Sabtu, Januari 26, 2008

Sekali lagi, salam daripada Sungai Siput!


Ya, begitulah tajuknya... Sekali lagi salam daripada Sungai Siput di negeri Perak Darul Rizuan! Sememangnya saya merancang untuk bermalam lagi di sini tetapi di rumah seorang rakan lain pula. Sebaliknya saya bermalam lagi di rumah saudara Syahir yang terletak di jalan di belakang bukit berbentuk unik seperti kelihatan di dalam gambar atas.
Hmm... Sebelum menyambung celoteh, sukacita dimaklumkan saya telah menunaikan satu hasrat yang ada dinyatakan dalam posting bertajuk Kamera short-curcuit di Makam Daeng Parani dan 2 insan bernama Badrul... yang dibuat Selasa lepas. Iaitu, insyaallah saya akan memaparkan gambar-gambar sebuah masjid unik yang ditemui ketika mencari Makam Daeng Parani... Sekarang sudah siap, ada di dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dengan tajuk Masjid unik di (Unique mosque at) Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah... . Saya juga telah memulakan proses penyambungan cerita perjalanan di Johor dengan membuat artikel bertajuk Historic Kota Tinggi, once the seat of the Johor Empire... di dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH .
OK. Hari pun sudah larut malam sedangkan saya amat penat. Biar saya buat outline perjalanan hari ini ya...
Pagi sekitar jam 11, Sungai Siput ke Ipoh. Sempat singgah di Muzium Perak kemudian pergi berjumpa Badrul di hadapan Masjid Negeri Perak untuk mengambil payung tertinggal di dalam kereta... Kemudian kami makan tengahari di medan makan bersebelahan masjid.
Dengan menurut gerak hati yang tiba-tiba memanggil saya berjalan ke satu arah, saya berpecah dengan kawan-kawan lalu berjalan kaki sampai ke Masjid Panglima Kinta sebelum menumpang orang pergi ke Masjid Paloh... Sempat melawat makam-makam di sana sebelum berjalan kaki kembali ke Masjid Negeri untuk menunaikan solat Jumaat.
Hmm... Beginilah, dipendekkan cerita selepas itu saya dan saudara Syahir pergi ke Gopeng terus ke Kota Bahru dan Kuala Teja. Kemudian Malim Nawar, Tanjung Tualang terus ke Kampung Gajah... Seterusnya Lambor Kanan, Bota Kanan, Beruas, berjalan ikut Manong ke Kuala Kangsar kemudian Kota Lama Kanan sebelum kembali ke Sungai Siput sekitar jam 10 malam.
Kami sempat menziarahi makam 10 orang Sultan iaitu (menurut turutan lawatan) Sultan Alauddin Mughayat Shah (Sultan Perak ke 12, memerintah 1720-1728), Sultan Mahmud Iskandar (Sultan ke 11, 1653-1720), Sultan Mahmud Shah (Sultan ke 8, 1627-1630), Sultan Muhammad Shah (ke 14, 1742-1743), Sultan Muzaffar Shah I (pertama, 1528-1549), Sultan Muzaffar Shah II (ke 10, 1636-1653), Sultan Alauddin Shah (ke 5, 1594-1603), Sultan Ahmaduddin Shah (ke 18, 1786-1806), Sultan Muzaffar Shah III (ke 13, 1728-1752) dan Sultan Mansur Shah (ke 2, 1549-1577)... Kami juga sempat melawat makam-makam kerabat diraja dan para pembesar seperti Marhum Teja Raja Bendahara Alang Iskandar, Megat Terawis, Tengku Syed Ja'afar dan Syed Hussin Yamani serta beberapa buah masjid termasuk Masjid Kampung Kota (Beruas), Masjid Ridzuan (Kuala Kangsar) dan Masjid Kota Lama Kanan.
Rasanya cukuplah ini untuk memberi gambaran akan betapa jauh kami jalan-jalan cari makam sehingga kepenatan... Sekian, selamat malam!

1 ulasan:

  1. Salam.

    Fuhh memang penat tu. Saya biasa lalu jalan2 tu. Kalau masuk pula ke makam2 tu semua lagi la jauh, kena masuk jalan2 kecil dan pinggir hutan tu...

    Mesti banyak yang menarik tu. Ada apa yang menarik di Kota Bharu? Tempat moyang saya tu. Kawasan Lembah Kinta banyak tanah jadi lombong tinggal. Kampungnya terpisah-pisah & x ramai orang. Tapi pelik kawasan perkuburannya penuh & nampak begitu tua. Agaknya dulu ramai orang tapi dah ramai pindah sebab jual tanah untuk perlombongan...

    Boleh tau, jejak siapa yang dicari di Lembah Kinta?

    Selamat meneruskan perjalanan. Semoga dilindungi Allah sentiasa... Amin

    BalasPadam