Selasa, April 29, 2008

Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17...

Assalamualaikum semua... Biar saya lepaskan cerita ini sekarang juga sementara ada waktu... Malam ini saya merancang untuk tidur di sebuah rumah lama yang juga mungkin sebuah istana lama... Dicabut daripada Gunung Semanggol, Perak lalu didirikan balik di suatu tempat di Janda Baik, Bentong, Pahang, letaknya sekitar 7km daripada rumah Puan Ainon PTS, tempat saya sedang menulis ini. Rasanya sudah masuk setahun tidak bermalam di sana sedangkan esok pula saya harus kembali ke Kuala Lumpur... Maka biarlah diselesaikan perkara ini yang dalam luahan rasa kerohanian berdasarkan koleksi gambar-gambar di Kuala Berang ya...


Dalam artikel bertajuk Visiting old tombs in Kuala Berang... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang mengulas lawatan terbaru saya ke Kuala Berang sebulan lalu, saya sekadar menyebut makam ini sebagai pemilik orang yang bertanggungjawab menulis Batu Bersurat Terengganu. Atas rasa tanggungjawab keluarga, saya tidak dapat menceritakan di manakah lokasi sebenarnya...
Adapun dalam lawatan pertama saya menziarahi makam-makam di Terengganu pada tahun 2003, saya diberitahu bahawa makam ini (semasa itu saya ditunjukkan gambar sahaja) adalah milik Sharif Abdul Qahar, datuk kepada ulamak bertaraf wali terkenal abad ke 17 Masihi di Terengganu iaitu Tok Pulau Manis... Tetapi dalam lawatan pertengahan 2004 di mana saya akhirnya dibawa beberapa orang waris keluarga Tok Pulau Manis ke makam tersebut, baru saya diberitahu bahawa maklumat dahulu tersilap... Sebenarnya makam ini adalah milik Sharif Muhammad Al-Baghdadi, bapa kepada Sharif Abdul Qahar!
Saya pula terus tersentak... Patutlah rasa semacam... Sekitar beberapa bulan sebelum itu saya pernah masuk seorang diri ke sebuah kawasan tersembunyi yang dikatakan tempat terletaknya makam Sharif Muhammad Al-Baghdadi, orang yang dikatakan penulis Batu Bersurat Terengganu lebih 700 tahun lalu. Tetapi rasa getaran kerohanian yang ditimbul di sana tidak sekuat getaran yang timbul di makam ini!
Dan lagi di makam ini terus saya deja vu dengan terang... Terus teringat bahawa saya pernah bermimpi sampai dan duduk di makam yang serupa... Lebih menarik lagi apabila salah seorang waris yang datang kemudian bertanya semua orang: "Mahu lihat makam khadamnya?"... Terus terbetik dalam hati saya, buat apa melihat khadamnya... Pertanyaan orang ini dengan apa yang terbetik dalam hati serupa betul dengan apa yang berlaku dalam mimpi yang dimaksudkan di mana ada orang bertanya menggunakan ayat yang sama!


Dalam posting Masuk ke markas sebuah kumpulan "perjuangan akhir zaman"... Apa yang ingin dibuat di sana? di blogspot ini pula saya ada mengenengahkan gambar ini... Papan-tanda serta batu peringatan yang terdapat menyebut ia adalah makam Sheikh Muhammad Al-Baghdadi... Malah kebanyakan orang termasuk pihak berkuasa percaya inilah makam pendakwah awal ke Terengganu ini lalu tempat ini dijaga ketat oleh ahli kumpulan yang dimaksudkan dalam posting tersebut.

Saya pula telah diberitahu bahawa makam yang ini sebenarnya adalah milik Sharif Abdul Qahar, anakanda Sharif Muhammad al-Baghdadi... Biarkan orang lain terus percaya makam di atas adalah makam Sharif Muhammad... Kalau tidak, tentu makam lagi satu itu pula yang akan jadi tumpuan mereka!


Dalam perjalanan kembali ke Kuala Berang seperti ada disebut dalam cerita Visiting old tombs in Kuala Berang... , saya singgah (buat pertama kalinya) ke makam yang ditanda dengan dua batang pokok ini... Ini kerana papantanda di luar menyebutnya sebagai milik Tok Kawah... Teringat saya akan satu risalah yang diberikan kepada saya oleh waris-waris Tok Pulau Manis, menyebut akan adanya seorang pejuang dahulukala dikenali sebagai Imam Qawah, katanya daripada keluarga Sharif Muhammad Al-Baghdadi juga!



Kemudian baru saya pergi ke Kampung Pauh untuk menziarahi makam seorang lagi wali Allah, dikenali sebagai Tok Pauh. Nama sebenarnya ialah Sharif Abdullah, anak kepada Sharif Abdul Qahar... Beliau adalah bapa kepada Tok Pulau Manis.

Untuk pengetahuan di sekitar kawasan inilah Tok Pulau Manis membesar... Maka disebut orang di sinilah Tok Pulau Manis atau nama sebenarnya Sharif Abdul Malik telah menunjukkan ciri-ciri kelebihan seorang wali agung... Sejak umur 12 tahun lagi sudah mampu melipat bumi! Maka di sini biar saya copy n paste sedikit sedutan daripada buku ketiga saya, "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" ataupun BKA III, daripada bab bertajuk “Tok Pulau Manis, batu bersurat dan beberapa warisan Aceh”...

--------------------------------------

Pada satu hari tahun 2003, setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Sungai Mulia di Batu 5 1/2, Jalan Gombak, tiba-tiba Rasyid tergerak untuk berjalan kaki menuju ke pusat bandaraya Kuala Lumpur. Seperti biasa, apabila mendapat gerak atau getaran tertentu dalam hati, pemuda ini akan menurut tanpa banyak soal kerana percaya akan ada hikmahnya nanti... Dia pun berjalan tanpa henti menyusuri kesibukan Jalan Gombak sebelum masuk ke Jalan Pahang. Sampai di sebuah masjid lama berusia 70 tahun, barulah berehat setelah hampir 8km berjalan...
Kebetulan baru sahaja masuk waktu Asar. Anak muda yang sedang cuba memperbaiki diri dengan mendekati kembali agama inipun bersolat menunaikan Rukun Islam yang wajib sebelum menyambung kembali perjalanan hampir 2km lagi ke Hospital Tawakal. Di sana gerak hatinya menyuruh membelok ke kanan pula... Rasyid pun menyusuri sebuah jalan yang belum pernah dilaluinya sebelum itu, tidak ingat nama jalannya... Yang pasti, terdapat Restoran Haslam milik pengarah filem Yusuf Haslam.
Sampai ke penghujung deretan kedai kemudian perkarangan sebuah bangunan tunggal yang agak besar, terjumpa sebuah kedai cermin mata yang ada menjual buku-buku agama di satu sudut. Tergerak pula hendak singgah sebentar... Masuk sahaja ke dalam, anak muda yang sudah lama meminati bidang Tasawuf ini terus tertarik kepada sebuah buku... Terus ternampak buku ini yang terletak di tengah para walaupun terdapat banyak lagi buku serta bahan bacaan lain pelbagai rupa, warna dan saiz di situ.
Sebenarnya, ia adalah sebuah risalah photostat yang dijilid dengan kertas kuning sebagai kulit. Tidak ingat tajuk penuhnya... Yang pasti, ada tertera nama Tok Pulau Manis dengan terang di hadapan. Rasyid pernah mendengar nama ini kerana suka membaca kisah para wali. Tok Pulau Manis termasuk di dalam golongan ulamak besar di Tanah Melayu tetapi dia tidak pernah berminat untuk mengambil tahu... Baru kali ini tergerak membaca tentangnya lalu mendapat tahu wali besar Terengganu ini pernah menuntut ilmu di Aceh malah pernah berguru kepada Sheikh Abdul Rauf Singkel, seorang anak murid wali besar Aceh Sheikh Hamzah Fansuri!
Tiba-tiba tubuh seluruh tubuh-badannya bergetar. Mungkinkah ini petunjuk bagi doanya selepat solat Jumaat tadi agar disambungkan wasilah kerohanian sampai ke Aceh? Pemuda berdarah Aceh ini mula mengenali dunia Tasawuf setelah terbaca ulasan dan syair-syair Hamzah Fansuri ketika berumur 18 tahun. Mungkin di sini terletak satu ‘penyambungan’?
Rasyid mendapat tahu makam Tok Pulau Manis masih wujud di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu. Serta-merta timbul gerak serta keinginan yang kuat untuk ke Terengganu. Masalahnya dia telah berjanji akan berjumpa seseorang atas urusan tertentu hujung minggu itu... Bagaimana ini? Jiwanya sudah mula melayang ke sana sedangkan jasadnya perlu berada di Kuala Lumpur sekurang-kurangnya untuk dua hari lagi.
Lama juga dia termenung sambil bersila di sudut buku kedai cermin mata itu. Setelah berjaya meredakan perasaan yang melonjak-lonjak hendak ke Pantai Timur, pemuda inipun berjalan-jalan santai di kotaraya sebelum kembali ke pejabat tempatnya bermastautin sebulan kebelakangan. Di situlah tempat Rasyid menolong bapa angkatnya Pak Syed menyiapkan bukunya yang terbaru. Dia cuba melupakan hasrat untuk ke Terengganu dengan meneliti sambil mengedit, juga mengarang balik beberapa bab dalam buku bapa angkatnya lalu tenggelam dalam kerjanya...
Malam itu sekali lagi Rasyid dilanda dilemma... Mahu terus pergi ke Terengganu malam itu juga ataupun tidak? Perasaan untuk ke sana sudah kembali datang melonjak-lonjak... Tetapi bagaimana pula temujanji yang dibuat hujung minggu nanti? Pemuda itupun menelefon orang yang dijanji akan ditemui. Ditakdirkan Allah, tanpa dipinta orang itu pula yang membatalkannya kerana katanya ada urusan lain pula. Maka selesailah satu dilemma... Bolehlah pergi ke Terengganu malam itu juga...
Kebetulan jam dinding menunjukkan pukul 9.15 malam dan bas ke Terengganu akan bertolak jam 10 daripada Hentian Putra... Tanpa berlengah lagi, Rasyid terus mengambil beg galas yang memang telah tersedia dengan pakaian serta barang keperluan ringkas untuk mengembara lalu terus bergegas ke hentian. Malangnya semua tiket bas ke Kuala Terengganu telah habis dijual sempena hujung minggu. Bas seterusnya pula cuma akan muncul 10 pagi esok... Pemuda itu mula berkira-kira hendak ke stesyen keretapi. Mungkin sempat lagi mengejar perkhidmatan malam ke Pantai Timur? Kemudian baru teringat tidak ada keretapi melalui Terengganu...
Rasyid duduk di tengah kesesakan orang ramai menunggu ilham atau petunjuk perjalanan seterusnya. Walaupun kelihatan seperti tidak ada jalan untuknya pergi ke Terengganu malam itu juga, pemuda ini tetap yakin jika gerak hatinya kuat menyuruhnya ke sana, tentu akan muncul sesuatu cara daripada arah yang tidak disangka... Tinggal tak tahu lagi cara yang bagaimana... Apapun, bolehlah dia berehat sebentar mencuci mata. Ramai juga gadis manis putih cantik berada di hentian itu...
Masuk jam 10, satu pengumuman pun dibuat agar penumpang menaiki bas masing-masing. Kelihatan sekitar 20 buah bas beratur menunggu di sepanjang Hentian Putra termasuk bas Kota Bahru, Kelantan. Orang ramai mula mengambil tempat masing-masing. Bas-bas di hadapan yang sudah cukup penumpang mula berjalan sedangkan Rasyid masih belum mendapat jalan bagaimana mahu ke Terengganu malam itu juga...
Tiba-tiba satu pengumuman baru dibuat... Katanya ada satu lagi tiket bas ekspress untuk ke Kuala Terengganu. Hah? Betulkah ini? Tadi semua kaunter memberitahu semua tiket telah habis dijual... Tiba-tiba ada pula kekosongan... Anak muda itupun bertanya ke kaunter tiket. Memang sah ada! Akhirnya dapat juga ke sana, sampai ngam-ngam sebelum Subuh...

———————

Selesai solat di surau perhentian bas Tanjung, Kuala Terengganu Rasyid mundar-mandir di sekitar mencari orang yang boleh menunjukkan arah ke Kampung Pulau Manis. Pemuda ini segan hendak bertanya sembarangan orang kerana tidak pasti bagaimana hendak menerangkan tujuannya ke sana kalau ditanya.... Bukan semua orang faham kalau disebut tentang menziarahi makam. Takut nanti ada yang fikir dia kaki tarik nombor... Pengalaman juga mengajar, ada yang suka menyerkap jarang perbuatan menziarahi makam sebagai kerja orang syirik lagi tahyul... Tak pasal-pasal nanti dapat syarahan percuma berjela-jela tanpa dipinta!
Tak lama kemudian muncul seorang pemuda berjanggut berjambang, berseluar slack dengan kemeja lengan panjang. Nampak gaya seperti seorang pelajar insitusi pengajian tinggi yang baru sahaja turun daripada salah sebuah bas yang baru sampai dari Kuala Lumpur... Di perhentian kelihatan sekitar 6 buah bas ekspress dari kotaraya. Gerak hati Rasyid menyuruh bertanya kepadanya arah ke Kampung Pulau Manis. Seperti yang diduga, soalan pertama yang keluar daripada mulutnya adalah kenapa hendak ke sana? Apakah yang ada di kampung itu sehingga mahu pergi ke sana?
Entah kenapa, dengan pemuda ini anak kelahiran Muar, Johor itu tidak terasa janggal untuk berterus-terang mahu menziarahi makam... Boleh pula bercerita apa yang berlaku siang tadi, tentang bagaimana dia mendapat gerak untuk ke Terengganu setelah mendapat tahu Tok Pulau Manis pernah berguru di Aceh. Ternyata, pemuda tersebut, seorang pelajar UiTM Shah Alam yang baru kembali untuk bercuti mempunyai kecenderungan terhadap Tasawuf. Maka dia tidak hairan mendengar penjelasan Rasyid malah menawarkan diri untuk menghantarnya sampai ke makam kerana kampungnya sendiri tidak berapa jauh dari Pulau Manis.
“Tunggu sebentar,” katanya. Ibu bapa saya akan datang untuk mengambil saya. Abang boleh ikut kami naik kereta. Saya akan suruh mereka menghantar abang sampai ke Kampung Pulau Manis.”
Ibu bapa pemuda ini sampai tidak lama kemudian. Alhamdulillah, mereka tidak merasa pelik apabila diberitahu Rasyid hendak menziarahi makam Tok Pulau Manis... Tanpa bertanya lebih lanjut, anak kelahiran Muar, Johor itu terus dijemput menaiki kereta. Nasib baik ada mereka... Kalau tidak susah juga Rasyid kerana Kampung Pulau Manis rupa-rupanya terletak lebih 15km dari bandar Kuala Terengganu. Mereka bukan sahaja dapat menerima malah menghantarnya terus sampai ke pintu makam!
Rasyid mengambil wuduk lalu melangkah masuk bangunan utama makam yang dikelilingi banyak kubur lama. Terserlah makam Tok Pulau Manis diselubungi kain kuning kejinggaan, dikelilingi beberapa makam yang lebih kecil, nampaknya makam kaum keluarga. Di makam dan batu nesan termaktub nama sebenarnya Sheikh Abdul Malik bin Abdullah dalam tulisan Jawi. Di atas sebelah kanan terdapat papan kenyataan... Tercatit wali Allah ini mengamalkan Tariqat Shadziliah, sebuah tarikat yang tidak berapa terkenal di Nusantara tetapi tersebar luas di utara Afrika.
Kebetulan dua minggu sebelum itu Rasyid tergerak untuk membeli sebuah buku tentang Imam Abul Hassan Al-Shadzili, pengasas tariqat ini yang mempunyai nasab keturunan Rasulullah SAW dari sebelah Saidina Hassan. Buku terjemahan dari Bahasa Arab ke Bahasa Indonesia ini sangat susah untuk didapati di Malaysia tetapi dengan tidak sengaja dia terjumpa satu-satunya naskah yang terdapat di sebuah kedai buku di Masjid India.
Kaitan kuat Tok Pulau Manis dengan tariqat ini terbukti apabila beliau menjadi orang pertama menterjemahkan kitab Al-Hikam karangan Ibnu Atho’ilah, anak murid Imam Abul Hassan ke dalam bahasa Melayu. Kebetulan Rasyid ada membawa buku tentang imam yang mengandungi panduan amalan, doa dan hizibnya. Dia pun membacakannya di hadapan makam sebagai hadiah untuk roh almarhum Tok Pulau Manis...
Selesai itu, Rasyid terasa letih yang amat sangat. Dia mengambil tikar buruk di sebelah lalu berbaring, terus tertidur! Apabila terbangun sejam kemudian, kelihatan seorang tua bersongkok membersihkan makam. Ingatkan dia akan dimarahi kerana berani tidur di situ... Ternyata orang itu tidak ada masalah malah menyuruhnya berehat selama mana dia suka!
“Tidurlah... Kamu pun ada kena-mengena,” kata orang tua itu.
Katanya, dia datang hari itu, Sabtu kerana mendapat gerak ada seorang saudara jauh datang menziarahi. Kalau tidak, orang tua yang berumur sekitar 70 tahun ini akan berehat di rumahnya di Gong Badak, 30km dari situ... Dia cuma datang melawat makam dan membersihkan persekitarannya seminggu sekali, itupun pada pagi Jumaat sahaja kecuali jika ada hal penting... Setelah berbual lebih panjang, orang tua itupun mengenalkan dirinya sebagai Ayah Weng... Kemudian membuka cerita tentang asal-usul Tok Pulau Manis terutama kaitannya dengan Ahlul Bait keluarga Nabi...


Selesai menziarahi tempat-tempat yang patut, saya pun terus bergegas ke Kampung Pulau Manis yang terletak sekitar 15km daripada Kuala Terengganu... Hmm... Maghrib pun sudah masuk dan saya pula mahu melepaskan segala ini daripada dada secepat mungkin... Maka biar di copy n paste lagi sedikit sedut daripada bab bertajuk “Tok Pulau Manis, batu bersurat dan beberapa warisan Aceh” dalam BKA III...

----------------------------

Nama penuh Tok Pulau Manis ialah Sharif Abdul Malik bin Sharif Abdullah... Memakai nama Sharif yang bermaksud “Yang Mulia” kerana beliau sebenarnya adalah keturunan Rasulullah SAW dari sebelah Saidina Hassan. Malah moyangnya Sharif Muhammad Al-Baghdadi dikatakan pernah memerintah kerajaan Baghdad sebelum turun takhta dan membawa diri ke Terengganu. Menurut Ayah Weng, di sebuah surau lama iaitu Surau Putih di Pulau Duyong, Kuala Terengganu pernah tertulis bahawasanya Sharif Muhammad telah turun takhta kerajaan Baghdad kerana mengambil jalan warak... Baginda pergi ke Mekah tapi dituruti orang lalu melarikan diri ke Terengganu setelah tinggal beberapa lama di Hadramaut, Yaman.
Rasyid pernah terbaca catatan ini enam tahun lalu... Setelah tergerak untuk singgah di Pulau Duyong ketika hampir sampai ke Kuala Terengganu dalam satu pengembaraan solo bermotosikal mengelilingi Semenanjung. Lebih menarik, Sharif Muhammad al-Baghdadi dikatakan orang yang bertanggungjawab menulis Batu Bersurat Terengganu yang amat terkenal itu. Malah menurut ceritanya, baginda menulis menggunakan jari tangan, bukan tukul, pahat ataupun apa-apa alatan terus ke atas batu!
Menurut ceritanya lagi, ini berlaku setelah baginda berjaya menundukkan beberapa kerajaan penyembah berhala di bumi Timur lalu menjatuhkan hukum syariat Islam ke atas raja-raja di bawah taklukannya. Isi dan intipati hukum inipun dimaktubkan di atas batu bersurat sebagai panduan untuk mereka dalam mentadbir negara dan rakyat...
“Itulah batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang ini kemudian dimasyhurkan sebagai bukti Islam sudah sampai di Terengganu 700 tahun dahulu,” kata Ayah Weng. “Batu yang sekarang disimpan di Muzium Negeri Terengganu ini begitu diiktiraf dalam sejarah tanah Melayu sehingga cerita tentangnya diajarkan sejak dari sekolah rendah lagi.”
Mengikut sejarah rasmi yang dibaca Rasyid, tiada siapa tahu siapakah penulis batu bersurat tersebut. Sejarahwan Barat pula mengaitkannya dengan Aceh lama kerana batu itu nampaknya mempunyai pengaruh Pasai berdasarkan ciri-ciri yang terdapat padanya.Memang ada cerita menyebut Terengganu dahulukala mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan Samudera Pasai. Malah Sultan Malikus Salih yang mengasaskan kerajaan lama di bumi Aceh itu dikatakan pernah datang ke Terengganu bersama Sheikh Ismail yang makamnya di Pulau Besar, Melaka kerana mereka mempunyai hubungan rapat dengan Sharif Muhammad Al-Baghdadi!

------------------------------------

Saya rasa tidak perlulah lagi memanjangkan cerita ini... Cukup saya akhiri artikel ini dengan sedutan penutup daripada bab “Tok Pulau Manis, batu bersurat dan beberapa warisan Aceh”, sedutan yang merupakan kata-kata aluan dan pembuka cerita dalam risalah yang diberikan kepada saya oleh waris Tok Pulau Manis 5 tahun lalu...

------------------------

Segala puji-pujian itu bagi Allah, Tuhan semesta alam.. Selawat dan salam ke atas Rasulullah Salallahualaihiwassalam dan Ahlil Baitnya, Saidina Abu Bakar dan Khalifah-khalifah Rasulullah, Saidina Ali Karamallahuwajha, Saiditina Fatimah Al-Zahrah, Al-Hassan, Al-Hussein dan Salman Al-Farisi.
Menjunjung kemuliaan Khalifah-khalifahmu Paduka Sharif Muhammad dan Paduka Sharif Al-Kubra Sheikh Sharif Abdul Malik Tok Pulau Manis, kedua-dua kota sucimu di kawasan Timur jauh. Dan kami bermohon bergantung padaMu dan berwasilah kepada Rasulullah SAW kepadaMu. Adapun kemudian daripada itu, kami berlindung kepadaMu Ya Allah akan pena yang derhaka dan pendustaan dan mengada-adakan sesuatu daripada sesuatu untuk maksud sesuatu.
Kami mohon ditonton oleh umat akan kehadiran keturunan Rasulullah SAW yang disebutkan menjadi khalifah ke seluruh dunia dan setelah gagal dibatalkan oleh Bani Umaiyah dan kaum-kaum Wahabi dan kaum-kaum Ahli Kitab Al-Fasik, Yahudi dan Nasrani dan kaum-kaum derhaka dan ahli siasat dan ahli muslihat…


Sekian, wassalam...

p/s: Alhamdulillah... Settle! Insyaallah nanti akan saya buat pula sebuah artikel tentang kaum keluarga Tokku Paloh, wali agung Terengganu abad ke 19 pula... Walaupun zaman Tok Pulau Manis dengan Tokku Paloh berbeza lebih 200 tahun, menurut sirah kerohanian mereka pernah bertemu di mana Tok Pulau Manis telah menyerahkan kepimpinan kewaliannya kepada Tokku Paloh! Selamat ya...

26 ulasan:

  1. Salam,

    Sekadar luahan rasa...

    Namamu baru ku kenali
    Susur galurmu baru ku jejaki
    Entah berapa lama harus ku menanti
    Wasilah mu akan ku turuti

    Setelah hampir 3 tahun
    "Kau" memberi isyarat kepada ku
    Tapi ku tidak sedari
    Sungguh alpanya diri ini

    Kini aku mula bergelora lagi
    Mencari empunya diri
    Mencari identiti mu belum cukup lagi
    Akhirnya aku lelah kembali

    Ya Allah! Bantulah hambaMu
    Mencari Wasilah Kerohanian Diri
    Jangan biarkan hambaMu tergapai
    Tanpa pegangan

    Wahai Nendaku....

    Bagaimana dan di mana harus ku mulai
    Bantulah cucunda yg sepi ini
    Kini diriku tiada beribu dan berbapa lagi
    Hanya mohon berkat doa Nenda jua
    Dan Allah jua

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas catatan..adakah ada senarai wali2 di malaysia..

    BalasPadam
  3. Senarai rasanya takda. Tapi boleh lihat ini... http://merahsilu.blogspot.com/2009/12/berkenaan-7-wali-melayu-dan-lawatan-ke.html

    BalasPadam
  4. kalau bertandang di Kuala Terengganu, sila ke Muzium Negeri, di sebelah kiri pintu keluar muzium negeri ada satu kubur lama, lebih kurang 200-300 tahun. Dlm muzium katanya kubur Tok Naggor, tok saudagar. Katanya Syed Musa. mohon tolong share jika ada maklumat tentang ini.

    BalasPadam
  5. Tok Pulau Manis adalah ulama yang mengulas/syarah kitab Hikam Ibnu Ataillah Askandari...

    BalasPadam
  6. Salam...saya adalah merupakan cicit kepada tok pulau manis...arwah atuk saya telah menetap d Sabah setelah kapal yg d naikinya karam sewaktu menjlnkn tugas sultan untuk menghantar bunga emas...tp tiada siapa yg tahu keturunan Kmi..semasa umur saya 8thun ayah sya mengambil keputusan untuk ke Terengganu dan mencari keturunannya akhirnya bertemu dgn keterunan yg sma dgn mudah sekali atas ketentuan Allah swt..akhirnya Kmi boleh masuk ke makam dn sembahyang di dalamnya...tp sampai sekarang Tiada siapa yang menyatukan kami dan rasanya keluarga di Terengganu tidak pernah tahu Kmi ni wujud..huhuuu

    BalasPadam
  7. sharif muhammad al-bagdadi mempunyai seorang adik beradik perempuan yg dikatakan berkahwin dengan sunan kalijaga...

    BalasPadam
  8. Salam Wan Suraya. Insyallah saya kenal dengan waris Tokku Pulau Manis. Ada e mail add untuk berhubung.

    BalasPadam
  9. wan_kimodo@yahoo.com...ini email saya

    BalasPadam
  10. Assalam..
    saye nak buat kajian tentang Tok PulAU Manis..
    boleh saye tahu siape keturunan beliau yang boleh saye temu bual,
    kalau boleh, share kan alamat keturunan beliau, terima kasih..

    BalasPadam
  11. Saya mohon pencerahan adakah benar Muhammad Jalalullah anak kpd Sarif Muhammad Al Bagdadi. Saya sedang menyusuli salasilah saya. Tkasih

    BalasPadam
  12. Dan bersalasilah kpd keluarga kg paloh k terengganu

    BalasPadam
  13. Adik sarif muhammad siti zainab berkahwin dgn sunan kalijaga

    BalasPadam
  14. Adik beradik sarif muhammad@ sarif nurullah ialah sarif hidayatullah dan maulana abul muzafar

    BalasPadam
  15. Sarif hidayatullah adalh pengasas sultan banten indonesia n maulana abul muzaffar bersalasilah sultan kelantan n keturunan nik

    BalasPadam
  16. kalau boleh sy tahu..
    Sharif Muhammad Al Baghdadi ada berapa orang anak (adik-beradik Sharif Abdul Qahar)?

    sy sedang menyusun salasilah keluarga..
    sbb dikatakn moyang kepada keluarga mertua sy adalah sepupu kepada Sharif Abdullah..

    terima kasih

    BalasPadam
  17. Salam, sebuah penulisan yang bagus sebagai pencerahan tentang tokku pulau manis. Boleh saya tahu sumber tuan mendapatkan maklumat maklumat berkaitan tokku pulau manis untuk dijadikan sebagai rujukan?

    BalasPadam
  18. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  19. alhamduillah. saya dah sampai ke maqam tok pulau manis. di bawa oleh waris tok syed tok ku paloh.

    BalasPadam
  20. Ambo x sapa lg makam tuk pulau manis keturune dio ghama KT kelantan

    BalasPadam
  21. Salam, makam Moyang saya Che Muda bin Hj Jusoh sebelah makam Tok Ku Pulau Manis

    BalasPadam
  22. Bismillahir Rohmanir Rohiim

    Sekadar cadangan bagi yg berminat mengkaji.

    Tajuk: Kesultanan Terengganu Adalah Pewaris Kerajaan Bani Abbasiyah

    Syarif Muhammad Al-Baghdadi
    berkemungkinan besar adalah Sultan Al-Muhammad Al-Mutawakkil III, Sultan terakhir Bani Abbassiah yang berpusat di Mesir setelah tumbangnya Bani Abassiah Baghdad di tangan
    Mongol.

    Dalam catatan sejarah Sultan
    Muhammmad telah menyerahkan kerajaannya kepada Sultan Selim 1 dari Turki yg telah mendirikan kerajaan Usmaniyah.

    Setelah beliau menyerahkan barang kebesaran kerajaan Abbassiyah (pedang dan jubah Rasulullah) beliau telah berhijrah dari Cairo / Kaherah ke Madinah dan ke Yaman. Tetapi beliau masih tetap diburu justru membawa diri ke nusantara. Kemungkinan tidak semua barang kebesaran diberikan kepada Sultan Selim.

    Dikatakan barang yg diserahkan adalah barang2 milik Rasulullah sebagai lambang kerajaan Islam. Pedang-pedang dan barang Rasulullah kini dipamerkan di muzium Turki.

    Kenapa beliau memakai Sharif dan Al-Baghdadi.

    Yang jelasnya kesultanan Abasiah di mesir adalah berasal dari pusat pemerintahan bani abasiyah di baghdad. Jadi gelaran Al-Baghdadi digunakan untuk menunjukkan bhwa beliau adalah keturunan kesultanan di Baghdad.

    Sharif?

    Bani abasiyah adalah ahlul bayt dari keturunan Saidina Abbas. Namun hubungan bani abbassiyah dgn ahlul bayt keturunan saidina Ali adalah tidak baik.
    Rekod sejarah menunjukkan Al-Makmun pernah cuba menaikkan keturunan
    ahlul bayt dari keturunan Saidina Ali tetapi mendapat bantahan dari bani abbasiyah.
    Ini kerana pada waktu itu
    ahlul bayt saidina Ali mendapat
    dukungan dari puak Syiah.

    Tetapi sewaktu Bani Abbassiyah Mesir, bapa Al-Sultan Hakim 1 iaitu Abu Bakr Ali Al-Hassan adalah keturunan Hasan dan berkemungkinan adalah dari ibu
    ayahnya.

    Bagi keturunan Saidina Hasan, Sharif digunakan manakala bagi keturunan Saidina Hussein menggunakan Syed/Sayyid.

    Bendera Terengganu berwarna HITAM?

    Maka terjawablah kenapa bendera Terengganu berwarna hitam dan kenapa pendekar di Tanah Melayu memakai serba hitam.

    Warna rasmi bani abbasiyah adalah warna hitam.

    Al-makmun pernah cuba memakai warna hijau iaitu warna Ahlul bayt keturunan saidina Ali.
    Namun hal ini dibantah oleh bani abbassiyah kerana faktor bahawa keturunan Saidina Ali mendapat dukungan kuat dari puak syiah yg berniat menyelusup ke dalam pemerintahan bani abbasiyah.

    Justru warna pakaian hitam pendekar-pendekar tanah Melayu menunjukkan bahawa kita adalah tentera abbasiyah di nusantara dan terdapatnya hubungan diplomatik dengan kerajaan bani abbasiyah sebelum kerajaan usmaniyah di turki.

    Jika kita masih ingat, Tokku Pulau Manis pernah menikahkan anaknya dengan Tun Jenal.
    Maka mengalirlah darah ahli bayt dari keturunan bani abbassiyah dan keturunan saidina hasan di dalam kesultanan terengganu.

    Sultan Muhammad dikatakan wafat pd tahun 1540an tetapi As-Suyuthi tidak merekodkan pengakhiran riwayat hidupnya.

    Untuk maklumat mengenai Sultan Muhammad Al-Mutawakkil III boleh lawati link di bawah :

    https://www.mahadalyjakarta.com/al-mutawakkil-iii-pembela-ahlu-sunnah/

    https://id.m.wikipedia.org/wiki/Al-Mutawakkil_III

    Semoga tulisan ini membantu kajian tuan dan menjawab kekeliruan yg telah timbul selama ini.

    BalasPadam
  23. Ada tak penceritaan tok ku pulau manis / tok ku paloh dgn tok pelam (makam di kg ladang tu).
    Sama ada belajar bersama ke/ ada tulis buku agama ke ke atau apa2 la yg sezaman dengan tok pelam.

    BalasPadam