersama isteri... tergerak untuk mengambil tikar ini yang ditinggalkan di rumah seorang kawan di sana sejak tahun 2005!



Assalamualaikum. Jumaat lepas, saya telah menamatkan gerak penceritaan hari itu dengan artikel bertajuk Satu Jumaat dan projek buku masjid . Hari ini petang Jumaat pula saya mahu bercerita lagi dengan membuka gerak melalui penulisan ini pula.

Seperti ramai sedia maklum di sini, blogspots saya sering dipenuhi gambar-gambar serta cerita sekitar perjalanan-perjalanan yang telah saya lakukan dalam tempoh terdekat. Ada pihak memberitahu mungkin lebih elok saya bercerita tentang perkara semasa seperti keadaan sosio-politik Malaysia terutama selepas pilihanraya ke 12 Malaysia menyaksikan kenaikan Pakatan Rakyat dan kemunduran Barisan Nasional sambil memberikan komen dan pendapat yang sesuai. Kemudian ada banyak yang patut diperkatakan tentang peristiwa-peristiwa besar seperti kenaikan Obama sebagai presiden ke-44 Amerika Syarikat, kemelesetan ekonomi dunia dan serangan ganas Yahudi terhadap umat Palestin di Semenanjung Gaza.

Memang dari satu segi, saya harus memperkatakan sesuatu. Lagipun saya asalnya memang seorang wartawan... dan sebagai seorang yang pernah mengamalkan satu bentuk profesyen yang tidak pernah luntur ditelan zaman, saya masih boleh dikira sebagai wartawan walaupun tidak berkhidmat lagi dengan mana-mana badan besar. Bezanya samada saya masih practising journalist, wartawan yang mengamalkan kewartawanan ataupun tidak.

Sebenarnya saya masih mengamalkan ilmu kewartawanan apabila sanggup mencatat detik-detik perjalanan dan pengembaraan yang dibuat. Cuma saya tidak lagi jadi seorang wartawan yang bercerita banyak tentang keadaan sosia-politik setempat mahupun peringkat dunia kerana terasa penat dengan segala macam gelagat. Cukuplah rasanya saya terus bercerita mengikut rentak kesukaan saya terutama tentang pengembaraan, sesekali sahaja menyebut tentang keadaan semasa. Ini bukan bermakna saya tidak endah langsung tentang apa yang berlaku di Palestin misalnya... cuma saya lebih suka menyalurkan rasa marah itu pada satu arah tersendiri, daripada sibuk mengaum-ngaum menyatakan marah terhadap Yahudi di hadapan masjid dan sebagainya sedangkan hakikatnya apa yang dibuat itu tidak sampai ke mana pun malah dijadikan pula pihak tertentu sebagai topeng untuk menunjukkan keprahatinan kosong dalam meraih lebih banyak kuasa dan pengaruh. Lagipun sejak tahun 2006, saya sudah banyak sangat menyalak tentang keadaan dunia akhir zaman, perancangan Yahudi menakluki dunia juga perlunya kebangkitan Islam akan datang dijana dengan kekuatan kerohanian, samada melalui forum juga isi penulisan siri buku "Berpetualang ke Aceh".

OK. Satu masa hujung tahun lepas, saya ada menyebut mahu memulakan cerita tentang apa yang berlaku ketika pergi menunaikan umrah tahun 2005. Isteri pun sudah banyak kali bertanya tentang itu. Fikir saya, sampai satu peringkat saya akan berhenti berjalan-jalan kemudian bolehlah saya memulakan penceritaan itu. Sebaliknya saya masih terus berjalan malah harus membuat kerja-kerja yang memerlukan saya terus berjalan dan berjalan. Dalam pada itu, seperti biasa timbul rasa untuk melepaskan apa yang dilihat dalam perjalanan ke dalam blogspots saya.

Artikel Satu Jumaat dan projek buku masjid dibuat minggu lepas dalam keadaan saya telah melepaskan beberapa gambar dan cerita berkaitan di blogspots saya sampai ke tahap tamat perjalanan terbaru ke Pantai Timur yang dibuat bersama isteri, perjalanan yang berlaku sejurus selepas beberapa perjalanan dalam rangka kerja membuat buku mewah tentang masjid-masjid di Malaysia. Hujung minggu sebelum itu saya telah membawa isteri menaiki motosikal naik ke Genting melalui Batang Kali sebelum bermalam di Janda Baik. Selepas menulis Satu Jumaat dan projek buku masjid, kami pergi ke Pulau Besar, Melaka untuk bermalam 3 malam sebelum ke Tanjung Sepat pula.

Hari ini biar dilepaskan sedikit gambar serta cerita berkaitan bermula di blogspot BERPETUALANG KE ACEH ya. Rasanya saya mahu meletakkan beberapa gambar dari dalam cable-car, mungkin dalam bentuk slideshow. Perhatikan ia... :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan