Assalamualaikum semua! Memandangkan blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) kini sudah memiliki sejumlah 191 artikel sedangkan blogspot BERPETUALANG KE ACEH ada 262 (bersamaan 131 x 2 dan 131 adalah satu nombor favourite saya) sementara blogspot ini sendiri sudah ada 433, biar dibuat ini artikel ini untuk menjadikan jumlah 434 artikel di sini ya. Sekurang-kurangnya dapatlah melegakan hati saya yang gila nombor ini apabila ketiga-tiga blogspots sudah memiliki jumlah postings yang ada nombor simmetri (kira kanan nombor sama misalnya 252, 121 dan 474 gitu...).
Dalam pada itu, terfikir pula apa yang mahu ditulis ya. Nasib baik memang ada dan ia berkaitan projek membuat coffee-table book atau buku mewah masjid yang masih berjalan kini.
Ikutkan rancangan, sepatutnya malam tadi saya sudah berlepas ke utara Semenanjung bersama Shamsul untuk bahagian ketiga projek ini - setelah memulakan bahagian pertama ke selatan lebih sebulan lalu dan bahagian kedua di Pantai Timur dua minggu lalu. Tetapi cuaca kurang memberangsangkan sedangkan Shamsul belum mendapat kereta baru yang ingin dipandu-uji yang boleh digunakan dalam perjalanan kali ini.
Kebetulan atas sebab-sebab tertentu, pihak penerbit buku yang menggaji kami memberitahu tempoh untuk menyiapkan projek telah dipanjangkan. Lalu saya membuat keputusan biarlah perjalanan ke utara ini cuma dibuat pada satu waktu selepas cuti perayaan Hari Raya Haji yang akan datang dalam seminggu lagi. Rasanya semua pihak akan sibuk sekitar waktu itu jadi paling cepat perjalanan dapat disambung pun lebih seminggu selepas Hari Raya, itupun lebih sesuai pada hujung minggu.
Apapun, inilah rancangan perjalanan kami secara ringkas. Kami perlu melawat seraya mengambil gambar beberapa buah masjid di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Seperti perjalanan ke Pantai Timur di mana kami terus ke Kuala Terengganu sebelum ke Kelantan kemudian masuk ke Pahang dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur, perjalanan ke utara ini insyaallah akan menyaksikan kami terus menuju ke tempat yang sesuai di Perlis.
Masalahnya kami belum ada calun masjid di Perlis yang sesuai. Mungkin terpaksa agak-agak main cari sahaja apa yang nampak. Kalau sesiapa ada cadangan, sila nyatakan di ruangan komen ya. Kalau boleh biarlah tidak terlalu jauh dengan sempadan Kedah.
Kemudian baru kami ke Alor Setar untuk ke Masjid Zahir diikuti masjid lama berdekatan makam diraja di Langgar. Seterusnya ke Sungai Petani untuk melihat masjid jamek baru yang ada ciri-ciri menarik tersendiri yang boleh mengaitkan cerita dengan rekabentuk masjid di Afrika Barat sebelah Maghribi gitu sambil membuka cerita sejarah Kedah tua melalui nama masjid itu sendiri, Masjid Sultan Muzaffar Shah.
Selesai itu bolehlah kami ke Pulau Pinang untuk ke Masjid Lebuh Aceh dan Masjid Kapitan Keling sebelum bermalam di mana-mana yang sesuai. Esoknya bolehlah kami ke Perak untuk melihat masjid lama di tengah bandar Taiping kemudian Masjid Ubudiyah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar di mana cerita boleh dikaitkan dengan Perjanjian Pangkor 1874 melalui kewujudan makam Sultan Abdullah II dan makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di bahagian makam diraja Perak yang paling dekat ke masjid.
Mintak-mintaklah semua ini selesai sebelum waktu Zuhur. Harap-harap juga cuaca baik supaya kami dapat pergi ke masjid tinggal yang letaknya terpencil dalam belukar berhampiran Kampung Gajah sebelum mengakhiri sesi perjalanan ini dengan lawatan ke masjid lama Kampung Batak Rabit di Teluk Intan.
Hmm... sekianlah gerak cerita yang membentuk artikel ke 434 di sini ini ya. Memandangkan seperti disebut awal tadi sudah ada 191 artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 262 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH maka saya akan berehat daripada menulis di blogspots buat satu jangka waktu. Selamat malam! :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan