OK. Ini adalah gambar meter motosikal diambil beberapa hari lalu. Alamak, lupa pula hari apa... Samada Ahad atau Isnin kot... Hmm... Mungkin juga Selasa. Tak apa...
Apapun saya sebenarnya terasa nak berkongsi rasa apabila terlihat meter motosikal menunjukkan nombor 131, satu nombor yang ada makna tertentu buat saya... Ketika itu saya dalam perjalanan dari Ampang Utama mahu ke pusat bandaraya Kuala Lumpur... Hampir sampai ke simpang Jalan Jelatek, ternampak pula meter menunjukkan nombor ini! Terus saya ke tepi untuk mengambil gambar. Gila ke hapa? Duduk atas motosikal besar tepi jalan pakai helmet pakai goggle lepas tu ambik gambar meter motosikal sendiri. Apa daa....
Kebetulan pula sebelum keluar rumah hari itu, saya baru sahaja menyelesaikan proses editting buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" sehingga tamat mukasurat 131 sebelum berhenti untuk keluar. Apakah ini kebetulan semata atau ada yang tersurat dan tersirat?
OK... Sekitar 2 bulan lalu kalau tak salah ingatan, saya ada menyebut bahawa saya tak akan keluar mengembara lagi buat satu tempoh yang lama, mungkin sehingga saya kembali selesa berumahtangga, insyaallah kalau diizinkan Allah sebelum masuk tahun Hijriah akan datang. Adapun ketika itu, saya baru juga selesai menutup proses pengembaraan post-BKA atau siri pengembaraan seluruh Semenanjung Malaysia yang dibuat selepas selesai menyajikan ketiga-tiga buku dalam trilogi siri novel "Berpetualang ke Aceh". Lihat cerita-ceritanya dengan memasuki link-link di sidebar kanan bawah...
Fikir saya, sebaik sahaja selesai menyajikan cerita-cerita tentang bahagian ketiga pengembaraan tersebut iaitu perkelanaan ke Pantai Timur, maka saya mahu menyajikan pula satu siri cerita lama tentang perjalanan tak disangka ke Singapura yang dibuat pada awal bulan Syawal pada penghujung tahun 2006 diikuti kisah perjalanan dan apa yang berlaku semasa membuat umrah ke Mekah dan ziarah ke Madinah pertengahan tahun 2005. Sedikit cerita bergambar tentang perjalanan ke Singapura itu pernah diletakkan di dalam sebuah forum kegemaran saya di Internet tetapi hilang kesemuanya apabila satu bentuk gangguan menyebabkan 11 mukasurat thread "Berpetualang ke Aceh" (boleh masuk melalui link ini Forum Rawatan Alternatif... Soal-jawab Berpetualang ke Aceh... ) lenyap kesemuanya!
Ketika itu awal 2007 begitu, thread tersebut sudah masuk sekitar 120 mukasurat. Kini ia telah mencecah 324 mukasurat. Apapun, saya rasa elok juga cerita tentang perjalanan ke Singapura itu dikongsi di blogspot ini pula kerana rasanya di sebalik perjalanan itu, ada sesuatu yang perlu dirungkai... Tentang nasab salasilah diraja Jawa bercampur Bugis, ada kena-mengena pula dengan ingatan terhadap kekasih lama Mas yang saya percaya kehilangannya dari hidup saya kini diganti oleh Nur kedua! Kemudian baru boleh dilepaskan cerita tentang umrah 2005 yang setakat ini belum pernah diabadikan dalam bentuk penulisan di mana-mana!
Tak disangka, dalam celah-celah hendak menyiapkan penceritaan bahagian Pantai Timur pengembaraan post-BKA, terjadi pula perjalanan ke Negeri Sembilan bersama saudara Zaidi @ PerpatihTulus yang menyaksikan buat pertama-kalinya muncul penceritaan di blogspot ini melalui klip-klip video pula! Perjalanan yang berlaku kurang lengkap kerana tidak sempat menziarahi beberapa lokasi yang terpantul dalam hati lalu perlu disambung dan telah pun dilakukan sebulan lalu diikuti satu perjalanan ke Pulau Besar pula. Oh, di celah-celah itu juga saya sempat pergi lagi ke Perak bersama sepupu saya Nizam dan kawannya Asri.
Siri-siri perjalanan yang muncul tiba-tiba ini menyebabkan ia juga harus diceritakan di sini sebelum gerak penceritaan lain dapat disambung. Kini, baik penceritaan perjalanan ke Negeri Sembilan mahupun sambungannya, juga perjalanan ke Perak dan Pulau Besar semuanya telah selesai diceritakan di sini. Selepas ini bolehlah dimulakan proses penceritaan perjalanan tak dirancang ke Singapura penghujung 2006 sebelum saya cuba mengingati apa yang berlaku di Mekah dan Madinah pertengahan 2005 ya! Selamat malam... :]