Khamis, Mac 15, 2007

Laksamana pulang ke Perak: Menyusuri cerita lama Muar

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Memandangkan sudah masuk 15 Mac maka saya rasa sesuailah jika segmen ke 5 "Laksamana pulang ke Perak" yang diterbitkan untuk akhbar tabloid Kencana edisi ke 114, Mac 1-15 turut dikongsi bersama di sini. Untuk pengetahuan, cerita yang diletakkan di sini adalah dokumen asal. Maka ada sedikit perbezaan dengan cerita yang keluar dalam Kencana kerana di sana, tuan pengarang perlu membuat sedikit perubahan bersesuaian dengan ruang yang boleh dipakai serta polisi akhbar. Silakan membaca...


Mukadimah

Kitab Sulalatus Salatin ataupun Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor abad ke 17, Tun Sri Lanang ada menyebut, sebelum Raja Iskandar (dikenali Barat sebagai Parameswara) membuka kerajaan Melaka yang berpusat di Sungai Bertam (sekarang dikenali sebagai Sungai Melaka), baginda telah cuba membuka negeri di Muar terlebih dahulu. Menurut ceritanya, ini berlaku sejurus selepas kerajaan Singapura pimpinan baginda jatuh diserang Majapahit. Lalu larilah raja ini menghala ke utara dengan para pengikutnya untuk mencari tempat baru yang boleh dijadikan negeri.

Sampai ke suatu tempat di pinggir Sungai Muar, Raja Iskandar pun berhenti berjalan lalu cuba membina penempatan baru. Malangnya tempat itu selalu dinaiki biawak, bukan seekor dua tapi berpuluh sehingga beratus ekor! Mula-mula binatang-binatang ini dapat dibunuh tapi keesokannya datang sekawan besar biawak baru lalu dibunuh lagi. Ini berlaku beberapa hari seterusnya sehingga jadi bertimbun-timbun bangkai biawak yang membusuk. Baginda dan para pengikutnya tidak tahan lagi lalu meninggalkan tempat itu. Sebab itu kawasan ini dikenali sebagai Biawak Busuk.

Sang raja pun mudik lebih jauh menyusuri Sungai Muar sehingga terjumpa tempat baru yang dirasakan sesuai untuk dibuat negeri. Setelah berpenat-lelah membuka hutan sekitar, rakyat baginda berjaya membina sebuah kota. Nampaknya lokasi ini lebih baik daripada tempat sebelumnya, rupa-rupa tak juga… Mereka cuma sempat bermalam satu hari sahaja. Keesokannya, kota yang dibina bertukar menjadi buruk , tidak tahulah kenapa. Maka tempat itupun dikenali sebagai Kota Buruk sementara Raja Iskandar pula terpaksa mengembara lagi untuk mencari negeri.

Setelah berjalan lama, sampailah mereka ke tepi Sungai Bertam. Di situlah berlaku peristiwa yang terkenal dalam cerita pembukaan negeri Melaka iaitu anjing pemburu baginda ditendang seekor pelanduk yang berani sehingga anjing itu terjatuh ke dalam sungai! Kebetulan ini berlaku ketika sang raja sedang berehat di bawah pokok Melaka. Mengikut ceritanya, sempena peristiwa itulah, Raja Iskandar terasa tempat itu elok dibuat negeri, maka diberi nama Melaka.

Cerita mengenai pembukaan negeri Melaka ini boleh dikatakan sangat terkenal sehingga diketahui kebanyakan rakyat Malaysia yang sedikit peka terhadap sejarah negara. Berapa ramai yang sedar, sebelum itu baginda telah dua kali cuba membuka negeri di Muar tetapi gagal?

Dari satu segi, memang Raja Iskandar telah ditakdirkan untuk membuka negeri di Melaka, sebab itu baginda menghadapi masalah biawak busuk dan kota buruk terlebih dahulu. Tetapi daripada segi lain, kenapa pula seorang raja yang dikatakan berdaulat tinggi, keturunan Raja Iskandar Zulkarnain yang turun ke Bukit Siguntang boleh kecundang di Muar? Apakah ada yang tersirat di sebalik ini?


Istirehat sejenak di kampung halaman

Ketika memulakan segmen kali ini, penulis baru seminggu selesai mengharungi pengembaraan secara solo di utara tanah air setelah lebih 2 tahun tidak menjejakkan kaki ke sana. Pengembaraan yang meliputi lokasi-lokasi tertentu di Pulau Pinang, Kedah, Perlis juga Pulau Langkawi selama tiga minggu dengan menaiki kenderaan awam, hitch-hike dan berjalan kaki (sempat mendaki Gunung Jerai seorang diri pada satu malam Jumaat) begitu memenatkan zahir dan batin sehingga terasa hendak menulis satu perenggan pun begitu payah… Terlalu banyak yang berlaku menyebabkan penulis harus menilai kembali pegangan dan arah tujuan hidup selama ini.

Pengembaraan ke utara itupun sebenarnya cuma separuh daripada gerak pengembaraan yang bermula pertengahan Disember 2006 dengan perjalanan ke Pantai Timur. Seorang sepupu mahu melangsungkan perkahwinan di Kuala Terengganu lalu penulis pun terpanggil untuk ke sana. Memandangkan kali terakhir berada di sana adalah ketika pemerintahan Terengganu bertukar tangan pada pilihanraya 2004, elok juga digunakan peluang ini menjelajah Kelantan sekali. Maka jadilah perjalanan dua minggu meliputi Terengganu, Kelantan juga sebahagian Pahang sekali.

Gerak pengembaraan ini disusuli pula dengan perjalanan kembali ke Muar untuk menyambut Aidil Adha, sempat melihat sedikit kesan peninggalan banjir besar Johor di kawasan Pagoh lalu bermalam di masjid bersebelahan makam Sultan Alauddin Riayat Shah Melaka. Kemudian perjalanan diteruskan ke Pulau Besar, Melaka setelah setahun tidak ke sana. Selesai ini barulah berjalan ke utara…

Dalam siri pengembaraan ini penulis mula terasa kesan umur yang semakin meningkat menghampiri 40… Dari segi zahir, kekuatan itu masih ada walaupun selalu diserang demam akibat penat berjalan, kurang berehat serta perubahan cuaca… Sempat juga diserang begok sehingga pipi sebelah kanan membengkak seperti telur semasa di Kelantan. Yang paling terasa apabila memikirkan arah tujuan hidup… Sampai bila harus mengembara begini? Bilalah mahu mendapat rasa istirehat lalu dapat hidup secara “normal” seperti orang lain. Bukan senang hendak mengekang “penyakit” kuat mengembara bila ia datang… Kalau tidak diendahkan, terasa panas punggung dan jiwa resah gelisah sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur. Mahu buat kerja seperti menulis di ruangan ini pun terasa sangat susah…

Akhirnya, apabila beban penat zahir dan batin sudah rasa tidak tertanggung lagi, penulis kembali sekali lagi ke kampung ibunda di Muar untuk menemui ayahanda dan bonda.

Setelah meluahkan segala rasa yang terbit sepanjang perjalanan di utara itu, baru terasa lega dan boleh menyambung sedikit penulisan ini, itupun tersangkut beberapa hari lagi setelah kembali ke Kuala Lumpur.

Oh… Semasa di Muar, penulis sempat merasa lagi Mee Bandung Muar yang agak terkenal juga hidangan nasi beringin di sebelah stesyen bas. Ketika berjalan di bandar sambil menghirup nostalgia lama zaman kanak-kanak, terjumpa pula apek menjual air tebu yang biasa berniaga di satu sudut jalan… Sama keadaannya seperti 20 tahun lalu dan air tebu itu masih murah harganya, cuma 60 sen segelas.

Di kawasan kampung pula, penulis sempat menaiki Bukit Treh, satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5 km dari bandar Muar. Menurut cerita tempatan, bukit ini ialah sebuah kapal yang disumpah dan ceritanya sama seperti cerita Si Tanggang yang derhaka terhadap ibu-bapanya. Tapi biar cerita ini disimpan untuk keluaran seterusnya. Di sini, biar diceritakan sedikit keistimewaan Muar untuk dikongsi bersama…


Muar bukan calang-calang tempat

Bandar Muar yang merupakan bandar kedua terbesar di Johor, selepas ibunegeri iaitu Johor Bahru, juga dikenali sebagai Bandar Maharani. Nama ini diberi oleh Maharaja Abu Bakar apabila bekas Temenggung itu membukanya secara rasmi tahun 1877… Sempena gelaran Maharani yang dipakai oleh permaisurinya ketika itu.

Untuk makluman, Maharaja Abu Bakar asalnya mewarisi gelaran Temenggung Sri Maharaja daripada bapanya Temenggung Ibrahim. Keluarga Temenggung berpusat di Teluk Belanga, Singapura tetapi berkuasa ke atas sebahagian besar Johor seperti yang dikenali sekarang.

Keadaan semasa yang menyaksikan bekas empayar Johor-Riau dipecah-belahkan penjajah Barat iaitu Inggeris dan Belanda telah memberi peluang kepada beberapa orang pembesar mengangkat diri sebagai raja. Dalam kekalutan inilah Temenggung Abu Bakar mula memakai gelaran Maharaja , kemudian dinobatkan sebagai Sultan lalu dikenali sebagai Bapa Johor Moden. Anak cucu baginda terus berkuasa ke atas Johor sehingga kini. Sultan sekarang ialah Sultan Mahmud Iskandar bin Sultan Ismail bin Sultan Ibrahim bin Sultan @ Maharaja @ Temenggung Abu Bakar.

Tempoh masa yang sama juga menyaksikan Bendahara Wan Ahmad mengangkat diri sebagai Sultan yang menerbitkan kerabat diraja Pahang sekarang. Menarik juga memikirkan hal ini apabila terkenang kedudukan geografi Muar yang terletak antara Pahang dan Johor, kedua-duanya adalah pecahan daripada empayar Melaka yang jajahan takluknya diwarisi empayar Johor-Riau. Lebih menarik lagi, Muar sudah lama dikenali zaman berzaman sebagai tempat jalan pintas daripada Melaka ke Pahang, melalui Sungai Muar mudik ke hulu sampai ke tempat bernama Jalan Penarikan di mana perahu boleh ditarik dalam 300-400 meter untuk masuk ke Sungai Serting seterusnya Sungai Pahang.

Dalam keluaran lepas, kita telah menyentuh akan peranan Muar dalam iklim sosio-politik empayar Melaka dahulukala. Telah dinyatakan, di sekitar pasar Muar terdapat bekas Kubu Bentayan yang dikatakan tempat pertahanan terakhir keSultanan Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis tahun 1511. Ketika itu, Sultan Ahmad ibni Sultan Mahmud mengetuai ketumbukan pahlawan Melayu di sana sementara Sultan Mahmud berkubu di Pagoh. Kekalahan mereka menyaksikan kedua-duanya lari ke Pahang melalui jalan penarikan di mana mereka berlindung di bawah naungan kaum kerabat mereka juga tetapi daripada keturunan Sultan Muhammad Shah ibni Sultan Mansur Shah Melaka.

Sultan Muhammad telah dibuang daripada takhta Melaka tetapi diberi kekuasaan ke atas Pahang, Ini berlaku akibatnya membunuh anak Bendahara yang secara tidak sengaja telah menyepak bola-raga sehingga terkena kepala Sultan yang ketika itu merupakan putera mahkota Melaka.

Apapun, Muar telah lebih dahulu berperanan dalam sejarah Melayu sebelum Melaka. Maka itu penulisan ini dimulakan dengan cerita Raja Iskandar yang telah dua kali cuba membuka Muar tetapi gagal dan kemudian baru mengasaskan kerajaan Melaka.

Sebenarnya Muar telah lama terkenal dalam sejarah dunia, salah satunya melalui catatan pengkaji Barat seperti Ptolemy, seorang pendita Yunani yang berpengkalan di Mesir sekitar abad ke 2 Sebelum Masihi. Dalam catatannya mengenai Golden Chersonese atau Semenanjung Emas (dikatakan Semenanjung Tanah Melayu ini!). Ptolemy menyebut tentang kewujudan Mount Ophir atau Gunung Ophir yang disamakan dengan Gunung Ledang kerana dikatakan di situ kononnya terdapat banyak emas. Malah ada yang kata ia mengandungi gedung perbendaharaan Nabi atau Raja Sulaiman AS!

Cerita Puteri Gunung Ledang pula sangat terkenal di kalangan orang Melayu sehingga timbul cerita sang puteri yang cantik rupawan digilai Sultan Melaka. Sekarang biar kita meneroka pula satu lagi aspek lama Muar, kali ini melibatkan satu cerita lama yang dikenali sebagai Hikayat Malim Deman.


Hikayat Malim Deman: Realiti atau fantasi?

Maka Tuan Puteri Bongsu pun naik bersalin kain basahan, duduk di pintu Nenek Kebayan dengan percintaannya. Maka Nenek Kebayan pun turunlah ke tanah mendapatkan Malim Deman, menyuruh bersiram membalikkan rupa sedia kala itu. Maka Tuanku Malim Deman pun berangkatlah bersiram ke dalam taman itu beryang-yang mengamalkan sekalian ilmu hikmat. Setelah sudah, kembalilah rupanya seperti sedia kala, terlalu elok mejelisnya, lalu kembali ke rumah Nenek Kebayan, serta dipakainya baju layang dan kain layang Tuan Puteri Bongsu itu melalui dari pintu nenek yang tempat tuan puteri.

Demi terpandang oleh Tuan Puteri Bongsu akan seorang laki-laki terlalu elok mejelisnya itu, maka berdebarlah hati tuan puteri, melayang roh semangatnya, jatuhlah hatinya kasih sayang yang tiada dapat diperikan lagi, melihatkan rupa cahaya gilang-gemilang itu. Maka tuan puteri pun segeralah menarik tudung ke atas hulunya berselubung mukanya lalu baring seraya bersabda memanggil Nenek Kebayan. “Aduhai nenek, kepala beta sangatlah ngilu rasanya: “Pening kepala bagai dibaji, Sakit hati bagai digunting.”

Maka Nenek Kebayan pun masuklah ke dalam bilik itu mendapatkan tuan puteri, memicit hulunya, mengurut-urut seluruh tubuhnya. Maka sabda Tuan Puteri Bongsu, “Orang mana itu, nenek, yang terlalu amat elok itu, gilang- gemilang cahaya mukanya?”

Maka sahut Nenek Kebayan dengan perlahan-lahan suaranya, “Wahai cunda tuan puteri, itulah yang bernama Tuanku Malim Deman, putera Tuanku Malim Dewa, cucu Tuanku Malim Perman yang memerintah di negeri Bandar Muar ini!”



Mereka yang pernah mengikuti pengajian sastera Tingkatan 6 mesti pernah terbaca sedutan ini. Untuk makluman, ia adalah sebahagian daripada cerita di dalam Hikayat Malim Deman, sebuah hikayat Melayu lama yang agak terkenal suatu masa dahulu, pernah menjadi salah sebuah teks wajib untuk para pelajar di sekolah menengah.

Kisah yang tertera ini menceritakan tentang pertemuan Tuanku Malim Deman dengan bakal isterinya, Puteri Bongsu yang berlaku di rumah Nenek Kebayan. Ia dikatakan berlaku suatu masa dahulu ni negeri Bandar Muar, cuma kewujudan watak-watak seperti Puteri Bongsu yang turun daripada kayangan serta Nenek Kebayan yang sering menghiasi cerita dongeng Melayu menyebabkan Hikayat Malim Deman dianggap tidak lebih daripada sebuah kisah penglipur lara yang direka sebagai hiburan istana.

Apapun penulis ada sebab tersendiri untuk mempercayai kerajaan Bandar Muar dan watak Malim Deman ini wujud secara realiti. Cuma mungkin cerita itu ada tokok-tambah sehingga mengandungi unsur-unsur mistik… Atau segala unsur mistik ini sebenarnya adalah realiti harian dunia suatu zaman dahulu? Sila ikuti huraian dalam tajuk berkenaan..


Dari Aceh ke Muar: Apakah Malim Dewa dan Malim Deman berasal dari kerajaan Perlak?

Hikayat Malim Deman mengisahkan pengembaraan hidup Tuanku Malim Deman sebelum menjadi raja yang betul-betul prihatin akan nasib rakyat kerajaan Bandar Muar. Ia bermula apabila putera kepada raja bernama Tuanku Malim Dewa itu mendapat mimpi bertemu seorang wali Allah yang menyuruhnya pergi mencari isteri di Ulu Muar. Di sana, di rumah Nenek Kebayan, Malim Deman telah bertemu lalu berkahwin dengan Puteri Bongsu yang dikatakan turun dari kayangan.

Setelah berkahwin, Malim Deman mula leka menyabung ayam dan melayan gundik. Lalu Puteri Bongsu yang sempat melahirkan seorang putera merajuk dan kembali ke kayangan di mana sang puteri disunting pula oleh seorang anak raja di sana.

Malim Deman menyedari kesilapannya mengabaikan anak dan isteri lalu pergi menyusul mencari kedua-duanya. Dalam perjalanan itu baginda melalui pelbagai dugaan malah di kayangan sempat bergaduh lalu membunuh anak raja kayangan yang ingin merampas isterinya sebelum mereka dapat kembali bersama sebagai keluarga.

Memang terdapat banyak unsur mistik dalam cerita ini sedangkan catatan rasmi sejarah kerajaan-kerajaan Melayu yang diketahui ramai tidak pernah menyebut tentang kewujudan mana-mana keSultanan di Muar dahulukala. Maka itu cukup senang untuk orang sekarang menghukum cerita-cerita ini sebagai dogengan dan khayalan semata-mata. Tetapi tahukah anda terdapat catatan yang menyebut tentang kewujudun kerajaan Islam di Muar sekitar abad ke 12hingga 13 Masihi? Cuma ia diragui kerana  berasal daripada sejarah lisan mengenai raja-raja Batak yang mana ada disebut Sultan Malikul Mansur daripada kerajaan Samudera-Pasai pernah mengahwini puteri daripada keSultanan Muar. Cerita yang dijadikan buku ini lebih berpusat kepada hal seorang pembesar Sumatera abad ke 19 bernama Tuanku Rao. Namun isinya disanggah oleh Profesor Hamka.

Samada cerita ini boleh dibuktikan secara akademik atau tidak, biar ditolak ke tepi sejenak. Penulis agak tertarik dengan pernyataan yang menyebut bahawa sekitar abad ke 12 Masihi, satu rombongan telah membawa diri daripada Bandar Khalifah, ibunegara Perlak (dalam Aceh sekarang) lalu mendirikan sebuah keSultanan Muar.

Sejarah rasmi mencatatkan sudah wujud keSultanan Islam di Perlak sejak tahun 840 Masihi malah diterajui anak cucu Nabi Muhammad SAW. Ini berlaku setelah kedatangan rombongan 100 orang pendakwah dari Timur Tengah yang dikatakan melarikan diri daripada buruan setelah gagal memberontak terhadap kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad.

Rombongan yang diketuai seseorang yang cuma dikenali sebagai Nakhoda Khalifah ini datang tahun 804 Masihi lalu diterima baik penduduk setempat. Perlak ketika itu diperintah seorang raja bernama Merah Syahir Nuwi. Seorang ahli rombongan bernama Ali bin Muhammad bin Jaafar as-Sadiq yang merupakan keturunan Rasulullah SAW telah dikahwinkan dengan adinda kepada Merah Syahir Nuwi. Apabila Merah Syahir Nuwi mangkat, anak yang terbit daripada perkahwinan inipun diangkat menaiki takhta dengan nama Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah sementara pusat kerajaan Perlak pula dikenali sebagai Bandar Khalifah.

Kerajaan Perlak terus wujud untuk merangkumi tempoh 400 tahun sebelum diserapkan ke dalam kerajaan Samudera-Pasai (juga dalam Aceh) yang diasaskan Sultan Malikus Salih pertengahan abad ke 13 Masihi. Dalam tempoh itu telah berlaku beberapa perbalahan besar dalam negara yang melibatkan takhta dan agama terutama konflik golongan Syiah dan Sunni. Ini meyebabkan perpecahan kerabat diraja yang kemudian merantau membuka negeri baru maka tidak mustahil ada seseorang yang dikenali sebagai Malim Dewa lari ke Muar lalu membuka kerajaan.

Sesuatu yang menarik tentang Hikayat Malim Deman ialah ia menceritakan tentang sebuah kerajaan Islam di Muar sedangkan cerita ini mula dibukukan oleh Pawang Ana yang berasal daripada Perak. Sebuah cerita tersendiri mengenai bapa Malim Deman, cerita yang dikenali sebagai Hikayat Malim Dewa pula agak terkenal di Aceh. Untuk makluman ada kaitan rapat antara keSultanan Perak dan Aceh sedangkan mengikut cerita lama, Muar adalah sempadan selatan keSultanan Beruas yang pernah dibuka Sultan Malikul Mansur sebelum wujud kerajaan Melaka.

Baik Hikayat Malim Deman mahupun Hikayat Malim Dewa ada menyebut tentang rombongan Malim Dewa atau Tuanku Gombang Malim Dewa membawa diri lalu mendirikan keSultanan di Muar. Lebih menarik, setakat yang penulis nampak, dalam banyak-banyak hikayat tentang kerajaan Melayu, cuma Hikayat Malim Deman dan Hikayat Malim Dewa yang ada memperbesarkan cucu-cucu Nabi iaitu Saidina Hassan dan Saidina Hussein. Yang lain lebih suka menonjolkan kebesaran raja-raja yang dikatakan diwarisi daripada penakluk besar dunia bernama Iskandar Zulkarnain.

Mungkin sebab itu Raja Iskandar yang membuka kerajaan Melaka tidak berjaya membuka negeri di Muar? Kerana Muar ialah bekas jajahan raja-raja yang lebih berdaulat iaitu daripada keturunan Nabi Muhammad SAW berbanding Raja Iskandar Melaka yang dikatakan berasal dari Iskandar Zulkarnain?



Isnin, Mac 12, 2007

Gambar-gambar Muar 3

Assalamualaikum. Di sini, saya ingin meletakkan beberapa buah lagi gambar-gambar di Muar untuk tatapan semua. Sebenarnya ini dilakukan supaya saudara pengarang akhbar tabloid Kencana boleh terus masuk ke blogspot ini untuk memilih mana-mana gambar yang sesuai untuk segmen terbaru "Laksamana pulang ke Perak" akhbar itu... Kira buat kerja cara on-line le ni. Apapun, silalah tatap bersama. Adapun kebanyakan gambar ini diambil di sekitar Bukit Treh, lebih kurang 5km daripada pusat bandar Muar... Ada le sebabnya tu...






Gambar bandar Muar diambil daripada sisi kawasan medan selera berdekatan stesyen bas di Bentayan.



Inilah dia Bukit Treh yang agak terkenal di kalangan orang bandar Muar, satu-satunya bukit yang wujud dalam sekitar 5km daripada pusat bandar Muar. Tak tinggi mana pun, mungkin tak sampai 100 kaki tingginya. Perhatikan, di sebalik lindungan pepohon rimbun di sekelilingnya adalah bentuk bukit seperti kapal tertangkup. Mungkin benar kata orang tempatan, cerita lagenda Si Tanggang (atau yang sewaktu dengannya) di mana kapal seorang anak derhaka serta segala yang berada di dalam disumpah menjadi batu pernah berlaku di sini?




Loji air di kaki Bukit Treh.



Runtuhan tembok lama di kaki Bukit Treh.




Runtuhan dilihat lebih dekat.



Paip yang menghubungkan loji air lama zaman British di puncak Bukit Treh dengan kawasan sekitar.


Loji air Bukit Treh serta runtuhan tembok dilihat daripada lereng bukit.




Tangga untuk naik ke puncak Bukit Treh yang bermula selepas mendaki bukit itu separuh.



Bangunan loji air lama zaman British di puncak Bukit Treh.


Bangunan loji dilihat daripada sudut lain.



Menara bangunan loji air lama.



Sebuah makam lama di kaki Bukit Treh. Tidak ramai, walau penduduk tempatan sekali pun yang sedar akan kewujudan kubur lama yang dikatakan milik seorang puteri raja dahulukala. Adapun puteri itu dikatakan isteri ketiga kepada watak Si Tanggang yang derhaka terhadap ibunya. Puteri ini seorang yang baik hati lalu menasihati Si Tanggang supaya menerima ibu-bapanya walau seburuk mana (baca balik cerita Si Tanggang)... Malangnya dia turut menerima bahana sumpahan akibat Si Tanggang tidak mahu mengaku dua orang berpakaian buruk yang datang merapati kapal mewahnya adalah ibu-bapanya yang sebenar.



Masjid Kampung Bukit Treh. Di belakangnya, di sebalik rimbunan pepohon di belakang menara masjid ini terletak kubur lama yang dikatakan milik seorang puteri raja.



Masjid Kampung Bukit Treh dilihat daripada sudut lain.



Masjid Kampung Temiang yang terletak lebih kurang 1km daripada Masjid Kampung Bukit Treh. Adapun kedua-dua kampung ini terletak sebelah menyebelah tetapi Bukit Treh pula terletak di dalam lingkungan Kampung Temiang.
Kampung Temiang adalah kampung ibu saya. Adapun ia juga dikenali sebagai Kampung Tok Raja sempena nama seorang bangsawan yang membuka kampung itu seabad dua dahulukala. Nama jalan utama di kampung ini masih dikenali dengan nama Jalan Tok Raja atau Jalan Tok Raja Temiang.



Sungai Muar dilihat daripada satu sudut berhampiran Bukit Treh.
Di bawah ini pula adalah gambar-gambar peta lama kota-kota Portugis, satu di Muar, satu di Melaka sekadar untuk hiasan, tatapan dan renungan pembaca. Adapun gambar atau lukisan kota di Melaka yang juga dikenali sebagai A Famosa itu dibuat tahun 1630 sedangkan yang di Muar itu dikatakan dibuat tahun 1604, wallahualam...






Syarif Ali: Penyebar Islam dan Sultan Brunei

Artikel ini keluar hari ini, dalam Utusan Malaysia 12 Mac 2007. Apa yang menarik perhatian adalah kata-kata bahawa Syarif Ali yang menjadi Sultan Brunei abadke 15 Masihi ada hubungan kekeluargaan dengan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani. Teringat kata-kata seorang bapa saudara bahawa keSultanan Brunei mempunyai kaitan rapat dengan nasab keluarga kami yang sampai kepada Sultan Al-Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera-Pasai abad ke 13 Masihi. Maka tergerak pula untuk menyertakan artikel ini di sini...

Syarif Ali penyebar Islam dan Sultan Brunei

Oleh Haji Wan Mohd. Shaghir

SYARIF Ali Bilfaqih diriwayatkan adalah berasal dari keturunan Saiyidina Hasan bin Ali, bererti beliau adalah zuriat Nabi Muhammad s.a.w. melalui perkahwinan Saiyidatina Fatimah az-Zahra dengan Saiyidina Ali.
Diriwayatkan pula bahawa Syarif Ali atau nama lain Syarif Ali Mufaqih Muqaddam adalah berasal dari Taif (Arab) dan tiba di Brunei sekitar tahun 1370 M. Menurut Pangiran Haji Mohammad bin Pangiran Haji Abd Rahman, nama ayah Syarif Ali ialah Saiyid Abdul Qadir, salah seorang keturunan Saiyidi Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, Wali Quthub yang sangat terkenal. Secara garis besarnya pula masih bertikaian pendapat apakah Syarif Ali itu keturunan Saiyidina Hasan atau pun keturunan Saiyidina Husein.
Jika benar Syarif Ali itu keturunan Saiyid Syeikh Abdul Qadir al-Jilani jelaslah beliau keturunan Saiyidina Hasan bin Ali bin Abi Talib kerana nasab Saiyid Syeikh Abdul Qadir al-Jilani adalah kepada Saiyidina Hasan bukan Saiyidina Husein.
Namun masih diragukan kerana sebahagian penyebar Islam yang datang ke Asia Tenggara termasuk Maulana Malik Ibrahim yang dikatakan ada hubungan kekeluargaan dengan Syarif Ali adalah keturunan Saiyidina Husein bukan keturunan Saiyidina Hasan. Pangiran Haji Mohammad bin Pangiran Haji Abd. Rahman lebih cenderung mengukuhkan bahawa Syarif Ali adalah keturunan Saiyidina Husein.
Saya sendiri lebih menerima pendapat Pangiran Haji Mohammad tersebut. Ini kerana jika benar bahawa Syarif Ali ada hubungan kekeluargaan dengan Maulana Malik Ibrahim bererti ada hubungan pula dengan ulama-ulama Fathani Darus Salam yang kemudian melanjutkan penyebaran Islam ke Cam, selanjutnya ke Jawa dan tempat-tempat lain di Asia Tenggara. Sezaman dengan Syarif Ali di Brunei itu, ada seorang ulama Patani ke Brunei, iaitu Wan Nik.
Nama ini adalah nama gelar sewaktu beliau masih di Patani. Beliau ini pergi menyebarkan Islam ke Brunei.Walau bagaimana pun sehingga artikel ini saya tulis nama Wan Nik al-Fathani tidak pernah ditulis baik penulis-penulis Brunei atau pun ahli sejarah lainnya. Boleh jadi sewaktu di Brunei, Wan Nik tidak menggunakan gelaran nama itu, tetapi memakai nama asli. Adik-beradik Wan Nik al-Fathani adalah 11 orang.
Di antaranya ialah Saiyid Jamaluddin al-Kubra, yang wafat di Tuwajok, Bugis. Beliau adalah datuk bagi Maulana Malik Ibrahim. Jadi menurut sejarah versi Patani ini berertilah Wan Nik al-Fathani itu datuk saudara bagi Maulana Malik Ibrahim.
Hubungan penyebaran Islam antara Fathani Darus Salam dengan Brunei terjalin sejak lama, dalam Hikayat Tuan Wali Allah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tertulis, “Dan lagi Raja Brunai itu jadi dua beradik dengan bapak Tok Nyang Syeikh Abdur Rahman itu, Wallahu a’lam...”
Yang dimaksudkan “... bapak Tok Nyang Syeikh...” pada kalimat ialah Syeikh Abdul Mubin al-Fathani. Namun, perkara ini tidak jelas dari perkahwinan dalam bentuk bagaimana, dari adik-beradik sebelah laki-laki atau pun dari adik-beradik perempuan, yang dimaksudkan hingga terjadi “dua beradik...” seperti yang termaktub dalam kalimat di atas.
Kemungkinan catatan pada hikayat tersebut keliru atau pun tersalah salin. Kemungkinan yang dimaksudkan dengan perkataan “dua beradik...” itu ialah Syarif Ali yang ternyata menjadi Sultan Brunei ketiga itu memang adik-beradik dengan Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani, Saiyid Jamaluddin al-Kubra, Wan Nik al-Fathani, dan lain-lain atau “dua beradik...” dalam istilah yang lain, ialah dua riwayat di bawah ini:
Petikan dari Habib Alwi bin Thahir Al-Hadad, “Keterangan-keterangan daripada dokumen-dokumen Mindanao menunjukkan bahwa pada tahun 880 H (1475 M) telah datang Syarif Ali dan dua orang saudaranya dari Mekah. Ali menjadi raja yang pertama di Mindanau, saudaranya yang kedua menjadi sultan di Brunei, dan yang ketiga menjadi sultan di Maluku".
Walaupun dari segi tahun dan terdapat kelemahan-kelemahan lain, kalimat di atas sukar diterima namun masih dapat diambil kira untuk penyelidikan, terutama sekali perkataannya “... dan yang ketiga menjadi sultan di Maluku.”
Kemungkinan yang dimaksudkan dengan Maluku itu ialah Ternate. Sultan Ternate itu di antaranya ialah Sultan Babullah iaitu adik-beradik dengan Syarif Hidayatullah/Sunan Gunung Jati di Betawi, Banten dan Cerebon.
Ayah kedua-duanya adalah Saiyid ‘Umdatuddin Sultan Cam di Kemboja. Ayahnya ialah Ali Nur Alam yang sebelum ke Cam memperoleh beberapa orang anak di Patani. Ali Nur Alam anak Saiyid Jamaluddin al-Kubra. Oleh sebab Wan Nik al-Fathani yang mengembara ke Brunei adalah adik bongsu Saiyid Jamaluddin al-Kubra maka berertilah Sultan Babullah di Ternate (Maluku) dan Syarif Hidayatullah di Cerebon (Jawa Barat) adalah cucu saudara Wan Nik al-Fathani yang ke Brunei itu.
Sekiranya betul tulisan Habib Alwi al-Hadad di atas, bahawa yang menjadi raja di Brunei adalah adik-beradik dengan Sultan Babullah di Ternate (Maluku), bererti raja Brunei itu cucu saudara Wan Nik al-Fathani yang tersebut itu. Wallahhu a’lam.
Datang ke Brunei
Sebagaimana telah disebutkan bahawa Syarif Ali berasal dari Taif, negeri Arab, tetapi masih dimusykilkan apakah beliau langsung dari Taif ke Brunei atau pun terlebih dulu singgah di negeri-negeri lain di Asia Tenggara. Atau pun boleh jadi Syarif Ali dilahirkan di salah satu tempat di Asia Tenggara. Semua yang tersebut itu masih belum terjawab.
Pangiran Haji Mohammad bin Pangiran Haji Abd. Rahman membahas tentang kedatangan putera-putera Syarif Zainal Abidin termasuk Syarif Ali ke Johor. Menurut beberapa sejarah, namun beliau lebih cenderung yang dimaksudkan dengan Johor itu ialah Melaka.
Lain pula pendapat Pehin Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri. Katanya, yang dimaksudkan dengan Johor itu ialah Singapura Tua, iaitu kerajaan Johor Tua. Oleh sebab pendapat itu hanya merupakan andaian maka perlu dikaji semula. Perlulah kita memperhatikan bahawa ada pertalian kekeluargaan antara Syarif Ali dengan Maulana Malik Ibrahim, yang juga diakui oleh Pangiran Haji Mohammad. Saya lebih meyakini yang dimaksudkan dengan Johor itu bukan Melaka, bukan pula Singapura Tua, tetapi kemungkinan adalah Patani.
Sejarah tidak menyebut bahawa Maulana Malik Ibrahim itu pernah ke Melaka, yang ada hanyalah di Patani.
Peristiwa ini tidak mengubah kenyataan bahawa salah seorang ulama keturunan Patani-Johor yang ada hubungan keluarga dengan Maulana Malik Ibrahim dalam tahun 815 H/1412 M menyebarkan Islam ke Pulau Buton, Sulawesi. Namun penduduk lebih mengenalnya sebagai berasal dari Johor dan tidak pernah muncul nama Patani.
Dalam sejarah, kita mengakui kebesaran Kerajaan Melayu Melaka, tetapi dalam penulisan kitab ilmu-ilmu keislaman di peringkat awal mulai abad ke-16 hingga ke-19 Masihi, tidak ada bukti dihasilkan oleh ulama yang berasal dari Melaka atau pun Johor. Apa yang terbanyak ialah yang dihasilkan oleh ulama-ulama Aceh dan Patani.
Oleh itu untuk mengakui Melaka sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara dan menjadi tumpuan kedatangan penyebaran-penyebaran Islam dari dunia luar terutama Arab perlu dikaji semula. Berdasarkan bukti penulisan kitab-kitab oleh ulama-ulama Patani dan hubungan kekeluargaan ulama Patani dengan Kerajaan Cam yang ada hubungan dengan penyebaran Islam sejagat, maka Patani perlu dibicarakan sebagai perbahasan pada konteks ini menggantikan tempat Johor dan Melaka seperti yang disebutkan tadi.
Aktiviti dan dilantik sebagai Sultan Brunei
Dipercayai Syarif Ali adalah seorang ulama, tujuan pengembaraannya ialah menyebarkan agama Islam. Di Brunei, dari aktivitinya mengajar masyarakat awam akhirnya dapat mempengaruhi pemimpin-pemimpin kerajaan Brunei sehingga Syarif Ali diambil jadi menantu oleh Sultan Ahmad (Sultan Brunei yang kedua). Sultan Ahmad mangkat, sekitar tahun 1425 M, para pembesar dan rakyat Brunei sepakat menabalkan Syarif Ali sebagai Sultan Brunei(Sultan Brunei yang ketiga).
Selanjutnya beliau digelar Sultan Berkat. Sebagai seorang ulama, setelah menjadi sultan, beliau menjadi contoh sebagai insanul kamil bagi masyarakat Brunei. Beberapa penulis sejarah Brunei merakamkan, “Maka Syarif Ali inilah mendirikan agama Islam dan mengeraskan syariat Nabi kita Muhammad s.a.w. di Brunei dan membina masjid-masjid.”
Menurut riwayat, sebelum Syarif Ali menjadi sultan, sultan-sultan yang terdahulu belum mendirikan masjid. Diriwayatkan pula bahawa Syarif Ali selain sebagai seorang sultan, beliau sendiri menjadi imam sembahyang fardu, sembahyang Jumaat, dan menjadi khatib hari Jumaat dan kedua-dua hari raya.
Ini bererti dirinya sebagai seorang ulama, imam dan sultan mesra menyatu, bersepadu dan tertanam kasih sayang ke seluruh lubuk hati masyarakat yang beragama Islam.
Pendapat Pangiran Haji Mohammad mengenai Syarif Ali pergi pula ke Jawa untuk mengislamkan Raja Majapahit yang bernama Perabu Angka Wijaya masih sukar untuk diterima kerana bertentangan pendapat dengan beberapa orang penulis.
Mengenai di mana lokasi kerajaan Cermin, menurut beliau, juga Pehin Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri, yang kedua-dua pendapat berasal dari pendapat Habib Alwi Al-Hadad, adalah di Brunei, perlu dikaji semula. Ini kerana wujud kontroversi dengan beberapa pendapat lain terutama penulis-penulis yang berasal dari Patani dan Kelantan.
Sahabat dan ulama yang sezaman dengan beliau di Brunei
Selain Syarif Ali dipercayai ramai lagi penyebar Islam yang sezaman dengannya yang menyebarkan Islam di Brunei. Oleh sebab mereka hidup sezaman dan sasaran penyebaran di tempat yang sama, maka kita anggap saja mereka adalah bersahabat. Di antara mereka yang dapat disenaraikan ialah sebagai yang berikut:
1. Saiyid Alwi al-Faqih Muqaddam
2. Syeikh Adam
3. Syeikh Sulaiman bin Abdur Rahman
4. Saiyid Abu Bakar
5. Saiyid Hasan al-Hadad
Wafat dan keturunan
Sultan Syarif Ali, wafat pada tahun 1432 Masihi, demikian yang tertulis dalam beberapa buku sejarah karangan baru. Tahun 1432 itu berasal dari tulisan batu nisan yang transliterasinya; “Dari Hijrah Nabi s.a.w. delapan ratus tiga puluh enam tahun, dalam bulan Jamadilawal, malam Khamis, wafat pada hari Ali berpindah dari dunia ke akhirat...”
Hasil perkahwinan Syarif Ali dengan Puteri Sultan Brunei, beliau memperoleh anak bernama Sulaiman, yang selanjutnya menjadi Sultan Brunei pengganti ayahnya Sultan Syarif Ali, Sultan Brunei yang ketiga itu.
Dari sini pula selanjutnya menurunkan sultan-sultan Brunei Darussalam dan Sultan- Sultan Sambas (Kalimantan Barat, Indonesia) secara bersalasilah menurun dari atas ke bawah bersambung tanpa putusnya. Nama-nama yang dapat disebutkan ialah: Sultan Sulaiman memperoleh putera Sultan Bolkiah. Sultan Bolkiah memperoleh putera bernama Sultan Abdul Kahar. Sultan Abdul Kahar (mangkat 1571 M) memperoleh putera tiga orang, iaitu;
1. Sultan Syah Berunai
2. Sultan Muhammad Hasan
3. Raja Dungu Sultan Muhammad Hasan (nombor dua) memperoleh putera tiga orang, iaitu;
1. Sultan Tengah
2. Sultan Abdul Jalilul Akbar
3. Sultan Muhammad Ali
Sultan Tengah (nombor satu) itulah yang kahwin dengan Ratu Suria (Sambas), memperoleh putera Sultan Muhammad Shafiyuddin, Sultan Sambas. Ada pun Sultan Abdul Jalilul Akbar (nombor dua) dan Sultan Muhammad Ali (nombor tiga) keturunannyalah yang menjadi sultan-sultan Brunei Darussalam.