Sabtu, Mei 17, 2008

Sekitar majlis hol almarhum Ustaz Wan Saghir yang pertama...

Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan bahawa majlis hol almarhum atau ulangtahun kewafatan yang pertama bagi memperingati jasa-jasa pengkaji sejarah ulamak Melayu Nusantara yang terkenal, Ustaz Wan Saghir telah selamat diadakan di Dewan Sheikh Daud Al-Fathani dan Dewan Sheikh Ahmad al-Fathani siang tadi. Turut memeriahkan majlis ini adalah beberapa orang pembaca setia blogspot ini... Terimakasih kerana sudi datang!

Majlis berjalan lancar menurut program yang tertera. Cuma saya sampai lambat setengah jam lalu tidak sempat mengikuti majlis tahlil... Apapun alhamdulillah, saya dapat mengikuti sehingga habis 2 kertas kerja yang dibentangkan berserta syarahan oleh Ustaz Hj Ahmad Shukri Ghazali(Penyelidik Manuskrip & Khazanah Klasik) dan Ustaz Muhatir bin Hj Joll (Pensyarah di Pusat Asasi, UIA). Mereka memutar kembali usaha-usaha almarhum Ustaz dalam memartabatkan kembali para ulamak Melayu dahulukala serta kitab-kitab mereka, usaha yang dimulakannya sejak berumur 12 tahun kemudian menjangkau tempoh penyelidikan seraya merantau ke seluruh pelusuk Nusantara dalam tempoh 48 tahun!

Di sini sukacita dimaklumkan... Para peminat sejarah para ulamak lama juga kitab-kitab mereka termasuk transliterasi juga kertas-kertas kerja kajian almarhum Ustaz tentang perkembangan Islam di Nusantara dialu-alukan untuk datang ke Dewan Sheikh Daud Al-Fathani dan Dewan Sheikh Ahmad al-Fathani pada bila-bila masa waktu pejabat. Saya difahamkan tempat ini sentiasa terbuka untuk mereka yang ingin mengkaji juga sekadar yang mahu melihat.

Sesiapa yang berminat boleh hubungi Ustaz Abdul Halim (013-356 4496), Ustaz Azrul (016-352 0094), juga Ustaz Kamarulzaman (013-385 0361). Atau terus sahaja pergi ke Dewan Sheikh Daud al-Fathani dan Dewan Sheikh Ahmad al-Fathani di alamat nombor 36 & 38, Jalan Batu Geliga Satu, Taman Melewar, 68100 Batu Caves, Selangor . Sekian! :]
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan